Saturday, February 27, 2010

Keputusan SPM, di mana hala tuju anda?


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Mengimpikan keputusan cemerlang ialah harapan semua orang yang menduduki peperiksaan. Bagi
yang berhasrat mahu melanjurkan pelajaran, di sini disenaraikan pelbagai peluang dalam pelbagai bidang di negara kita daripada sains dan teknologi, pendidikan, bahasa dan kesusasteraan, perubatan,pertanian,pengajian komunikasi dan media hingga kejuruteraan, undang-undang dan lain-lain.

a) Program Matrikulasi

Bagi yang mendapat memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM, anda mempunyai peluang cerah untuk melanjutkan pelajaran peringkat matrikulasi.Program matrikulasi merupakanprogram persediaan khusus untuk pelajar antara satu hingga dua tahun sebelum melanjutkan pelajaran dalam kursus tertentu di peringkat ijazah pertama dalam pelbagai bidang.

b) Program Pengajian Asasi
Antara institut pengajian tinggi awam yang menawarkan program pengajian asasi termasuklah Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

c) Program A-Level
Program ini disedikan oleh MARA khusus untuk pelajar bumiputera yang cemerlang SPM-nya dalam akademik dan kokurikulum sebagai usaha meningkatkan bilangan profesional bumiputera dalam sains dan teknologi.

d) Program Diploma Kejururawatan
Bagi program Diploma Kejururawatan Kementerian Kesihatan, calon mestilah memperoleh kredit dalam Bahasa Melayu (termasuk ujian lisan), Matematik, Sains dan dua mata pelajaran lain. Calon juga dikehendaki mendapat kepujian dalam Sains Teras atau lulus dalam mata pelajaran Sains Tulen, sama ada Biologi, Kimia ataupun Fizik.

e)Program Biasiswa Kadet Akademi Laut Malaysia
Akademi Laut Malaysia (ALAM) merupakan institut pendidikan yang mengendalikan kursus profesional dalam bidang perkapalan serta peperiksaan yang berkaitan dengan kursus tersebut. Maklumat tentang ALAM dapat diperoleh melalui http://www.alam.edu.my/

f)Institut Perguruan
Bagi lepasan SPM yang berminat menceburi bidang pendidikan, bolehlah mendapat maklumat lanjut tentang pengambilan calon yang boleh diperoleh melalui Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran.

i) Politeknik
Bagi yang ingin mengetahui maklmat lanjut tentang kursus yang ditawarkan dan senarai penuh politeknik yang terdapat di Malaysia, sila layari http://www.politeknik.edu.my.

j) Institut Kemahiran Mara (IKM)
Antara bidang kemahiran yang ditawarkan termasuklah kejuruteraan elektronik, seni bina dan reka bentuk fotografi. Penawaran latihan dilakukan dua kali setahun, iaitu diiklankan pada bulan
September untuk kemasukan Januari dan bulan Mac untuk sesi Julai. Borang permohonan dapat diperoleh dari Bahagian Pendidikan dan Latihan(Kemahiran MARA), Kolej Kemahiran Tinggi MARA, IKM dan pejabat MARA negeri dan daerah.

k)Institut Kemahiran Belian Negara (IKBN),
Antara bidang pengajiannya termasuklah teknologi kejuruteraan automotif, teknologi kejuruteraan elektronik, teknologi komputer, teknologi kejuruteraan elektrik, teknologi kejuruteraan mekanikal, teknologi kejuruteraan marin, teknologi kejuruteraan awam, teknologi tekstil dan aparel, teknologi makanan, teknologi fotografi, teknologi binaan bangunan dan perkhidmatan profesional. Permohonan boleh dilakukan secara dalam talian melalui http://www.kbs.gov.my. Pengambilan sesi Januari dilakukan setiap bulan Oktober.

l) Institut Latihan dan Perindustrian (ILP)
ILP merupakan sebuah lagi institut pengajian yang berteraskan kemahiran. ILP dikelolakan oleh Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia. Maklumat lanjut dapat diperoleh melalui http://www.jtm.gov.my.

Buatlah pilihan yang bijak demi masa depan.

Friday, February 26, 2010

Istimewa Untuk Ulat Buku


Pesta Buku Antarabangsa Datang Lagi ...

Bagi ulat buku, tarikh ini sememangnya sudah terlekat dalam kalendar fikir mereka.


Maka, bagi merealisasikan hasrat yang sudah lama tergantung ini, Kelab Setia dan Rukun Negara bersama-sama Kelab Bahasa Melayu bekerjasama dengan Kelab Pusat Sumber Sekolah bakal mengadakan satu lawatan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 27.3.10. Lawatan ilmiah ini juga akan mengadakan lawatan ke Arkib dan KLCC.

Jom ke sana!

Ilmu Umpama Emas


Ilmu sangat tinggi nilainya dan dituntut untuk memperolehnya. Orang yang berilmu akan dipandang tinggi dalam masyarakat.

Anak rusa merentang hutan,
Lari dikejar anak beruang;
Ilmu umpama emas dan intan,
Berguna kepada semua orang.


Ke pekan Kajang sampai pula,
Satu tempat yang ramai pula;
Ilmu itu umpama gemala,
Dari intan lebih berharga.

Jika seseorang tidak memiliki ilmu mereka akan tersesat jalan di dunia dan akan mendapat kerugian di akhirat.

Anak ayam turun sepuluh,
Mati seekor tinggal sembilan;
Tuntutlah ilmu bersungguh-sungguh,
Akan bekalan hari kemudian.


Anak ayam tinggal sembilan,
Mati seekor tinggalah lapan;
Akan bekalan hari kemudian,
Di dalam kubur berdinding papan.


Anak ayam turunlah lapan,
Mati seekor tinggallah tujuh;
Di dalam kubur berdinding papan,
Hancur luluh seluruh badan.

Thursday, February 25, 2010

Panas!Panas! Panas!



AKTIVITI KOKURILUM UNIT BULAN SABIT MERAH SEKSYEN 3


Hari Rabu yang lalu (24.2.10) merupakan aktiviti kokurikulum untuk unit beruniform. Selaku guru penasihat Bulan Sabit Merah Seksyen 3 hari ini saya bersama-sama Kapten Rohani Bt. Sharif cukup berbangga dengan penglibatan 2 orang jurulatih kawad kaki dalangan kalangan ahli BSM tingkatan 5. Mereka yang saya maksudkan ialah saudari Balkis Hanani binti Mohd Rusli dan Razaziela bt Abd. Rahim. Komitmen yang diberikan dengan melatih platun 3 cukup membanggakan kami. Dalam cuaca yang panas melampau, saya perhatikan penglibatan platun 3 ini cukup hebat. Anda telah berjaya menunjukkan bahawa ahli BSM juga boleh berkawad dengan baik.

Dengan pengalaman yang anda ada, telah membuktikan penglibatan kedua-dua jurulatih yang saya kira sudah melangkah ke peringkat kebangsaan ini mampu mengangkat prestasi BSM di peringkat sekolah.

Tahniah sekali lagi. Anda mampu melakukannya.






Sunday, February 21, 2010

Tetamu Yang Diundang




AKTIVITI KELAB SETIA DAN RUKUN NEGARA


Tanggal 3.2.1o (Rabu), semasa aktiviti kokurikulum bagi Kelab Setia dan Rukun Negara, kami dikunjungi oleh pegawai dari Jabatan Penerangan Daerah Rembau. En. Shahril dengan dibantu oleh rakannya telah menyatakan kesanggupan beliau untuk memantau aktiviti Kelab Setia dan Rukun Negara sekolah. Ahli kelab Setia yang mencatat jumlah tertinggi kedua selepas kelab Pelancongan ternyata begitu teruja dengan kehadiran dua orang tetamu itu. Saya seolah tidak percaya dengan jumlah ahli yang ramai ini kerana saya sendiri terlupa untuk mempromosinya dalam kelas yang saya ajar.

Aktiviti kali ini telah dikendalikan dengan jayanya oleh Pengerusi Kelab Setia iaitu saudari Khairunnisa dari Kelas 5 Marikh. Aktiviti dimulakan dengan ikrar Rukun Negara. Sebaik sahaja selesai aktiviti itu, ahli kelab dikehendaki mencatat lagu Setia dan lagu Rukun Negara. Selepas itu, ahli kelab diminta untuk menyanyikan kedua-dua lagu dengan penuh semangat. Kami selaku guru penasihat sangat berbangga dengan semangat yang ditunjukkan.

Rupa-rupanya kehadiran En Shahril membawa hajat yang besar. Beliau turut mengumumkan beberapa aktiviti peringkat daerah yang telah dirangka. Antaranya program mendaki Gunung Datuk yang bakal diadakan pada 13.3.10 serta lawatan ke Parlimen.

Selain itu, beliau turut terlibat dengan mengajukan soalan kuiz kepada ahli kelab. Soalan kuiz lebih berkisar tentang pengetahuan am yang berkaitan dengan negara. Tahniah diucapkan kepada ahli Kelab Setia yang berjaya memperoleh hadiah berupa CD lagu-lagu patriotik. Sesungguhnya saya bersama -sama Cikgu Rosmah Rosli cukup berbangga dengan keterlibatan anda pada hari ini. Semoga ajk kelab akan menyusun aktiviti yang lebih menarik pada masa yang akan datang.

Khabarnya En Shahril telah bersetuju untuk menyumbangkan hadiah untuk aktiviti 'treasure hunt' yang akan anda rancang pada aktiviti yang akan datang. Apa tunggu lagi, susun strategi untuk aktiviti seterusnya. Di sini masanya anda mengasah bakat kepimpinan dalam diri. Saya bersama-sama Cikgu Rosmah menyokong usaha yang baik itu.

Hanya satu permintaan kami selaku guru penasihat supaya pengerusi Kelab Setia dan Rukun Negara mengadakan promosi yang berterusan untuk menarik ahli yang ramai terutama dalam kalangan pelajar tingkatan 4 dan 5.

Saturday, February 20, 2010

Silap tu...

Yang mana betul?

1. calun / calon
2. pamiran / pameran
3.ditempatkan/di tempatkan
4.ke-20/ke20
5. mahaguru / maha guru
6. prasekolah/pra-sekolah
7. ataupun / atau pun
8. perabot /perabut
9. kokurikulum/ko-kurukulum
10. di antara / diantara
11. kedua puluh / keduapuluh
12. mahakaya/ maha kaya
13. ibu bapa/ ibu-bapa
14.masalah/ masaalah
15. anti-penjajah/ antipenjajah

Jawapan:
1. calon
2.pameran
3.di tempatkan
4.ke-20
5.mahaguru
6. prasekolah
7.ataupun
8.perabot
9.kokurikulum
10.di antara
11.kedua puluh
12.maha kaya
13.ibu bapa
14.masalah
15.antipenjajah

Tumbuhan-tumbuhan Memperindah Bunga-bunga Bahasa



Bunga-bunga bahasa bererti sesuatu yang indah dalam bahasa justeru tumbuh-tumbuhan mempunyai peranan penting dalam memperkaya dan memperindah bunga-bunga bahasa.
Bunga-bunga bahasa bukan sahaja diperindah dan diperkaya oleh tumbuhan itu sendiri, tetapi juga oleh bahagian-bahagian tertentu terutama sekali buah, bunga, daun, dan batang.

Hal ini dapat diterangkan dalam contoh yang berikut bagi menerangkan kecantikan seseorang gadis:
Pipi bak pauh dilayang
Pipi seperti mangga dihiris

Contoh lain:
- Sakit hatinya bagai dihiris sembilu
Sembilu : kulit buluh yang nipis dan tajam, dahulu biasa digunakan untuk mengerat tali pusat bayi yang baru lahir.

-Susu dibalas dengan tuba.
Tuba: racun ikan yang dibuat daripada bermacam-macam jenis akar tumbuhan yang beracun;contohnya tuba jenerak, tuba jemu, tuba kapur, tuba seluang, dan sebagainya.

-Kerana nila setitik, hancur susu sebelanga.
Nila: bahan pewarna biru yang dibuat daripada ekstrak daun tarum.

-Suaranya merdu bak buluh perindu ditiup anging pagi.
-Orang yang sedang dirundung malang atau mabuk cinta:
-nasi ditelan bagaikan sekam
-air diminum bagaikan duri.





Wednesday, February 10, 2010

Semangat Yang Membara...

Glitter Graphics

Glitter Funny Animations Graphics


Tahun ini saya ditugaskan menjadi hakim bagi acara melempar cakera pula. Guru serba boleh katakan. Kelam kabut juga Cikgu Hairani mencari pengganti kepada dua orang rakan guru yang tidak hadir pada petang ini kerana ada sebab-sebab tertentu.

Kira-kira pukul 4.15 petang, berlangsung acara lempar cakera lelaki bawah 15 dan lelaki bawah 18. Saya juga turut dibantu oleh Cikgu Syed Ahmad dan Cikgu Habshah. Terima kasih cikgu kerana sudi menemani saya hari ini, kalau tidak saya keseorangan petang itu.

Peristiwa seorang jurugambar PSS yang sanggup bertarung nyawa kerana ingin merakamkan foto terbaiknya hampir-hampir menjadi sasaran cakera yang dilempar oleh seorang peserta. Apa yang telah berlaku?Berderau darah saya ketika itu. Amaran lantas diberikan kepada peserta agar menitikberatkan soal keselamatan. Jangan ghairah melempar sampai nyawa orang melayang juga.

Satu lagi peristiwa ngeri berlaku apabila peserta lelaki 18 telah tersalah menyasarkan lemparan ke arah belakang gelanggang. Gara-gara ingin membuat posisi lemparan yang agak luar biasa, peserta tersebut terlepas cakera lalu cakera tercampak ke belakang pula. Nasib baik tiada pelajar yang berada di belakang gelanggang ketika itu. Kalau tidak tentu BSM yang dipimpin oleh Cikgu Rozaime kena bekerja keras petang itu.

Tahniah kepada peserta yang telah menang dalam kedua-dua acara petang itu. Terima kasih sekali lagi kepada Cikgu Syed Ahmad dan Cikgu Hasbhah, anda memang hebat dan luar biasa. Seronok bekerja dengan cikgu.

Saturday, February 6, 2010

Sememangnya Indah...



Saya baru sahaja usai membaca novel Faisal Tehrani yang berjudul "1511H (KOMBAT) , itupun setelah hampir sebulan lebih saya mengulitinya. Mengapa saya terlalu mengambil masa yang lama mengulit novel ini?

Terus terang saya nyatakan, fikiran saya benar-benar tergugah ketika mengulit setiap bab dalam novel hebat karya penerima Anugerah Seni Negara ini. Manakan tidak setiap cerita yang dibentangkan oleh penulis memerlukan saya untuk terus memikirkan dan kadangkala hati saya berkata-kata bagaimana agaknya saudara Faisal mampu menulis cerita yang sebegini. Kalau anda inginkan kelainan dalam membaca novel, karya beliau itu sudah tentu menjadi pilihan utama. Kegilaan saya terhadap karya beliau ini bermula apabila saya membaca novel "Tunggu Teduh Dulu" yang pernah disiarkan secara bersiri dalam sebuah media.

Berbalik semula novel "I511H (KOMBAT), saya begitu terkesan dengan elemen politik, agama dan sejarah yang diadun kemas oleh pengarang. Saya pernah mengikuti bengkel penulisan beliau, ternyata apa-apa yang pernah dihujah oleh beliau pada waktu itu, sebenarnya telah terlahir melalui novel yang memenangi hadiah pertama kategori novel remaja pada tahun 2003.

Kemunculan watak antarabangsa beragama Islam seperti Jeneral Syarifah Nusayhah Syed Abdullah, Komander Emrullah, Komander Muhammad Abbas, Komander Muhammad Ameen Muhammad dan banyak lagi bergabung dan bersatu menentang satu kuasa besar dunia yang akhirnya membawa kejayaan yang besar dalam dunia Islam. Bayangkan kuasa besar dunia itu akhirnya tunduk dan tewas.

Novel yang berlatar belakang masa hadapan ini penuh semangat perjuangan, jati diri serta menggambarkan bahawa kalau kita bersatu, pasti kejayaan dapat dicapai.

Bagi pelajar saya menyarankan anda wajar membaca karya bermutu ini di samping banyak ilmu bantu yang boleh diperoleh daripada pembacaan novel ini.


Thursday, February 4, 2010

Satu Perjalanan Mencari Diri...





Kekusutan selepas bergelut dengan peristiwa yang menimpa saya beberapa hari yang lalu sedikit sebanyak dapat saya leraikan. Saya bersama-sama Puan Rohah serta enam orang murid tingkatan 4 membawa visi dan misi sekolah. Rasa bertuah kerana berkesempatan menghadiri Karnival Kesedaran Kanser (3K) peringkat Universiti Putra Malaysia.

Karnival yang diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Kanser Sedunia 2010 ini berlangsung di dewan Institut Biosains, UPM. Berpaksikan tema "Kanser boleh dicegah juga" telah memberi gambaran jelas kepada peserta bahawa kanser sebenarnya bukanlah pengakhiran kepada sebuah kehidupan.

Karnival yang berlangsung selama dua hari itu bermula hari ini dan berakhir pada 5.2.1o telah dirasmikan oleh Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr.Nik Mustapha bin R.Abdullah. Beliau juga berkesempatan melancarkan dua buah buku yang ditulis oleh pensyarah UPM yang bertajuk "Pemakanan untuk Pesakit Kanser Payudara" dan "Pengambilan Tenaga untuk Pesakit Kanser Payudara".

Secara peribadi saya amat terkesan dengan pengalaman dan pendedahan yang disampaikan oleh salah seorang survivor kanser, Prof. Dr. Zailina Hashim. Saya begitu kagum dengan ketabahan dan ketenangan beliau dalam menempuh kehidupan sebagai pesakit kanser. Bagi beliau, sokongan dan kasih sayang daripada keluarga merupakan faktor utama dalam mengharungi penyakit tersebut. Sepanjang menceritakan pengalamannya, senyuman manis tidak pernah lekang di bibirnya. Sesekali meletus ketawa kecil di hujung suaranya membuatkan saya benar-benar kagum dengan ketabahan beliau.

Seterusnya, seorang lagi survivor kanser iaitu Encik Zulkifli yang menceritakan pengalaman beliau ketika menghidap kanser kolon. Bagi beliau pesakit kanser perlu sentiasa berfikiran positif dalam menempuh kehidupan.

Sesungguhnya perjalanan yang agak jauh hari ini sememangnya cukup berbaloi. Kepenatan seolah-0lah melarut dan meresap pula ilmu yang cukup bernilai.

Wednesday, February 3, 2010

Masih Adakah Kemaafan...


Hari ini, hati benar-benar dipukul tsunami. Gelombang terlalu kuat menghempas pantai hati yang sekian lama berlari-lari dan bergulung-gulung menerpa diri.

Hari ini, hati benar-benar ditusuk cemeti. Peristiwa yang berlaku sering terlayang di depan layar siri. Aku cuba menenangkan diri. Cuba mengumpulkan dan mengadunkan kesabaran dan ketenangan supaya terus menyelimuti.

Aku masih belum mampu untuk memberikan kemaafan dalam masa sesingkat ini. Diri masih belum dapat merelakan lagi. Cukup sekali ini. Tapi mujur kesabaran walaupun sudah retak tapi tidak terus roboh begitu sekali. Walaupun apa yang berlaku aku perlu munasabah diri. Merenung jauh dari lubuk hati. Tugas dan profesion masih kusimpul agam di sanubari.