Saturday, June 12, 2010

Kenangan Terindah Bersama Penyair







Berkesempatan bersemuka dengan Prof Madya Dr. Lim Swee Tin di Pameran Buku ReadMalaysia di Mines Serdang (5.6.10) kira-kira pukul 3.30 petang, cukup memberi satu kepuasan dan kenangan yang cukup indah.Sepanjang pertemuan hampir setengah jam, saudara Lim Swee Tin cukup bersemangat bagi melakarkan cerita tentang dunia puisinya. Beberapa buah buku yang diterbitkan oleh syarikatnya Citra Kurnia Ent. menjadi pilihan saya sepanjang bersama-sama dengan penyair yang cukup saya kagumi karyanya. Kekuatan pemilihan diksi dan tema yang digarap dalam sajaknya cukup memberi kesan kepada pembaca justeru penyair hebat ini telah menerima anugerah berprestij di peringkat Asean. Penerima S.E. A Write Award 2000 ini sebenarnya sebelum pertemuan tadi sudahpun membaca beberapa buah sajak beliau pada pagi tadi. Saya terlepas peluang itu!
Dr Lim Swee Tin juga dengan rela hati sanggup berkunjung ke pentas sekolah untuk berkongsi pengalamannya di samping menyatakan kesudiannya membaca sajak. Pada akhir pertemuan, beliau juga menggalakkan saya supaya menulis sajak. Untuk pengetahuan, saya pernah menulis sajak tapi sajak itu saya anggap terlalu mentah dan masih rebung untuk dinilai sebuah sajak kerana pada pendapat saya untuk melahirkan sajak yang begitu minimum pemilihan katanya bukan sesuatu yang mudah berbandign genre lain.

Tuesday, June 8, 2010

Program Lonjakan Saujana SPM


Satu program Lonjakan Saujana SPM (Bahasa Melayu) telah diadakan pada 7 Jun 2010 di dewan SMK Undang Rembau. Program yang banyak memberi manfaat ini bermula pada pukul 10.30 pagi dan berakhir pada 12.30 tengah hari. Kelas yang terlibat ialah 5 Utarid, 5 Zuhrah, 5 dan 5 Musytari.
Program ini telah dibahagikan kepada 3 bahagian penting iaitu Slot 1- Penggunaan Kaedah 5S dalam Penulisan Karangan telah disampaikan dengan cukup berkesan oleh En. Ganesan manakala Slot 2 yang bertajuk Penggunaan Peribahasa dalam Karangan telah disampaikan oleh Encik Abdul Razak bin Husin. Slot terakhir yang bertajuk Pemantapan Novel disampaikan oleh Puan Norawati bt Omar.Saya amat berharap agar program ini dapat memberi manfaat kepada semua murid yang hadir.


Sunday, June 6, 2010

Seronoknya Baca!http://www.blogger.com/img/blank.gif





Program Majalah dalam Kelas(MDK)

Program MDK dilangsungkan pada 1 Jun 2010 (Selasa) sempena Minggu Pusat Sumber yang bertemakan Pusat Sumber Sekolah Penjana Budaya Ilmu. Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka telah dibimbing dengan jayanya oleh Encik Ghani Abu dan editor majalah Pelita Bahasa iaitu Encik Armin Azhari Saleh. Program yang melibatkan murid-murid daripada kelas 4 Utarid, 4 Zuhrah, 4 Musytari dan 4 Zuhal bermula pada pukul 8.30 pagi hingga pukul 2.30 petang. Murid-murid juga telah dibahagikan kepada 10 kumpulan dan setiap kumpulan diberi nama berdasarkan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.Ternyata dalam setiap aktiviti yang dirancang telah berjaya melibatkan murid-murid semaksimum yang mungkin.

Ternyata aktiviti yang dianjurkan begitu mengujakan murid-murid yang menyertainya di samping memupuk sikap bekerjasama dalam kumpulan. Di samping itu, murid-murid telah diberi pendedahan penggunaan majalah dalam kelas khususnya majalah Dewan Siswa dan Dewan Kosmik.

Peserta juga diberi bimbingan dan panduan bagi menghasilkan penulisan yang baik di samping berpeluang untuk menjana pendapatan tambahan sekiranya karya mereka disiarkan oleh pihak penerbit.

Diharapkan selepas ini akan lahirnya murid-murid yang kreatif dan kritis dalam menghasilkan penulisan.Sesungguhnya untuk menjadi seorang penulis yang baik walaupun agak memedihkan, syaratnya anda perlu membaca, membaca dan terus membaca. Ilmu yang diperoleh daripada amalan ini akan meningkatkan mutu dan landskap penulisan anda.