Thursday, July 15, 2010

Minta Tangguh Lagi!!!


Projek Komik @Buku Cerita Bergambar
(Adaptasi daripada Teks Cerpen dan Prosa Tradisional (Harga Remaja)

Pagi ini selaku ketua editor SSS, saya meminta setiap editor projek berkenaan membentangkan projek masing-masing. Nampak kesungguhan setiap kumpulan dalam melaksanakan projek yang telah ditetapkan. Inisiatif yang ditunjukkan cukup membanggakan saya selaku ketua editor. Seronok melihat kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan oleh setiap ahli kumpulan. Harapan saya selewat-lewat hari Isnin ini, editor kumpulan dapat menyerahkan projek mereka kepada saya untuk penilaian selanjutnya. Tahniah kepada semua kumpulan. Anda berhak diberi penghargaan.






Monday, July 12, 2010

Daripada Sudut Pandanganku...(Adibah)

Natrah (Cinta, Rusuhan.Air mata)- Karya Fatini Yaacob

Antara pengajaran yang saya pelajari dalam buku ini ialah semangat cinta akan agama, bangsa dan negara yang tinggi. Buktinya, semasa berlakunya rusuhan di Singapura, rakyat Singapura dan di Tanah Melayu telah bersama-sama menyokong Natrah dan ibu angkatnya, Che Aminah. Selain itu, akhbar Utusan Melayu turut memberi sokongan. Rakyat di Singapura mahupun di Tanah Melayu turut menubuhkan yayasan khusus untuk membantu Natrah.Mereka juga telah memberi sumbangan kewangan kepada Natrah untuk membayar kos perkhidmatan peguam yang digunakan oleh Che Aminah untuk memenangi kes Natrah.

Negara-negara Islam yang lain turut memberi perhatian terhadap kes Natrah ini. Seterusnya, pengajaran yang saya peroleh adalah kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. Ibu kandung Natrah ada mengatakan bahawa dia sebenarnya tidak peduli jika anaknya ingin tinggal bersama-sama Che Aminah. Dia hanya lebih menurut arahan kerajaan Belanda. Tambahan pula,Natrah ada berkata, zaman kecilnya ialah kenangan yang tidak akan dilupakannya.

Jelas terbukti, bahawa Natrah lebih suka zaman kanak-kanaknya terutama ketika berada di Tanah Melayu dan Indonesia berbanding ketika berada di Belanda.


Aku Ketua Editor SSS


Aku Ketua Editor SSS (Syarikat Syok Sendiri)

Selaku ketua editor bagi sebuah syarikat penerbitan buku yang baru sahaja ditubuhkan hari ini di kelas 4 Musytari, aku memasang angan-angan untuk menerbitkan seberapa banyak buku pada hari Jumaat ini. Selaku pencetus idea kepada projek besar ini, aku telah melantik diriku sebagai ketua editor.
Buku-buku yang bakal diterbitkan ini telah diadaptasikan daripada genre cerpen dan prosa tradisional yang terkandung dalam komponen sastera tingkatan 4 iaitu Harga Remaja.

Editor kumpulan diberi pilihan untuk melahirkan buku komik, buku cerita kanak-kanak ataupun buku cerita komik. Itu semua bergantung kepada persetujuan ahli kumpulan. Memandangkan sejumlah wang yang besar telah dilaburkan oleh penerbit justeru pemantauan akan dibuat sepanjang pembikinan buku ini. Semua editor diharapkan dapat menyerahkan buku yang dihasilkan pada hari Jumaat ini untuk penilaian ketua editor.

Sekian, terima kasih.



Sunday, July 11, 2010

Pesta Buku Negeri Sembilan

Pesta Buku Negeri Sembilan

Pesta Buku Negeri Sembilan telah berlangsung pada 6 Julai dan berakhir pada 11 Julai. Saya sempat berkunjung ke Pesta Buku itu pada 7 Julai untuk bertemu dengan penulis yang cukup saya kagumi karyanya iaitu Tuan Abdul Latip bin Talip atau lebih mesra dikenali dengan panggilan Pak Latip. Antara tujuan pertemuan ini adalah untuk menyerahkan kertas kerja pelancaran buku terbaru beliau yang bertajuk Perang Badar dan Khalifah-Khalifah Yang Benar. Pelancaran yang bakal mencatat sejarah yang tersendiri kerana akan diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Undang Rembau pada 21 Julai 2010.

Tahniah juga diucapkan kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan dengan kerjasama Jawatankuasa Gerakan Membaca Negeri Sembilan yang telah menganjurkan Pesta Buku Negeri Sembilan 2010 di sebuah pusat membeli belah yang terkenal di Seremban2 dengan tema “Bangsa Membaca Malaysia Berjaya.”