GURINDAM JIWA

Wednesday, June 27, 2012

LATIH TUBI MENULIS PERENGGAN PENDAHULUAN UNTUK KARANGAN B


KARANGAN BAHAGIAN B
Arahan:
Tulis pendahuluan bagi setiap tajuk karangan di bawah.              
1.       Berdasarkan rajah di bawah, huraikan pendapat anda tentang kepentingan memelihara tempat-tempat bersejarah di Malaysia. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Contoh:
Kita haruslah memelihara tempat-tempat bersejarah di Malaysia seperti di Melaka dan Pulau Pinang.Terdapat kepentingan memelihara tempat-tempat  bersejarah tersebut.

2.       Berdasarkan rajah di bawah,huraikan pendapat anda tentang kepentingan-kepentingan sukan. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Contoh:
Antara sukan yang popular di Malaysia ialah badminton, bola sepak, skuasy dan sepak takraw.Terdapat kepentingan sukan kepada kita.

3.       Berdasarkan gambar di bawah, huraikan pendapat anda tentang kepentingan komputer dalam kehidupan. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

4.       Berdasarkan gambar di bawah ini, huraikan pendapat anda tentang cara-cara untuk mencegah penyakit berjangkit. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

5.       Berdasarkan rajah di bawah ini, huraikan pendapat anda tentang kelebihan pengangkutan awam. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Tuesday, June 26, 2012

Langkah-Langkah Memupuk Perpaduan


LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK PERPADUAN
    Pada zaman ini, pihak kerajaan  membuat pelbagai rancangan demi memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat. Terdapat pelbagai langkah untuk memupuk perpaduan.
    Antara langkah memupuk perpaduan ialah kita perlu mengadakan aktiviti gotong-royong yang melibatkan berbagai-bagai kaum. Aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat serta dapat mengisi masa lapang bersama-sama mereka, ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

    Selain itu, menyambut  perayaan kaum lain juga dapat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat. Hal ini demikian kerana, kita dapat mengenal dan menghormati adat resam dan budaya kaum berkenaan. 

    Di samping itu, acara sukaneka mesti dianjurkan pada setiap tahun. Hal ini demikian kerana, aktiviti ini dapat memupuk semangat tolong-menolong dan bekerjasama dalam masyarakat. Perpaduan dapat ditingkatkan selain masyarakat dapat bertukar-tukar  pandangan serta dapat mengenali antara satu sama yang lain.

    Kesimpulannya, perpaduan amat penting dalam kehidupan manusia. Setiap warga Malaysia perlu mengembleng usaha demi memupuk perpaduan kerana  bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.


LATIHAN:
a.   Senaraikan tiga isi penting petikan karangan di atas.
b.   Senaraikan  peribahasa yang ditemukan dalam teks di atas.Berikan makna peribahasa tersebut.
c.   Memberi makna rangkai kata.
i.             Berikan maksud rangkai kata pelbagai rancangan.
ii.            Berikan maskud rangkai kata masa lapang.
iii.           Berikan maksud rangkai kata mesti dianjurkan.

Friday, June 22, 2012

Soalan Penulisan Berkisarkan Peristiwa Di Sekolah (Sumber: Buku Teks Tingkatan 1)




TAJUK KARANGAN BERKISAR PERISTIWA DI SEKOLAH

SUMBER: BUKU TEKS TINGKATAN 1 
      Anda dan beberapa orang rakan anda telah berbual-bual tentang cara memperindah kawasan sekolah. Tulis dialog anda bersama dengan rakan anda selengkapnya.
2.       Tulis karangan keperihalan tentang pengalaman ketika ditugaskan menjaga kedai  koperasi sekolah.
3.       Tulis sebuah karangan  tentang persiapan yang perlu dilakukan sebelum menyertai perkhemahan pasukan beruniform sekolah.
4.       Baru-baru ini sekolah anda telah melaksanakan larian merentas desa.  Tulis sebuah karangan tentang peristiwa tersebut.
5.       Faedah menyertai pasukan beruniform di sekolah.


6.       Sekolah anda telah melaksanakan program lawatan. Tulis laporan lawatan tersebut selengkapnya.

7.       Anda telah dilantik sebagai Pengerusi  Kelab Alam Sekitar yang baru sahaja ditubuhkan secara sukarela. Kelab tersebut mengadakan ceramah tentang cara-cara menjaga alam sekitar. Anda diminta menyampaikan ceramah.

8.         Perbualan dengan guru bagi mendapatkan khidmat nasihatnya bagi mencapai cita-cita.

9.       Tulis karangan mengenai satu persatuan yang terdapat di sekolah anda.

1          Perbualan dengan rakan anda yang berjaya memenangi tempat pertama dalam  pertandingan menulis  puisi.

 
1.  
1.  

TAJUK KARANGAN BERKISAR PERISTIWA DI SEKOLAH
SUMBER: BUKU TEKS TINGKATAN 2
  1. Faktor-faktor yang menentukan pelajar cemerlang.
  2. Tulis sebuah karangan untuk menceritakan aktiviti anda semasa cuti sekolah.
  3. Sekolah anda telah mengadakan acara kejohanan olahraga tahunan. Gambarkanlah suasana pada hari tersebut dari mula hingga akhir.
  4. Seorang pemberita majalah sekolah anda telah menemu ramah anda tentang cara pengisian kemerdekaan.
  5. Persatuan Bahasa Melayu sekolah anda ingin mengadakan aktiviti Minggu Bahasa dan Budaya. Anda selaku setiausaha persatuan dikehendaki menulis surat kepada guru  besar sebuah sekolah orang asli untuk menjemput beberapa orang pelajar sekolah tersebut mengadakan persembahan budaya di sekolah anda. Tulis surat tersebut dan nyatakan bahawa segala perbelanjaan akan ditanggung juga  oleh PIBG sekolah anda.
  6. Sempena dengan Bulan Bahasa dan Sastera di sekolah anda telah diminta menyampaikan ceramah yang bertajuk  ‘ Kepentingan Amalan Nilai-Nilai Murni’.
  7. Faedah aktiviti lawatan kepada pelajar.
  8. Guru kelas anda akan berpindah ke sekolah lain. Sebagai ketua kelas, anda diminta menyampaikan ucapan dalam satu majlis jamuan perpisahan.

TAJUK KARANGAN BERKISAR PERISTIWA DI SEKOLAH
SUMBER: BUKU TEKS TINGKATAN 3
  1. Sekolah Harmoni
  2. Kepentingan persekitaran sekolah yang ceria.
  3. Kepentingan suasana pembelajaran yang kondusif.
  4. Faktor-faktor kecemerlangan diri.
  5. Sekolah selamat
  6. Pengetua di sekolah anda akan bersara. Sebagai pemberita majalah sekolah, sediakan temu ramah anda.
  7. Satu pertandingan perbahasan di adakan di sekolah anda. Tajuk perbahasan ‘Perubatan  Tradisional  Mendatang Kesan yang Buruk kepada Pengguna.’ Sediakan hujah-hujah anda.
  8. Pihak sekolah telah mengadakan majlis jamuan dan penyampaian sijil penghargaan  sempena kejayaan anda yang telah memenangi pingat emas dalam salah satu acara Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). Tulis ucapan selengkapnya.
  9. Selaku setiausaha  Hari Kantin sekola, anda diminta oleh Pengetua sekolah menyediakan laporan tentang persediaan bagi menjayakan hari tersebut.
  10. Anda berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di  IPT di negara ini. Tulis sepucuk surat kepada Pengetua sekolah anda untuk mengucapkan terima kasih ata segala tunjuk ajar guru-guru.
  11. Anda telah menyertai pasukan unit beruniform sekolah berkhemah di hutan lipur. Ceritakan suasana dan pengalaman yang anda peroleh.

Thursday, June 21, 2012

Nilai dalam Novel Merenang Gelora

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjVYkXANe0TTjE0f2Ez_8ACv6OfJztk-YDIjhAKvKrKjv4erSLsl4rIqdTYDQk-qF6zKHPKQF6gAHocGOovNdZcyl6IIDmdnQ2uD-An9WVHmy-VSz_x51B9bSfZdgf8crVhaeHE6IZjynu0/s1600/Merenang+Gelora.jpg 
 
NIlai : Setia Kawan/persahabatan                
  1. Siew Mei telah menunjukkan nilai setia kawan apabila dia memberikan maklumat berkaitan masalah disiplin kepada Badri sehingga terbongkarnya kegiatan penjualan telefon bimbit terpakai dan penjualan kad prabayar oleh Shahrul, Kumar dan Meng Kong.
  2. Siew Mei   dan  Taufiq tetap setia sebagai sahabat Badri walaupun Badri telah difitnah dan ditangkap oleh Cikgu Jailani kerana telefon bimbit telah dijumpai di dalam beg sekolahnya.
  3. Badri telah menasihati sahabatnya Jamil agar kembali ke pangkal jalan setelah terlibat dengan aktiviti menjual telefon bimbit  terpakai dan kad prabayar.
  4. Badri bersahabat baik dengan Siew Mei, Kumar dan Meng Kong. Persahabatan mereka tidak mengenal batas perbezaan bangsa dan agama. Malah Badri mengajak Kumar ke rumahnya untuk mengulang kaji pelajaran bersama-sama

Nilai: Kasih sayang

  1. Badri yang menyayangi keluarganya telah berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Badri telah memperoleh  8A.
  2. Mak Siti yang menyayangi anak-anaknya Badri dan Badrul telah menyediakan sarapan nasi lemak berlaukkan sotong sebelum mereka pergi ke sekolah.
  3. Encik Tan yang menyangi anaknya Meng Kong telah bertindak menghantar Meng Kong ke asrama supaya anaknya berubah sikap dan tidak terjebak dalam masalah disiplin di sekolah.

Nilai: Bertanggungjawab
  1. Badri melaksanakan tugasnya dengan penuh tanggungjawab sebagai pengawas sekolah dan sanggup berhadapan dengan pelbagai cabaran demi memastikan tugasnya dapat dilaksanakan walaupun diugut dan difitnah oleh musuhnya.
  2. Mak Siti telah menjalankan tanggungjawab seorang ibu apabila dia menyediakan sarapan pagi kepada anak-anaknya, Badri dan Badrul.
  3. Nurul Ain kakak kepada Nadira seorang yang bertanggungjawab kerana telah memberikan nasihat kepada Nadira yang berpakaian yang tidak sesuai dengan usianya. Nurul Ain telah menegurnya namun tidak diendahkan oleh Nadira.
  4. Cikgu Jailani seorang guru yang bertanggungjawab kerana telah pergi ke rumah Shahrul untuk berbincang tentang masalah disiplin Shahrul dengan ibu bapanya.
  5. Cikgu Fatima seorang guru kaunselor sekolah yang bertanggungjawab kerana telah beberapa kali memberi sesi kaunseling kepada Kumar. Kumar berubah menjadi baik selepas itu.

Wednesday, June 20, 2012

Langkah-Langkah Mengatasi Kemalangan Maut


Image Detail
Langkah-langkah Mengatasi Kemalangan Maut

Dasawarsa ini, kes kemalangan maut sering berlaku di negara kita. Kejadian ini telah meragut banyak nyawa serta pengguna mengalami  kerugian dari segi harta benda. Untuk makluman, kemalangan maut sering berlaku apabila musim cuti persekolahan atau musim perayaan. Terdapat pelbagai langkah yang perlu diambil bagi menangani kes ini daripada terus berleluasa.

Antara langkah mengatasi kemalangan maut ialah kerajaan perlu mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu yang cuai. Hal ini demikian kerana, pemandu yang tidak bermoral akan menjadi lebih teruk jika tidak diberi hukuman atas kesalahan yang dilakukan dan mereka memandang rendah terhadap peraturan jalan raya. Sebagai contoh, pemandu yang melanggar lampu isyarat haruslah dikenakan saman dan  tidak diberi peluang kedua oleh pihak berkuasa.  Tegasnya, hukuman ini haruslah dikuatkuasakan supaya pemandu takut membuat kesalahan. 

Di samping itu, kerajaan perlu mengetatkan syarat untuk memiliki lesen memandu. Hal ini demikian kerana, terlalu ramai pemandu berlesen tidak cekap memandu  dan akan menyebabkan kemalangan maut semakin menjadi-jadi. Sebagai contoh, kerajaan perlu meningkatkan umur pemilikan lesen motosikal dari 16 tahun kepada 17 tahun. Oleh itu, kerajaan wajar melaksanakan syarat ini dengan kadar segera agar isu ini boleh diatasi dengan segera.

                Bukan itu sahaja, ibu bapa perlu memberi pendidikan tidak formal kepada anak-anak. Sehubungan dengan itu, ibu bapa boleh mendidik anak mereka sejak berumur  empat tahun tentang peraturan jalan raya. Sebagai contoh, ibu bapa perlu memberitahu  anak mereka bahawa mereka wajar mematuhi lampu isyarat, melintas dengan menggunakan jejantas dan memandang ke kiri dan ke kanan sebelum melintas jalan. Tegasnya, pendidikan awal ini penting kerana bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. 

                Selain itu, pihak sekolah haruslah menubuhkan Kelab Jalan Raya sebagai salah satu aktiviti kokurikulum. Semasa aktiviti kokurikulum, ahli kelab boleh menjalankan aktiviti pemanduan secara berhemah di tempat yang telah disediakan oleh pihak sekolah.  Secara tidak langsung, amalan ini dapat melahirkan pemandu dan penunggang yang berhemah  ketika di jalan raya.  Tegasnya, penubuhan kelab ini akan menjadi satu langkah yang efektif  bagi mengatasi isu ini.

                Seterusnya, kerajaan perlu menyemarakkan kempen berkongsi kereta. Sehubungan dengan itu, kesesakan lalu lintas yang sering berlaku terutamanya di kawasan bandar dapat diatasi. Sekiranya langkah ini dilaksanakan, jumlah kemalangan jalan raya juga dapat diminimumkan. Maka, kerajaan yang merupakan tunggak utama perlu memastikan kempen ini berjaya dilaksanakan.

                Kesimpulannya, semua pihak perlulah menggembleng usaha bagi menanganinya agar kemalangan maut  dapat tangani. Seterusnya, kita juga berharap Malaysia tidak tersenarai dalam peta sebagai lebuh raya maut di dunia.

Monday, June 18, 2012

Punca-Punca Murid Tidak Melibatkan Diri dalam Kokurikulum


Punca-punca Murid Tidak Melibatkan Diri dalam Kokurikulum

Aktiviti kokurikulum menjadi salah satu agenda yang  sangat penting dilaksanakan di semua sekolah di seluruh negara. Memang  tidak dapat disangkalkan lagi bahawa aktiviti kokurikulum dapat membentuk sahsiah murid secara menyeluruh. Namun begitu, aktiviti kokurikulum mendapat sambutan dingin dalam kalangan murid-murid dan ibu bapa. Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan murid-murid tidak melibatkan diri dalam aktiviti ini.

Antara punca isu ini ialah  ibu bapa kurang memberi galakan kepada anak-anak mereka untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum di sekolah. Hal ini demikian kerana, ibu bapa terlalu memfokuskan pencapaian anak mereka dalam bidang akademik semata-mata. Sebagai contoh, ibu bapa terlalu keberatan untuk membelikan anak-anak mereka peralatan sukan seperti kayu hoki, raket badminton dan seumpamanya kerana  dianggap sebagai pembaziran. Tegasnya, bagi melahirkan insan yang cemerlang, pencapaian dari segi akademik dan kokurikulum perlulah seimbang. 

Selain itu, jadual harian yang padat seperti menghadiri kelas tuisyen menjadi satu punca kegiatan kokurikulum kurang mendapat sambutan dalam kalangan murid. Sebagai contoh, murid-murid juga perlu menghadiri kelas tambahan dan kumpulan belajar di sekolah. Hal ini menyebabkan murid-murid tiada masa untuk melakukan kegiatan kokurikulum. Tegasnya, murid-murid mesti bijak menguruskan masa supaya dapat menjalankan aktiviti kokurikulum.
Di samping itu, pelajar juga lebih menumpukan perhatian terhadap pencapaian akademik semata-mata. Hal ini demikian kerana, pelajar berpendapat bahawa aktiviti kokurikulum hanya  sia-sia walaupun aktiviti ini sebenarnya amat penting. Sebagai contoh, pelajar lebih suka duduk di rumah dan menelaah buku pelajaran daripada menyertai aktiviti sekolah. Maka, pelajar haruslah mengubah fikiran mereka kerana pelajaran dan kokurikulum adalah sama penting dan boleh menentukan masa depan mereka.
Bukan itu sahaja, murid-murid menganggap kokurikulum hanya membuang masa. Hal ini demikian kerana, aktiviti yang diadakan amat membosankan dan tidak menarik. Sebagai contoh, guru yang terlibat tidak memiliki kepakaran atau kemahiran dalam bidang tertentu.  Maka, bagi mengatasi kekangan ini, pihak sekolah perlulah melantik jurulatih yang berwibawa dalam pelbagai bidang kokurikulum.
Akhir sekali, pihak sekolah tidak menyediakan prasarana yang cukup untuk menjalankan pelbagai aktiviti sukan. Hal ini demikian kerana, pihak sekolah menghadapi masalah kewangan  untuk membina   gelanggang badminton, tenis dan sebagainya. Oleh sebab  murid yang menyertai  sukan itu terlalu ramai maka  kemudahan seperti kayu hoki, raket badminton dan sebagainya tidak dapat menampung bilangan  pelajar. Tegasnya, sekiranya isu ini tidak dapat dibendung, sekolah gagal melahirkan seorang murid  yang berbakat dan berkebolehan  dalam bidang sukan.
Sebagai intiha, sebelum nasi menjadi bubur, semua pihak perlulah berganding bahu bagi mengatasi isu ini daripada terus membarah dalam kalangan murid-murid. Seterusnya, murid-murid haruslah mengubah persepsi negatif mereka terhadap aktiviti kokurikulum agar aktiviti ini tidak terus dipandang enteng.

Saturday, June 16, 2012

BENGKEL PENULISAN DAN PENERBITAN ITBM-PENA-DBP
HOTEL TRADERS, MUAR,JOHOR
15-17 Jun 2012
Sebuah catatan perjalanan jiwa penuh gelora...

Pagi ini seawal puku 6.45 pagi, 16 Jun 2012, saya telah bertolak dari rumah untuk mengikuti Bengkel Penulisan dan Penerbitan ITBM-Pena DBP (Zon Selatan) yang diadakan di Hotel Traders Muar. Maklumat yang saya peroleh menerusi seorang rakan (Puan Noraini Eislah)  bahawa sifu Azmah Nordin akan hadir dan memberikan penerangan tentang penulisan novel pada pukul 2.30 petang pada hari Sabtu itu seperti menolak-nolak diri untuk melangkah untuk menemui beliau. Selama 4 tahun saya berguru secara maya bersama sifu dan inilah peluang yang ada untuk bertemu dengan beliau pada alam realiti. Hati saya terus meronta-ronta untuk menemui beliau. Sebagai anak didik yang agak 'degil' dan pertemuan ini perlu bagi memberi  suntikan semangat yang kian layu untuk berkarya selain berpeluang untuk terus berguru dengan beliau. 

Selepas memarkir kereta di Stesen Teksi Muar dengan membayar RM1.00, saya terus melangkah menuju ke arah hotel yang terletak bersebelahan dengan stesen teksi. Saya sempat menjeling ke arah jam tangan yang menunjukkan pukul 8.25 pagi. Selepas menaiki lif menuju ke tingkat 3 saya terus ke Dewan Aman. Ketika tiba di ruang dewan yang luas itu, saya mencari-cari seseorang yang saya kenali,. Puan Noraini Eislah, yang lebih mesra dipanggil dengan Kak Noraini sedang duduk di meja hadapan. Saya terus mengirimkan salam. Dia terkejut dengan kemunculan saya di sini. Segera saya diminta untuk berjumpa dengan sifu yang duduk sebaris dengan beliau di sudut sebelah kanan sekali. Saya melangkah menuju ke arah meja sifu dengan rasa debar yang memuncak. Sifu yang sedang leka menatap komputer ribanya terus terkejut. 'Ya Allah, datang juga awak!' Sifu melemparkan senyuman manis. Saya menyambut mesra salam sifu. Lidah saya kelu. Saya hanya sempat bertanya khabar dan sifu dengan bangganya terus  memperkenalkan saya  kepada peserta lain bahawa saya merupakan anak didik beliau secara maya. Saya rasa termalu juga. Saya terasa terlau kecil apabila berada dalam kelompok penulis yang besar di negeri Johor ini. 


Selepas sempat bertanya khabar beliau, saya segera ke ruang belakang untuk melihat-lihat pameran buku yang diadakan oleh pihak Pena dan ITBM. Beberapa buah buku yang saya sukar untuk ditemukan di pasaran, saya sambar.Antara buku yang menarik yang saya beli adalah seperti berikut:
1. Perjuangan Penulis Muda-Arah dan Cabaran - Pena
2.Nama Ai Lolipop - Studio Anai-Anai
3.Stingarden- PTS
4.Ahli Politik- ZM Zakir
5.Kumpulan Puisi - Adul Ghafar Ibrahim (Agi)-DBP

Saya difahamkan pada sebelah pagi ini  akan diadakan sesi taklimat penerbitan dan sayembara yang dianjurkan oleh pihak ITBM. Penerangan yang diberikan sedikit sebanyak sempat saya hadamkan dalam jiwa. Untuk menghasilkan sepuluh buah cerpen dalam ruang masa selama 6  bulan ini akan cuba juga untuk diusahakan. Sebenarnya sudah ada dua buah cerita yang sedang berlegar-legar di ruang angkasa minda setakat ini cuma belum dilahirkan di dunia realiti.Semoga usaha ini akan dipermudah oleh-Nya.
Sasaran saya setiap bulan perlu menghasilkan dua buah cerpen sambil menguliti novel sendiri.

Hari ini saya dimaklumkan bahawa pertandingan novel yang dianjurkan ialah penghasilan novel dewasa. Saya masih belum bersedia untuk menyertai pertandingan ini. Saya hanya ada sebuah manuskrip novel yang masih belum siap (ada tiga bab terakhir) dan masih terlalu 'rebung' untuk dinilai oleh panel ITBM. Namun saya diberi semangat oleh sifu Azmah Nordin untuk menyiapkan karya sulung itu. Saya kembali bersemangat, bara penulisan yang tersimpan dalam hati dinyalakan apinya oleh sifu. Sifu tidak putus-putus menghantar semangat dengan meniup lembut bara yang kini mulai menyala semula. Terima kasih sifu, tidak sia-sia kunjungan ini.

Pertemuan singkat dengan sifu ternyata memberi semangat baru kepada saya. Saya kembali ghairah untuk menulis semula. Saya terlalu banyak membuang masa. Saya tidak akan terus meninggalkan 'Izhar Ammar' tersimpan di laci buruk dan kuncinya terus lenyap. Kunci itu sebenarnya disimpan oleh pemilik laci berkenaan. Saya akan membuka semula.

Pertemuan berakhir juga lewat pukul 4.30 petang, selepas sifu selesai menyampaikan ceramahnya. Saya memohon kepada sifu untuk pulang. Saya seperti tidak puas untuk 'mencuri' ilmunya namun saya tetap perlu beredar kerana saya tiada ruang di sini lagi. Saya hanya mencelah-celah dalam khalayak penulis dari Johor buat sebentar sahaja.Insya-Allah masih ada pertemuan lagi selepas ini.

Terima kasih sifu kerana memberi peluang anak didikmu mencari secarik sinar dari sebutir berlian yang dimilikinya.

Istilah Bahasa Daerah di Negeri Sembilan

Glitter Graphics
Glitter Graphics

Glitter Animal Graphics


Siri 1 (14 Januari 2010)

1. locot( lo+ cot)
Maksud perkataan ini ialah' keadaan melecur yang disebabkan oleh benda-benda yang panas', besi panas atau sebagainya.

Contoh penggunaan:
a. Lidahnya locot kerana menghirup air kopi yang masih panas.
b.Jari tangannya locot kerana terpegang bara api.

2. menugheh(me + nu + gheh)
Maksud menugheh bermakna 'mengerti, faham atau tahu membuat sesuatu kerja'
Umpamanya seseorang yang ahli dalam bidang lukisan, tentu ia menugheh yakni mengerti atau faham tentang sesuatu yang hendak dilukisnya.

Lazimnya, penggunaan kata 'menugheh'didahului dengan kata 'tidak'.
Contohnya:

a. Anak muda kampung zaman sekarang ramai yang tidak menugheh membuat kerja-kerja kampung seperti bersawah padi dan sebagainya.

b. Pelajar itu masih tidak menugheh lagi membuat surat kiriman walaupun telah diajar beberapa kali.

3. perun/peghun (pe + ghun)
Perkataan perun hampir sama maknanya dengan penggur iaitu perbuatan 'membakar'
Kerja memerun lebih berat dan sukar. Umpamanya,memerun atau membakar kayu-kayu getah yang telah ditebang untuk projek menanam semula.

a. Setelah selesai melakukan kerja memerun, mereka pun menggali lubang untuk menanam benih getah.

b. Sisa-sisa kayu yang baru diperun itu masih terasa panasnya.

4. senereh/senegheh (se + ne + gheh)
Perkataan senereh membawa dua pengertian.
Makna pertama ialah 'senonoh'. Contoh:

a. Berpakaian dalam sesuatu majlis yang rasmi haruslah senereh supaya manis dipandang orang.

Kedua, perhataan senereh bermaksud 'sempurna'.
Contoh:
b. Semua kerja yang dipertanggunjawabkan kepadanya telah dibuatnya dengan senereh.

Selalunya penggunaan kata senereh ini didahului juga dengan kata 'tidak'. Contohnya:

c. Corak permainan yang ditunjukan oleh pemain-pemain pasukan bola sepak itu tidak senereh sehingga menyebabkan kekalahan yang teruk.

d. Semua kerja itu tidak senereh belaka dan terpaksa dibuat semula.

6. temua (te + mu + a)
Perkataan temua yang dituturkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan itu bermaksud 'sungai'.
Contoh:

a. Orang ramai dinasihati supaya jangan mandi-manda di temua itu kerana airnya sangat deras dan membahayakan.

7. kelenset (ke + len+ set)
Kata 'kelenset' ada kaitannya dengan kerja mengupas kulit atau menanggalkan sesuatu yang melekat. Contohnya seperti mengulit atau menyiat kulit lembu atau binatang yang lain yang telah disembelih.

Contoh:
a. Kulit kambing yang baru disembelih itu telah dikelenset hingga licin.

b. Tolong kelenset kulit kayu itu.

c. Poster yang ditampal di papan kenyataan itu telah terkelenset ditiup angin.


Pengajaran Bahasa Efektif


Kartun merupakan suatu bahan yang sangat popular dan digemari oleh segenap lapisan masyarakat. Kartun dianggap sebagai satu wahana yang menghiburkan dan boleh meredakan ketegangan emosi manusia.

Penggunaan Kartun dalam Pengajaran Karangan

Pengajaran karangan memerlukan pengeluaran idea dan daya kreatif dalam penulisan., Oleh itu, adalah wajar kartun dijadikan bahan yang dapat menrangsang minat pelajar untuk menulis karangan. Walau bagaimanapun, aktiviti pengajaran haruslah disusun dan dirancang oleh guru dengan rapi. Kaedah perbincangan dan kaedah multitask merupakan kaedah yang terbaik jika bahan kartun digunakan sebagai bahan rangsangan dalam pengajaran karangan.

Kriteria Pemilihan Bahan Kartun untuk Pengajaran Karangan

1. Bahan kartun yang mempunyai hubungan pengalaman dan lingkungan hidup dengan kumpula pelajar sasaran. Kartun yang berkaitan dengan pengalaman sedia ada mereka, membolehkan pelajar menulis karangan berdasarkan hubungan antara pengalaman sedia ada dengan bahan kartun yang digunakan.

2. Bahan kartun mesti sesuai dengan pelajar, boleh menarik minat mereka serta berdasarkan kebolehan bahasa dan kecerdasan otak pelajar. Mengetahui tahap pencapaian pelajar terlebih dahulu sebelum membuat pemilihan bahan kartun adalah lebih baik. Kartun-kartun yang sesuai dengan pelajar dapat menarik minat mereka seterusnya mencetuskan suasana pemelajaran yang menarik dan berkesan.

3, Pilihlah kartun yang menggunakan dialog yang sesuai Penggunaan perkataan, rangkai kata, dan ayat yang sesuai dengan umur mereka sangat diperlukan. Pemiihan dialog yang baik dan tidak bercelaru akan mempengaruhi karangan pelajar, kerana kecenderungan pelajar mengambil sebahagian dialog tersebut sebagai bahan penulisan karangan mereka.

4. Kartun yang akan dipilih seharusnya sesuai dengan sukatan pelajaran dan objektif mengarang pada peringkat tertentu. Kartun yang tidak sesuai dengan sukatan pelajaran akan menyebabkan pelajar agak sukar untuk mengaitkan karangan mereka dengan pelajaran lain.

5.Sebaik-baiknya pilih kartun yang menampakkan tajuk karangan yang jelas dan tersurat.




Siri 1:
Awalan memper-
Awalan memper- ialah awalan pembentukan kata kerja Maksudnya, mana-mana kata dasar bahasa Melayu daripada golongan kata utama , apabila bergabung dengan awalan ini akan menghasilkan kata kerja.

Tiga golongan perkataan yang boleh dicantumkan dengan imbuhan ini, contohnya seperti berikut:
a) Kata nama
alat - memperalat
(membawa maksud "menjadi seperti alat" yakni mempermain-mainkan seseorang)
budak - memperbudak
(membawa maksud"menjadikan seperti budak" dalam erti kata bertindak terhadap seseorang itu seolah-olah dia itu budak)
isteri - memperisteri
(membawa maksud "menjadikan(mengambil sebagai) isteri)
hamba - memperhamba
(membawa maksud menjadikan (seseorang) sebagai hamba)
Contoh ayat:
(1)Dia memperalat orang tua itu untuk mencapai
cita-citanya.
(2) Ibu tiri memperhamba anak tirinya.
(3) Datuk Ahmad memperisteri Mulsalmah.


b) kata adjektif
besar - memperbesar
cepat - mempercepat

c) kata sendi nama
oleh - memperoleh

Walau bagaimanapun, perkataan "hamba" boleh menerima apitan memper-...-kan. Memperhambakan pula membawa erti menjadikan diri sendiri sebagai hamba, seperti dalam ayat:

d) Dia memperhambakan dirinya kepada Tuhan.

Perkataan "isteri" juga boleh menerima apitan memper-...-kan, menjadi memperisterikan yang sama sekali berbeza maksudnya daripada bentuk memperisteri.

e) Hussin memperisterikan Hassan.
(Maksudnya Hussin mengahwinkan Hassan (dengan seseorang gadis); bukan bermakna Hussin mengahwini Hassan






Glitter Graphics

Nilai-nilai Murni Dalam Peribahasa Melayu
* baik membawa resmi padi daripada membawa resmi lalan
g
*buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali
*hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga
*kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau

Daya usaha/kerajinan/kesungguhan
*bagai lebah menghimpun madu
*cepat kaki, cepat tangan
*genggam bara api biar sampai menjadi arang
*kalau tidak dipecahkan ruyung, manakah dapat sagunya

Semangat bermasyarakat/kekeluargaan/perhubungan
*air dicencang tidak akan putus
*biduk berlalu kiambang bertaut
*ibarat telur sesangkak, pecah sebiji,pecah semua
*seperti isi dengan kuku

Berhati-hati/teliti/berjimat cermat
*berjalan pelihara kaki, bercakap pelihara lidah
*biar lambat asalkan selamat
*daripada segenggam jadi segantang
*sediakan payung sebelum hujan

Keberanian
* berani kerana benar, takut kerana salah
*membujur lalu melintang patah
*pantang berundur sebelum berjuang
*pantang mati sebelum ajal

Kepatuhan/kesetiaan
*air orang disauk, ranting orang dipatah, adat orang diturut
*biar mati anak, jangan mati adat
*di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
*hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri

Semangat patriotisme/cinta akan negara
*seperti belut pulang ke lumpur
*seperti gagak pulang ke benua
*seperti ikan pulang ke lubuk
*setinggi-tinggi bangau terbang,hinggap di belakang kerbau juga

Rasional
*ada akal
*akal budi
*jangan bercermin di air keruh
*ke tengah boleh, ke tepi pun boleh

Kepentingan ilmu
*diam ubi berisi
*ilmu itu pelita hidup
*jauhari juga yang mengenal manikam
*kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga

Kasih sayang
*bagai menjaga intan dicanai
*hilang di mata, di hati jangan
*menatang minyak yang penuh
*tatang di anak lidah

Keadilan
*duduk dengan cupak dan gantang
*seduit dibelah tujuh
*seperti menghela rambut dalam tepung
*umpama jari di tangan, ada bercincin ada tidak

Berdikari
*kalau pandai meniti buih, selamat badan sampai ke seberang
*ke tengah boleh, ke tepi pun boleh
*pandai menyelam air di dangkal
*timba air mandikan diri

Siri 2 (17.1.10)
Peribahasa Mengungkap Budaya Kerja Orang Melayu

a. Budaya kerja dan gigih dalam bekerja
*ringan tulang
*mandi keringat
*hempas tulang urat
*peluh darah
*gulung lengan baju

b. Ketekunan dan kerajinan orang Melayu dalam melakukan sesuatu pekerjaan

*sedikit lama-lama jadi bukit

c. Berjimat cermat untuk mencapai sesuatu kejayaan

*ikat perut
*cermat semasa banyak, jimat semasa sedikit

d. Sikap tidak suka membuang masa dan apabila berbuat kerja hendaklah jangan tertumpu kepada sesuatu perkara

*berkayuh sambil bertimba
*menyelam sambil minum air





Siri 1
Peribahasa Keadilan

Jika salah sebatang dicabut, salah serumpun dibongkar, salah separuh dirambah

Maksud:
Hukuman haruslah dijatuhkan menurut besar kecil kesalahan yang dilakukan.

Ayat:
Keadilan perundangan menuntut hukuman yang setimpal dengan kesalahan, umpama kata peribahasa jika salah sebatang dicabut, salah serumpun dibongkar, salah separuh dirambah.

Sumber: Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Peribahasa Ilmu
Biduk kalau tidak berkemudi, bagaimana ia akan laju

Maksud:
Sesuatu pekerjaan yang dikerjakan tanpa ilmu tentu tidak akan sampai kepada yang dimaksudkan.

Ayat:
Pembinaan sesebuah negara bangsa yang maju dan progresif menuntut warganya memiliki ilmu pengetahuan yang secukupnya, seperti kata pepatah, biduk kalau tidak berkemudi, bagaimana ia akan laju.

Peribahasa Permuafakatan
Duduk seorang bersempit-sempitan, duduk banyak berlapang-lapangan

Maksud:
Buah fikiran yang diperoleh dalam sesuatu perundingan itu lebih baik daripada buah fikiran kita sendirian sahaja.

Ayat:
Kejayaan sesebuah organisasi banyak bergantung pada kesepakatan dalam membuat keputusan. Sumbangan idea yang digabungjalinkan pasti membuah pembaharuan, umpama kata pepatah, duduk seorang bersempit-sempitan, duduk banyak berlapang-lapangan.

Peribahasa Perantauan

Ke gunung emas pasir baiduri, ke padang zamrud habis diedari; terbanga bangau sepanjang hari, ke tasik juga akhirnya dicari

Maksud:
Bagaimana sekalipun jauh dagang merantau, ke negeri yang besar-besar, melihat tempat yang indah-indah, kesudahannya pulang juga ia ke tanah airnya sendiri.

Ayat:
Golongan perantau yang mencari rezeki di negara lain, sekalipun berasa selesa di tempat orang, namun jauh di sudut hatinya, mereka pasti teringin pulang ke tanah airnya sendiri,ibarat peribahasa ke gunung emas pasir baiduri, ke padang zamrud habis diedari; terbang bangau sepanjang hari, ke tasik juga akhirnya dicari.

Siri 2 (17.1.10)
Bidalan dan Pepatah

Bidalan dan pepatah ialah peribahasa yang terdiri ungkapan-ungkapan yang ringkas lagi bijaksana yang mempunyai makna selapis. Walau bagaimanapun, kadang-kadang, kedua-dua jenis peribahasa itu dipakai juga untuk menyatakan makna dua lapis.

Pendeta Za'ba memberikakankita beberapa andaian yang kuat tentang cara bidalan dan pepatah itu kekal dan menjadi budaya bangsa kita. Menurut beliau:

a) Mula-mulanya sebutan itu keluar dari mulut seseorang yang bijak dan pantas fikirannya iaitu dengan perkataan yang ringkas dan membetuli sepenuh-penuh maksudnya serta mengandung di dalamnya sesuatu kebenaran yang telah dirasanya sendiri atau telah diperhatikannya berlakupada diri orang lain.

b) Kemudian apabila berkenaan orang ramai mendengarnya maka dipakailah pula oleh mereka itu hingga berulang-ulang dan berhubung-hubung dari seorang ke seorang.

c) Dengan demikian masyhurlah perkataan itu dan akhirnya lalu melekat dalam bahasa itu hingga bila-bila, menjadi suatu kekayaan dan perhiasan kepada bahasa itu.

d) Maka pada ketika itu dinamakanlah akan dia peribahasa iaitu bidalan, pepatah dan perumpamaan.

Bidalan dan pepatah yang mempunyai makna selapis adalah seperti yang berikut:

i. biar lambat asal selamat
ii. sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit
iii.sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna
iv. ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis
v.sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.
vi. malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan
vii.hati hendak semua jadi

Bidalan dan pepatah yang mempunyai makan dua lapis, ungkapannya atau patah-patah perkataan yang disusun bukan sekadar satu ayat atau ayat-ayat yang lengkap, tetapi, kadang-kadang, merupakan serangkap pantun dua kerat juga.
Contoh:

i. Bergalah hilir tertawa buaya;
Bersuluh di bulan terang tertawa harimau

ii.Lain biduk lain digalang;
Lan bengkak lain menanah

iii.Pandai mencuri merasa mendapat;Tak pandai mencuri merasa terikat.

iv. Ikut hukum menyiat daging;Sakit di awak sakitlah di orang.

v. Bawa resmi padi; Makin berisi makin tunduk.

vi. Jangan bawa resmi jagung; Makin berisi makin jegang.

vii. Ditangkap buaya nampak riaknya; Ditangkap malas tak bertanda.

Sastera


Siri 1: Gaya Bahasa Kiasan (30.1.10)

a) Metafora
Metafora ialah gaya bahasa kiasan langsung atau perbandingan yang menyebut dua hal tanpa menggunakan kata-kata perbandingan. Lazimnya metafora terdiri daripada dua perkataan yang ringkas, padat dan tersusun. Satu daripada dua perkataan metafora bersifat konkrit dan menjadi objek untuk difikirkan, dan satu lagi perkataan bersifat abstrak.

Contoh:
kaki hari
tiang kemerdekaan