Saturday, June 16, 2012

BENGKEL PENULISAN DAN PENERBITAN ITBM-PENA-DBP
HOTEL TRADERS, MUAR,JOHOR
15-17 Jun 2012
Sebuah catatan perjalanan jiwa penuh gelora...

Pagi ini seawal puku 6.45 pagi, 16 Jun 2012, saya telah bertolak dari rumah untuk mengikuti Bengkel Penulisan dan Penerbitan ITBM-Pena DBP (Zon Selatan) yang diadakan di Hotel Traders Muar. Maklumat yang saya peroleh menerusi seorang rakan (Puan Noraini Eislah)  bahawa sifu Azmah Nordin akan hadir dan memberikan penerangan tentang penulisan novel pada pukul 2.30 petang pada hari Sabtu itu seperti menolak-nolak diri untuk melangkah untuk menemui beliau. Selama 4 tahun saya berguru secara maya bersama sifu dan inilah peluang yang ada untuk bertemu dengan beliau pada alam realiti. Hati saya terus meronta-ronta untuk menemui beliau. Sebagai anak didik yang agak 'degil' dan pertemuan ini perlu bagi memberi  suntikan semangat yang kian layu untuk berkarya selain berpeluang untuk terus berguru dengan beliau. 

Selepas memarkir kereta di Stesen Teksi Muar dengan membayar RM1.00, saya terus melangkah menuju ke arah hotel yang terletak bersebelahan dengan stesen teksi. Saya sempat menjeling ke arah jam tangan yang menunjukkan pukul 8.25 pagi. Selepas menaiki lif menuju ke tingkat 3 saya terus ke Dewan Aman. Ketika tiba di ruang dewan yang luas itu, saya mencari-cari seseorang yang saya kenali,. Puan Noraini Eislah, yang lebih mesra dipanggil dengan Kak Noraini sedang duduk di meja hadapan. Saya terus mengirimkan salam. Dia terkejut dengan kemunculan saya di sini. Segera saya diminta untuk berjumpa dengan sifu yang duduk sebaris dengan beliau di sudut sebelah kanan sekali. Saya melangkah menuju ke arah meja sifu dengan rasa debar yang memuncak. Sifu yang sedang leka menatap komputer ribanya terus terkejut. 'Ya Allah, datang juga awak!' Sifu melemparkan senyuman manis. Saya menyambut mesra salam sifu. Lidah saya kelu. Saya hanya sempat bertanya khabar dan sifu dengan bangganya terus  memperkenalkan saya  kepada peserta lain bahawa saya merupakan anak didik beliau secara maya. Saya rasa termalu juga. Saya terasa terlau kecil apabila berada dalam kelompok penulis yang besar di negeri Johor ini. 


Selepas sempat bertanya khabar beliau, saya segera ke ruang belakang untuk melihat-lihat pameran buku yang diadakan oleh pihak Pena dan ITBM. Beberapa buah buku yang saya sukar untuk ditemukan di pasaran, saya sambar.Antara buku yang menarik yang saya beli adalah seperti berikut:
1. Perjuangan Penulis Muda-Arah dan Cabaran - Pena
2.Nama Ai Lolipop - Studio Anai-Anai
3.Stingarden- PTS
4.Ahli Politik- ZM Zakir
5.Kumpulan Puisi - Adul Ghafar Ibrahim (Agi)-DBP

Saya difahamkan pada sebelah pagi ini  akan diadakan sesi taklimat penerbitan dan sayembara yang dianjurkan oleh pihak ITBM. Penerangan yang diberikan sedikit sebanyak sempat saya hadamkan dalam jiwa. Untuk menghasilkan sepuluh buah cerpen dalam ruang masa selama 6  bulan ini akan cuba juga untuk diusahakan. Sebenarnya sudah ada dua buah cerita yang sedang berlegar-legar di ruang angkasa minda setakat ini cuma belum dilahirkan di dunia realiti.Semoga usaha ini akan dipermudah oleh-Nya.
Sasaran saya setiap bulan perlu menghasilkan dua buah cerpen sambil menguliti novel sendiri.

Hari ini saya dimaklumkan bahawa pertandingan novel yang dianjurkan ialah penghasilan novel dewasa. Saya masih belum bersedia untuk menyertai pertandingan ini. Saya hanya ada sebuah manuskrip novel yang masih belum siap (ada tiga bab terakhir) dan masih terlalu 'rebung' untuk dinilai oleh panel ITBM. Namun saya diberi semangat oleh sifu Azmah Nordin untuk menyiapkan karya sulung itu. Saya kembali bersemangat, bara penulisan yang tersimpan dalam hati dinyalakan apinya oleh sifu. Sifu tidak putus-putus menghantar semangat dengan meniup lembut bara yang kini mulai menyala semula. Terima kasih sifu, tidak sia-sia kunjungan ini.

Pertemuan singkat dengan sifu ternyata memberi semangat baru kepada saya. Saya kembali ghairah untuk menulis semula. Saya terlalu banyak membuang masa. Saya tidak akan terus meninggalkan 'Izhar Ammar' tersimpan di laci buruk dan kuncinya terus lenyap. Kunci itu sebenarnya disimpan oleh pemilik laci berkenaan. Saya akan membuka semula.

Pertemuan berakhir juga lewat pukul 4.30 petang, selepas sifu selesai menyampaikan ceramahnya. Saya memohon kepada sifu untuk pulang. Saya seperti tidak puas untuk 'mencuri' ilmunya namun saya tetap perlu beredar kerana saya tiada ruang di sini lagi. Saya hanya mencelah-celah dalam khalayak penulis dari Johor buat sebentar sahaja.Insya-Allah masih ada pertemuan lagi selepas ini.

Terima kasih sifu kerana memberi peluang anak didikmu mencari secarik sinar dari sebutir berlian yang dimilikinya.

No comments:

Post a Comment