Cerpen 'Menjaring Hati Kecilnya' cukup bermakna kepada saya. Cerpen pertama saya kira setelah hampir puluhan tahun tidak menulis. Bengkel yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan benar-benar telah membuka ruang mata saya.
Proses kreatif penciptaan diangkat melalui 90 % kisah sebenar saya ketika dipertanggungjawab mengajar kelas 4 Pluto pada tahun 2008. Watak remaja lelaki yang saya angkat dalam karya ini menggunakan nama sebenar. Hampir semua nama watak dalam cerpen ini menggunakan nama sebenar murid-murid di kelas berkenaan. Tahun ini, (2009) pelajar berkenaan telah menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Cikgu mendoakan anda berjaya dalam kertas Bahasa Melayu yang telah anda duduki pada 16 November yang lalu.Cikgu meminta maaf kerana tidak dapat mengajar anda pada tahun 2009.Cikgu hendak ada tahu, bahawa itu bukan permintaan cikgu.
Sebenarnya, sepanjang saya mengajar Bahasa Melayu di kelas ini, pelbagai kisah lucu, sedih, gembira saling berbaur dalam diri. Pada mula-mula dipertanggungjawab mengajar kelas ini, saya benar-benar rasa tercabar oleh kerenah pelajarnya yang rencam tetapi kemudian menyeronokkan.
Tidak dinafikan mengajar di kelas ini memerlukan kekuatan, kesabaran yang bukan calang-calang. Kesabaran saya roboh umpama robohnya bangunan kebanggaan Amerika Syarikat sedikit masa dulu. Pelajar yang tertidur di belakang kelas telah saya halau keluar tanpa rasa belas dan simpati.
Selepas peristiwa itu, saya tidak pernah berjumpa pelajar berkenaan. Sehinggakan satu hari, pelajar berkenaan hadir. Penyesalan benar-benar mengheret saya untuk membongkar dan menyelak kisah peribadi pelajar berkenaan. Ternyata dia telah meluahkan rasa hati yang sudah lama dipendamkan amat dalam di lubuk hatinya. Hampir 30 minit bersama dengan pelajar berkenaan sehinggakan waktu rehat terpaksa saya korbankan. Kolam air mata saya retak juga akhirnya. BeBola matanya turut berkaca.Kristal jernih jelas mengalir dari tubir matanya.
Cerpen ini saya ulit dengan pernah emosi di dada. Sehinggalah saya menitiskan air mata ketika menamatkan cerpen ini. Saya berharap apa-apa yang saya hasratkan di bahagian akhir cerpen akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.
(Untuk makluman semua, judul cerpen ini pada mulanya berjudul 'Gurukah Aku' tetapi telah dipinda kepada 'Menjaring Hati Kecilnya, hasil daripada bengkel penulisan 2 anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan. Judul ini dicadangkan oleh Dr. Mawar Shafie, pembimbing bengkel.)
No comments:
Post a Comment