Laman Bahasa 5
Soal Jawab 1
Antara “mengenepikan” dengan “mengetepikan”, “mengenengahkan”
atau “mengetengahkan”
Bagi kata “mengenepikan” atau “mengetepikan” dan “mengenengahkan” atau “mengetengahkan”, jika kita tahu akan peraturannya, maka dengan mudah kita dapat mengeja perkataan tersebut.
Langkah pertama, kita mestilah tahu akan kata akarnya, iaitu kata tanpa imbuhan. Dalam contoh ini, kata akarnya ialah ke tepi dan ke tengah. Kedua-dua kata akar itu ialah frasa. Jika kita memberikan apitan (awalan dan akhiran serentak), maka kata yang terdapat dalam kata akar tersebut dicantumkan, dan hanya huruf pertama bagi kata pertama sahaja yang mengalami perubahan(disebabkan kata tersebut bermula dengan huruk k).
Kata kedua, iaitu tepi atau tengah, tidak mengalami perubahan (walaupun bermula dengan huruf t). Jadi, ejaan yang betul ialah mengetepikan dan mengetengahkan.
Soal Jawab 2
Memperolehi atau Memperoleh
Bagi perkataan memperolehi atau memperoleh, kita hendaklah tahu akan kelas katanya dan makna yang terkandung dalam kata tersebut. Langkah pertama, seperti yang sebelumnya, kita mesti tahu akan kata akarnya. Dalam contoh yang diberikan , kata akarnya ialah oleh, dan selepas mendapat awalan ber-, kata tersebut menjadi beroleh( beroleh ialah kata kerja tak transitif)
Kata memperoleh ialah kata kerja transitif, dan kata memperolehi juga ialah kata kerja transitif. Maka, kata memperolehi dianggap lewah, iaitu berlebih-lebihan dan dianggap tidak mengikut tatabahasa dan bentuk tersebut ialah bentuk yang tidak baku. Tambahan pula, akhiran –i dalam kata tersebut tidak ada fungsinya, dan dengan hal itu, akhiran –i tidak diperlukan dalam kata tersebut.
Soal Jawab 3
‘ Mengotorkan’ dan ‘Mengotori’
Mengotorkan membawa maksud menyebabkan jadi kotor dan pelakunya ialah orang atau sesuatu yang menyebabkan tempat, kawasan dan lain-lain menjadi kotor.
Mengotori pula membawa maksud menjadikan kotor dan pelakunya mempunyai sifat kotor, iaitu yang menjadi punca kekotoran (misalnya, sampah sarap, debu dan sebagainya).
Perhatikan ayat yang gramatis yang berikut.
1(a) Sampah sarap mengotori taman itu.
Taman itu dikotori sampah.
Debu mengotori bilik itu.
Bilik itu dikotori debu.
1 (b) Budak nakal mengotorkan bilik darjah.
Bilik darjah dikotorkan oleh budak nakal.
Soal Jawab 4
‘Berbahaya’, ‘ Membahayakan’, ‘ Merbahaya’
‘Berbahaya’ ialah kata adjektif dan kata kerja tak transitif, yang membawa maksud ‘boleh mendatangkan kemalangan,bencana atau keadaan yang buruk’ atau yang bermaksud ada bahayanya.
Sementara ‘merbahaya’ ialah bentuk yang tidak baku yang maknanya sama dengan ‘berbahaya’.
Membahayakan pula kata kerja transitif yang membawa maksud ‘mendatangkan bahaya (kepada)’.
Contoh:
1. Penyakit itu sangat berbahaya.
2. Memandu terlalu laju adalah berbahaya.
3. Merokok membahayakan kesihatan.
4. Letupan itu membahayakan penduduk kampung.
Soal Jawab 5
‘Berasa’, ‘Merasa’, ‘Merasakan’
‘Berasa’ ialah kata kerja tak transitif dan membawa maksud ‘mempunyai rasa, beroleh rasa atau mengalami rasa dalam hati.
‘Merasa’ pula ialah kata kerja transitif dan membawa maksud ‘mengecap (rasa) dengan lidah’. atau ‘ mengetahui (sesuatu) secara menyentuh dengan tangan’.
‘Merasakan’ ialah kata kerja transitif dan membawa maksud ‘membiarkan seseorang merasa’ atau ‘memikirkan’ atau ‘menganggap’
Penggunaan kata-kata tersebut adalah seperti berikut:
1. Makanan itu berasa masin.
2. Dia berasa letih selepas bekerja sehari suntuk.
3. Ani berasa sedih mendengar berita itu.
4. Ibu merasa makanan yang terhidang itu.
5.Dia merasa kain yang ditunjukkan untuk mengetahui kasar halusnya.
6. Dia merasakan pengaruhnya kepada orang-orang bawahannya.
7. Pihak atasan merasakan beliau masih penting dalam jabatan itu.
Soal Jawab 6
‘Dari semasa ke semasa’ atau ‘ dari masa ke semasa’
Frasa ‘dari masa ke semasa’ tidak boleh digunakan kerana tidak mematuhi peraturan bahasa. Frasa yang betul ialah ‘dari semasa ke semasa’ atau ‘ dari masa ke masa’. Kedua-dua unsur penting iaitu, semasa dan masa dalam frasa itu hendaklah seimbang atau sama.
“ Menyusui” dan “Menyusukan”
Daripada contoh yang diberikan, kata akarnya ialah susu, dan susu ialah kata nama. Jika kata nama diberi apitan me-…..i, maka salah satu daripada maksud yang terkandung dalam kata tersebut ialah memberikan sesuatu (seseorang dalam kata akar) kepada seseorang atau sesuatu. Jadi, menyusui membawa maksud memberikan susu kepada, atau memberi seseorang atau sesuatu minum susu.
Jika dilihat dari segi pembentukannya dan maksud yang terkandung, kata menyusukan adalah tidak mengikut tatabahasa kerana jika apitan me-…..kan diberikan kepada kata nama, maka salah satu daripada maksud yang terkandung ialah menjadikan sesuatu sebagai yang tersebut pada kata akar. Jadi, dalam hal ini tidak wajarlah kata menyusukan digunakan dalam ayat seperti yang berikut:
1. Dia menyusukan bayinya.
Bukankah lebih tepat atau lebih gramatis jika ayat tersebut berbentuk begini.
2. Dia menyusui bayinya.
Soal Jawab 7
‘Selain daripada itu’ atau ‘Selain itu’
Lain ialah kata sifat atau kata adjektif dan selain ialah kata tugas. Lain membawa maksud “tidak sama atau berbeza”, manakala selain membawa maksud “(yang) lain daripada, kecuali, hanya atau di samping”.
Daripada maksud yang terkandung,kita boleh menentukan cara penggunaan kata-kata tersebut dalam ayat. Sebagai contoh, “ Dia lain daripada yang lain”, membawa maksud “dia tidak sama dengan yang lain atau dia berbeza daripada yang lain”.
Contoh penggunaan selain pula ialah “ Selain membaca, dia juga menulis” dan “Dia tidak dapat melakukan apa-apa, selain membatu”. Kita boleh juga memilih, sama ada hendak menggunakan frasa lain daripada atau selain dalam ayat yang sama.
Contohnya, “Selain itu, dia tidak pernah degil” atau “Lain daripada itu, dia tidak pernah degil”.
Mengikut tatabahasa , frasa selain daripada itu adalah salah atau tidak gramatis. Frasa yang betul ialah selain itu atau lain daripada itu.
Terima kasih ke atas penerangan di atas. Inginkan pencerahan untuk kes berikut,
ReplyDeleteAntara 'penjarakan sosial dan penjarakkan sosial', yg mana betul?