Kelewahan Bahasa (2)
Satu lagi bentuk lewah dalam ayat ialah penggandaan kata nama sesudah kata nama atau kata kerja yang mendukung maksud jamak. Contohnya:
(1a) Senarai nama-nama peserta sudah diumumkan oleh penganjur kejohanan.
(2a) Jurulatih menghimpunkan pemain-pemain di tepi padang.
Bentuk yang betul bagi ayat (1a) dan (2a) adalah seperti yang berikut:
(1b) Senarai nama peserta sudah diumumkan oleh penganjur kejohanan.
(2b) Jurulatih menghimpunkan pemain di tepi padang.
Kata seperti antara dan daripada berkaitan dengan sebilangan orang atau perkara daripada keseluruhan. Oleh sebab itu, penggandaan pada kata nama yang menyusuli kedua-dua kata tersebut dianggap lewah. Begitu juga halnya bagi kata ada. Contohnya:
(3a) Antara pegawai-pegawai yang dinaikkan pangkat ialah pegawai eksekutif syarikat
itu.
(4a) Seorang daripada murid-murid itu telah dikenakan tindakan disiplin.
(5a) Ada murid-murid yang telah membayar yuran persekolahan.
Ayat 3a hingga ayat 5a dapat dibetulkan dengan meniadakan penggandaan pada kata nama, seperti yang berikut:
(3b) Antara pegawai yang dinaikkan pangkat ialah pegawai eksekutif syarikat itu.
(4b) Seorang daripada murid itu telah dikenakan tindakan disiplin.
(5b) Ada murid yang telah membayar yuran persekolahan.
Dari segi penggunaan kata penguat, sesetengah penguat tidak boleh digandingkan kerana dikatakan lewah. Selain itu,imbuhan ter- juga tidak boleh digandingkan dengan kata penguat bandingan penghabisan. Contohnya:
(6a) Ali paling tercerdik.
(7a) Ali terpandai sekali.
Kata penguat paling dan sekali serta imbuhan ter- bermaksud bandingan penghabisan. Oleh sebab itu, hanya satu unsur yang boleh kita gunakan. Contohnya:
(6b) Ali paling cerdik.
(6c) Ali cerdik sekali.
(7b) Ali terpandai.
(7c) Alilah yang terpandai.
(7d) Ali pandai sekali.
No comments:
Post a Comment