Monday, December 14, 2009

Proses Kreatif Cerpen 'Perjuangan Belum Selesai'

Cerpen kedua saya lahir selepas bengkel anjuran JPNS ialah 'Perjuangan Belum Selesai'. Dasar pendidikan negara, iaitu PPSMI telah saya angkat dalam karya ini. ketika karya ini ditulis, isu berkenaan sedang hangat diperkatakan dalam akhbar arus perdana dan juga beberapa orang tokoh akademik yang terkenal. Saya cuba meramalkan peristiwa yang bakal berlaku sekiranya dasar ini diteruskan.

Sebagai guru bahasa Melayu, sudah tentulah isu ini telah menjadi bahan untuk saya berkarya. Cerpen yang satu tulis dalam masa sehari suntuk ini dihasilkan dengan rasa kemarahan yang bersiponggang dalam dada. Saya tidak mahu diganggu ketika diksi-diksinya sedang mengalir deras dalam cepu fikir saya ketika itu. Waktu rehat saya cuba waktu makan dan bersolat. Hingga lewat petang (6.30 petang), cerpen kedua saya siap. Ketika saya menulis 'Kuras-kuras Kreatif' cerpen ini, isu yang saya bangkitkan telahpun selesai. Saya memanjat kesyukuran ke-hadrat Ilahi kerana mereka yang berkepentingan di luar sana sedar akan perkara yang bakal berlaku sekiranya dasar ini diteruskan.

(Cerpen ini telah dibengkelkan bersama-sama sasterawan negara ke-10 iaitu Dato'Anwar Ridhwan(Ketika itu beliau belum lagi menerima anugerah sasterawan negara) Rasa bangga berbunga umpama kuntuman mekar dalam diri saya ketika itu. Manakah tidak, karya sekecil ini dan mungkin hanya layak dibakulsampahkan sahaja oleh editor akhbar atau majalah telah menarik perhatian seorang tokoh yang cukup saya kagumi karya beliau. Beliau ternyata begitu tertarik akan isu yang saya cuba bangkitkan. Cuma saya rasa termalu dengan corak penulisan saya ketika itu berbanding karya-karya selepasnya. Ternyata cerpen ini telah menyuntik semangat saya untuk berkarya selepas itu .)

No comments:

Post a Comment