Monday, December 14, 2009

Proses Kreatif Novel 'Resipi Cinta Ammar'

"NASI LEMAK"
Proses kreatif bermula ketika saya sedang menjamah nasi lemak di bilik guru. Pada masa itu, fikiran memang sarat dan sedang mencari idea tentang novel yang bakal saya tulis. Sebungkus nasi lemak yang saya pesan melalui seorang murid tingkatan 3 yang bernama Azam telah berjaya memecahkan kebuntuan saya selama ini. Personaliti murid berkenaan yang begitu saya kagumi sifat peribadinya terus menarik perhatian saya untuk dikaryakan. Sedikit sebanyak kisah peribadinya saya cungkil menerusi perbualan beberapa orang guru yang rapat dengan pelajar berkenaan. Percayalah, cerita yang saya tulis tidak ada kaitan dengan kisah sebenar pelajar berkenaan.

Nasi lemak lauk sotong dengan harga RM1.50 saya jamah dengan rasa yang cukup berselera. Bergerak dari situ, setiap suapan nasi lemak saya telah berjaya menayangkan jalur perceritaan novel yang saya rasa cukup menarik. Perkataan 'Resipi' muncul dalam kotak fikir saya. Watak utama(1), "Ammar" terus saya adunkan dengan watak-watak yang ada di sekeliling saya. Watak remaja lelaki umur 16 tahun ini saya gambarkan seperti yang saya tulis dalam bab 1. Jarang sekali kita temukan watak remaja lelaki begitu(Itu anggapan saya sebagai penulis novel ini)



(Sehingga hari ini, saya masih membengkelkan novel ini bersama dengan Penerima S.E.A Write Award 2009 iaitu Pn Azmah Nordin yang saya panggil 'Sifu' secara maya. Sifu Azmah banyak membantu saya dalam menghasilkan bab demi bab novel ini.Terima kasih sifu!
Sinopsis dan bab 1 novel ini telah dibengkelkan bersama dengan Pn Nisah Haron dan rakan-rakan sebengkel di PSPN, Port Dickson yang lalu)

No comments:

Post a Comment