Friday, October 7, 2011

Travelog Perjalanan Ke Bandar Ho Chi Minh, Vietnam


Bas yang boleh memuatkan 25 orang penumpang ini membawa kami ke Sg Mekong

Bahagian Kedua

Menyusuri Sungai Mekong

30 September 2011

Menyusuri Sg Mekong merupakan pengalaman paling menarik. Sungai Mekong ialah sungai ke-10 terpanjang di dunia, ke-10 terbesar dari segi isipadu dan mengeluarkan 475 km padu air setiap tahun. Panjangnya 4880 km dan lembangan Sungai Mekong seluas 812,000 km persegi. Mengalir dari Dataran Tibet di utara mengalir melalui Yunnan di China, Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam.
Dengan bantuan salah seorang pekerja hotel, kami berjaya juga membuat tempahan tiket untuk 4 orang. Perjalanan sehari ini akan mengambil masa selama 2 jam dengan bayaran seorang US 18(RM 54).
Kira-kira pukul 9.30 pagi, perjalanan kami bermula dengan melalui lebuh raya ke Sungai Mekong. Nyen yang kami kenali, seorang pemandu pelancong yang cukup ramah juga bakal bergelar Vietnam Idol itu cuba mengenali setiap seorang daripada kami. Bas yang kami naiki terdiri daripada 21 orang pelancong luar yang majoritinya pelancong dari Malaysia. Sepanjang perjalanan, mata kami dihidangkan dengan kawasan sawah padi yang menghijau di kiri dan kanan jalan raya. Pemandu yang penuh berhemah hanya memandu bas dengan kelajuan 80 km/jam ini cukup meresahkan saya yang duduk di belakang pemandu. Khabarnya saman yang dikenakan di sini agak tinggi juga justeru mereka tidak mempunyai keberanian untuk memandu dengan kelajuan yang lazim dilakukan di jalan-jalan raya di Malaysia. Kaki saya seperti ingin sahaja menekan pedal minyaknya.


Lihatkan pemandu ini hanya memandu bas dengan kelajuan 80km/jam. Di sebelahnya pemandangan sawah padi yang cukup memukau.
Selepas 1 jam setengah menempuh perjalanan , kami berhenti rehat di Tram Dung Chan Mekong bagi melepaskan lelah sambil menikmati air kelapa muda. Landskap indah sangat menarik perhatian saya untuk merakamkan foto di sini. Tidak boleh berlama-lama kerana perjalanan yang bakal memakan masa 1 jam lagi perlu diteruskan.
Antara pemandangan yang menangkap lensa mata saya untuk dirakamkan

Pemandangan di sebuah restoran ketika berhenti rehat sebelum meneruskan perjalanan ke Sg Mekong
Setibanya di sana, bot sudah sedia menunggu kami. Sempat juga membeli topi bagi menahan cuaca panas. Pengalaman yang cukup menarik sudah bermula. Menyusuri Sg Mekong yang sibuk menjalankan urus niaga di atas bot sahaja menyambar retina mata kami. Unik dan amat menarik dan tidak berlaku di Malaysia. Sg. Mekong masih menjalani perniagaan tradisional yang begitu menarik untuk dikenang. Sepanjang menyusur sungai,kami bertembung dengan bot yang sarat dengan hasil pertanian seperti nenas, labu, rambutan dan pelbagai hasil tanaman yang lain. Bot yang dinaiki juga dianggap juga sebagai ‘rumah’ kedua mereka.


Perniagaan yang dijalankan di Sg Mekong



Bot yang kami naiki berhenti rehat di sebuah perkampungan kecil, Thanh Thuy. Di situ kami dibawa menyaksikan pembikinan gula-gula kelapa, madu lebah dan ‘rice paper cake’serta beberapa barangan cenderamata. Mata saya tertumpu ke arah botol yang di dalamnya terkandung bangkai ular dan kala jengking yang airnya kekuning-kuningan.


Perusahan kecil yang wujud di tebing Sg Mekong

Pelbagai bentuk cenderamata juga dijual.
Setelah hampir 45 minit di situ dan membeli 2 botol madu lebah, kami dibawa semula menyusuri Sungai Mekong sekali lagi. Kali ini kami akan singgah ke sebuah restoran tempatan. Tetapi sebelum ke restoran berkenaan, kami diberi peluang menaiki bot kecil yang pendayungnya terdiri daripada seorang wanita Vietnam. Sepanjang perjalanan,kami sempat juga menyaksikan aktiviti-aktiviti harian yang dijalankan di sepanjang sungai berkenaan. Setelah hampir 20 minit menyusuri Sg Mekong dengan sampan kecil kami menaiki bot semula untuk menuju ke sebuah restoran tempatan.

Sebuah restoran tempatan yang kami singgah untuk melepaskan lelah buat seketika. Di sini kami diberi peluang menunggang basikal untuk melihat-lihat kawasan kampung.


Sebelum berangkat pulang, kami dipersembahkan sebuah drama muzikal yang mengasyikkan lagi mempesonakan
Kurang yakin dengan kehalalan makanan di situ, kami mengambil keputusan untuk merasai buah-buah tempatan sahaja sambil menikmati roti buku yang siap sedia dibawa dari Malaysia. Kami juga diberi peluang untuk menunggang basikal untuk melakukan lawatan di dalam kampung. Namun peluang ini tidak sempat saya sambar. Sebelum pulang, kami dipersembahkan sebuah drama muzik yang cukup mengesankan. Walaupun menghadapi masalah untuk memahami butir bicara namun persembahan itu cukup berkesan kerana kelantangan vokal mereka cukup mengasyikkan ditambah pula iringan muzik tradisional Vietnam.

Perahu kecil yang berkemampuan memuatkan 4 orang didayung oleh seorang wanita yang cukup kental.
Sebelum berangkat pulang ke bandar Ho Chi Minh, kami singgah membeli belah di sebuah pasar. Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 5 petang. Keadaaan pasar cukup sibuk dan rata-rata peniaga di kaki lima menjual hasil-hasil pertanian. Ketika sedang membelek-belek rambutan, tiba-tiba kami dikejutkan oleh suara hiruk pikuk orang. Ketika itu dalam keadaan ketakutan, peniaga jalanan terus mengheret jualan mereka ke kaki jalan. Rupa-rupa pegawai penguatkuasa telah merampas penimbang salah seorang peniaga. Apabila keadaan kembali tenang, mereka menjual hasil pertanian seperti biasa. Saya sempat membeli sekilo jambu batu dan rambutan. Seperti tidak percaya, sekilo rambutan dijual dengan harga 5000 VSD (kira-kira 80 sen)


Singgah di pasar yang sesak dan sibuk

Peniaga jalanan ini kemudian bertempiaran menyelamatkan jualan mereka apabila diserbu oleh penguatkuasa yang merampas alat penimbang mereka
Tiba di hotel Giang Linh kira-kira pukul 7.00 petang. Perut sudah mulai berirama yang tidak selesa kerana tidak menjamah nasi sejak siang tadi. Setelah bersolat di bilik, kami terus bergegas untuk mencari restoran halal di bandar Ho Chi Minh. Setelah makan malam, pastinya destinasi akan diteruskan ke pasar malam untuk menjamu mata pula sebelum mengucapkan ‘Selamat Malam Vietnam’.

Sebuah restoran halal yang ditemukan di bandar Ho Chi Minh namun perlu banyak bersabar ketika menunggu hidangan.

Suasana di pasar malam di Ho Chi Minh yang sentiasa menyambut ketibaan kami.Kami pulang ketika jarum jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam namun tiada nampak tanda pasar malam ini akan menutupkan mata
JUMPA ESOK!

No comments:

Post a Comment