Friday, March 12, 2010

Menatap Wajahnya...(Sebalik Kisah SPM 2009)

Di Sebalik Kisah Itu...
Hati jadi sebak tiba-tiba. Wajah-wajah 5 Musytari 2009 benar-benar terpapar di depan retina. Saya seperti telah melanggar sumpah. Saya seperti tidak mahu menatap wajah mereka lama. Sememang sejak awal saya memang tidak mahu menapak ke dalam dewan tetapi memandang tugas yang terpikul di pundak, saya gagahi juga kaki saya hari ini. Menjadi guru ganti
(5 Neptune) bagi seorang rakan guru yang sudah bercuti kerana mengikut suami ke Amerika Syarikat bulan lalu terpaksa juga saya penuhi.

Ingin saya campakkan kekecewaan itu daripada terus bertunas dan meranting dalam jiwa tetapi perasaan itu bergelumang juga dalam diri.

Hanya 10 orang murid kelas tersebut mendapat A(A+, A-, A) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sedangkan saya telah sandarkan 16 orang semuanya.

Bertalu-talu permintaan mohon maaf yang meluncur keluar daripada seorang murid kepada saya hinggakan air mata saya ingin saja mengalir. Mujur saya mampu lagi menahan empangan air mata yang kian penuh itu melimpah membasahi pipi.
Katanya kepada saya berulang-ulang kali,
"Maafkan saya cikgu, kerana telah mengecewakan cikgu."
Saya hanya tersenyum dalam paksa. Namun saya tahu dia benar-benar ikhlas untuk memohon kemaafan daripada saya.

Pesan saya kepada mereka, janganlah sesekali menyakiti hati guru anda, dan segeralah memohon maaf sekiranya anda bersalah terhadap guru anda.

Tahniah kepada Nurul Ain dan Aida kerana berjaya menggembirakan saya walaupun masih belum dapat menyusutkan kekecewaan saya.
Apa-apapun saya reda atas segala keputusan yang diterima...

No comments:

Post a Comment