Tuesday, November 10, 2009

Ucapan Ketua Pengawas SMK Undang Rembau (Sempena Program Restu Pelajar Tingkatan 5

Yang Berusaha Encik Adnan b. Abd. Rahman, Guru Penolong Kanan merangkap pemangku Pengetua SMK Undang Rembau, GPK Hem Puan Nor Asikin binti Yahaya, GPK Kokurikulum, Puan Hajah Nor Ribah binti Jani, ketua-ketua bidang, guru-guru cemerlang, guru-guru mata pelajaran seterusnya rakan seperjuangan yang saya hormati sekalian. Assalamualaikum W.B.T.

Sebelum saya memulakan ucapan, terlebih dahulu izinkan saya merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah kerana diberi peluang untuk mewakili pelajar-pelajar tingkatan 5 yang akan berhadapan dengan hari yang penuh keramat dan mendebarkan , hari penentu untung nasib hidup kami sebagai pelajar, Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal bermula pada tanggal 18 November ini.

Rakan seperjuangan yang saya hormati,

Cerdik pandai ilmuan Islam, Luqman Al-Hakim pernah berkata, ilmu tanpa restu guru ibarat si pejuang tanpa senjata, Ilmu tanpa restu keluarga ibarat si pejuang tanpa bala tentera dan ilmu tanpa restu sahabat taulan ibarat si pejuang tanpa kubu dan bentengnya.
Bertepatan dengan majlis pada hari ini, Malis Restu Ilmu SPM, saya mewakili seluruh pelajar tingkatan 5 SMK Undang Rembau ingin memohon seribu kemaafan dan restu sebelum kami menduduki meja peperiksaan.

Rakan seperjuangan yang saya hormati,

Detik berlalu begitu pantas, hari-hari yang berharga begitu kejam meninggalkan sesiapa yang masih lena dan leka. Kurang seminggu dari sekarang, kami akan menghadapi peperiksaan SPM justeru kami ingin mengambil kesempatan yang masih ada ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada guru-guru yang telah mendidik kami tanpa mengenal jemu, sabar dan tabah dengan gelagat dan telatah nakal kami sepanjang cikgu-cikgu mengajar kami. Hanya yang kami minta ialah restu dan kemaafan daripada cikgu-cikgu. Maafkan kami cikgu. Restulah kami cikgu.

Kami sedar, mungkin ada cikgu-cikgu yang terguris hati dengan perbuatan atau percakapan kami yang kadang kala menyakitkan hati. Jauh dari sudut hati kami, tidak berniat di hati ini untuk menyakiti dan mengguris hati cikgu-cikgu semua. Maafkan kami cikgu, Restui kami cikgu.

Jasa cikgu akan kami kenang hingga akhir hayat. Jauh manapun kami pergi, tingi manapun kami berada, jasa dan pengorbanan cikgu akan kami kenang sampai bila-bila. Kami berazam dan bertekad akan berusaha dengan gigih dan bersungguh-sungguh. Harapan menggunung yang disandarkan kepada kami akan kami pikul sebaiknya. Kami berikrar bahawa kami tidak menghampakan cikgu. Uress takkan dihampakan. Itu janji kami.

(Untuk makluman, teks ini merupakan teks asal yang dikarang oleh adik Mohd Syahid)
Bagi pemerhatian saya, teks ucapan ini merupakan teks ucapan yang terbaik sepanjang saya berada di sekolah ini. Tahniah saya ucapkan kepada Mohd Syahid. Cikgu percaya anda antara pelajar yang bakal mengharumkan nama sekolah. Ucapan yang disampaikan begitu bertenaga dan begitu jujur lahir daripada hati anda.


No comments:

Post a Comment