Saturday, November 14, 2009

Tatabahasa

LAMAN BAHASA- SIRI 3
Mengeja Kata Ganti Nama Diri Singkat
Terdapat empat kata ganti nama yang boleh disingkatkan , iaitu:
1. aku menjadi ku
2. engkau menjadi kau
3. kamu menjadi mu
4. dia dan ia menjadi nya
Bentuk-bentuk singkat ini bertaraf terikat, iaitu tidak boleh berdiri sendiri, sebaliknya perlu dieja bercantum dengan perkataan lain.
Salah,jika dieja bentuk-bentuk ini secara tersendiri. Perhatikan contoh-contoh berikut:
1. Cerpen yang kauhasilkan itu sungguh baik.
Cerpen yang kau hasilkan itu sungguh baik. (Salah)
2. Makanan ini dimasak khas untukmu.
Makanan ini dimasak kahas untuk mu. (Salah)
3. Lagu tersebut dicipta olehnya.
Lagu tersebut dicipta oleh nya. (Salah)
4. Itulah jawapanku kepada soalan kamu.
Itulah jawapan ku kepada soalan kamu. (Salah)

Salah satu kekecualian yang berkaitan dengan penggunaan tanda sempang ini ialah yang berkaitan dengan rujukan kepada Tuhan. Dalam hal ini, kata ganti nama dieja dengan huruf besar di pangkal kata dan diberi tanda sempang.

Perhatikan contoh berikut:
1. Ya Allah, berikan hidayat-Mu kepadaku.
2. Daripada-Nya kita datang, kepada-Nya kita kembali
3. Ampunkanlah hamba- Mu, ya Tuhanku..
4. Tolonglah hamba-Mu, ya Tuhanku.
5. Mereka memohon rahmat-Nya,hidayat-Nya dan petunjuk-Nya
Peringatan: Penggunaan ‘ianya’ sebenarnya tidak betul kerana terdiri daripada kata ganti nama diri orang ketiga secara penuh (ia) diikuti dengan bentuk singkatnya (nya). Kita tidak pernah ,misalnya, bertemu dengan akuku (bentuk kata ganti orang pertama
diikuti oleh bentuk singkatnya) atau dengan kamumu (bentuk kata ganti orang kedua diikuti oleh bentuk singkatnya). Oleh itu, janganlah bentuk ianya digunakan.

No comments:

Post a Comment