Wednesday, June 20, 2012

Langkah-Langkah Mengatasi Kemalangan Maut


Image Detail
Langkah-langkah Mengatasi Kemalangan Maut

Dasawarsa ini, kes kemalangan maut sering berlaku di negara kita. Kejadian ini telah meragut banyak nyawa serta pengguna mengalami  kerugian dari segi harta benda. Untuk makluman, kemalangan maut sering berlaku apabila musim cuti persekolahan atau musim perayaan. Terdapat pelbagai langkah yang perlu diambil bagi menangani kes ini daripada terus berleluasa.

Antara langkah mengatasi kemalangan maut ialah kerajaan perlu mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu yang cuai. Hal ini demikian kerana, pemandu yang tidak bermoral akan menjadi lebih teruk jika tidak diberi hukuman atas kesalahan yang dilakukan dan mereka memandang rendah terhadap peraturan jalan raya. Sebagai contoh, pemandu yang melanggar lampu isyarat haruslah dikenakan saman dan  tidak diberi peluang kedua oleh pihak berkuasa.  Tegasnya, hukuman ini haruslah dikuatkuasakan supaya pemandu takut membuat kesalahan. 

Di samping itu, kerajaan perlu mengetatkan syarat untuk memiliki lesen memandu. Hal ini demikian kerana, terlalu ramai pemandu berlesen tidak cekap memandu  dan akan menyebabkan kemalangan maut semakin menjadi-jadi. Sebagai contoh, kerajaan perlu meningkatkan umur pemilikan lesen motosikal dari 16 tahun kepada 17 tahun. Oleh itu, kerajaan wajar melaksanakan syarat ini dengan kadar segera agar isu ini boleh diatasi dengan segera.

                Bukan itu sahaja, ibu bapa perlu memberi pendidikan tidak formal kepada anak-anak. Sehubungan dengan itu, ibu bapa boleh mendidik anak mereka sejak berumur  empat tahun tentang peraturan jalan raya. Sebagai contoh, ibu bapa perlu memberitahu  anak mereka bahawa mereka wajar mematuhi lampu isyarat, melintas dengan menggunakan jejantas dan memandang ke kiri dan ke kanan sebelum melintas jalan. Tegasnya, pendidikan awal ini penting kerana bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. 

                Selain itu, pihak sekolah haruslah menubuhkan Kelab Jalan Raya sebagai salah satu aktiviti kokurikulum. Semasa aktiviti kokurikulum, ahli kelab boleh menjalankan aktiviti pemanduan secara berhemah di tempat yang telah disediakan oleh pihak sekolah.  Secara tidak langsung, amalan ini dapat melahirkan pemandu dan penunggang yang berhemah  ketika di jalan raya.  Tegasnya, penubuhan kelab ini akan menjadi satu langkah yang efektif  bagi mengatasi isu ini.

                Seterusnya, kerajaan perlu menyemarakkan kempen berkongsi kereta. Sehubungan dengan itu, kesesakan lalu lintas yang sering berlaku terutamanya di kawasan bandar dapat diatasi. Sekiranya langkah ini dilaksanakan, jumlah kemalangan jalan raya juga dapat diminimumkan. Maka, kerajaan yang merupakan tunggak utama perlu memastikan kempen ini berjaya dilaksanakan.

                Kesimpulannya, semua pihak perlulah menggembleng usaha bagi menanganinya agar kemalangan maut  dapat tangani. Seterusnya, kita juga berharap Malaysia tidak tersenarai dalam peta sebagai lebuh raya maut di dunia.

No comments:

Post a Comment