CERITA KONTOT (CERTOT) ( Kanak-kanak)
Kerana Sarang Burung Tempua
Oleh: Abdul Razak Bin Husin
Hari ini abah hendak pergi cari sarang burung tempua. Apa abah nak buat dengan sarang burung tempua? Adik rasa hairan.
Kata abah, sarang burung tempua unik. Adik tak tahu unik itu apa? Adik tanya abah lagi. Kata abah sarang burung tempua luar biasa bentuknya. Adik geleng kepala. Ayah tersenyum sambil mencium pipi tembam adik. Adik rasa geli bila misai kasar abah menyapu lembut pipi adik. Kata ayah sarangnya diperbuat daripada helaian halus rumput yang dianyam dengan rapi seperti bentuk kon aiskrim yang tergantung dari dahan pokok. Adik bayangkan aiskrim kon yang dijual di kedai Mak cik Bedah. Adik tak faham abah cakap apa?
Sambung ayah lagi, sarang bagi burung tempua jantan mempunyai tempat bertenggek baginya menunjuk-nunjukkan dirinya, sementara sarang burung tempua betina mempunyai bahagian bawah yang melengkung bagi menyimpan telur. Adik pelik, kenapa ayah beria-ia hendak mencari sarang burung tempua. Kalau boleh abah hendak cari sarang burung jantan dan sarang burung betina. Rasa tidak puas hati adik masih tebal dalam jiwa. Adik ajukan soalan ini pada abah lagi.
“Kalau abah ambil sarangnya, di mana ibu burung dan anaknya nak tidur? Kasihan anak burung itu nanti,” rintih adik lagi. Mesti kesejukan apabila hujan turun lebat. Adik cuba bayangkan kalau rumah banglo dua tingkat abah diambil orang. Mana abah dan ibu nak tidur? Kak Long dan Abang Ngah macam mana? Adik tak nak tidur di kaki lima kedai. Getus adik kebingungan.
Ayah kata sarang burung tempua cantik kalau dibuat hiasan taman. Abah nak gantung sarung burung tempua pada dahan pokok buluh Cina. Adik tahu ayah memang suka hias taman. Adikpun suka tolong abah siram pokok bunga. Taman abah memang cantik. Adik pernah dengar jiran mereka Encik Nathan puji. Ayah suka sangat apabila jirannya puji taman mininya indah. Kata ayah ada pertandingan taman akan diadakan di tempat tinggal mereka. Kalau menang, hadiahnya lumayan juga.Tahun lepas, ayah dapat hamper besar. Tak habis-habis adik makan cokelat, gula-gula, biskut dan air oren.
Adik suka kalau abah tak dapat hamper besar tahun ini. Adik tak puas hati. Adik tak setuju kenapa ayah nak beli sarang burung tempua. Banyak kedai bunga yang abah singgah. Tapi semuanya dah habis dijual. Laku juga sarang burung tempua ini. Akhirnya, abah singgah di sebuah kedai makan. Adik nampak sebatang pokok rambutan yang rendang. Di dahannya tergantung beberapa sarang burung. Kata tuan kedai, sarang burung ini baru sampai sebentar tadi.
“Oh, ini rupakan sarang burung tempua!” bisik adik dalam hati. Abah tunjukkan sarang burung betina dan sarang burung jantan. Sarang burung betina memang berbeza dengan sarang burung jantan.
“Kenapa ada dua sarang burung? Kenapa burung jantan tak tidur dalam sarang burung betina,” Abah senyum lagi. Adik masih tak puas hati. Adik desak abah jawab soalan adik.
“Ibu dan ayahkan tidur dalam satu bilik.” Abah masih tak jawab soalan adik. Ayah tanya harga sarang burung pada tauke kedai. Adik nampak ayah keluarkan RM30.00 daripada dompetnya.
Balik dari kedai, tanpa berlengah, ayah terus gantung sarang burung pada dahan pokok buluh Cina. Adik belek-belek sarang burung itu. Adik rasa hairan bagaimana burung tempua buat sarang. Baru adik faham cakap ayah. Sarang burung tempua memang unik.
Adik belek sarang burung betina. Tiba-tiba adik terkejut besar. Dalam sarang burung betina ada dua ekor anak burung yang sudah hampir kering. Bulu-bulunya sudah hampir luruh tapi masih belum reput lagi. Adik jerit pada ayah. Ayah terkejut bila dengar adik jerit. Adik cuba kuis bangkai anak-anak burung itu dari sarangnya. Dua ekor bangkai anak burung sudah terjatuh apabila adik kuis dengan jari tunjuk adik. Si Kuning yang bersama-sama adik terus terpa ke arah bangkai anak burung itu. Bangkai anak-anak burung hampir dicium-ciumnya. Adik halau Si Kuning jauh-jauh. Si Kuning lari sembunyi di sebalik tembok pagar. Adik membongkokkan badan. Adik cuba kuis badan kaku anak-anak burung itu. dengan jari adik. Adik rasa kasihan. Mesti ibu tempua sedih bila balik, sarangnya sudah diambil orang. Mata adik berladung dengan air mata. Adik cuba menahan tangisan. Air jernih adik tumpah juga menitis atas bangkai anak burung itu. Adik benar-benar kesal. Adik kesal sikap ayah beli sarang burung tempua. Bagaimana perasaan abah, kalau tiba-tiba adik juga jadi macam anak burung tempua itu?
No comments:
Post a Comment