Wednesday, July 18, 2012

Amalan Bergotong-royong Dapat Mengeratkan Hubungan Kekeluargaan


Amalan Bergotong-royong Dapat Mengeratkan Hubungan Kekeluargaan

Menurut Kamus Dewan edisi keempat, definisi keluarga ialah seisi rumah tangga yang terdiri daripada suami dan isteri atau berserta anak-anak. Pelbagai aktiviti yang berfaedah dapat dilakukan bersama dengan keluarga pada hujung minggu.  Ibu bapa sebagai tunggak dalam keluarga perlu memainkan peranan masing-masing  bagi menyemarakkan aktiviti gotong-royong di rumah. Seperti mana kita sedia maklum, aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Untuk makluman,  amalan gotong-royong merupakan pembelajaran secara tidak formal di rumah. Hal ini demikian kerana, ibu bapa dapat memberi  tunjuk ajar kepada anak-anak mereka tentang cara membersihkan kawasan rumah. Sebagai contoh, cara untuk menyapu sampah, membersihkan longkang atau cara menanam pokok. Secara tidak langsung, amalan ini boleh melahirkan rasa hormat-menghormati antara satu sama lain. Maka, sekiranya amalan ini diteruskan akan dapat melahirkan keluarga bahagia.
Bukan itu sahaja, amalan gotong-royong dapat melahirkan kemesraan sesama dengan  ahli keluarga. Hal ini dapat dilakukan terutamanya pada musim perayaan. Dengan cara ini, kita dapat berkumpul dan bekerjasama untuk membersihkan kawasan rumah. Tegasnya, sekiranya amalan ini diteruskan, kita dapat merapatkan silaturahim antara ahli keluarga.  Pernyataan ini dapat dikaitkan dengan peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Di samping itu, amalan gotong-royong dapat memupuk rasa tanggungjawab dalam kalangan keluarga. Hal ini demikian kerana, setiap ahli keluarga telah diberi tanggungjawab untuk menjalankan aktiviti yang telah ditetapkan sebelum sesuatu aktiviti itu dilaksanakan. Sebagai contoh, ahli keluarga yang ditugaskan membersihkan longkang akan melaksanakan tugas yang telah diamanahkan semasa gotong-royong. Oleh itu, amalan bekerjasama seperti aur dengan tebing akan menjadi amalan dalam keluarga.
Secara tuntasnya, amalan gotong-royong haruslah dipraktikkan oleh semua ahli  keluarga supaya amalan ini dijadikan aktiviti rutin pada setiap hujung minggu. Selain itu, pihak media massa perlu memainkan peranan masing-masing dengan menyiarkan aktiviti kekeluargaan ini agar dapat menarik minat ibu bapa untuk melaksanakan aktiviti ini di rumah mereka.

Tuesday, July 10, 2012

Pendahuluan Karangan Bahagian C


PENDAHULUAN KARANGAN BAHAGIAN C

Kepentingan Memelihara Tempat-Tempat Bersejarah

 Kita sedia maklum, Malaysia merupakan  destinasi pelancongan  yang menarik perhatian pelancong tempatan  atau pelancong dari luar negara. Sektor pelancongan patut diberikan perhatian oleh semua pihak.  Sehubungan dengan itu,  kerajaan  wajarlah memelihara tempat-tempat bersejarah seperti di Melaka dan di Pulau Pinang. Terdapat pelbagai kepentingan memelihara tempat-tempat  bersejarah tersebut.

Kepentingan Sukan
Sukan merupakan aktiviti yang berfaedah. Antara sukan yang popular di Malaysia ialah badminton, bola sepak, skuasy  dan sepak takraw.Oleh itu, dasar 1 Murid 1 Sukan amat dititikberatkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Terdapat beberapa kepentingan sukan kepada kita.

Kepentingan Komputer dalam Kehidupan

                Sejak belakangan ini, penggunaan komputer dalam kehidupan adalah sangat penting. Penggunaan komputer semakin meluas dalam urusan seperti pekerjaan dan pendidikan. Kempen 1 Keluarga 1 Komputer perlu dilaksanakan bagi mencapai hasrat murni ini. Terdapat beberapa kepentingan komputer dalam kehidupan.

Cara-cara Mencegah Penyakit Berjangkit
Sejak belakangan ini,  penyakit berjangkit sering melanda negara kita. Antara contoh penyakit berjangkit ialah HINI, selesema burung, dan demam denggi. Kerajaan perlu  mengambil tindakan segera bagi menanggani isu ini agar tidak terus mencetuskan kebimbangan  dalam kalangan masyarakat. Terdapat pelbagai cara bagi mengatasi masalah ini.

Kelebihan Pengangkutan Awam
Pengangkutan awam amat penting dalam kehidupan masyarakat pada masa ini. Antara contoh pengangkutan awam yang popular ialah bas, teksi, monorel dan komuter. Kebiasaannya, pengangkutan ini digunakan oleh pekerja atau murid sekolah yang tidak memiliki kenderaan sendiri. Terdapat beberapa kelebihan menggunakan pengangkutan awam ini.