Saturday, October 8, 2011

Travelog Perjalanan Ke Bandar Ho Chi Minh, Vietnam


Bahagian Terakhir

1 Oktober 2011-Pasar Saigon dan Pasar Ben Thant

Isteri-Isteri Dibawa Lari Pemandu Teksi


Pagi ini saya dan isteri kelewatan. Panggilan telefon daripada Tuan Azhar amat mengejutkan. Mereka sudah sedia menunggu di lobi hotel. Alamak,terbabaslah pula!Jam sudah menunjukkan pukul 7.00 pagi (pukul 8.00 pagi waktu Malaysia)

Perlu segera bersarapan pagi dahulu sebelum ke Pasar Ben Thant dan ke Pasar Saigon yang sudah sedia menanti kunjungan kami. Penerbangan pada malam ini akan berlepas sekitar pukul 9.10 malam. Hal ini bermakna sehari suntuk masa dihabiskan di kota Ho Chin Minh. Kami bersarapan seperti biasa di Restoran VN Halal dengan bersajikan mi goreng mamak serta nasi goreng ikan masin.

Di hadapan Restoran Empat Musim

Tidak lama kemudian, muncul pasangan dari Malaysia (suami dan isteri) yang berkunjung ke sini atas urusan perniagaan serta Azhan (kenalan dari Malaysia yang ditemui semasa ke Sg Mekong)yang juga ingin bersarapan. Azhan yang tiba dari Kuala Lumpur ke bandar Ho Chih Minh secara solo ternyata banyak membantu kami.


Sempat bergambar dengan Pemandu Pelancong dari Malaysia, Tuan Azhan


Sempat berbual-bual tentang perancangan masing-masing pada pagi ini. Keputusan dicapai, kami akan bersama-sama ke Pasar Bent bersama Azhan. Terdapat banyak pintu masuk ke pasar berkenaan dan kita perlu sentiasa berhati-hati untuk memilih dan membuat keputusan membeli barang. Rata-rata yang menjadi tumpuan pelancong dari Malaysia ialah beberapa jenis pakaian seta kain ela yang boleh didapati dengan harga borong.



Pasar Ben Thant

Kemahiran bertutur dalam bahasa Melayu pasti menjadi kedai keutamaan kami. Suasana di pasar Ben Thant pada awal pagi ini juga sudah mulai sibuk. Urus niaga boleh dijalankan dalam US atau Dong, Pilih yang mana satu yang anda suka. Awas, hati-hati dengan harga yang ditawarkan kerana anda perlu menurunkan harga sehingga 60-70 % harga barang. Sekiranya pekedai kurang mahir berbahasa Inggeris atau bahasa Melayu, kalkulator menjadi alat perhubungan yang cukup berkesan. Sekiranya anda tidak berpuas hati dengan harga yang ditawarkan, anda perlu segera pergi ke kedai lain. Jika tidak, tangan anda akan dipegang oleh pekedai seperti tidak mahu dilepaskan. Tetapi bukan semua peniaga yang bertindak agresif begitu,hanya segelintir sahaja.

Kain ela pelbagai jenis dijual dengan harga borong

Apa yang mengagumkan saya di sini, ramai pekedai yang mahir bertutur dalam bahasa Melayu. Malah ada peniaga yang saya temui begitu mahir berbahasa Melayu. Seperti tidak percaya bahawa kemahiran ini dikuasai hanya bertanya dengan pelancong dari Malaysia yang berkunjung ke kedai mereka.Lama-kelamaan bahasa Melayu mereka semakin baik sehingga telor gayanya sudah menyamai orang Melayu yang bertutur.

Sebuah butik yang menggunakan bahasa Melayu bagi kedainya

Kami juga sempat ke Pasar Saigon yang ternyata lebih eksklusif kerana ruang kedainya yang dingin. Harga barang juga agak mahal namun untuk mencuci mata juga sesuai.



Pemuda Vietnam ini fasih berbahasa Melayu.

Sekitar pukul 12.00 tengah hari kami segera ke hotel semula untuk berkemas. Destinasi seterusnya tentunya untuk mengisi perut yang mulai terancam. Kami ke Restoran Empat Musim untuk menikmati nasi beriani. Selepas menikmati makanan tengah hari, kami ke pasar Ben Thant yang belum sempat dijejahi isi perutnya. Sebaik sahaja jam menunjukkan pukul 5.30 petang kami ke Restoran Empat Musim untuk makan malam pula. Selesai makan, kami terus ke luar untuk mendapatkan teksi. Di sini terdapat banyak perkhidmatan teksi tetapi kami difahamkan perkhidmatan teksi Maylind antara perkhidmatan yang diakui terbaik .Tetapi anda boleh juga mencuba perkhidmatan teksi Vinasun yang juga cukup menarik tetapi tambangnya agak tinggi sedikit berbanding teksi Maylind (hijau).

Antara perkhidmatan teksi Vinasun yang tersedia menerima tetamu

Setelah mendapat teksi Maylind, saya dan Tuan Azhar segera memasukkan barang yang diborong ke dalam bonet teksi. Keadaan di jalan raya ketika itu agak sibuk dan sesak. Ditambah pula keadaan teksi yang diparkir agak kurang sesuai. Lantas sebaik sahaja isteri saya dan isteri Tuan Azhar melabuhkan punggung, sepantas kilat, pemandu teksi berkenaan terus memecut laju teksinya. Kami tergamam buat seketika. Mungkin teksi berkenaan akan berpusing balik untuk mendapatkan kami. Namun setelah hampir 15 minit,kelibat teksi seperti tidak kelihatan. Hati saya dicengkam rasa cemas. Perasaan kian bercampur baur. Peristiwa kurang enak untuk digambarkan mulai bermain-main dan terpapar di ruang mata. Hanya Allah ketika itu tempat terbaik untuk mengadu. Doa segera kupanjatkan kepada-NYA untuk keselamatan mereka berdua.


Di hadapan Restoran Empat Musim, beberapa minit sebelum detik isteri-isteri dilarikan sempat dirakamkan.

Setelah menunggu sekian lama di luar, Tuan Azhar segera ke kaunter untuk mendapatkan bantuan manakala saya terus menunggu di ruang luar kedai. Keadaan semakin mencemaskan. Kami segera mendapat bantuan pembantu kedai berkenaan untuk menghubungi pihak hotel penginapan kami. Kami diberi tempoh 15 minit. Saya lihat Tuan Azhar semakin tidak keruan. Saya lebih-lebih lagi. Tubuh mulai menggigil. Tekak mulai rasa kering.Darah seperti tidak mengalir ke ruang pipi.

“Kita perlu buat laporan polis,” kata Tuan Azhar. Saya mengeyakan jawapan kerana sekiranya tunggu lebih lama, mungkin mereka sudah tiba ke Hanoi. Ketika itu saya mulai teringat Kedutaan Malaysia di Vietnam. ‘Di mana agaknya’. Hati saya mulai berteka-teki.

Tiba-tiba kelihatan teksi berhenti di luar kedai. Teksi yang ‘melarikan’ isteri-isteri kami rupanya! Pantas pintu kedai dikuak dan saya tidak sedar saya sudah melakukan lompatan beberapa anak tangga.

Rupanya masalah komunikasi masih menjadi masalah utama. Pemandu teksi tersalah sangka rupanya. Mujur isteri Tuan Azhar ada menyimpan kad kedai makan berkenaan justeru langkah terbaik untuk kembali ke kedai berkenaan merupakan langkah yang paling bijak. Mujur juga saya tidak tidur di Kedutaan Malaysia untuk malam ini dan mujur kami sempat sampai ke lapangan terbang kira-kira pukul 7. 45 malam. Peristiwa isteri ‘dilarikan’ pemandu teksi merupakan peristiwa yang tidak akan saya lupakan sepanjang lawatan singkat ke Vietnam. Peristiwa yang nampaknya lucu bagi pandangan sesetengah orang, tetapi bagi saya satu pengalaman yang amat mencabar minda dan perasaan!Aduh!

Teksi Maylind yang melarikan isteri-isteri kami

Pengajarannya, sekiranya kita menggunakan perkhidmatan awam seperti teksi,pastikan Sang Suami masuk dahulu ke dalam teksi dan apabila keluar, pastikan sang isteri keluar dahulu daripada teksi. Satu perkara lagi, jangan lupa dapatkan nombor pendaftaran teksi untuk memudahkan sebarang urusan yang tidak disangka-sangka seperti yang telah saya alami.

SELAMAT TINGGAL VIETNAM, TUNGGU KEDATANGAN KAMI LAGI!

Friday, October 7, 2011

Travelog Perjalanan Ke Bandar Ho Chi Minh, Vietnam


Bas yang boleh memuatkan 25 orang penumpang ini membawa kami ke Sg Mekong

Bahagian Kedua

Menyusuri Sungai Mekong

30 September 2011

Menyusuri Sg Mekong merupakan pengalaman paling menarik. Sungai Mekong ialah sungai ke-10 terpanjang di dunia, ke-10 terbesar dari segi isipadu dan mengeluarkan 475 km padu air setiap tahun. Panjangnya 4880 km dan lembangan Sungai Mekong seluas 812,000 km persegi. Mengalir dari Dataran Tibet di utara mengalir melalui Yunnan di China, Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam.
Dengan bantuan salah seorang pekerja hotel, kami berjaya juga membuat tempahan tiket untuk 4 orang. Perjalanan sehari ini akan mengambil masa selama 2 jam dengan bayaran seorang US 18(RM 54).
Kira-kira pukul 9.30 pagi, perjalanan kami bermula dengan melalui lebuh raya ke Sungai Mekong. Nyen yang kami kenali, seorang pemandu pelancong yang cukup ramah juga bakal bergelar Vietnam Idol itu cuba mengenali setiap seorang daripada kami. Bas yang kami naiki terdiri daripada 21 orang pelancong luar yang majoritinya pelancong dari Malaysia. Sepanjang perjalanan, mata kami dihidangkan dengan kawasan sawah padi yang menghijau di kiri dan kanan jalan raya. Pemandu yang penuh berhemah hanya memandu bas dengan kelajuan 80 km/jam ini cukup meresahkan saya yang duduk di belakang pemandu. Khabarnya saman yang dikenakan di sini agak tinggi juga justeru mereka tidak mempunyai keberanian untuk memandu dengan kelajuan yang lazim dilakukan di jalan-jalan raya di Malaysia. Kaki saya seperti ingin sahaja menekan pedal minyaknya.


Lihatkan pemandu ini hanya memandu bas dengan kelajuan 80km/jam. Di sebelahnya pemandangan sawah padi yang cukup memukau.
Selepas 1 jam setengah menempuh perjalanan , kami berhenti rehat di Tram Dung Chan Mekong bagi melepaskan lelah sambil menikmati air kelapa muda. Landskap indah sangat menarik perhatian saya untuk merakamkan foto di sini. Tidak boleh berlama-lama kerana perjalanan yang bakal memakan masa 1 jam lagi perlu diteruskan.
Antara pemandangan yang menangkap lensa mata saya untuk dirakamkan

Pemandangan di sebuah restoran ketika berhenti rehat sebelum meneruskan perjalanan ke Sg Mekong
Setibanya di sana, bot sudah sedia menunggu kami. Sempat juga membeli topi bagi menahan cuaca panas. Pengalaman yang cukup menarik sudah bermula. Menyusuri Sg Mekong yang sibuk menjalankan urus niaga di atas bot sahaja menyambar retina mata kami. Unik dan amat menarik dan tidak berlaku di Malaysia. Sg. Mekong masih menjalani perniagaan tradisional yang begitu menarik untuk dikenang. Sepanjang menyusur sungai,kami bertembung dengan bot yang sarat dengan hasil pertanian seperti nenas, labu, rambutan dan pelbagai hasil tanaman yang lain. Bot yang dinaiki juga dianggap juga sebagai ‘rumah’ kedua mereka.


Perniagaan yang dijalankan di Sg Mekong



Bot yang kami naiki berhenti rehat di sebuah perkampungan kecil, Thanh Thuy. Di situ kami dibawa menyaksikan pembikinan gula-gula kelapa, madu lebah dan ‘rice paper cake’serta beberapa barangan cenderamata. Mata saya tertumpu ke arah botol yang di dalamnya terkandung bangkai ular dan kala jengking yang airnya kekuning-kuningan.


Perusahan kecil yang wujud di tebing Sg Mekong

Pelbagai bentuk cenderamata juga dijual.
Setelah hampir 45 minit di situ dan membeli 2 botol madu lebah, kami dibawa semula menyusuri Sungai Mekong sekali lagi. Kali ini kami akan singgah ke sebuah restoran tempatan. Tetapi sebelum ke restoran berkenaan, kami diberi peluang menaiki bot kecil yang pendayungnya terdiri daripada seorang wanita Vietnam. Sepanjang perjalanan,kami sempat juga menyaksikan aktiviti-aktiviti harian yang dijalankan di sepanjang sungai berkenaan. Setelah hampir 20 minit menyusuri Sg Mekong dengan sampan kecil kami menaiki bot semula untuk menuju ke sebuah restoran tempatan.

Sebuah restoran tempatan yang kami singgah untuk melepaskan lelah buat seketika. Di sini kami diberi peluang menunggang basikal untuk melihat-lihat kawasan kampung.


Sebelum berangkat pulang, kami dipersembahkan sebuah drama muzikal yang mengasyikkan lagi mempesonakan
Kurang yakin dengan kehalalan makanan di situ, kami mengambil keputusan untuk merasai buah-buah tempatan sahaja sambil menikmati roti buku yang siap sedia dibawa dari Malaysia. Kami juga diberi peluang untuk menunggang basikal untuk melakukan lawatan di dalam kampung. Namun peluang ini tidak sempat saya sambar. Sebelum pulang, kami dipersembahkan sebuah drama muzik yang cukup mengesankan. Walaupun menghadapi masalah untuk memahami butir bicara namun persembahan itu cukup berkesan kerana kelantangan vokal mereka cukup mengasyikkan ditambah pula iringan muzik tradisional Vietnam.

Perahu kecil yang berkemampuan memuatkan 4 orang didayung oleh seorang wanita yang cukup kental.
Sebelum berangkat pulang ke bandar Ho Chi Minh, kami singgah membeli belah di sebuah pasar. Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 5 petang. Keadaaan pasar cukup sibuk dan rata-rata peniaga di kaki lima menjual hasil-hasil pertanian. Ketika sedang membelek-belek rambutan, tiba-tiba kami dikejutkan oleh suara hiruk pikuk orang. Ketika itu dalam keadaan ketakutan, peniaga jalanan terus mengheret jualan mereka ke kaki jalan. Rupa-rupa pegawai penguatkuasa telah merampas penimbang salah seorang peniaga. Apabila keadaan kembali tenang, mereka menjual hasil pertanian seperti biasa. Saya sempat membeli sekilo jambu batu dan rambutan. Seperti tidak percaya, sekilo rambutan dijual dengan harga 5000 VSD (kira-kira 80 sen)


Singgah di pasar yang sesak dan sibuk

Peniaga jalanan ini kemudian bertempiaran menyelamatkan jualan mereka apabila diserbu oleh penguatkuasa yang merampas alat penimbang mereka
Tiba di hotel Giang Linh kira-kira pukul 7.00 petang. Perut sudah mulai berirama yang tidak selesa kerana tidak menjamah nasi sejak siang tadi. Setelah bersolat di bilik, kami terus bergegas untuk mencari restoran halal di bandar Ho Chi Minh. Setelah makan malam, pastinya destinasi akan diteruskan ke pasar malam untuk menjamu mata pula sebelum mengucapkan ‘Selamat Malam Vietnam’.

Sebuah restoran halal yang ditemukan di bandar Ho Chi Minh namun perlu banyak bersabar ketika menunggu hidangan.

Suasana di pasar malam di Ho Chi Minh yang sentiasa menyambut ketibaan kami.Kami pulang ketika jarum jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam namun tiada nampak tanda pasar malam ini akan menutupkan mata
JUMPA ESOK!

Travelog Perjalanan Ke Bandar Ho Chin Minh, Vietnam

Ruang Terminal Lapangan Terbang Tan So Nhat


Pemandangan kota Ho Chi Minh yang dirakamkan dari Hotel Liang Linh



Kembara Dunia-Ho Chi Minh, Vietnam.

29 September – 1 Oktober 2011

Perjalanan Penuh Gelora…

Bahagian Satu

Dengan menaiki pesawat AK 0884 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tan So Nhat, Ho Chi Minh memakan masa hampir 2 jam. Setibanya di sana, jam menunjukkan pukul 9.40 malam (10.40 malam waktu di Malaysia). Ruang terminal agak sunyi kerana tidak banyak kapal terbang yang mendarat ketika itu, urusan imigresen amat mudah. Tanpa mengisi sebarang borang kemasukan seperti lazim dilakukan semasa berkunjung ke Indonesia. Setelah mengambil bagasi, kami terus ke ruang menunggu.

Destinasi seterusnya ketika waktu sudah menunjukkan pukul 10.30 malam, kami terus disapa oleh seorang pemudah Vietnam yang kami kira seorang pemandu teksi. Setelah perbincangan dilakukan secara ringkas, kami bersetuju dengan tawaran tambang ialah US 25. Tanpa banyak berfikir panjang dan kemungkinan ditambah dengan rasa kepenatan yang kian mulai menguasai diri serta malam yang semakin merangkak, kami terus bersetuju. Kami seolah-olah tersihir!!!



Amat mengejutkan apabila kami juga diminta menambah US10 lagi untuk membayar kos memarkir kenderaan. Sah, kami telah tertipu!Kami berpandangan sesama sendiri dan tersenyum tawar bercampur pahit dengan rasa tidak berpuas hati.

Pengajarannya bagi mengelakkan tertipu adalah lebih baik kita menggunakan perkhidmatan teksi yang terdapat di ruang terminal kerana khabarnya tambangnya kira-kira US 9- US 10 saja( kira-kira RM 27-RM30 sahaja).Lain kali kalau hendak ke mana-mana tanpa mengikuti pakej lawatan, langkah tersebut adalah yang terbaik terutama bagi kami yang buat pertama kali menjejakkan kaki ke sini.

Kami membuat keputusan untuk menginap di Hotel Giang Linh selama 3 hari 2 malam dengan bayaran semalam kira-kira US25 sahaja (RM75). Kami diberi peluang untuk mengintai keadaan bilik yang ternyata sungguh selesa.Keputusan bulat dicapai apabila kami mengambil keputusan untuk meneruskan penginapan di sini sahaja. Untuk menunaikan solat mujur saya membawa alat penentu arah kilat yang sejak awal-awal lagi antara barang yang perlu dibawa ke bumi yang minoritinya Islam.

Selamat Malam Vietnam, Jumpa Esok!