Program Bersama Sasterawan Negara Dato (Dr) A. Samad Said
Tarikh: 13 April 2010
Tempat: Dewan An-Nur SMK Agama Pedas
Apa yang pasti detik ini sukar untuk dilupakan.
Pertemuan dengan penerima anugerah berprestij dalam bidang sastera negara ini ternyata membuahkan rasa debar yang cukup ranum dalam jiwa. Kejayaan pihak penganjur iaitu SMK Agama Pedas ternyata memberi impak yang sangat besar dalam dunia sastera terutama di daerah Tampin dan Rembau ini.
Minggu Bahasa SMK Agama Pedas yang bertunjangkan "Bahasa Penyubur Minda" bermula hari ini begitu manis dan enak untuk dikenang dalam perjalanan hidup sebagai seorang guru Bahasa Melayu yang sudah menjangkau perjalanan sejauh ini.
Ucapan terima kasih dan rasa syukur tidak sudah-sudah kukirimkan kepada-Nya kerana telah membuka ruang hati seluas-luasnya untuk Dato(Dr) A. Samad Said untuk menjejakkan kaki beliau di daerah beradat ini.
Kata-kata nasihat yang sempat kukutip sepanjang 45 minit ini belum cukup puas untuk telingaku terus menadah ilmunya.
Dalam usia yang baru menginjak 75 tahun pada 8 April yang lalu, ternyata Dato (Dr) A. Samad Said tidak putus-putus mengirimkan nasihat agar semua peserta menanam minat membaca. Saranan beliau agar membaca buku-buku yang berada di puncak dan diulang membaca karya besar terutama karya-karya ulung 10 orang sasterawan itu agar ilmu yang terbentang di dalam bahan bacaan itu terus mengalir dalam jiwa.
Beliau juga seorang pelukis yang cukup berbakat. Lukisan-lukisan beliau juga sedang dipamerkan di Balai Seni Lukis Negara. Selain itu, beliau juga sedang menghayati dialog untuk teater "Menunggu Khabar Dari Tuhan" karya Dinsman yang pernah dipentaskan dan dilakonkan oleh pelakon terkenal Sabri Yunus di SMK Agama Pedas yang lalu.
Perlahankan pertemuan indah ini ...namun perpisahan tetap juga akan berlaku.Kata-kata nasihat yang diuntaikan umpama mutiara-mutiara yang cukup bernilai.
Ketidakpuasan dalam hidup itu bagus supaya kita menjadi lebih baik.
No comments:
Post a Comment