Thursday, July 15, 2010

Minta Tangguh Lagi!!!


Projek Komik @Buku Cerita Bergambar
(Adaptasi daripada Teks Cerpen dan Prosa Tradisional (Harga Remaja)

Pagi ini selaku ketua editor SSS, saya meminta setiap editor projek berkenaan membentangkan projek masing-masing. Nampak kesungguhan setiap kumpulan dalam melaksanakan projek yang telah ditetapkan. Inisiatif yang ditunjukkan cukup membanggakan saya selaku ketua editor. Seronok melihat kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan oleh setiap ahli kumpulan. Harapan saya selewat-lewat hari Isnin ini, editor kumpulan dapat menyerahkan projek mereka kepada saya untuk penilaian selanjutnya. Tahniah kepada semua kumpulan. Anda berhak diberi penghargaan.






Monday, July 12, 2010

Daripada Sudut Pandanganku...(Adibah)

Natrah (Cinta, Rusuhan.Air mata)- Karya Fatini Yaacob

Antara pengajaran yang saya pelajari dalam buku ini ialah semangat cinta akan agama, bangsa dan negara yang tinggi. Buktinya, semasa berlakunya rusuhan di Singapura, rakyat Singapura dan di Tanah Melayu telah bersama-sama menyokong Natrah dan ibu angkatnya, Che Aminah. Selain itu, akhbar Utusan Melayu turut memberi sokongan. Rakyat di Singapura mahupun di Tanah Melayu turut menubuhkan yayasan khusus untuk membantu Natrah.Mereka juga telah memberi sumbangan kewangan kepada Natrah untuk membayar kos perkhidmatan peguam yang digunakan oleh Che Aminah untuk memenangi kes Natrah.

Negara-negara Islam yang lain turut memberi perhatian terhadap kes Natrah ini. Seterusnya, pengajaran yang saya peroleh adalah kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. Ibu kandung Natrah ada mengatakan bahawa dia sebenarnya tidak peduli jika anaknya ingin tinggal bersama-sama Che Aminah. Dia hanya lebih menurut arahan kerajaan Belanda. Tambahan pula,Natrah ada berkata, zaman kecilnya ialah kenangan yang tidak akan dilupakannya.

Jelas terbukti, bahawa Natrah lebih suka zaman kanak-kanaknya terutama ketika berada di Tanah Melayu dan Indonesia berbanding ketika berada di Belanda.


Aku Ketua Editor SSS


Aku Ketua Editor SSS (Syarikat Syok Sendiri)

Selaku ketua editor bagi sebuah syarikat penerbitan buku yang baru sahaja ditubuhkan hari ini di kelas 4 Musytari, aku memasang angan-angan untuk menerbitkan seberapa banyak buku pada hari Jumaat ini. Selaku pencetus idea kepada projek besar ini, aku telah melantik diriku sebagai ketua editor.
Buku-buku yang bakal diterbitkan ini telah diadaptasikan daripada genre cerpen dan prosa tradisional yang terkandung dalam komponen sastera tingkatan 4 iaitu Harga Remaja.

Editor kumpulan diberi pilihan untuk melahirkan buku komik, buku cerita kanak-kanak ataupun buku cerita komik. Itu semua bergantung kepada persetujuan ahli kumpulan. Memandangkan sejumlah wang yang besar telah dilaburkan oleh penerbit justeru pemantauan akan dibuat sepanjang pembikinan buku ini. Semua editor diharapkan dapat menyerahkan buku yang dihasilkan pada hari Jumaat ini untuk penilaian ketua editor.

Sekian, terima kasih.



Sunday, July 11, 2010

Pesta Buku Negeri Sembilan

Pesta Buku Negeri Sembilan

Pesta Buku Negeri Sembilan telah berlangsung pada 6 Julai dan berakhir pada 11 Julai. Saya sempat berkunjung ke Pesta Buku itu pada 7 Julai untuk bertemu dengan penulis yang cukup saya kagumi karyanya iaitu Tuan Abdul Latip bin Talip atau lebih mesra dikenali dengan panggilan Pak Latip. Antara tujuan pertemuan ini adalah untuk menyerahkan kertas kerja pelancaran buku terbaru beliau yang bertajuk Perang Badar dan Khalifah-Khalifah Yang Benar. Pelancaran yang bakal mencatat sejarah yang tersendiri kerana akan diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Undang Rembau pada 21 Julai 2010.

Tahniah juga diucapkan kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan dengan kerjasama Jawatankuasa Gerakan Membaca Negeri Sembilan yang telah menganjurkan Pesta Buku Negeri Sembilan 2010 di sebuah pusat membeli belah yang terkenal di Seremban2 dengan tema “Bangsa Membaca Malaysia Berjaya.”

Saturday, June 12, 2010

Kenangan Terindah Bersama Penyair







Berkesempatan bersemuka dengan Prof Madya Dr. Lim Swee Tin di Pameran Buku ReadMalaysia di Mines Serdang (5.6.10) kira-kira pukul 3.30 petang, cukup memberi satu kepuasan dan kenangan yang cukup indah.Sepanjang pertemuan hampir setengah jam, saudara Lim Swee Tin cukup bersemangat bagi melakarkan cerita tentang dunia puisinya. Beberapa buah buku yang diterbitkan oleh syarikatnya Citra Kurnia Ent. menjadi pilihan saya sepanjang bersama-sama dengan penyair yang cukup saya kagumi karyanya. Kekuatan pemilihan diksi dan tema yang digarap dalam sajaknya cukup memberi kesan kepada pembaca justeru penyair hebat ini telah menerima anugerah berprestij di peringkat Asean. Penerima S.E. A Write Award 2000 ini sebenarnya sebelum pertemuan tadi sudahpun membaca beberapa buah sajak beliau pada pagi tadi. Saya terlepas peluang itu!
Dr Lim Swee Tin juga dengan rela hati sanggup berkunjung ke pentas sekolah untuk berkongsi pengalamannya di samping menyatakan kesudiannya membaca sajak. Pada akhir pertemuan, beliau juga menggalakkan saya supaya menulis sajak. Untuk pengetahuan, saya pernah menulis sajak tapi sajak itu saya anggap terlalu mentah dan masih rebung untuk dinilai sebuah sajak kerana pada pendapat saya untuk melahirkan sajak yang begitu minimum pemilihan katanya bukan sesuatu yang mudah berbandign genre lain.

Tuesday, June 8, 2010

Program Lonjakan Saujana SPM


Satu program Lonjakan Saujana SPM (Bahasa Melayu) telah diadakan pada 7 Jun 2010 di dewan SMK Undang Rembau. Program yang banyak memberi manfaat ini bermula pada pukul 10.30 pagi dan berakhir pada 12.30 tengah hari. Kelas yang terlibat ialah 5 Utarid, 5 Zuhrah, 5 dan 5 Musytari.
Program ini telah dibahagikan kepada 3 bahagian penting iaitu Slot 1- Penggunaan Kaedah 5S dalam Penulisan Karangan telah disampaikan dengan cukup berkesan oleh En. Ganesan manakala Slot 2 yang bertajuk Penggunaan Peribahasa dalam Karangan telah disampaikan oleh Encik Abdul Razak bin Husin. Slot terakhir yang bertajuk Pemantapan Novel disampaikan oleh Puan Norawati bt Omar.Saya amat berharap agar program ini dapat memberi manfaat kepada semua murid yang hadir.


Sunday, June 6, 2010

Seronoknya Baca!http://www.blogger.com/img/blank.gif





Program Majalah dalam Kelas(MDK)

Program MDK dilangsungkan pada 1 Jun 2010 (Selasa) sempena Minggu Pusat Sumber yang bertemakan Pusat Sumber Sekolah Penjana Budaya Ilmu. Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka telah dibimbing dengan jayanya oleh Encik Ghani Abu dan editor majalah Pelita Bahasa iaitu Encik Armin Azhari Saleh. Program yang melibatkan murid-murid daripada kelas 4 Utarid, 4 Zuhrah, 4 Musytari dan 4 Zuhal bermula pada pukul 8.30 pagi hingga pukul 2.30 petang. Murid-murid juga telah dibahagikan kepada 10 kumpulan dan setiap kumpulan diberi nama berdasarkan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.Ternyata dalam setiap aktiviti yang dirancang telah berjaya melibatkan murid-murid semaksimum yang mungkin.

Ternyata aktiviti yang dianjurkan begitu mengujakan murid-murid yang menyertainya di samping memupuk sikap bekerjasama dalam kumpulan. Di samping itu, murid-murid telah diberi pendedahan penggunaan majalah dalam kelas khususnya majalah Dewan Siswa dan Dewan Kosmik.

Peserta juga diberi bimbingan dan panduan bagi menghasilkan penulisan yang baik di samping berpeluang untuk menjana pendapatan tambahan sekiranya karya mereka disiarkan oleh pihak penerbit.

Diharapkan selepas ini akan lahirnya murid-murid yang kreatif dan kritis dalam menghasilkan penulisan.Sesungguhnya untuk menjadi seorang penulis yang baik walaupun agak memedihkan, syaratnya anda perlu membaca, membaca dan terus membaca. Ilmu yang diperoleh daripada amalan ini akan meningkatkan mutu dan landskap penulisan anda.


Saturday, May 15, 2010

Antara Ranting Tua dengan Tunas Muda...


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Selamat Hari Guru.
Ucapan keramat itu kian memudar.

Cuma meriuhkan
Tapi hambar masih bersisa
Cita menyapa benak
Rasa membancuh cinta
Peribadi diri utuh
pada sungai lesu mengalir
keladak hidup
Yang semakin terpinggir
di penjuru cita

Monday, May 3, 2010

Pengertian Hari Guru bagi Seorang Guru Biasa


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Pagi tadi ada seorang pelajar bertanya...Cikgu, bagaimana Hari Guru tahun ini?
Aku tersenyum. Mungkin sambutan seperti tahun-tahun yang lalu. Hatinya berkata sendirian. Lalu kronologi program sudah tergambar pada lensa mata saya. Malas untuk memikirkan rutin yang biasa hampir setiap tahun.
Mungkin keseronokan amat terasa masa awal-awal menjadi seorang guru dulu terutama ketika saya di sekolah rendah. Sampai sekarang saya sukar untuk melenyapkan keindahan sambutannya hampir 20 tahun yang lalu. Mungkin kalau saya di sekolah rendah, kedatangan bulan Mei memang ditunggu-tunggu. Hampir setiap kelas ada jamuan meraikan guru mereka.
Apalah erti Hari Guru sekarang? Yang pasti ramai pelajar yang tidak akan hadir. Guru seperti syok sendiri sahaja manakala pelajar lebih suka duduk di rumah sambil melayani rancangan televisyen atau mengulang kaji pelajaran bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PMR atau SPM. Kemanisan sudah tidak ada lagi. Yang ada hanya rasa payau, masin dan tawar.
Bagi sesetengah pelajar, hadir ke sekolah waktu sambutan hanya membuang masa sahaja. Itu fikiran pelajar sekarang yang semakin tidak menghormati guru.
Secara peribadi sambutan Hari Guru sudah tidak memberi erti kepada seorang guru biasa seperti saya...

Minggu Yang Cukup Melelahkan...





Minggu lepas...minggu yang cukup melelahkan.Empat hari berturut-turut balik lewat kerana ada urusan yang perlu diselesaikan.

Hari Rabu sempat juga menjengah aktiviti sempena Minggu Teknik dan Vokasional di dewan sekolah. Tahniah kepada ketua bidang yang baru iaitu Puan Rohana Alias bersama-sama guru-guru bidang berkenaan yang saya kirakan amat berjaya menganjurkan pameran di dewan. Pameran daripada IKBN, ILP, Kemas serta pameran daripada pelajar dari Landskap dan Nurseri serta Lukisan Kejuruteraan juga sangat menarik pada pandangan lensa mata saya.

Cuma saya tertanya-tanya mana pameran Formula One dan pameran daripada pelajar Servis Motosikal. Mungkin tahun hadapan perkara ini bolehlah diambil kira ataupun mungkin saya yang terlepas pandang untuk menyaksikannya.

Apa-apa satu cabaran kepada bidang lain untuk menganjurkan minggu masing-masing pada tahun ini sekurang-kurangnya menyamai kehebatan Minggu Teknik dan Vokasional.Fikir..fikirkanlah...


Sunday, April 18, 2010

Kuulangi Tabiat...





Tabiat lama kuulangi pada hari Sabtu yang lalu. Berbekalkan "duit terpijak" yang di luar jangka selepas menghadiri mesyuarat kesatuan dan koperasi guru,aku lantas mengajak isteri dan anakku menuju ke Jaya Jusco, Seremban 2. Sudah hampir 4 bulan pasar raya gah itu tidak kukunjungi rupanya. Anakbujangnya sudah membayangkan agendannya yang tersendiri di situ.

Manakala di kepalaku sudah terbayangkan sebuah kedai buku yang menjadi kegemaranku iaitu MPH.
Hajat di hati, duit yang diperoleh hari itu akan dibelanjakan untuk membeli beberapa buah buku lagi. Walaupun Pesta Buku sudah lama berakhir, tetapi kegilaan membeli bahan ilmiah sudah tidak dapat dibendung lagi.

Setelah hampir beberapa jam membelek dan mengitari ruang itu, 3 buah buku sempat kusambar petang Sabtu itu. Buku-buku berkenaan adalah seperti berikut:

1. Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman- Anwar Ridhwan- Dewan Bahasa dan Pustaka
2. Singa Siang Hari (Jilid 1)- Harun Arrasyid Haji Tuskan- Yaman Angle
3. Kompas Cinta- A. Ubaidillah Alias - Kemilau

Kehadiran buku-buku ini yang pasti telah menambah satu lagi khazanah ilmu yang cukup berharga kepada mereka yang menghargainya.

Apa kata mereka? (Bersama Sasterawan Negara)


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
13 April 2010

Hari yang bermakna bagi diriku.Pada minggu bahasa yang diadakan di SMKA Pedas, aku serta rakan-rakanku bersama dengan guruku turut serta memeriahkan minggu bahasa. Aku berasa bertuah kerana sekali kerana dapat bertemu dengan Dato Dr. A. Samad Said. Selama ini, aku hanya melihat wajahnya di majalah tetapi hari ini aku dapat berjumpanya di depan mata. Wajahnya nampak tenang apatah lagi suaranya yang lembut. Beliau agak ringkas sahaja penampilannya. Beliau bercerita detik-detik permulaan beliau menceburi bidang sastera.Hal ini bermula ketika beliau berada di sekolah rendah. Beliau yang begitu gagap ketika ingin membaca sebuah karangan. Sejak itu, beliau rajin membaca sehingga hari ini. Beliau mengambil tokoh sasterawan negara sebagai idolanya. Idola beliau ialah Dato Usman Awang. Antara karyanya Salina, Keledang, Suara dari Dinding Dewan, Di Simpang Jalan dan banyak lagi. Peristiwa itu ini akan menjadi kenangan manis buatku. Jika diberi peluang suatu hari nanti aku akan mengambil kesempatan untuk membaca sajak bersama-sama beliau.

-Siti Nur Faizah Bt. Omar.
4 Musytari 2010

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Saya Mohd Syafiq b. Zukifli berasa bangga dan berbesar hati kerana pada tarikh 13.4.10 saya telah ditemukan dengan seorang sasterawan negara iaitu A.Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad di SMKA Pedas. Semasa di sana, saya mendapat tahu serba sedikit latar belakang tentang Pak Samad. Pak Samad menceritakan titik permulaan beliau mengarang. Sejak dekad 70-an lagi sebenarnya Pak Samad mesra dengan karya-karya remaja dan pernah menghasilkan beberapa buah novel kanak-kanak. Pak Samad yang dulunya seorang yang gagap dan akhirnya berjaya mengatasi masalahnya itu. Saya tidak melepaskan peluang untuk bergambar dan bersalaman dengannya. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cikgu Razak kerana tanpa beliau saya tidak berpeluang untuk berjumpa dengan seorang sasterawan negara yang begitu saya kagumi.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

13 April 2010- Satu tarikh yang amat bermakna bagi aku. Mungkin juga kepada kawan-kawanku yang turut terlibat sama untuk menghadiri minggu bahasa di SMKA Pedas. Selama ini aku hanya dapat melihat Dato Dr.A. Samad Said di kaca televisyen sahaja. Tidak pernah termimpi untuk aku berpeluang menemuinya secara langsung. Tetapi hari ini telah membuktikan segala-galanya.

Aku amat bersyukur kerana telah terpilih salah seorang daripada wakil sekolah . Peluang ini akan aku gunakan sebaik-baiknya. Bagiku ini bagaikan mimpi tetapi inilah realiti.

Aku telah dapat berjumpa dengannya secara langsung. Cantik orangnya, cantik lagi bahasanya. Dato Dr. A. Samad Said. Dia seorang yang bersahaja daripada perwatakannya. Tidak lokek berkongsi ilmu dan tidak kedekut untuk bercerita tentang zaman mudanya. Tidak kusangka sasterawan negara kita gagap satu ketika dulu. Tetapi itu tidak menjadi halangan untuk beliau berjaya. Menggunakan petua jerit ketika ombak menghempas pantai, itulah yang diamalkan beliau sehingga beliau tidak gagap lagi. Akhir kata,aku berharap dapat menemui beliau lagi pada suatu hari nanti.

Ain Habibah bt. Zahari
4 Musytari 2010




13 April 2010
Hari ini aku rasa sungguh bertuah kerana aku ditemukan dengan idolaku iaitu Dato. Dr. A. Samad Said. Selamaini aku hanya mampu melihat mukanya di kaca televisyen tetapi tidak kusangka aku telah melihatnya di depan mata aku sendiri.

Saat aku mendengar beliau berbicara sungguh aku tidak sangka betapa indahnya setiap perkataan yang keluar dari mulutnya.Ada juga beliau menceritakan perjalanan hidup beliau. Misalnya tentang cinta beliau iaitu cara beliau menemui isteri kesayangan.

Pak Samad dahulunya seorang yang gagap sehingga sukar untuk membaca ayat atau karangan bahasa Melayu dan beliau menemukan cara untuk menghilangkan gagapnya iaitu menjerit sewaktu ombak menghempas pantai.

Pak Samad ada juga membacakan beberapa sajak beliau. Majlis ilmu itu diakhiri dengan sesi menandatangani autograf.

Sempat aku dengar nasihatnya iaitu "Sesiapa yang mahu membuat karangan atau karya yang baik kita harus banyak membaca".

Nor Hidayah bt. Mihat

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini 4 Musytari 2010