Sunday, April 18, 2010

Kuulangi Tabiat...





Tabiat lama kuulangi pada hari Sabtu yang lalu. Berbekalkan "duit terpijak" yang di luar jangka selepas menghadiri mesyuarat kesatuan dan koperasi guru,aku lantas mengajak isteri dan anakku menuju ke Jaya Jusco, Seremban 2. Sudah hampir 4 bulan pasar raya gah itu tidak kukunjungi rupanya. Anakbujangnya sudah membayangkan agendannya yang tersendiri di situ.

Manakala di kepalaku sudah terbayangkan sebuah kedai buku yang menjadi kegemaranku iaitu MPH.
Hajat di hati, duit yang diperoleh hari itu akan dibelanjakan untuk membeli beberapa buah buku lagi. Walaupun Pesta Buku sudah lama berakhir, tetapi kegilaan membeli bahan ilmiah sudah tidak dapat dibendung lagi.

Setelah hampir beberapa jam membelek dan mengitari ruang itu, 3 buah buku sempat kusambar petang Sabtu itu. Buku-buku berkenaan adalah seperti berikut:

1. Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman- Anwar Ridhwan- Dewan Bahasa dan Pustaka
2. Singa Siang Hari (Jilid 1)- Harun Arrasyid Haji Tuskan- Yaman Angle
3. Kompas Cinta- A. Ubaidillah Alias - Kemilau

Kehadiran buku-buku ini yang pasti telah menambah satu lagi khazanah ilmu yang cukup berharga kepada mereka yang menghargainya.

Apa kata mereka? (Bersama Sasterawan Negara)


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
13 April 2010

Hari yang bermakna bagi diriku.Pada minggu bahasa yang diadakan di SMKA Pedas, aku serta rakan-rakanku bersama dengan guruku turut serta memeriahkan minggu bahasa. Aku berasa bertuah kerana sekali kerana dapat bertemu dengan Dato Dr. A. Samad Said. Selama ini, aku hanya melihat wajahnya di majalah tetapi hari ini aku dapat berjumpanya di depan mata. Wajahnya nampak tenang apatah lagi suaranya yang lembut. Beliau agak ringkas sahaja penampilannya. Beliau bercerita detik-detik permulaan beliau menceburi bidang sastera.Hal ini bermula ketika beliau berada di sekolah rendah. Beliau yang begitu gagap ketika ingin membaca sebuah karangan. Sejak itu, beliau rajin membaca sehingga hari ini. Beliau mengambil tokoh sasterawan negara sebagai idolanya. Idola beliau ialah Dato Usman Awang. Antara karyanya Salina, Keledang, Suara dari Dinding Dewan, Di Simpang Jalan dan banyak lagi. Peristiwa itu ini akan menjadi kenangan manis buatku. Jika diberi peluang suatu hari nanti aku akan mengambil kesempatan untuk membaca sajak bersama-sama beliau.

-Siti Nur Faizah Bt. Omar.
4 Musytari 2010

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Saya Mohd Syafiq b. Zukifli berasa bangga dan berbesar hati kerana pada tarikh 13.4.10 saya telah ditemukan dengan seorang sasterawan negara iaitu A.Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad di SMKA Pedas. Semasa di sana, saya mendapat tahu serba sedikit latar belakang tentang Pak Samad. Pak Samad menceritakan titik permulaan beliau mengarang. Sejak dekad 70-an lagi sebenarnya Pak Samad mesra dengan karya-karya remaja dan pernah menghasilkan beberapa buah novel kanak-kanak. Pak Samad yang dulunya seorang yang gagap dan akhirnya berjaya mengatasi masalahnya itu. Saya tidak melepaskan peluang untuk bergambar dan bersalaman dengannya. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cikgu Razak kerana tanpa beliau saya tidak berpeluang untuk berjumpa dengan seorang sasterawan negara yang begitu saya kagumi.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

13 April 2010- Satu tarikh yang amat bermakna bagi aku. Mungkin juga kepada kawan-kawanku yang turut terlibat sama untuk menghadiri minggu bahasa di SMKA Pedas. Selama ini aku hanya dapat melihat Dato Dr.A. Samad Said di kaca televisyen sahaja. Tidak pernah termimpi untuk aku berpeluang menemuinya secara langsung. Tetapi hari ini telah membuktikan segala-galanya.

Aku amat bersyukur kerana telah terpilih salah seorang daripada wakil sekolah . Peluang ini akan aku gunakan sebaik-baiknya. Bagiku ini bagaikan mimpi tetapi inilah realiti.

Aku telah dapat berjumpa dengannya secara langsung. Cantik orangnya, cantik lagi bahasanya. Dato Dr. A. Samad Said. Dia seorang yang bersahaja daripada perwatakannya. Tidak lokek berkongsi ilmu dan tidak kedekut untuk bercerita tentang zaman mudanya. Tidak kusangka sasterawan negara kita gagap satu ketika dulu. Tetapi itu tidak menjadi halangan untuk beliau berjaya. Menggunakan petua jerit ketika ombak menghempas pantai, itulah yang diamalkan beliau sehingga beliau tidak gagap lagi. Akhir kata,aku berharap dapat menemui beliau lagi pada suatu hari nanti.

Ain Habibah bt. Zahari
4 Musytari 2010




13 April 2010
Hari ini aku rasa sungguh bertuah kerana aku ditemukan dengan idolaku iaitu Dato. Dr. A. Samad Said. Selamaini aku hanya mampu melihat mukanya di kaca televisyen tetapi tidak kusangka aku telah melihatnya di depan mata aku sendiri.

Saat aku mendengar beliau berbicara sungguh aku tidak sangka betapa indahnya setiap perkataan yang keluar dari mulutnya.Ada juga beliau menceritakan perjalanan hidup beliau. Misalnya tentang cinta beliau iaitu cara beliau menemui isteri kesayangan.

Pak Samad dahulunya seorang yang gagap sehingga sukar untuk membaca ayat atau karangan bahasa Melayu dan beliau menemukan cara untuk menghilangkan gagapnya iaitu menjerit sewaktu ombak menghempas pantai.

Pak Samad ada juga membacakan beberapa sajak beliau. Majlis ilmu itu diakhiri dengan sesi menandatangani autograf.

Sempat aku dengar nasihatnya iaitu "Sesiapa yang mahu membuat karangan atau karya yang baik kita harus banyak membaca".

Nor Hidayah bt. Mihat

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini 4 Musytari 2010

Tuesday, April 13, 2010

Akhirnya kau pergi jua...



Akhirnya kau pergi jua...


Tiba-tiba hati ingin terus merisik khabarnya. Gagang telefon terus diangkat dan tanganku menekan butang di dada telefon. Sejurus kemudian ada suara yang pantas menyambut panggilan. Khabarnya kutanya dihujung talian. Semalam selepas beberapa hari di wad rawatan, Baby dibawa pulang. Sakit batu karang yang menyebabkan saluran pundi kencing tersekat masih di tahap kritikal. Masih belum pulih malah semakin teruk. Sekali lagi kakakku kehilangan kucing yang cukup disayanginya malah di retina mata masih terbayang-bayang tubuh tidak berbulu dan disusukan seawal usia sebulan hingga dua bulan terus terlayang kembali di layar fikiran.


Perlahankan Detik Ini...







Program Bersama Sasterawan Negara Dato (Dr) A. Samad Said

Tarikh: 13 April 2010
Tempat: Dewan An-Nur SMK Agama Pedas

Apa yang pasti detik ini sukar untuk dilupakan.
Pertemuan dengan penerima anugerah berprestij dalam bidang sastera negara ini ternyata membuahkan rasa debar yang cukup ranum dalam jiwa. Kejayaan pihak penganjur iaitu SMK Agama Pedas ternyata memberi impak yang sangat besar dalam dunia sastera terutama di daerah Tampin dan Rembau ini.

Minggu Bahasa SMK Agama Pedas yang bertunjangkan "Bahasa Penyubur Minda" bermula hari ini begitu manis dan enak untuk dikenang dalam perjalanan hidup sebagai seorang guru Bahasa Melayu yang sudah menjangkau perjalanan sejauh ini.

Ucapan terima kasih dan rasa syukur tidak sudah-sudah kukirimkan kepada-Nya kerana telah membuka ruang hati seluas-luasnya untuk Dato(Dr) A. Samad Said untuk menjejakkan kaki beliau di daerah beradat ini.

Kata-kata nasihat yang sempat kukutip sepanjang 45 minit ini belum cukup puas untuk telingaku terus menadah ilmunya.

Dalam usia yang baru menginjak 75 tahun pada 8 April yang lalu, ternyata Dato (Dr) A. Samad Said tidak putus-putus mengirimkan nasihat agar semua peserta menanam minat membaca. Saranan beliau agar membaca buku-buku yang berada di puncak dan diulang membaca karya besar terutama karya-karya ulung 10 orang sasterawan itu agar ilmu yang terbentang di dalam bahan bacaan itu terus mengalir dalam jiwa.

Beliau juga seorang pelukis yang cukup berbakat. Lukisan-lukisan beliau juga sedang dipamerkan di Balai Seni Lukis Negara. Selain itu, beliau juga sedang menghayati dialog untuk teater "Menunggu Khabar Dari Tuhan" karya Dinsman yang pernah dipentaskan dan dilakonkan oleh pelakon terkenal Sabri Yunus di SMK Agama Pedas yang lalu.

Perlahankan pertemuan indah ini ...namun perpisahan tetap juga akan berlaku.Kata-kata nasihat yang diuntaikan umpama mutiara-mutiara yang cukup bernilai.

Ketidakpuasan dalam hidup itu bagus supaya kita menjadi lebih baik.


Sunday, April 11, 2010

Setelah Hampir 20 Tahun...

Peri
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Peristiwa itu sudah hampir 20 tahun berlalu...tiba-tiba pintu hati diketuk bertalu-talu. Azman (Man Kecik) yang menyapa di laman jaringan sosial facebook membuka kembali lipatan sejarah silam. Kenangan datang menerpa lalu melimpah-ruah dalam kolam hati. Hati saya mulai dibanjiri kenangan suka duka di daerah yang sudah lama saya tinggalkan. Lantaran persahabatan yang sekian lama terputus mampu disambung semula.

Friday, April 9, 2010

Tahniah yang Tertangguh...


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Tahniah kepada pelajar dari kelas 5 Musytari 2009 yang telah mendapat pangkat A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Keputusan SPM yang telah diumumkan pada 11 Mac lalu telah menyaksikan seramai 11 orang murid dari kelas tersebut telah berjaya memecahkan monopoli pelajar terbaik dari kelas 5 Utarid dan 5 Zuhrah. Walaupun saya sedikit kecewa dengan bilangan pelajar yang mendapat pangkat A (Sasaran saya 16 orang) namun saya tetap berbangga kerana 3 orang daripada 10 orang pelajar yang mendapat pangkat A+ datangnya dari kelas 5 Musytari.

Pelajar yang mendapat A seperti berikut:
1. Nor Aida binti Hamzah A+
2. Nurul Ain bt Zainuddin A+
3. Noramiza bt. Abd. Karim A+
4.Muhd Nabeel Farhan bin
Mohd Rosli A
5. Nadhirah binti Mohd Sharif A
6. Nur Afiqah b. Mohd Azman A
7.Mohamad Amin Amri bin
Abdul Majid A-
8.Muhammad Ezrul bin Mohd Zain * A-
9.Nur Ziatul Anira bt Jailani A-
10. Noraiman b. Ab. Rahim * A-
11.Syarinah binti Ismail A-

Tahniah sekali lagi kepada mereka.

Monday, April 5, 2010

Separuh Jiwaku...Pergi

Separuh jiwaku…Pergi


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Adakah aku sudah keterlaluan dalam membuat pertimbangan? Di mana kuletakkan nilai profesionalisme yang selama ini digantung agam di jiwa? Adakah aku sudah terlebih ajar? Adakah emosional masih berlegar-legar di ruang perasaan yang masih kosong ini? Pertanyaan terus-menerus menggempur kubu hati. Aku seolah-olah diserang dan ditujah peluru berpandu Israel. Mataku sempat menyapa wajah-wajah mereka di depan retina mata. Keruh. Redup. Cuba kuselam jauh di lubuk hati mereka. Tiba-tiba sebak mengetuk pintu hati. Sesawang minda cuba merungkai segala masalah yang kian terkumpul dan menyendat relung hati. Cepu fikir masih terus mencari rasional segala tindakan. Harap akal dan fikir kembali bersatu. Jalan penyelesaian perlu dicari. Segala keluhan dan luahan panas perlu segera dipeluk erat agar mampu disejukbekukan.

“Terima kasih, cikgu..kerana sudi jadi guru kelas kami.”Kata-kata yang meluncur keluar daripada seorang pelajar masih menyentak saluran pernafasan. Melekat bagai digam. Tidak sedikit garis senyum di bibir. Aku menelan air liur. Wajah itu kuperhatikan sekilas. Rekod kedatangan kini bertukar tangan. Sebatang pena kucapai lalu rekod itu cuba kumesrai seadanya. Adakah benar kata-kata yang sempat ditadah oleh gegendang telinga ini? Adakah hanya ilusi semata-mata?

Aku kian kehilangan kata-kata ketika itu. Cuma kata hati seperti mahu berbisik dan bergemersik. Terima kasih kerana memahami hati ini. Aku mencari kewajaran yang semakin menipis dan kemudian terus melayang-layang. Rasa kesal masih berlegar-lebar di ruang vakum. Adakah benarSEPARUH JIWAKU… TELAH PERGI?

Menjadi teratai yang tidak berbau adalah baik berbanding dengan haruman sementara.Manusia mencari kebahagiaan yang berpanjangan, keseronokan sementara akan dikesali, tetapi manusia juga tidak dapat lari daripada kesementaraan.