CERPEN
PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI
Oleh Abdul Razak Bin Husin
2 JANUARI 2028
Kongres Kembalikan Bahasaku diadakan hari ini. Dewan Besar berciri Minangkabau menjadi saksi bisu pada satu perjuangan yang masih belum selesai.
Di dewan ini menyaksikan pertemuan tokoh-tokoh besar bahasa. Pertemuan yang pasti recok, hebat dan mengundang polemik bakal dilangsungkan di dewan gah ini. Dr. Muhammad Irwan Shah turut dijemput bagi membentangkan kertas kerja utama. Umurnya yang sudah lewat dan kulitnya mulai meringsing berbeza daripada penampilannya 30 tahun yang lalu.
Kehadiran pagi ini disambut oleh beberapa orang penyambut tetamu yang kelihatan tumandang lengkap berbaju Melayu rona biru dan bertanjak mempersilakannya masuk ke dalam dewan. Salaman pertemuan daripada tetamu yang terlebih dahulu tiba disambut dengan senyuman tidak pernah lekang dibibir. Dia yang berbaju Melayu Johor rona merah hati baru sahaja melabuhkan punggung berdekatan dengan pentas utama. Seorang gadis Melayu yang berbaju kurung berbunga besar jingga itu menyerahkan sekeping kartu yang berlatarbelakangkan potret Zainal Abidin Bin Ahmad. Terukir senyuman manis menyapa dibibirnya. Irwan teringat anak gadisnya, Siti Munirah. bakal penyambung perjuangannya tidak dapat hadir. Kedua-dua belah tangannya terus membuka kartu yang diterimanya. Tentatif program yang tertera pada halaman pertama ditelitinya.
Dia membuka beg kulit hitam yang selalu dibawa. Keadaan dalam dewan sudah mula dipenuhi tetamu. Setengah jam lagi majlis akan bermula. Dia memperkemaskan duduknya. Dia mengeluarkan akhbar Utusan Nasional. Akhbar yang kian nazak ini tidak lagi mampu menjadi wadah pemikiran dan penyatuan bangsanya. Mungkin dua tiga tahun lagi, akhbar itu pun akan tinggal sejarah. Khalayak pembaca akhbar itu. terus merosot. Malang lagi kalau akhbar itu bakal menggunakan bahasa Inggeris pula.
Dia menyelak-nyelak dari satu halaman ke satu halaman. Tiada satu berita yang menangkap minatnya. Tiada langsung berita tentang kongres yang dihadirinya.
Akhbar nipis itu dimasukkan semula. Dia mengeluarkan kertas kerja berhalaman 15 muka surat itu. Diselak-selak bagi meneliti esensinya. Kotak fikirannya seoloh-olah dipaksa-paksa mengimbau peristiwa yang berlaku di rumah kenalannya, Dato Mazlan, bekas ahli Parlimen di Bandar Tun Razak. Dia dijemput menghadiri kenduri potong jambul cucu keempatnya. Kehadirannya yang sepatutnya bersama-sama anak tunggalnya, Siti Munirah tidak kesampaian. Kesibukan menyiapkan tesis ijazah kedoktoran dalam bidang Sosiolinguistik memaksanya menolak pelawaan ayahnya.
“Maaf, Wan, cucu aku kurang fasih bahasa kita,” ucap rakan lama yang dikenalinya semasa menuntut di universiti dahulu. Farhana yang berumur sekitar 10 tahun ini tidak memberi jawapan apabila dia mengajukan pertanyaan. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Dia memandang datuknya dengan durja yang terpinga-pinga. Riak durja Mazlan berubah seketika. Irwan tidak terkejut. Malah dia mengangguk-ngangguk kepala tanda faham. Sama sekali dia tidak meletakkan kesalahan di pundak temannya
“Nak buat macam mana, Wan, ibu bapanya hanya mahu mengajar anak mereka berbahasa Inggeris. Bahasa kita tidak mempunyai nilai komersial lagi.” Terungkap rasa kecewa rakannya ketika memberi penjelasan. Irwan hanya tersenyum sumbing. Tidak sedikit pun rasa bersalah mengecap anak rakannya ini umpama Si Tanggang. Angkuh, terlalu mudah berlagak bongkak hingga melupakan asal keturunan malah berusaha memisahkan diri dari akar umbi bangsanya.
Dalam perjalanan pulang ke rumahnya, fikirannya sarat dengan seribu persoalan yang perlu diungkai segera. Kisah anak kecil yang tidak fasih bahasa itu bergayut kukuh di minda, lantas tercetuslah kertas kerja yang bakal dibentang..
Pendapat yang dipertahankannya lebih dua dekad itu tidak langsung diendahkan. Malah, dia diherdik golongan yang menolak kemajuan. Dia diselar taasub dalam perjuangannya. Sikap mulusnya disalah erti. Dia dituduh agak parokial untuk menerima perubahan. Pendapatnya disanggah sesetengah pihak yang berkepentingan. Kata-kata menteri yang mengatakan pendidikan dalam aliran Inggeris tidak akan menjejaskan identiti, patriotik dan kebudayaan sesuatu bangsa benar-benar merobek jiwanya yang kian parah dan bernanah.
Sebenarnya, mereka sengaja tidak mahu mengiktirafkan bahasa itu jiwa bangsa. Bahasa mempengaruhi keperibadiaan, nilai dan cara hidup seseorang,” ujarnya tegas ketika diwawansabda sebuah akhbar tabloid berhaluan kiri, 25 tahun yang lalu. Lebih memedihkan lagi jiwa bila bahasanya beransur-ansur kehilangan fungsi. Mulai tahun depan, dasar ini telah membenarkan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Perakaunan, Perdagangan dan Ekonomi. Kedudukan dan darjatnya terus merosot. Dia telah menduga perkara ini pasti berlaku. Bahasanya menjadi bahasa basahan, bahasa pasar dan bahasa komunikasi tahap rendah. Muliakah bahasanya? Pertanyaan yang pernah dilontarkan kepada kenalannya, Dato Mazlan Mansur yang diharap dapat disandarkan sedikit harapan rupa-rupa hanya mampu membatu dan membisu di Parlimen. Dia hilang suara.Hilang segala-galanya. Maruah bahasa terus tergadai juga.
“Kalau di Parlimen, bahasa kebangsaan tidak diletakkan pada persada yang betul , apa lagi golongan bawahan yang dibatasi oleh sentimen kaum yang kuat.” Pendapat itu sengaja dilepaskan kepada Dato Mazlan untuk difikirkan. Kek lapis Sarawak yang dipesan oleh Dato Mazlan ketika bersembang petang itu tidak sempat dijamah olehnya.
Dato Mazlan masak benar dengan kelantangan rakannya ini ketika bersuara. Suasana petang Jumaat di sebuah Restoran Ikhwan di Bangsar ini agak panas dek kata-kata Irwan. Dia sedar dia tidak mampu lagi berbuat apa-apa lagi. Suaranya kian tipis dan langsung hilang.
“Banyak bahasa di dunia ini tenggelam kerana pendukungnya. Kita sebenarnya menentukan tinggi rendah martabat atau panjang pendek hayat sesuatu bahasa.” Begitu sinis kata-kata Irwan. Langsung tidak membenarkan rakannya mencelah.
Dato Mazlan bungkam. Dia merogoh saku seluarnya untuk mengambil sapu tangan untuk mengelap renik-renik peluh yang mula gerimis
“Kalau 79 tahun merdeka kita tidak mampu memberi kemuliaan kepada bahasa kebangsaan, berapa ratus tahun lagi diperlukan untuk melakukannya?”
Dato Mazlan tersandar lemah di kerusi. Sepotong kek yang baru sahaja melalui kerongkongnya terasa seperti tidak lalu untuk ditelan. Dia memerhatikan Irwan berlalu ketika rembang senja baru sahaja hendak melabuhkan tirainya. Dia berharap perjumpaan ini bukan terakhir bagi mereka. Dan pertemuan petang ini diakhiri oleh Irwan dengan persoalan yang cukup memanaskan telinga.
Dato Mazlan mengakuinya. Sudah hampir dua puluh lima tahun Bahasa Inggeris dianggap kunci ajaib yang kononnya mampu meningkatkan pencapaian anak bumi tercinta. Dasar ini hampir melenyapkan dan menguburkan bahasa ini di persada tanah airnya. Dato Mazlan akur akan ketentuan itu. Garis-garis kekesalan sudah tidak berguna lagi.
Sehinggalah pagi tadi, dia menerima SMS daripada Irwan. Dia telah dijemput hadir bagi mendengar pembentangan kertas kerja oleh rakan baiknya itu.
Dia tiba apabila Irwan sedang bersemangat membentangkan kertas kerjanya. Dia duduk di celah-celah tetamu yang hadir. Berbunga rasa bangga di hatinya. Dr Irwan mendapat tepukan gemuruh daripada tetamu yang hadir.
Dalam pembentangan hampir memakan masa dua jam itu, dia kagum dengan kelantangan Irwan memberi ingatan .
“Para pemimpin negara perlu bertaubat dengan menyanjung tinggi bahasanya. ketika warganya gah kononnya mahu menjadi warga global sehinggakan sanggup menggadaikan bahasa Melayu, rakyat negara lain sebaliknya mengukuhkan bahasa ibunda sendiri. Bahasa Melayu perlu menjadi perisai terbaik dalam berhadapan dengan cengkaman hegemoni budaya yang sebenarnya terselindung di sebalik topeng globalasisi.” Semua tetamu berdiri memberikan tepukan gemuruh. Seluruh dewan gegak gempita bunyi tepukan.
“Dasar ini sudah sampai peringkat pemusnahan kebangsaan pula.”. tegas Irwan penuh bersemangat.
Semua bangun kembali memberikan sokongan. Dato Mazlan turut berdiri memberikan tepukan. Tepukan gemuruh dari setiap sudut ruang dewan didengarinya. Rakannya terus bersemangat. Dia seolah-olah tidak mahu berhenti berbicara. Bertalu-talu ucapan tahniah terus disambut oleh rakan-rakan yang sama-sama berjuang sejak dahulu lagi.
“Peribahasa lulus jarum luluslah kelindan sudah berlaku di semua universti. Peranan bahasanya itu sebagai bahasa ilmu dan bahasa moden akan terhenti . Bahasanya terus terperosok menjadi bahasa pasar. Bahasa nya terus jatuh ke nombor tiga di bawah bahasa Inggeris dan Mandarin. Namun ini bukan masa yang tepat untuk menuding jari kepada pihak tertentu dan sepatutnya dijadikan masalah nasional dan perlu ditangani segera.” Dr. Irwan terus bersemangat menegakkan pendiriannya yang dipasak kukuh pada tiang kewarasan fikiran.
Soalan daripada wartawan Utusan Nasional itu disambut dengan jawapan padat. Sempat dia menjeling Dato Mazlan yang turut menghadiri sidang media itu. Hanya senyuman dilemparkan kepada rakan baiknya itu.
“Orang Melayu sekarang sudah mahu buang bahasanya”. ujar Irwan pada sesi terakhir sidang media itu. Dato Mazlan tertampar dengan kata-kata yang cukup sinis itu. Peristiwa itu terhadap bahasanya benar-benar berlaku dalam lingkungan keluarganya. Cucu-cucunya tidak fasih bahasa ibundanya. Malah dia tidak pernah mendengar Farhana cucu sulungnya mengucapkan sepatah bahasanya di rumah. Rasa bersalah mula membalut diri. Lantas, Dato Mazlan meninggalkan majlis dengan rasa kesal yang tidak berkesudahan.
Balik sahaja dari Kongres itu, Irwan terbaring rimpuh di sofa empuk di hadapan televisyen LCDnya. Kepalanya jangar akibat cuaca panas di luar tadi. Rumah banglo dua tingkat ini terasa amat sunyi.
Siti Munirah masih belum nampak bayangnya. Niatnya untuk menonton rancangan di televisyen juga terbantut apabila banyak rancangan dalam bahasa Inggeris telah mengambil tempat hampir semua stesen televisyen. Dia rasa mual. Tekaknya rasa loya.
Kelayau matanya memandang ke segenap ruang tamu rumahnya. Irwan melemparkan pandangan terhadap foto berbingkai emas yang terpampang foto anak gadisnya. Gambar yang dirakamkan ketika anaknya menerima Ijazah Sarjana Muda dalam Bidang Pengajaran Bahasa Melayu hampir 6 tahun yang lalu. Hari ini Siti Munirah ada pertemuan terakhir dengan penyelia tesisnya di Universiti Malaya. Tidak lama lagi, anaknya bakal mengikut jejak langkahnya. Gelaran doktor falsafah dalam bidang Sosiolinguitik akan digapainya tidak lama lagi.
Apa yang pasti perjuangannya tidak akan mati. Itu tekad yang pernah dilafazkan oleh Siti Munirah. Malam ini, Irwan berjumpa Za’ba yang walang dalam mimpinya.
Glosari:
1. recok : gempar
2.polemik : perbahasan
3.ringsing : berkerut-kerut
4.diwawansabda : wawancara
5.taasub : kuat pegangan atau keyakinan yg keterlaluan terhadap
sesuatu atau seseorang, fanatic
6. mulus : jujur
7.esensi : inti, hal yang pokok
8. durja : wajah
9. hegemoni : dominasi
10. rimpuh : letih
11. jangar : pening
12. kelayau : memandang dari satu tempat ke satu tempat, mengalih-
alihkan pandangan
13.walang : dukacita
14.parokial : berfikiran sempit
15.merogoh : menyelukkan tangan
16. tumandang : segak
17. kartu : kad
No comments:
Post a Comment