Wednesday, December 30, 2009

Penggunaan Peribahasa dalam Karangan

PENGGUNAAN PERIBAHASA DALAM KARANGAN

Peribahasa ialah ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu. Peribahasa terdiri daripada beberapa jenis seperti simpulan bahasa, perbandingan, perumpamaan, pepatah, bidalan, dan kata-kata hikmat. Dengan menggunakan peribahasa dalam karangan, huraian atau hujah bagi setiap isi dalam karangan bukan sahaja menjadi mantap, tetapi menjadi indah dan berkesan. Peribahasa dalam bahasa Melayu dapat digunakan sama ada dalam pengenalan karangan, isi karangan, ataupun penutup karangan. Lihat contoh penggunaan peribahasa dalam setiap bahagian karangan di bawah ini:

Perenggan Pengenalan
Soalan:
Sejak akhir-akhir ini, kewujudan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) berkembang sangat pesat. Pada pendapat anda, apakah sumbangan IPTS dalam pembangunan dan kemajuan pendidikan di negara kita?


Di negara kita sekarang ini, terdapat hampir sejumlah 700 buah institusi pengajian tinggi swasta(IPTS) yang telah diluluskan penubuhannya oleh Kementerian Pendidikan. Antara IPTS yang popular di Malaysia termasuklah Kolej Stamford, Institut Lim Kok Weng, Kolej Damansara Utama, Kolej Nilai, dan sebagainya. Kewujudan IPTS yang rancak bagai cendawan tumbuh selepas hujan telah membimbangkan beberapa banyak pihak terutamanya dari segi kualiti, kemampuan menyediakan prasarana, tenaga pengajar, dan sebagainya. Walaupun banyak pihak menganggap bahawa IPTS yang wujud ini berorientasikan keuntungan, sumbangannya terhadap perkembangan pendidikan di negara kita tidak dapat dinafikan.



Perenggan Isi

Soalan:
Kebaikan amalan bergotong-royong dalam masyarakat. Bincangkan.

Salah satu kebaikan amalan bergotong-royong dalam masyarakat iaitu meningkatkan hubungan sesame dalam komuniti. Amalan gotong-royong yang mementingkan kerjasama antara satu sama lain akan dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan masyatakat setempat. Ahli dalam komuniti boleh berbual-bual dan berkenalan dengan orang lain sambil bergotong-royong supaya mereka dapat mengenal hati budi seseorang dengan lebih dekat lagi. Hal ini demikian kerana hubungan yang baik dengan orang lain dapat membantu seseorang itu apabila menghadapi masalah. Hal ini terkandung dalam pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Sebagai contoh, gotong-royong yang diadakan di sesebuah sekolah dapat menjalinkan hubungan antara pelajar dengan guru serta masyarakat sekitar. Tegasnya, amalan bergotong-royong sememangnya membawa hubungan yang baik dalam masyarakat.


Perenggan Penutup

Sejak akhir-akhir ini , gejala social semakin berleluasa. Ada pendapat yang menyatakan bahawa gejala ini berlaku berpunca daripada sikap ibu bapa yang kurang memberikan perhatian kepada anak-anak. Sejauh manakah anda bersetuju dengan kenyataan ini?

Kesimpulannya, gejala social banyak berpunca daripada ibu bapa yang sibuk bekerja dan kurang menumpukan perhatian pada anak-anak. Sebagai ibu bapa, mereka hendaklah memelihara dan menjaga anak-anak dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Selain itu, ibu bapa juga hendaklah menjadikan dirinya sebagai contoh yang terbaik kepada anak-anak dalam segala tingkah laku seperti mengerjakan solat, berbudi pekerti yang mulia, jujur, dan sebagainya kerana peribahasa Melayu mengatakan bahawa bagaimana acuan begitulah kuihnya. Oleh hal demikian, gejala sosial yang semakin berleluasa ini dapat diatasi jika ibu bapa bijak memainkan peranan masing-masing.

No comments:

Post a Comment