Bahagian Kedua
Menyusuri Sungai Mekong
30 September 2011
Menyusuri Sg Mekong merupakan pengalaman paling menarik. Sungai Mekong ialah sungai ke-10 terpanjang di dunia, ke-10 terbesar dari segi isipadu dan mengeluarkan 475 km padu air setiap tahun. Panjangnya 4880 km dan lembangan Sungai Mekong seluas 812,000 km persegi. Mengalir dari Dataran Tibet di utara mengalir melalui Yunnan di China, Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam.
Dengan bantuan salah seorang pekerja hotel, kami berjaya juga membuat tempahan tiket untuk 4 orang. Perjalanan sehari ini akan mengambil masa selama 2 jam dengan bayaran seorang US 18(RM 54).
Kira-kira pukul 9.30 pagi, perjalanan kami bermula dengan melalui lebuh raya ke Sungai Mekong. Nyen yang kami kenali, seorang pemandu pelancong yang cukup ramah juga bakal bergelar Vietnam Idol itu cuba mengenali setiap seorang daripada kami. Bas yang kami naiki terdiri daripada 21 orang pelancong luar yang majoritinya pelancong dari Malaysia. Sepanjang perjalanan, mata kami dihidangkan dengan kawasan sawah padi yang menghijau di kiri dan kanan jalan raya. Pemandu yang penuh berhemah hanya memandu bas dengan kelajuan 80 km/jam ini cukup meresahkan saya yang duduk di belakang pemandu. Khabarnya saman yang dikenakan di sini agak tinggi juga justeru mereka tidak mempunyai keberanian untuk memandu dengan kelajuan yang lazim dilakukan di jalan-jalan raya di Malaysia. Kaki saya seperti ingin sahaja menekan pedal minyaknya.
Lihatkan pemandu ini hanya memandu bas dengan kelajuan 80km/jam. Di sebelahnya pemandangan sawah padi yang cukup memukau.
Selepas 1 jam setengah menempuh perjalanan , kami berhenti rehat di Tram Dung Chan Mekong bagi melepaskan lelah sambil menikmati air kelapa muda. Landskap indah sangat menarik perhatian saya untuk merakamkan foto di sini. Tidak boleh berlama-lama kerana perjalanan yang bakal memakan masa 1 jam lagi perlu diteruskan.
Antara pemandangan yang menangkap lensa mata saya untuk dirakamkanPemandangan di sebuah restoran ketika berhenti rehat sebelum meneruskan perjalanan ke Sg Mekong
Setibanya di sana, bot sudah sedia menunggu kami. Sempat juga membeli topi bagi menahan cuaca panas. Pengalaman yang cukup menarik sudah bermula. Menyusuri Sg Mekong yang sibuk menjalankan urus niaga di atas bot sahaja menyambar retina mata kami. Unik dan amat menarik dan tidak berlaku di Malaysia. Sg. Mekong masih menjalani perniagaan tradisional yang begitu menarik untuk dikenang. Sepanjang menyusur sungai,kami bertembung dengan bot yang sarat dengan hasil pertanian seperti nenas, labu, rambutan dan pelbagai hasil tanaman yang lain. Bot yang dinaiki juga dianggap juga sebagai ‘rumah’ kedua mereka.
Bot yang kami naiki berhenti rehat di sebuah perkampungan kecil, Thanh Thuy. Di situ kami dibawa menyaksikan pembikinan gula-gula kelapa, madu lebah dan ‘rice paper cake’serta beberapa barangan cenderamata. Mata saya tertumpu ke arah botol yang di dalamnya terkandung bangkai ular dan kala jengking yang airnya kekuning-kuningan.
Setelah hampir 45 minit di situ dan membeli 2 botol madu lebah, kami dibawa semula menyusuri Sungai Mekong sekali lagi. Kali ini kami akan singgah ke sebuah restoran tempatan. Tetapi sebelum ke restoran berkenaan, kami diberi peluang menaiki bot kecil yang pendayungnya terdiri daripada seorang wanita Vietnam. Sepanjang perjalanan,kami sempat juga menyaksikan aktiviti-aktiviti harian yang dijalankan di sepanjang sungai berkenaan. Setelah hampir 20 minit menyusuri Sg Mekong dengan sampan kecil kami menaiki bot semula untuk menuju ke sebuah restoran tempatan.
Sebelum berangkat pulang, kami dipersembahkan sebuah drama muzikal yang mengasyikkan lagi mempesonakan
No comments:
Post a Comment