GURINDAM JIWA

Wednesday, December 30, 2009

Penggunaan Peribahasa dalam Karangan

PENGGUNAAN PERIBAHASA DALAM KARANGAN

Peribahasa ialah ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu. Peribahasa terdiri daripada beberapa jenis seperti simpulan bahasa, perbandingan, perumpamaan, pepatah, bidalan, dan kata-kata hikmat. Dengan menggunakan peribahasa dalam karangan, huraian atau hujah bagi setiap isi dalam karangan bukan sahaja menjadi mantap, tetapi menjadi indah dan berkesan. Peribahasa dalam bahasa Melayu dapat digunakan sama ada dalam pengenalan karangan, isi karangan, ataupun penutup karangan. Lihat contoh penggunaan peribahasa dalam setiap bahagian karangan di bawah ini:

Perenggan Pengenalan
Soalan:
Sejak akhir-akhir ini, kewujudan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) berkembang sangat pesat. Pada pendapat anda, apakah sumbangan IPTS dalam pembangunan dan kemajuan pendidikan di negara kita?


Di negara kita sekarang ini, terdapat hampir sejumlah 700 buah institusi pengajian tinggi swasta(IPTS) yang telah diluluskan penubuhannya oleh Kementerian Pendidikan. Antara IPTS yang popular di Malaysia termasuklah Kolej Stamford, Institut Lim Kok Weng, Kolej Damansara Utama, Kolej Nilai, dan sebagainya. Kewujudan IPTS yang rancak bagai cendawan tumbuh selepas hujan telah membimbangkan beberapa banyak pihak terutamanya dari segi kualiti, kemampuan menyediakan prasarana, tenaga pengajar, dan sebagainya. Walaupun banyak pihak menganggap bahawa IPTS yang wujud ini berorientasikan keuntungan, sumbangannya terhadap perkembangan pendidikan di negara kita tidak dapat dinafikan.



Perenggan Isi

Soalan:
Kebaikan amalan bergotong-royong dalam masyarakat. Bincangkan.

Salah satu kebaikan amalan bergotong-royong dalam masyarakat iaitu meningkatkan hubungan sesame dalam komuniti. Amalan gotong-royong yang mementingkan kerjasama antara satu sama lain akan dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan masyatakat setempat. Ahli dalam komuniti boleh berbual-bual dan berkenalan dengan orang lain sambil bergotong-royong supaya mereka dapat mengenal hati budi seseorang dengan lebih dekat lagi. Hal ini demikian kerana hubungan yang baik dengan orang lain dapat membantu seseorang itu apabila menghadapi masalah. Hal ini terkandung dalam pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Sebagai contoh, gotong-royong yang diadakan di sesebuah sekolah dapat menjalinkan hubungan antara pelajar dengan guru serta masyarakat sekitar. Tegasnya, amalan bergotong-royong sememangnya membawa hubungan yang baik dalam masyarakat.


Perenggan Penutup

Sejak akhir-akhir ini , gejala social semakin berleluasa. Ada pendapat yang menyatakan bahawa gejala ini berlaku berpunca daripada sikap ibu bapa yang kurang memberikan perhatian kepada anak-anak. Sejauh manakah anda bersetuju dengan kenyataan ini?

Kesimpulannya, gejala social banyak berpunca daripada ibu bapa yang sibuk bekerja dan kurang menumpukan perhatian pada anak-anak. Sebagai ibu bapa, mereka hendaklah memelihara dan menjaga anak-anak dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Selain itu, ibu bapa juga hendaklah menjadikan dirinya sebagai contoh yang terbaik kepada anak-anak dalam segala tingkah laku seperti mengerjakan solat, berbudi pekerti yang mulia, jujur, dan sebagainya kerana peribahasa Melayu mengatakan bahawa bagaimana acuan begitulah kuihnya. Oleh hal demikian, gejala sosial yang semakin berleluasa ini dapat diatasi jika ibu bapa bijak memainkan peranan masing-masing.

Kelewahan Bahasa 2

Kelewahan Bahasa (2)

Satu lagi bentuk lewah dalam ayat ialah penggandaan kata nama sesudah kata nama atau kata kerja yang mendukung maksud jamak. Contohnya:

(1a) Senarai nama-nama peserta sudah diumumkan oleh penganjur kejohanan.
(2a) Jurulatih menghimpunkan pemain-pemain di tepi padang.

Bentuk yang betul bagi ayat (1a) dan (2a) adalah seperti yang berikut:

(1b) Senarai nama peserta sudah diumumkan oleh penganjur kejohanan.
(2b) Jurulatih menghimpunkan pemain di tepi padang.

Kata seperti antara dan daripada berkaitan dengan sebilangan orang atau perkara daripada keseluruhan. Oleh sebab itu, penggandaan pada kata nama yang menyusuli kedua-dua kata tersebut dianggap lewah. Begitu juga halnya bagi kata ada. Contohnya:

(3a) Antara pegawai-pegawai yang dinaikkan pangkat ialah pegawai eksekutif syarikat
itu.
(4a) Seorang daripada murid-murid itu telah dikenakan tindakan disiplin.
(5a) Ada murid-murid yang telah membayar yuran persekolahan.

Ayat 3a hingga ayat 5a dapat dibetulkan dengan meniadakan penggandaan pada kata nama, seperti yang berikut:

(3b) Antara pegawai yang dinaikkan pangkat ialah pegawai eksekutif syarikat itu.
(4b) Seorang daripada murid itu telah dikenakan tindakan disiplin.
(5b) Ada murid yang telah membayar yuran persekolahan.

Dari segi penggunaan kata penguat, sesetengah penguat tidak boleh digandingkan kerana dikatakan lewah. Selain itu,imbuhan ter- juga tidak boleh digandingkan dengan kata penguat bandingan penghabisan. Contohnya:

(6a) Ali paling tercerdik.
(7a) Ali terpandai sekali.

Kata penguat paling dan sekali serta imbuhan ter- bermaksud bandingan penghabisan. Oleh sebab itu, hanya satu unsur yang boleh kita gunakan. Contohnya:

(6b) Ali paling cerdik.
(6c) Ali cerdik sekali.
(7b) Ali terpandai.
(7c) Alilah yang terpandai.
(7d) Ali pandai sekali.

Friday, December 25, 2009

Proses Kreatif Cerpen "Harga Sebuah Warga"

Cerpen "Harga Sebuah Warga" terlahir dalam cepu fikir saya apabila membaca akhbar tentang rakyat Malaysia yang telah melucutkan kewarganegaraan kerana berhijrah ke negara lain justeru telah menarik minat saya untuk terus dikaryakan. Isunya telah menghambat fikiran sehingga diksi pertama membentuk frasa dan ayat mengalir deras dari cepu fikir. Cerpen yang dihasilkan hampir sempurna setelah lima hari saya menulisnya. Isu tentang anak yang menjaga ibu tua juga saya selitkan dalam cerpen itu selain menyentuh sedikit isu pengangkutan awam yang kian menghimpit warga kota waktu itu.

Sunday, December 20, 2009

Aksi Kucing


Aksi Kucingku Yang Memukau...

Di Sini Sejarah Bermula...


Melaka Bandaraya Bersejarah, Di Sini Sejarah Lampau Bermula.

Bandaraya Melaya hanya terletak kira-kira 45 minit dari rumah kakak di Kampung Tanjong Rimau Dalam. Kebetulan ada majlis perkahwinan anak jiran di taman tempat saya tinggal di Senawang yang kebetulan dilangsungkan di Telok Emas, Melaka. Jadi, saya dan keluarga bersama dengan dua orang anak buah mengambil kesempatan makan angin di bandar Melaka. Lama juga tidak menjengah di Banda Hilir yang menjadi lubuk tumpuan pelancong dari dalam dan dari luar negara. Hampir setengah jam mencari tempat untuk memarkir kenderaan kerana hari ini hari Ahad. Banyak sangat perubahan hinggakan saya terkeliru dan berpusing-pusing di Banda Hilir.

Banyak bangunan baru yang didirikan di sekitaranya, umpama cendawan tumbuh selepas hujan.
Tumpuan hari ini ingin ke Menara Taming Sari serta menyusur Sg. Melaka. Ketika menyusur Sg. Melaka kami didendangkan dari corong radio lagu-lagu dondang sayang, sungguh enak dibuai lagu sampai mata hampir-hampir terlena disapa tiupan angin yang lembut dan nyaman. Perjalanan sejauh 9 kilometer itu mengambil masa hampir 45 minit. Bangunan kedai di sepanjang perjalanan dijaga rapi di kaki lima kedainya. Saya cuba membayangkan kesibukan sungai ini ketika waktu kegemilangannya. Banyak urusan jual beli dilaksanakan di sini.

Tidak ketinggalan Kampung Morten yang dianggap sebagai muzium hidup. Reka bentuk rumah menepati ciri-ciri rumah Melayu Melaka yang cukup unik. Tangga batu antara ciri unggul rumah Melayu Melaka. Pada waktu malam, tentu perkampungan ini disimbah cahaya lampu yang dipasang hampir setiap rumah di situ. Rasa bangga kian berbunga dalam hati kerana menjadi salah seorang daripada wargamu.


Melaka, di sini sejarah bermula...





Pembedahan Si Shasa





Agak lama gambar ini tersimpan dalam album saya. Si Shasa terpaksa menjalani pembedahan mengeluarkan seekor anaknya yang masih dikandung di rahimnya ketika itu. Keputusan yang saya buat adalah dengan mengasikannya memandang Si Shasa tidak pandai beranak. Hanya beberapa jam selepas dilahirkan, sikecil itu meninggalkan kami.

Karangan Cemerlang

CONTOH KARANGAN CEMERLANG

BAHAGIAN A

Contoh 1

Dewasa ini, kita acapkali diberitakan perihal senario remaja masa ini yang kurang mempunyai semangat patriotik. Hal ini adalah sangat membimbangkan kerana remaja disandarkan harapan untuk memacu pentadbiran negara kelak. Tanpa semangat patriotik akan pincanglah kepimpinan negara, dan hal ini boleh mengakibatkan berlaku penjajahan bentuk baru daripada masyarakat asing yang tidak berlaku secara realiti, sebaliknya, mereka menjajah mentaliti dan jiwa masyarakat. Hal ini jika dibiar berleluasa akan menjadi ‘duri dalam daging’ yang bertindak seperti pembunuh senyap, merosakkan kemerdekaan negara yang telah dikecapi hasil perjuangan masyarakat dan pemimpin terdahulu.

Pelbagai cara boleh dilakukan bagi mengekang masalah kurangnya semangat patriotik dalam kalangan remaja hari ini. Satu langkah yang telah diperkenalkan oleh kerajaan ialah Program Latihan Khidmat Negara. Program ini yang dijalankan bagi remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, mengambil kira pentingnya semangat patriotik diterapkan dalam jiwa remaja masa ini. Justeru, pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program latihan yang berdurasi selama 3 bulan. Aktiviti-aktiviti berbentuk modul latihan fizikal ini bagi memenuhi keperluan fizikal dan mental peserta. Mereka akan didedahkan dengan pelbagai kegiatan yang bertujuan menyuntik semangat patriotik dalam jiwa mereka, dan menginsafkan mereka akan perjuangan para pejuang kemerdekaan yang berjuang bagi menuntut kemerdekaan daripada penjajahan asing.

Selain itu, pendekatan mendidik mentaliti remaja supaya menghargai kemerdekaan agar mereka dapat menerapkan semangat patriotik juga wajar diberikan perhatian. Usaha ini bole dilakukan melalui penglibatan remaja dalam aktiviti bulan kemerdekaan. Dalam konteks ini, pelbagai pihak iaitu institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti, seharusnya memainkan peranan utama. Pelajar-pelajar sekolah serta mahasiswa universiti seharusnya diberi galakan menyertai aktiviti bulan kemerdekaan agar mereka dapat memahami erti kemerdekaan dan seterusnya dapat menerapkan semangat patriotik dalam jiwa mereka. Pendekatan ini seharusnya digunakan seawal usia kanak-kanak di bangku sekolah rendah lagi kerana kalau hendak ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, Kanak-kanak juga digalakkan menyertai aktiviti bulan kemerdekaan ini, diharapkan membesar sebagai tenanga, dan anggota masyarakat yang berjiwa patriotik.

Kerajaan melalui badan-badan tertentu seharusnya memberi penerangan dan maklumat berteraskan patriotisme kepada rakyat. Hal ini boleh direalisasikan melalui pelbagai cara iaitu melalui media cetak dan elektronik seperti penerbitan dokumentari, rencana, iklan dan filem berteraskan patriotisme.Selain itu, usaha yang boleh dijalankan untuk mengumpul khazanah dan artifak semasa perjuangan menuntut kemerdekaan serta membina muzium bagi memperinganti dan memberikan maklumat yang tepat kepada pengunjung khususnya remaja untuk menghargai, memahami dan mendalami erti kemerdekaan, serta mengenali dan menghargai tokoh-tokoh yang berjasa kepada negara kita.

Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu memainkan peranan aktif dalam menjanakan semangat patriotik dalam kalangan remaja. Remaja seharusnya digalakkan untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang dapat mendidik mereka menjiwai semangat patriotik supaya akan dewasa menjadi golongan bakal pemimpin negara yang cemerlang, gemilang , terbilang serta mampu membawa Malaysia ‘duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.

Kelewahan Bahasa

Kelewahan Berbahasa (Siri 1)
Menurut Kamus Dewan, edisi keempat, perkataan lewah membawa maksud " berlebihan-lebihan sehingga tertambah perkara,hal dan sebagainya yang tidak perlu, misalnya perkataan yang digunakan dalam ayat".

1(a) * Adik menggaru-garu kepalanya berkali-kali.
(Ayat ini lewah kerana penggandaan pada menggaru sudah mendukung maksud perbuatan
yang berulang-ulang. Oleh sebab itu, bentuk yang betul ialah:

1(b)Adik menggaru-garu kepalanya.
1(c) Adik menggaru kepalanya berkali-kali.

2(a)*Daun-daun berguguran.
( Ada imbuhan bahasa Melayu yang mendukung maksud jamak. Contohnya ialah ber...-an. Oleh sebab itu, ayat di atas lewah.

Ayat yang betul ialah subjek daun digandakan atau imbuhan ber-...-an ditambah pada perkataan gugur.

2(b) Daun-daun gugur.
2(c) Daun berguguran.


Bentuk lewah wujud dalamhal pernyataan maksud jamak dalam ayat.

3(a) *Rumah-rumah di taman perumahan itu besar-besar.

Ayat 3(a) tidak gramatis kerana penggandaan pada subjek rumah atau predikat besar sahaja sudah mendukung maksud jamak. Lantara itu, ayat yang betul ialah:

3(b) Rumah-rumah di taman perumahan itu cantik.
3(c) Rumah di taman perumahan itu cantik-cantik.


Penggandaan kata adjektif untuk membentuk kata adjektif ganda atau frasa adjektif ada kalanya membawa makna "sangat". Dalam hal ini, penggunaan kata sangat dianggap lewah.

4(a) *Penduduk di kampung pedalaman itu sangat miskin kedana.

5(a)*Malam itu amat gelap-gelita.

Bentuk yang betul bagi ayat 4(a) dan 5(a) hanya mempunyai bentuk adjektif tunggal dengan penguat atau kata adjektif berganda atau frasa adjektif.

4(b) Penduduk di kampung pedalaman itu sangat miskin.
4(c) Penduduk di kampung itu miskin kedana.
5(b) Malam itu sangat gelap.
5(c) Malam itu gelap-gelita.

Penggandaan kata sendi nama atau kata hubung yang berderetan juga merupakan unsur lewah yang harus dielakkan. Contohnya.

6(a) *Selain daripada Hafiz, dia tidak ada kawan lain.
7(a)* Sejak dari hari itu, Shela sudah insaf.
8(a)*Dia berusaha demi untuk membahagiakan anaknya.
9(a) Jika sekiranya bernasib baik, kita akan berjaya.
10(a) Mereka berbual hingga ke pagi.

AyaT 6a hingga 10(a) dapat kita betulkan dengan membuang unsur lewah. Dengan hal itu, bentuk yang betul adalah seperti yang berikut:

6(b) Selain Hafiz, dia tidak ada kawan lain.
7(b) Sejak dari hari itu, dia sudah insaf.
8(b) Dia berusaha demi membahagiakan anaknya.
8(c) Dia berusaha untuk membahagiakan anaknya.
9(b) Jika bernasib baik,kita akan berjaya.
9(c) Sekiranya bernasib baik, kita akan berjaya.
10(b)Mereka berbual hingga pagi.




Saturday, December 19, 2009

Cuti-Cuti Malaysia

id=

Pangkalan Balak, Melaka


Ketibaaan bersama dengan isteri di Pangkalan Balak pada lewat petang 18 Disember disambut oleh hujan kadang kala lebat dan kemudian kembali merenyai. Sesekali diulit angin pantai seronok juga. Cuaca memang tidak menentu hari ini. Hanif sudah pergi bersama-sama ibu dan ayah (panggilan keluarga yang mengasuhnya sejak berumur 3 bulan) serta keluarga masing-masing pada pukul 11.00 pagi tadi.
Walaupun saya berasal dari Melaka Bandaraya Bersejarah tetapi memang jarang benar saya ke sini. Oleh sebab itu, perjalanan kami terganggu kerana tersesat kerana tersalah laluan.

Ketibaan kami lewat petang di Damar Suria, kami diterpa oleh Hanif yang basah lencun kerana mandi di kolam. Kata Zaini yang dipanggil ayah oleh anakku, Hanif mandi sejak pukul 12.00 tengah hari hingga jam sekarang. Amboi, seronok sungguh Hanif bersama dengan anak-anak ayah dan ibunya.

Sebelah malam, kami buat 'barbeque' daging, ayam dan udang. Sedap hingga menjilat jari.
Ketika itu hujan masih renyai-renyai sesekali angin pantai bertiup sepoi-sepoi bahasa menyapu wajah. Makan malam agak lewat kerana kesukaran untuk menghidupkan arang. Dari kejauhan kelihatan lampu dari bot kecil yang berbalam-balam. Sesekali berada di sini amat menyeronokkan. Ketegangan fikiran sepanjang minggu menanda kertas dapat juga dikendurkan. Kepulangan kami pada tengah hari ini juga disambut dengan hujan yang merenyai dan diselang seli dengan hujan yang lebat mencurah. Hasrat untuk meronda-ronda sekitar Air Keroh terpaksa dikesampingkan kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.





Tuesday, December 15, 2009

Kursus Pengacaraan SMKUR




Kursus Pengacaraan SMKUR yang dianjurkan oleh Kelab Setia SMKUR dengan Pejabat Penerangan Daerah Rembau membuka sejarah kerana buat pertama kalinya dianjurkan di SMKUR. Ternyata bengkel yang diadakan selama dua hari ini berjaya melahirkan juruacara majlis yang berbakat dalam kalangan murid-murid. Bengkel itu diadakan pada 18.2.09-19.2.09, bertempat di Bilik Gerakan SMKUR.





Monday, December 14, 2009

Kucing Kesayangan


Si Putih kucing kesayangan kakak yang sudah meninggalkan kami kerana sakit

Si Shasa yang sudah dikasikan kerana sukar untuk beranak.


Si Jiji yang merenung jauh...

Si Jojo yang sedang lepak

Si Sweetie semasa keremajaannya. Swetie baru sahaja melahirkan anaknya yang comel. Sweetie ialah kucing kakak saya.

Lawatan ke Padang, Indonesia


Proses Kreatif Novel 'Resipi Cinta Ammar'

"NASI LEMAK"
Proses kreatif bermula ketika saya sedang menjamah nasi lemak di bilik guru. Pada masa itu, fikiran memang sarat dan sedang mencari idea tentang novel yang bakal saya tulis. Sebungkus nasi lemak yang saya pesan melalui seorang murid tingkatan 3 yang bernama Azam telah berjaya memecahkan kebuntuan saya selama ini. Personaliti murid berkenaan yang begitu saya kagumi sifat peribadinya terus menarik perhatian saya untuk dikaryakan. Sedikit sebanyak kisah peribadinya saya cungkil menerusi perbualan beberapa orang guru yang rapat dengan pelajar berkenaan. Percayalah, cerita yang saya tulis tidak ada kaitan dengan kisah sebenar pelajar berkenaan.

Nasi lemak lauk sotong dengan harga RM1.50 saya jamah dengan rasa yang cukup berselera. Bergerak dari situ, setiap suapan nasi lemak saya telah berjaya menayangkan jalur perceritaan novel yang saya rasa cukup menarik. Perkataan 'Resipi' muncul dalam kotak fikir saya. Watak utama(1), "Ammar" terus saya adunkan dengan watak-watak yang ada di sekeliling saya. Watak remaja lelaki umur 16 tahun ini saya gambarkan seperti yang saya tulis dalam bab 1. Jarang sekali kita temukan watak remaja lelaki begitu(Itu anggapan saya sebagai penulis novel ini)



(Sehingga hari ini, saya masih membengkelkan novel ini bersama dengan Penerima S.E.A Write Award 2009 iaitu Pn Azmah Nordin yang saya panggil 'Sifu' secara maya. Sifu Azmah banyak membantu saya dalam menghasilkan bab demi bab novel ini.Terima kasih sifu!
Sinopsis dan bab 1 novel ini telah dibengkelkan bersama dengan Pn Nisah Haron dan rakan-rakan sebengkel di PSPN, Port Dickson yang lalu)

Sajak 'Kembalikan Palestin...'

KEMBALIKAN PALESTIN

Walau bumimu terus bersimbah darah
Bumi syuhada itu terus berdiri gagah
Walau diledak tujahan peluru menggila
Meluncur jet pejuang membelah megah
Namun bumimu Gaza
Terus segar bugar
Gema jihad yang masih merah

Angin silir semerbak haruman kasturi
Mewangi mengharumi bumi
Hawa dendam bangsamu membuak di relung hati
Tiada kesedihan tiada tangisan lagi
Yang mendukung erti

Kejernihan durja seorang ibu intifadah sejati
Menanti sebuah kematian mulia abadi
Katanya walau jerih perih di sanubari
Aku takkan rusuh kemudian hari
Andai anak- anakku terkubur mati
Kerana aku pasti
Allah melindungi dan merahmati
Para pejuang berahi mati
Mendaga Yahudi tidak berpekerti

Tiada harga langsung nyawa di sini
Tubuh anak kecil dirobek peluru Zionis
Meragut kemanusiaan yang berkurun lamanya mati
Yang ada hanya
Gelora jihad yang menyelubungi pelosok bumi


Kata seorang pejuang sejati
Kaki dan tanganku telah kukirim ke syurga firdausi
Namun dendam kesumat ini
Masih membara lagi
Walau diasak peluru kanan dan kiri
Intifadah akan terus pagan di atma generasi

Abdul Razak Bin Husin
17 Mei 2009

Proses Kreatif Cerpen 'Perjuangan Belum Selesai'

Cerpen kedua saya lahir selepas bengkel anjuran JPNS ialah 'Perjuangan Belum Selesai'. Dasar pendidikan negara, iaitu PPSMI telah saya angkat dalam karya ini. ketika karya ini ditulis, isu berkenaan sedang hangat diperkatakan dalam akhbar arus perdana dan juga beberapa orang tokoh akademik yang terkenal. Saya cuba meramalkan peristiwa yang bakal berlaku sekiranya dasar ini diteruskan.

Sebagai guru bahasa Melayu, sudah tentulah isu ini telah menjadi bahan untuk saya berkarya. Cerpen yang satu tulis dalam masa sehari suntuk ini dihasilkan dengan rasa kemarahan yang bersiponggang dalam dada. Saya tidak mahu diganggu ketika diksi-diksinya sedang mengalir deras dalam cepu fikir saya ketika itu. Waktu rehat saya cuba waktu makan dan bersolat. Hingga lewat petang (6.30 petang), cerpen kedua saya siap. Ketika saya menulis 'Kuras-kuras Kreatif' cerpen ini, isu yang saya bangkitkan telahpun selesai. Saya memanjat kesyukuran ke-hadrat Ilahi kerana mereka yang berkepentingan di luar sana sedar akan perkara yang bakal berlaku sekiranya dasar ini diteruskan.

(Cerpen ini telah dibengkelkan bersama-sama sasterawan negara ke-10 iaitu Dato'Anwar Ridhwan(Ketika itu beliau belum lagi menerima anugerah sasterawan negara) Rasa bangga berbunga umpama kuntuman mekar dalam diri saya ketika itu. Manakah tidak, karya sekecil ini dan mungkin hanya layak dibakulsampahkan sahaja oleh editor akhbar atau majalah telah menarik perhatian seorang tokoh yang cukup saya kagumi karya beliau. Beliau ternyata begitu tertarik akan isu yang saya cuba bangkitkan. Cuma saya rasa termalu dengan corak penulisan saya ketika itu berbanding karya-karya selepasnya. Ternyata cerpen ini telah menyuntik semangat saya untuk berkarya selepas itu .)

Monday, December 7, 2009

Proses Kreatif Cerpen 'Menjaring Hati Kecilnya'

Cerpen 'Menjaring Hati Kecilnya' cukup bermakna kepada saya. Cerpen pertama saya kira setelah hampir puluhan tahun tidak menulis. Bengkel yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan benar-benar telah membuka ruang mata saya.

Proses kreatif penciptaan diangkat melalui 90 % kisah sebenar saya ketika dipertanggungjawab mengajar kelas 4 Pluto pada tahun 2008. Watak remaja lelaki yang saya angkat dalam karya ini menggunakan nama sebenar. Hampir semua nama watak dalam cerpen ini menggunakan nama sebenar murid-murid di kelas berkenaan. Tahun ini, (2009) pelajar berkenaan telah menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Cikgu mendoakan anda berjaya dalam kertas Bahasa Melayu yang telah anda duduki pada 16 November yang lalu.Cikgu meminta maaf kerana tidak dapat mengajar anda pada tahun 2009.Cikgu hendak ada tahu, bahawa itu bukan permintaan cikgu.

Sebenarnya, sepanjang saya mengajar Bahasa Melayu di kelas ini, pelbagai kisah lucu, sedih, gembira saling berbaur dalam diri. Pada mula-mula dipertanggungjawab mengajar kelas ini, saya benar-benar rasa tercabar oleh kerenah pelajarnya yang rencam tetapi kemudian menyeronokkan.

Tidak dinafikan mengajar di kelas ini memerlukan kekuatan, kesabaran yang bukan calang-calang. Kesabaran saya roboh umpama robohnya bangunan kebanggaan Amerika Syarikat sedikit masa dulu. Pelajar yang tertidur di belakang kelas telah saya halau keluar tanpa rasa belas dan simpati.

Selepas peristiwa itu, saya tidak pernah berjumpa pelajar berkenaan. Sehinggakan satu hari, pelajar berkenaan hadir. Penyesalan benar-benar mengheret saya untuk membongkar dan menyelak kisah peribadi pelajar berkenaan. Ternyata dia telah meluahkan rasa hati yang sudah lama dipendamkan amat dalam di lubuk hatinya. Hampir 30 minit bersama dengan pelajar berkenaan sehinggakan waktu rehat terpaksa saya korbankan. Kolam air mata saya retak juga akhirnya. BeBola matanya turut berkaca.Kristal jernih jelas mengalir dari tubir matanya.

Cerpen ini saya ulit dengan pernah emosi di dada. Sehinggalah saya menitiskan air mata ketika menamatkan cerpen ini. Saya berharap apa-apa yang saya hasratkan di bahagian akhir cerpen akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.

(Untuk makluman semua, judul cerpen ini pada mulanya berjudul 'Gurukah Aku' tetapi telah dipinda kepada 'Menjaring Hati Kecilnya, hasil daripada bengkel penulisan 2 anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan. Judul ini dicadangkan oleh Dr. Mawar Shafie, pembimbing bengkel.)

Wednesday, December 2, 2009

Perkahwinan Anak Buah






Foto perkahwinan anak buah sulung lelaki saya di Rumah Rakyat Nyatoh Negeri Sembilan. Selamat Pengantin Baru Adli Abidi dan Amanina. Semoga kekal hingga akhir hayat.

Tatabahasa

Laman Bahasa 5
Soal Jawab 1
Antara “mengenepikan” dengan “mengetepikan”, “mengenengahkan”
atau “mengetengahkan”

Bagi kata “mengenepikan” atau “mengetepikan” dan “mengenengahkan” atau “mengetengahkan”, jika kita tahu akan peraturannya, maka dengan mudah kita dapat mengeja perkataan tersebut.

Langkah pertama, kita mestilah tahu akan kata akarnya, iaitu kata tanpa imbuhan. Dalam contoh ini, kata akarnya ialah ke tepi dan ke tengah. Kedua-dua kata akar itu ialah frasa. Jika kita memberikan apitan (awalan dan akhiran serentak), maka kata yang terdapat dalam kata akar tersebut dicantumkan, dan hanya huruf pertama bagi kata pertama sahaja yang mengalami perubahan(disebabkan kata tersebut bermula dengan huruk k).

Kata kedua, iaitu tepi atau tengah, tidak mengalami perubahan (walaupun bermula dengan huruf t). Jadi, ejaan yang betul ialah mengetepikan dan mengetengahkan.

Soal Jawab 2
Memperolehi atau Memperoleh

Bagi perkataan memperolehi atau memperoleh, kita hendaklah tahu akan kelas katanya dan makna yang terkandung dalam kata tersebut. Langkah pertama, seperti yang sebelumnya, kita mesti tahu akan kata akarnya. Dalam contoh yang diberikan , kata akarnya ialah oleh, dan selepas mendapat awalan ber-, kata tersebut menjadi beroleh( beroleh ialah kata kerja tak transitif)

Kata memperoleh ialah kata kerja transitif, dan kata memperolehi juga ialah kata kerja transitif. Maka, kata memperolehi dianggap lewah, iaitu berlebih-lebihan dan dianggap tidak mengikut tatabahasa dan bentuk tersebut ialah bentuk yang tidak baku. Tambahan pula, akhiran –i dalam kata tersebut tidak ada fungsinya, dan dengan hal itu, akhiran –i tidak diperlukan dalam kata tersebut.



Soal Jawab 3
‘ Mengotorkan’ dan ‘Mengotori’

Mengotorkan membawa maksud menyebabkan jadi kotor dan pelakunya ialah orang atau sesuatu yang menyebabkan tempat, kawasan dan lain-lain menjadi kotor.

Mengotori pula membawa maksud menjadikan kotor dan pelakunya mempunyai sifat kotor, iaitu yang menjadi punca kekotoran (misalnya, sampah sarap, debu dan sebagainya).

Perhatikan ayat yang gramatis yang berikut.
1(a) Sampah sarap mengotori taman itu.
Taman itu dikotori sampah.
Debu mengotori bilik itu.
Bilik itu dikotori debu.

1 (b) Budak nakal mengotorkan bilik darjah.
Bilik darjah dikotorkan oleh budak nakal.

Soal Jawab 4
‘Berbahaya’, ‘ Membahayakan’, ‘ Merbahaya’

‘Berbahaya’ ialah kata adjektif dan kata kerja tak transitif, yang membawa maksud ‘boleh mendatangkan kemalangan,bencana atau keadaan yang buruk’ atau yang bermaksud ada bahayanya.

Sementara ‘merbahaya’ ialah bentuk yang tidak baku yang maknanya sama dengan ‘berbahaya’.

Membahayakan pula kata kerja transitif yang membawa maksud ‘mendatangkan bahaya (kepada)’.

Contoh:
1. Penyakit itu sangat berbahaya.
2. Memandu terlalu laju adalah berbahaya.
3. Merokok membahayakan kesihatan.
4. Letupan itu membahayakan penduduk kampung.



Soal Jawab 5

‘Berasa’, ‘Merasa’, ‘Merasakan’

‘Berasa’ ialah kata kerja tak transitif dan membawa maksud ‘mempunyai rasa, beroleh rasa atau mengalami rasa dalam hati.

‘Merasa’ pula ialah kata kerja transitif dan membawa maksud ‘mengecap (rasa) dengan lidah’. atau ‘ mengetahui (sesuatu) secara menyentuh dengan tangan’.

‘Merasakan’ ialah kata kerja transitif dan membawa maksud ‘membiarkan seseorang merasa’ atau ‘memikirkan’ atau ‘menganggap’

Penggunaan kata-kata tersebut adalah seperti berikut:

1. Makanan itu berasa masin.
2. Dia berasa letih selepas bekerja sehari suntuk.
3. Ani berasa sedih mendengar berita itu.
4. Ibu merasa makanan yang terhidang itu.
5.Dia merasa kain yang ditunjukkan untuk mengetahui kasar halusnya.
6. Dia merasakan pengaruhnya kepada orang-orang bawahannya.
7. Pihak atasan merasakan beliau masih penting dalam jabatan itu.





Soal Jawab 6

‘Dari semasa ke semasa’ atau ‘ dari masa ke semasa’

Frasa ‘dari masa ke semasa’ tidak boleh digunakan kerana tidak mematuhi peraturan bahasa. Frasa yang betul ialah ‘dari semasa ke semasa’ atau ‘ dari masa ke masa’. Kedua-dua unsur penting iaitu, semasa dan masa dalam frasa itu hendaklah seimbang atau sama.


“ Menyusui” dan “Menyusukan”

Daripada contoh yang diberikan, kata akarnya ialah susu, dan susu ialah kata nama. Jika kata nama diberi apitan me-…..i, maka salah satu daripada maksud yang terkandung dalam kata tersebut ialah memberikan sesuatu (seseorang dalam kata akar) kepada seseorang atau sesuatu. Jadi, menyusui membawa maksud memberikan susu kepada, atau memberi seseorang atau sesuatu minum susu.

Jika dilihat dari segi pembentukannya dan maksud yang terkandung, kata menyusukan adalah tidak mengikut tatabahasa kerana jika apitan me-…..kan diberikan kepada kata nama, maka salah satu daripada maksud yang terkandung ialah menjadikan sesuatu sebagai yang tersebut pada kata akar. Jadi, dalam hal ini tidak wajarlah kata menyusukan digunakan dalam ayat seperti yang berikut:

1. Dia menyusukan bayinya.
Bukankah lebih tepat atau lebih gramatis jika ayat tersebut berbentuk begini.
2. Dia menyusui bayinya.

Soal Jawab 7
‘Selain daripada itu’ atau ‘Selain itu’

Lain ialah kata sifat atau kata adjektif dan selain ialah kata tugas. Lain membawa maksud “tidak sama atau berbeza”, manakala selain membawa maksud “(yang) lain daripada, kecuali, hanya atau di samping”.

Daripada maksud yang terkandung,kita boleh menentukan cara penggunaan kata-kata tersebut dalam ayat. Sebagai contoh, “ Dia lain daripada yang lain”, membawa maksud “dia tidak sama dengan yang lain atau dia berbeza daripada yang lain”.

Contoh penggunaan selain pula ialah “ Selain membaca, dia juga menulis” dan “Dia tidak dapat melakukan apa-apa, selain membatu”. Kita boleh juga memilih, sama ada hendak menggunakan frasa lain daripada atau selain dalam ayat yang sama.
Contohnya, “Selain itu, dia tidak pernah degil” atau “Lain daripada itu, dia tidak pernah degil”.

Mengikut tatabahasa , frasa selain daripada itu adalah salah atau tidak gramatis. Frasa yang betul ialah selain itu atau lain daripada itu.

Istilah Bahasa Daerah di Negeri Sembilan

Glitter Graphics
Glitter Graphics

Glitter Animal Graphics


Siri 1 (14 Januari 2010)

1. locot( lo+ cot)
Maksud perkataan ini ialah' keadaan melecur yang disebabkan oleh benda-benda yang panas', besi panas atau sebagainya.

Contoh penggunaan:
a. Lidahnya locot kerana menghirup air kopi yang masih panas.
b.Jari tangannya locot kerana terpegang bara api.

2. menugheh(me + nu + gheh)
Maksud menugheh bermakna 'mengerti, faham atau tahu membuat sesuatu kerja'
Umpamanya seseorang yang ahli dalam bidang lukisan, tentu ia menugheh yakni mengerti atau faham tentang sesuatu yang hendak dilukisnya.

Lazimnya, penggunaan kata 'menugheh'didahului dengan kata 'tidak'.
Contohnya:

a. Anak muda kampung zaman sekarang ramai yang tidak menugheh membuat kerja-kerja kampung seperti bersawah padi dan sebagainya.

b. Pelajar itu masih tidak menugheh lagi membuat surat kiriman walaupun telah diajar beberapa kali.

3. perun/peghun (pe + ghun)
Perkataan perun hampir sama maknanya dengan penggur iaitu perbuatan 'membakar'
Kerja memerun lebih berat dan sukar. Umpamanya,memerun atau membakar kayu-kayu getah yang telah ditebang untuk projek menanam semula.

a. Setelah selesai melakukan kerja memerun, mereka pun menggali lubang untuk menanam benih getah.

b. Sisa-sisa kayu yang baru diperun itu masih terasa panasnya.

4. senereh/senegheh (se + ne + gheh)
Perkataan senereh membawa dua pengertian.
Makna pertama ialah 'senonoh'. Contoh:

a. Berpakaian dalam sesuatu majlis yang rasmi haruslah senereh supaya manis dipandang orang.

Kedua, perhataan senereh bermaksud 'sempurna'.
Contoh:
b. Semua kerja yang dipertanggunjawabkan kepadanya telah dibuatnya dengan senereh.

Selalunya penggunaan kata senereh ini didahului juga dengan kata 'tidak'. Contohnya:

c. Corak permainan yang ditunjukan oleh pemain-pemain pasukan bola sepak itu tidak senereh sehingga menyebabkan kekalahan yang teruk.

d. Semua kerja itu tidak senereh belaka dan terpaksa dibuat semula.

6. temua (te + mu + a)
Perkataan temua yang dituturkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan itu bermaksud 'sungai'.
Contoh:

a. Orang ramai dinasihati supaya jangan mandi-manda di temua itu kerana airnya sangat deras dan membahayakan.

7. kelenset (ke + len+ set)
Kata 'kelenset' ada kaitannya dengan kerja mengupas kulit atau menanggalkan sesuatu yang melekat. Contohnya seperti mengulit atau menyiat kulit lembu atau binatang yang lain yang telah disembelih.

Contoh:
a. Kulit kambing yang baru disembelih itu telah dikelenset hingga licin.

b. Tolong kelenset kulit kayu itu.

c. Poster yang ditampal di papan kenyataan itu telah terkelenset ditiup angin.


Pengajaran Bahasa Efektif


Kartun merupakan suatu bahan yang sangat popular dan digemari oleh segenap lapisan masyarakat. Kartun dianggap sebagai satu wahana yang menghiburkan dan boleh meredakan ketegangan emosi manusia.

Penggunaan Kartun dalam Pengajaran Karangan

Pengajaran karangan memerlukan pengeluaran idea dan daya kreatif dalam penulisan., Oleh itu, adalah wajar kartun dijadikan bahan yang dapat menrangsang minat pelajar untuk menulis karangan. Walau bagaimanapun, aktiviti pengajaran haruslah disusun dan dirancang oleh guru dengan rapi. Kaedah perbincangan dan kaedah multitask merupakan kaedah yang terbaik jika bahan kartun digunakan sebagai bahan rangsangan dalam pengajaran karangan.

Kriteria Pemilihan Bahan Kartun untuk Pengajaran Karangan

1. Bahan kartun yang mempunyai hubungan pengalaman dan lingkungan hidup dengan kumpula pelajar sasaran. Kartun yang berkaitan dengan pengalaman sedia ada mereka, membolehkan pelajar menulis karangan berdasarkan hubungan antara pengalaman sedia ada dengan bahan kartun yang digunakan.

2. Bahan kartun mesti sesuai dengan pelajar, boleh menarik minat mereka serta berdasarkan kebolehan bahasa dan kecerdasan otak pelajar. Mengetahui tahap pencapaian pelajar terlebih dahulu sebelum membuat pemilihan bahan kartun adalah lebih baik. Kartun-kartun yang sesuai dengan pelajar dapat menarik minat mereka seterusnya mencetuskan suasana pemelajaran yang menarik dan berkesan.

3, Pilihlah kartun yang menggunakan dialog yang sesuai Penggunaan perkataan, rangkai kata, dan ayat yang sesuai dengan umur mereka sangat diperlukan. Pemiihan dialog yang baik dan tidak bercelaru akan mempengaruhi karangan pelajar, kerana kecenderungan pelajar mengambil sebahagian dialog tersebut sebagai bahan penulisan karangan mereka.

4. Kartun yang akan dipilih seharusnya sesuai dengan sukatan pelajaran dan objektif mengarang pada peringkat tertentu. Kartun yang tidak sesuai dengan sukatan pelajaran akan menyebabkan pelajar agak sukar untuk mengaitkan karangan mereka dengan pelajaran lain.

5.Sebaik-baiknya pilih kartun yang menampakkan tajuk karangan yang jelas dan tersurat.




Siri 1:
Awalan memper-
Awalan memper- ialah awalan pembentukan kata kerja Maksudnya, mana-mana kata dasar bahasa Melayu daripada golongan kata utama , apabila bergabung dengan awalan ini akan menghasilkan kata kerja.

Tiga golongan perkataan yang boleh dicantumkan dengan imbuhan ini, contohnya seperti berikut:
a) Kata nama
alat - memperalat
(membawa maksud "menjadi seperti alat" yakni mempermain-mainkan seseorang)
budak - memperbudak
(membawa maksud"menjadikan seperti budak" dalam erti kata bertindak terhadap seseorang itu seolah-olah dia itu budak)
isteri - memperisteri
(membawa maksud "menjadikan(mengambil sebagai) isteri)
hamba - memperhamba
(membawa maksud menjadikan (seseorang) sebagai hamba)
Contoh ayat:
(1)Dia memperalat orang tua itu untuk mencapai
cita-citanya.
(2) Ibu tiri memperhamba anak tirinya.
(3) Datuk Ahmad memperisteri Mulsalmah.


b) kata adjektif
besar - memperbesar
cepat - mempercepat

c) kata sendi nama
oleh - memperoleh

Walau bagaimanapun, perkataan "hamba" boleh menerima apitan memper-...-kan. Memperhambakan pula membawa erti menjadikan diri sendiri sebagai hamba, seperti dalam ayat:

d) Dia memperhambakan dirinya kepada Tuhan.

Perkataan "isteri" juga boleh menerima apitan memper-...-kan, menjadi memperisterikan yang sama sekali berbeza maksudnya daripada bentuk memperisteri.

e) Hussin memperisterikan Hassan.
(Maksudnya Hussin mengahwinkan Hassan (dengan seseorang gadis); bukan bermakna Hussin mengahwini Hassan






Glitter Graphics

Nilai-nilai Murni Dalam Peribahasa Melayu
* baik membawa resmi padi daripada membawa resmi lalan
g
*buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali
*hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga
*kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau

Daya usaha/kerajinan/kesungguhan
*bagai lebah menghimpun madu
*cepat kaki, cepat tangan
*genggam bara api biar sampai menjadi arang
*kalau tidak dipecahkan ruyung, manakah dapat sagunya

Semangat bermasyarakat/kekeluargaan/perhubungan
*air dicencang tidak akan putus
*biduk berlalu kiambang bertaut
*ibarat telur sesangkak, pecah sebiji,pecah semua
*seperti isi dengan kuku

Berhati-hati/teliti/berjimat cermat
*berjalan pelihara kaki, bercakap pelihara lidah
*biar lambat asalkan selamat
*daripada segenggam jadi segantang
*sediakan payung sebelum hujan

Keberanian
* berani kerana benar, takut kerana salah
*membujur lalu melintang patah
*pantang berundur sebelum berjuang
*pantang mati sebelum ajal

Kepatuhan/kesetiaan
*air orang disauk, ranting orang dipatah, adat orang diturut
*biar mati anak, jangan mati adat
*di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
*hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri

Semangat patriotisme/cinta akan negara
*seperti belut pulang ke lumpur
*seperti gagak pulang ke benua
*seperti ikan pulang ke lubuk
*setinggi-tinggi bangau terbang,hinggap di belakang kerbau juga

Rasional
*ada akal
*akal budi
*jangan bercermin di air keruh
*ke tengah boleh, ke tepi pun boleh

Kepentingan ilmu
*diam ubi berisi
*ilmu itu pelita hidup
*jauhari juga yang mengenal manikam
*kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga

Kasih sayang
*bagai menjaga intan dicanai
*hilang di mata, di hati jangan
*menatang minyak yang penuh
*tatang di anak lidah

Keadilan
*duduk dengan cupak dan gantang
*seduit dibelah tujuh
*seperti menghela rambut dalam tepung
*umpama jari di tangan, ada bercincin ada tidak

Berdikari
*kalau pandai meniti buih, selamat badan sampai ke seberang
*ke tengah boleh, ke tepi pun boleh
*pandai menyelam air di dangkal
*timba air mandikan diri

Siri 2 (17.1.10)
Peribahasa Mengungkap Budaya Kerja Orang Melayu

a. Budaya kerja dan gigih dalam bekerja
*ringan tulang
*mandi keringat
*hempas tulang urat
*peluh darah
*gulung lengan baju

b. Ketekunan dan kerajinan orang Melayu dalam melakukan sesuatu pekerjaan

*sedikit lama-lama jadi bukit

c. Berjimat cermat untuk mencapai sesuatu kejayaan

*ikat perut
*cermat semasa banyak, jimat semasa sedikit

d. Sikap tidak suka membuang masa dan apabila berbuat kerja hendaklah jangan tertumpu kepada sesuatu perkara

*berkayuh sambil bertimba
*menyelam sambil minum air





Siri 1
Peribahasa Keadilan

Jika salah sebatang dicabut, salah serumpun dibongkar, salah separuh dirambah

Maksud:
Hukuman haruslah dijatuhkan menurut besar kecil kesalahan yang dilakukan.

Ayat:
Keadilan perundangan menuntut hukuman yang setimpal dengan kesalahan, umpama kata peribahasa jika salah sebatang dicabut, salah serumpun dibongkar, salah separuh dirambah.

Sumber: Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Peribahasa Ilmu
Biduk kalau tidak berkemudi, bagaimana ia akan laju

Maksud:
Sesuatu pekerjaan yang dikerjakan tanpa ilmu tentu tidak akan sampai kepada yang dimaksudkan.

Ayat:
Pembinaan sesebuah negara bangsa yang maju dan progresif menuntut warganya memiliki ilmu pengetahuan yang secukupnya, seperti kata pepatah, biduk kalau tidak berkemudi, bagaimana ia akan laju.

Peribahasa Permuafakatan
Duduk seorang bersempit-sempitan, duduk banyak berlapang-lapangan

Maksud:
Buah fikiran yang diperoleh dalam sesuatu perundingan itu lebih baik daripada buah fikiran kita sendirian sahaja.

Ayat:
Kejayaan sesebuah organisasi banyak bergantung pada kesepakatan dalam membuat keputusan. Sumbangan idea yang digabungjalinkan pasti membuah pembaharuan, umpama kata pepatah, duduk seorang bersempit-sempitan, duduk banyak berlapang-lapangan.

Peribahasa Perantauan

Ke gunung emas pasir baiduri, ke padang zamrud habis diedari; terbanga bangau sepanjang hari, ke tasik juga akhirnya dicari

Maksud:
Bagaimana sekalipun jauh dagang merantau, ke negeri yang besar-besar, melihat tempat yang indah-indah, kesudahannya pulang juga ia ke tanah airnya sendiri.

Ayat:
Golongan perantau yang mencari rezeki di negara lain, sekalipun berasa selesa di tempat orang, namun jauh di sudut hatinya, mereka pasti teringin pulang ke tanah airnya sendiri,ibarat peribahasa ke gunung emas pasir baiduri, ke padang zamrud habis diedari; terbang bangau sepanjang hari, ke tasik juga akhirnya dicari.

Siri 2 (17.1.10)
Bidalan dan Pepatah

Bidalan dan pepatah ialah peribahasa yang terdiri ungkapan-ungkapan yang ringkas lagi bijaksana yang mempunyai makna selapis. Walau bagaimanapun, kadang-kadang, kedua-dua jenis peribahasa itu dipakai juga untuk menyatakan makna dua lapis.

Pendeta Za'ba memberikakankita beberapa andaian yang kuat tentang cara bidalan dan pepatah itu kekal dan menjadi budaya bangsa kita. Menurut beliau:

a) Mula-mulanya sebutan itu keluar dari mulut seseorang yang bijak dan pantas fikirannya iaitu dengan perkataan yang ringkas dan membetuli sepenuh-penuh maksudnya serta mengandung di dalamnya sesuatu kebenaran yang telah dirasanya sendiri atau telah diperhatikannya berlakupada diri orang lain.

b) Kemudian apabila berkenaan orang ramai mendengarnya maka dipakailah pula oleh mereka itu hingga berulang-ulang dan berhubung-hubung dari seorang ke seorang.

c) Dengan demikian masyhurlah perkataan itu dan akhirnya lalu melekat dalam bahasa itu hingga bila-bila, menjadi suatu kekayaan dan perhiasan kepada bahasa itu.

d) Maka pada ketika itu dinamakanlah akan dia peribahasa iaitu bidalan, pepatah dan perumpamaan.

Bidalan dan pepatah yang mempunyai makna selapis adalah seperti yang berikut:

i. biar lambat asal selamat
ii. sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit
iii.sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna
iv. ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis
v.sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.
vi. malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan
vii.hati hendak semua jadi

Bidalan dan pepatah yang mempunyai makan dua lapis, ungkapannya atau patah-patah perkataan yang disusun bukan sekadar satu ayat atau ayat-ayat yang lengkap, tetapi, kadang-kadang, merupakan serangkap pantun dua kerat juga.
Contoh:

i. Bergalah hilir tertawa buaya;
Bersuluh di bulan terang tertawa harimau

ii.Lain biduk lain digalang;
Lan bengkak lain menanah

iii.Pandai mencuri merasa mendapat;Tak pandai mencuri merasa terikat.

iv. Ikut hukum menyiat daging;Sakit di awak sakitlah di orang.

v. Bawa resmi padi; Makin berisi makin tunduk.

vi. Jangan bawa resmi jagung; Makin berisi makin jegang.

vii. Ditangkap buaya nampak riaknya; Ditangkap malas tak bertanda.

Sastera


Siri 1: Gaya Bahasa Kiasan (30.1.10)

a) Metafora
Metafora ialah gaya bahasa kiasan langsung atau perbandingan yang menyebut dua hal tanpa menggunakan kata-kata perbandingan. Lazimnya metafora terdiri daripada dua perkataan yang ringkas, padat dan tersusun. Satu daripada dua perkataan metafora bersifat konkrit dan menjadi objek untuk difikirkan, dan satu lagi perkataan bersifat abstrak.

Contoh:
kaki hari
tiang kemerdekaan