Laman Bahasa -Siri 4
Kata Majmuk dan Cara Mengejanya
Terdapat empat bentuk kata dalam bahasa Melayu, iaitu kata tunggal, kata terbitan,kata majmuk, dan kata ganda.
Kata Majmuk
Kata majmuk ialah perkataan yang dibentuk dengan menggabungkan dua perkataan atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna tertentu. Sebagai contoh, nasi dan kandar masing-masing mempunyai makna tersendiri, tetapi apabila digabungkan, lahirlah nasi kandar yang bererti “nasi yang dicampurkan sekali dengan lauk-pauknya dalam satu pinggan”.
a)Ejaan Cara Tercantum
adakala antarabangsa apabila apahal
apakala bagaimana barangkali beritahu
bumiputera darihal daripada dinihari
dukacita hulubalang jawatankuasa kadangkala
kakitangan kepada kerjasama manakala
matahari olahraga padahal peribadi
peribahasa perikemanusiaan pesuruhjaya sediakala
senjakala sepertimana setiausaha sukacita
sukarela suruhanjaya tandatangan tanggungjawab
warganegara
b) Ejaan Tercantum Yang Sudah Mantap
Buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (2003:75) telah menyenaraikan 15 perkataan yang terdiri daripada kata majmuk yang penggunaannya sudah mantap sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut ternyata mempunyai dua kata dasar. Perkataan yang demikian tetap dieja sebagai satu perkataan dan mestilah dihafalkan. Bentuk-bentuk perkataan tersebut ialah:
antarabangsa beritahu bumiputera jawatankuasa
kakitangan kerjasama olahraga matahari
setiausaha sukarela suruhanjaya tandatangan
tanggungjawab warganegara pesuruhjaya
c) Ejaan Penggandaan Kata Majmuk
Penggandaan kata majmuk melibatkan penggandaan unsur pertama kata majmuk itu sahaja, dan ejaannya dilakukan dengan cara meletakkan tanda sempang pada kata dasar yang digandakan.
alat-alat tulis balai-balai raya kapal-kapal terbang
garis-garis pusat Ketua-Ketua Menteri Naib-Naib Canselor
Perdana-Perdana Menteri Menteri-Menteri Besar
Timbalan-Timbalan Menteri
Namun begitu, bagi 15 bentuk yang telah mantap pengejaannya sebagai satu unit,penggandaan kata majmuk sedemikian berlaku untuk seluruh kata. Misalnya:
setiausaha-setiausaha tandatangan-tandatangan
pesuruhjaya-pesuruhjaya jawatankuasa-jawantankuasa
warganegara-warganegara tanggungjawab-tanggungjawab
d) Ejaan Kata Majmuk yang Menerima Imbuhan
Pertama, apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan awalan atau akhiran sahaja, ejaan kata majmuk tetap terpisah. Misalnya:
campur aduk + ber bercampur aduk
ambil alih + meng- mengambil alih
daya serapan + -an daya serapan
Apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan apitan, ejaannya menjadi bercantum. Misalnya:
campur aduk + men…kan mencampuradukkan
daya serap + ke…an kedayaserapan
urus niaga + di….-kan diurusniagakan
No comments:
Post a Comment