(Adaptasi daripada Teks Cerpen dan Prosa Tradisional (Harga Remaja)
GURINDAM JIWA
Thursday, July 15, 2010
Minta Tangguh Lagi!!!
(Adaptasi daripada Teks Cerpen dan Prosa Tradisional (Harga Remaja)
Monday, July 12, 2010
Aku Ketua Editor SSS
Selaku ketua editor bagi sebuah syarikat penerbitan buku yang baru sahaja ditubuhkan hari ini di kelas 4 Musytari, aku memasang angan-angan untuk menerbitkan seberapa banyak buku pada hari Jumaat ini. Selaku pencetus idea kepada projek besar ini, aku telah melantik diriku sebagai ketua editor.
Buku-buku yang bakal diterbitkan ini telah diadaptasikan daripada genre cerpen dan prosa tradisional yang terkandung dalam komponen sastera tingkatan 4 iaitu Harga Remaja.
Editor kumpulan diberi pilihan untuk melahirkan buku komik, buku cerita kanak-kanak ataupun buku cerita komik. Itu semua bergantung kepada persetujuan ahli kumpulan. Memandangkan sejumlah wang yang besar telah dilaburkan oleh penerbit justeru pemantauan akan dibuat sepanjang pembikinan buku ini. Semua editor diharapkan dapat menyerahkan buku yang dihasilkan pada hari Jumaat ini untuk penilaian ketua editor.
Sekian, terima kasih.
Tuesday, June 8, 2010
Program Lonjakan Saujana SPM
Monday, May 3, 2010
Minggu Yang Cukup Melelahkan...
Hari Rabu sempat juga menjengah aktiviti sempena Minggu Teknik dan Vokasional di dewan sekolah. Tahniah kepada ketua bidang yang baru iaitu Puan Rohana Alias bersama-sama guru-guru bidang berkenaan yang saya kirakan amat berjaya menganjurkan pameran di dewan. Pameran daripada IKBN, ILP, Kemas serta pameran daripada pelajar dari Landskap dan Nurseri serta Lukisan Kejuruteraan juga sangat menarik pada pandangan lensa mata saya.
Cuma saya tertanya-tanya mana pameran Formula One dan pameran daripada pelajar Servis Motosikal. Mungkin tahun hadapan perkara ini bolehlah diambil kira ataupun mungkin saya yang terlepas pandang untuk menyaksikannya.
Apa-apa satu cabaran kepada bidang lain untuk menganjurkan minggu masing-masing pada tahun ini sekurang-kurangnya menyamai kehebatan Minggu Teknik dan Vokasional.Fikir..fikirkanlah...
Friday, April 9, 2010
Tahniah yang Tertangguh...
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Tahniah kepada pelajar dari kelas 5 Musytari 2009 yang telah mendapat pangkat A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Keputusan SPM yang telah diumumkan pada 11 Mac lalu telah menyaksikan seramai 11 orang murid dari kelas tersebut telah berjaya memecahkan monopoli pelajar terbaik dari kelas 5 Utarid dan 5 Zuhrah. Walaupun saya sedikit kecewa dengan bilangan pelajar yang mendapat pangkat A (Sasaran saya 16 orang) namun saya tetap berbangga kerana 3 orang daripada 10 orang pelajar yang mendapat pangkat A+ datangnya dari kelas 5 Musytari.
Pelajar yang mendapat A seperti berikut:
1. Nor Aida binti Hamzah A+
2. Nurul Ain bt Zainuddin A+
3. Noramiza bt. Abd. Karim A+
4.Muhd Nabeel Farhan bin
Mohd Rosli A
5. Nadhirah binti Mohd Sharif A
6. Nur Afiqah b. Mohd Azman A
7.Mohamad Amin Amri bin
Abdul Majid A-
8.Muhammad Ezrul bin Mohd Zain * A-
9.Nur Ziatul Anira bt Jailani A-
10. Noraiman b. Ab. Rahim * A-
11.Syarinah binti Ismail A-
Tahniah sekali lagi kepada mereka.
Monday, March 15, 2010
Ke Puncak...Satu Evolusi Diri
T
Kelab Setia Daerah Rembau yang diwakili oleh tiga buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Undang Rembau, Sekolah Menengah Kembangsaan Dato Abdullah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Sedia Raja bergabung menuju puncak Gunung Datuk pada 13 Mac 2010 yang lalu. Dengan berpegang kepada semangat kerja berpasukan serta keyakinan diri yang kuat ,puncak itu berjaya ditawan. Pendaki seramai 33 orang itu dengan Sekolah menengah Kebangsaan Undang Rembau diwakili 16 orang peserta (pendaki teramai) memulakan pendakian pada pukul 9.30 pagi. Alhamdulillah semua peserta sampai ke kaki Gunung Datuk dengan selamatnya pada pukul 3.30 petang. Untuk makluman, program tersebut ialah anjuran Pejabat Penerangan Daerah Rembau ini merupakan program yang julung-julung kali dianjurkan pejabat berkenaan. Terima kasih kepada Encik Wan, En Shahril serta Cikgu Khalis dan rakan-rakan yang lain kerana telah menjayakan program yang ternyata banyak memberi manfaat kepada pendaki. Rata-rata pendaki yang ditemui menyatakan kesanggupan mereka sekali lagi untuk mendaki Gunung Datuk dan pastinya sirkit yang bakal diadakan pada 10 April ini akan diwakili oleh Kelab Setia di daerah Rembau.
Pesan saya, kalau ada boleh menjaya sampai ke puncak bermakna ada juga pasti berjaya mencapai puncak cita-cita anda. Anggaplah latihan diri sebagai sebahagian daripada menuju puncak kejayaan.
Friday, March 12, 2010
Menatap Wajahnya...(Sebalik Kisah SPM 2009)

Di Sebalik Kisah Itu...(5 Neptune) bagi seorang rakan guru yang sudah bercuti kerana mengikut suami ke Amerika Syarikat bulan lalu terpaksa juga saya penuhi.
Hanya 10 orang murid kelas tersebut mendapat A(A+, A-, A) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sedangkan saya telah sandarkan 16 orang semuanya.
Bertalu-talu permintaan mohon maaf yang meluncur keluar daripada seorang murid kepada saya hinggakan air mata saya ingin saja mengalir. Mujur saya mampu lagi menahan empangan air mata yang kian penuh itu melimpah membasahi pipi.
Katanya kepada saya berulang-ulang kali,
"Maafkan saya cikgu, kerana telah mengecewakan cikgu."
Pesan saya kepada mereka, janganlah sesekali menyakiti hati guru anda, dan segeralah memohon maaf sekiranya anda bersalah terhadap guru anda.
Tahniah kepada Nurul Ain dan Aida kerana berjaya menggembirakan saya walaupun masih belum dapat menyusutkan kekecewaan saya.
Apa-apapun saya reda atas segala keputusan yang diterima...
Sunday, March 7, 2010
Padat!Sendat!Sarat!
Tarikh: 6 Mac 2010
Masa: 9.00 pagi - 11.30 pagi
Tempat: Bilik PPSMI SMKAP
Gempar ini sememangnya telah lama saya nantikan. Melihat kelibat beliau, hati saya diterpa rasa gembira yang manis. Selama ini saya hanya mengikuti perkembangan beliau di blog peribadinya yang telah saya pautkan dalam blog saya juga.
Sebelum sesi ceramah bermula, saya sempat mengutip dan menyelak sedikit demi sedikit pengalaman Pak Latip dalam menulis karya-karya sejarah terutama yang berkaitan dengan penulisan tentang tokoh-tokoh sejarah Islam. Sebagai penulis yang prolifik dalam penulisan cerita berbentuk sejarah, saya cukup kagum dengan usaha murni ini. Menurut beliau, menulis karya sejarah dalam bentuk kreatif ini yang paling penting ialah fakta yang digunakan perlu tepat dan jitu supaya tidak menimbulkan keraguan kepada pembaca.
Di samping itu, beliau juga telah memberikan tips-tips kepada saya supaya meneruskan penulisan novel saya yang agak lembab sejak kebelakangan ini. Titipan nasihat kepada saya agar memperuntukkan masa 1 jam sehari untuk menulis perlu saya pasak agam di jiwa.
Dalam ceramah ini beliau juga menegaskan minat, bakat dan usaha perlu digaulsebatikan dalam jiwa dalam melahirkan cerpen atau novel. Sebagai tugasan kecil, setiap peserta diperlukan menulis sinopsis masing-masing. Pada akhir sesi, semua peserta yang berjaya menulis sinopsis cerita telah dihadiahkan buku novel beliau. Terima kasih kepada penganjur program iaitu SMKAP kerana menjemput kami menghadiri ceramah yang banyak memberi makna kepada semua peserta termasukan saya selaku guru pengiring.
Harapan saya suatu hari nanti, saya ingin menjemput Pak Latip di SMKUR untuk memberikan sedikit pengalaman beliau dalam penghasilan karyanya.
Thursday, February 25, 2010
Panas!Panas! Panas!
.jpg)
.jpg)
AKTIVITI KOKURILUM UNIT BULAN SABIT MERAH SEKSYEN 3Hari Rabu yang lalu (24.2.10) merupakan aktiviti kokurikulum untuk unit beruniform. Selaku guru penasihat Bulan Sabit Merah Seksyen 3 hari ini saya bersama-sama Kapten Rohani Bt. Sharif cukup berbangga dengan penglibatan 2 orang jurulatih kawad kaki dalangan kalangan ahli BSM tingkatan 5. Mereka yang saya maksudkan ialah saudari Balkis Hanani binti Mohd Rusli dan Razaziela bt Abd. Rahim. Komitmen yang diberikan dengan melatih platun 3 cukup membanggakan kami. Dalam cuaca yang panas melampau, saya perhatikan penglibatan platun 3 ini cukup hebat. Anda telah berjaya menunjukkan bahawa ahli BSM juga boleh berkawad dengan baik.
Dengan pengalaman yang anda ada, telah membuktikan penglibatan kedua-dua jurulatih yang saya kira sudah melangkah ke peringkat kebangsaan ini mampu mengangkat prestasi BSM di peringkat sekolah.
Tahniah sekali lagi. Anda mampu melakukannya.
Sunday, February 21, 2010
Tetamu Yang Diundang
.jpg)
.jpg)
.jpg)
Tanggal 3.2.1o (Rabu), semasa aktiviti kokurikulum bagi Kelab Setia dan Rukun Negara, kami dikunjungi oleh pegawai dari Jabatan Penerangan Daerah Rembau. En. Shahril dengan dibantu oleh rakannya telah menyatakan kesanggupan beliau untuk memantau aktiviti Kelab Setia dan Rukun Negara sekolah. Ahli kelab Setia yang mencatat jumlah tertinggi kedua selepas kelab Pelancongan ternyata begitu teruja dengan kehadiran dua orang tetamu itu. Saya seolah tidak percaya dengan jumlah ahli yang ramai ini kerana saya sendiri terlupa untuk mempromosinya dalam kelas yang saya ajar.
Rupa-rupanya kehadiran En Shahril membawa hajat yang besar. Beliau turut mengumumkan beberapa aktiviti peringkat daerah yang telah dirangka. Antaranya program mendaki Gunung Datuk yang bakal diadakan pada 13.3.10 serta lawatan ke Parlimen.
Selain itu, beliau turut terlibat dengan mengajukan soalan kuiz kepada ahli kelab. Soalan kuiz lebih berkisar tentang pengetahuan am yang berkaitan dengan negara. Tahniah diucapkan kepada ahli Kelab Setia yang berjaya memperoleh hadiah berupa CD lagu-lagu patriotik. Sesungguhnya saya bersama -sama Cikgu Rosmah Rosli cukup berbangga dengan keterlibatan anda pada hari ini. Semoga ajk kelab akan menyusun aktiviti yang lebih menarik pada masa yang akan datang.
Khabarnya En Shahril telah bersetuju untuk menyumbangkan hadiah untuk aktiviti 'treasure hunt' yang akan anda rancang pada aktiviti yang akan datang. Apa tunggu lagi, susun strategi untuk aktiviti seterusnya. Di sini masanya anda mengasah bakat kepimpinan dalam diri. Saya bersama-sama Cikgu Rosmah menyokong usaha yang baik itu.
Hanya satu permintaan kami selaku guru penasihat supaya pengerusi Kelab Setia dan Rukun Negara mengadakan promosi yang berterusan untuk menarik ahli yang ramai terutama dalam kalangan pelajar tingkatan 4 dan 5.
Wednesday, February 10, 2010
Semangat Yang Membara...
Glitter Funny Animations Graphics
Tahun ini saya ditugaskan menjadi hakim bagi acara melempar cakera pula. Guru serba boleh katakan. Kelam kabut juga Cikgu Hairani mencari pengganti kepada dua orang rakan guru yang tidak hadir pada petang ini kerana ada sebab-sebab tertentu.
Kira-kira pukul 4.15 petang, berlangsung acara lempar cakera lelaki bawah 15 dan lelaki bawah 18. Saya juga turut dibantu oleh Cikgu Syed Ahmad dan Cikgu Habshah. Terima kasih cikgu kerana sudi menemani saya hari ini, kalau tidak saya keseorangan petang itu.
Peristiwa seorang jurugambar PSS yang sanggup bertarung nyawa kerana ingin merakamkan foto terbaiknya hampir-hampir menjadi sasaran cakera yang dilempar oleh seorang peserta. Apa yang telah berlaku?Berderau darah saya ketika itu. Amaran lantas diberikan kepada peserta agar menitikberatkan soal keselamatan. Jangan ghairah melempar sampai nyawa orang melayang juga.
Satu lagi peristiwa ngeri berlaku apabila peserta lelaki 18 telah tersalah menyasarkan lemparan ke arah belakang gelanggang. Gara-gara ingin membuat posisi lemparan yang agak luar biasa, peserta tersebut terlepas cakera lalu cakera tercampak ke belakang pula. Nasib baik tiada pelajar yang berada di belakang gelanggang ketika itu. Kalau tidak tentu BSM yang dipimpin oleh Cikgu Rozaime kena bekerja keras petang itu.
Tahniah kepada peserta yang telah menang dalam kedua-dua acara petang itu. Terima kasih sekali lagi kepada Cikgu Syed Ahmad dan Cikgu Hasbhah, anda memang hebat dan luar biasa. Seronok bekerja dengan cikgu.
Thursday, January 28, 2010
Keringat itu Untukmu...
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
Hari ini 28 hb Januari telah berlangsung Sukan Tara yang melibatkan pelajar tingkatan 4 dan tingkatan 5. Acara yang bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 10.30 pagi. Keletihan terpancar di setiap wajah yang telah bertungkus lumus menyumbangkan mata untuk rumah-rumah sukan masing-masing.
Sekalung tahniah kepada mereka yang telah berjaya.
Istilah Bahasa Daerah di Negeri Sembilan
Glitter Animal Graphics
Siri 1 (14 Januari 2010)
1. locot( lo+ cot)
Maksud perkataan ini ialah' keadaan melecur yang disebabkan oleh benda-benda yang panas', besi panas atau sebagainya.
Contoh penggunaan:
a. Lidahnya locot kerana menghirup air kopi yang masih panas.
b.Jari tangannya locot kerana terpegang bara api.
2. menugheh(me + nu + gheh)
Maksud menugheh bermakna 'mengerti, faham atau tahu membuat sesuatu kerja'
Umpamanya seseorang yang ahli dalam bidang lukisan, tentu ia menugheh yakni mengerti atau faham tentang sesuatu yang hendak dilukisnya.
Lazimnya, penggunaan kata 'menugheh'didahului dengan kata 'tidak'.
Contohnya:
a. Anak muda kampung zaman sekarang ramai yang tidak menugheh membuat kerja-kerja kampung seperti bersawah padi dan sebagainya.
b. Pelajar itu masih tidak menugheh lagi membuat surat kiriman walaupun telah diajar beberapa kali.
3. perun/peghun (pe + ghun)
Perkataan perun hampir sama maknanya dengan penggur iaitu perbuatan 'membakar'
Kerja memerun lebih berat dan sukar. Umpamanya,memerun atau membakar kayu-kayu getah yang telah ditebang untuk projek menanam semula.
a. Setelah selesai melakukan kerja memerun, mereka pun menggali lubang untuk menanam benih getah.
b. Sisa-sisa kayu yang baru diperun itu masih terasa panasnya.
4. senereh/senegheh (se + ne + gheh)
Perkataan senereh membawa dua pengertian.
Makna pertama ialah 'senonoh'. Contoh:
a. Berpakaian dalam sesuatu majlis yang rasmi haruslah senereh supaya manis dipandang orang.
Kedua, perhataan senereh bermaksud 'sempurna'.
Contoh:
b. Semua kerja yang dipertanggunjawabkan kepadanya telah dibuatnya dengan senereh.
Selalunya penggunaan kata senereh ini didahului juga dengan kata 'tidak'. Contohnya:
c. Corak permainan yang ditunjukan oleh pemain-pemain pasukan bola sepak itu tidak senereh sehingga menyebabkan kekalahan yang teruk.
d. Semua kerja itu tidak senereh belaka dan terpaksa dibuat semula.
6. temua (te + mu + a)
Perkataan temua yang dituturkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan itu bermaksud 'sungai'.
Contoh:
a. Orang ramai dinasihati supaya jangan mandi-manda di temua itu kerana airnya sangat deras dan membahayakan.
7. kelenset (ke + len+ set)
Kata 'kelenset' ada kaitannya dengan kerja mengupas kulit atau menanggalkan sesuatu yang melekat. Contohnya seperti mengulit atau menyiat kulit lembu atau binatang yang lain yang telah disembelih.
Contoh:
a. Kulit kambing yang baru disembelih itu telah dikelenset hingga licin.
b. Tolong kelenset kulit kayu itu.
c. Poster yang ditampal di papan kenyataan itu telah terkelenset ditiup angin.
Pengajaran Bahasa Efektif
Kartun merupakan suatu bahan yang sangat popular dan digemari oleh segenap lapisan masyarakat. Kartun dianggap sebagai satu wahana yang menghiburkan dan boleh meredakan ketegangan emosi manusia.
Penggunaan Kartun dalam Pengajaran Karangan
Pengajaran karangan memerlukan pengeluaran idea dan daya kreatif dalam penulisan., Oleh itu, adalah wajar kartun dijadikan bahan yang dapat menrangsang minat pelajar untuk menulis karangan. Walau bagaimanapun, aktiviti pengajaran haruslah disusun dan dirancang oleh guru dengan rapi. Kaedah perbincangan dan kaedah multitask merupakan kaedah yang terbaik jika bahan kartun digunakan sebagai bahan rangsangan dalam pengajaran karangan.
Kriteria Pemilihan Bahan Kartun untuk Pengajaran Karangan
1. Bahan kartun yang mempunyai hubungan pengalaman dan lingkungan hidup dengan kumpula pelajar sasaran. Kartun yang berkaitan dengan pengalaman sedia ada mereka, membolehkan pelajar menulis karangan berdasarkan hubungan antara pengalaman sedia ada dengan bahan kartun yang digunakan.
2. Bahan kartun mesti sesuai dengan pelajar, boleh menarik minat mereka serta berdasarkan kebolehan bahasa dan kecerdasan otak pelajar. Mengetahui tahap pencapaian pelajar terlebih dahulu sebelum membuat pemilihan bahan kartun adalah lebih baik. Kartun-kartun yang sesuai dengan pelajar dapat menarik minat mereka seterusnya mencetuskan suasana pemelajaran yang menarik dan berkesan.
3, Pilihlah kartun yang menggunakan dialog yang sesuai Penggunaan perkataan, rangkai kata, dan ayat yang sesuai dengan umur mereka sangat diperlukan. Pemiihan dialog yang baik dan tidak bercelaru akan mempengaruhi karangan pelajar, kerana kecenderungan pelajar mengambil sebahagian dialog tersebut sebagai bahan penulisan karangan mereka.
4. Kartun yang akan dipilih seharusnya sesuai dengan sukatan pelajaran dan objektif mengarang pada peringkat tertentu. Kartun yang tidak sesuai dengan sukatan pelajaran akan menyebabkan pelajar agak sukar untuk mengaitkan karangan mereka dengan pelajaran lain.
5.Sebaik-baiknya pilih kartun yang menampakkan tajuk karangan yang jelas dan tersurat.
Siri 1:
Awalan memper-
Awalan memper- ialah awalan pembentukan kata kerja Maksudnya, mana-mana kata dasar bahasa Melayu daripada golongan kata utama , apabila bergabung dengan awalan ini akan menghasilkan kata kerja.
Tiga golongan perkataan yang boleh dicantumkan dengan imbuhan ini, contohnya seperti berikut:
a) Kata nama
alat - memperalat
(membawa maksud "menjadi seperti alat" yakni mempermain-mainkan seseorang)
budak - memperbudak
(membawa maksud"menjadikan seperti budak" dalam erti kata bertindak terhadap seseorang itu seolah-olah dia itu budak)
isteri - memperisteri
(membawa maksud "menjadikan(mengambil sebagai) isteri)
hamba - memperhamba
(membawa maksud menjadikan (seseorang) sebagai hamba)
Contoh ayat:
(1)Dia memperalat orang tua itu untuk mencapai
cita-citanya.
(2) Ibu tiri memperhamba anak tirinya.
(3) Datuk Ahmad memperisteri Mulsalmah.
b) kata adjektif
besar - memperbesar
cepat - mempercepat
c) kata sendi nama
oleh - memperoleh
Walau bagaimanapun, perkataan "hamba" boleh menerima apitan memper-...-kan. Memperhambakan pula membawa erti menjadikan diri sendiri sebagai hamba, seperti dalam ayat:
d) Dia memperhambakan dirinya kepada Tuhan.
Perkataan "isteri" juga boleh menerima apitan memper-...-kan, menjadi memperisterikan yang sama sekali berbeza maksudnya daripada bentuk memperisteri.
e) Hussin memperisterikan Hassan.
(Maksudnya Hussin mengahwinkan Hassan (dengan seseorang gadis); bukan bermakna Hussin mengahwini Hassan


Nilai-nilai Murni Dalam Peribahasa Melayu
* baik membawa resmi padi daripada membawa resmi lalang
*buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali
*hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga
*kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau
Daya usaha/kerajinan/kesungguhan
*bagai lebah menghimpun madu
*cepat kaki, cepat tangan
*genggam bara api biar sampai menjadi arang
*kalau tidak dipecahkan ruyung, manakah dapat sagunya
Semangat bermasyarakat/kekeluargaan/perhubungan
*air dicencang tidak akan putus
*biduk berlalu kiambang bertaut
*ibarat telur sesangkak, pecah sebiji,pecah semua
*seperti isi dengan kuku
Berhati-hati/teliti/berjimat cermat
*berjalan pelihara kaki, bercakap pelihara lidah
*biar lambat asalkan selamat
*daripada segenggam jadi segantang
*sediakan payung sebelum hujan
Keberanian
* berani kerana benar, takut kerana salah
*membujur lalu melintang patah
*pantang berundur sebelum berjuang
*pantang mati sebelum ajal
Kepatuhan/kesetiaan
*air orang disauk, ranting orang dipatah, adat orang diturut
*biar mati anak, jangan mati adat
*di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
*hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri
Semangat patriotisme/cinta akan negara
*seperti belut pulang ke lumpur
*seperti gagak pulang ke benua
*seperti ikan pulang ke lubuk
*setinggi-tinggi bangau terbang,hinggap di belakang kerbau juga
Rasional
*ada akal
*akal budi
*jangan bercermin di air keruh
*ke tengah boleh, ke tepi pun boleh
Kepentingan ilmu
*diam ubi berisi
*ilmu itu pelita hidup
*jauhari juga yang mengenal manikam
*kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga
Kasih sayang
*bagai menjaga intan dicanai
*hilang di mata, di hati jangan
*menatang minyak yang penuh
*tatang di anak lidah
Keadilan
*duduk dengan cupak dan gantang
*seduit dibelah tujuh
*seperti menghela rambut dalam tepung
*umpama jari di tangan, ada bercincin ada tidak
Berdikari
*kalau pandai meniti buih, selamat badan sampai ke seberang
*ke tengah boleh, ke tepi pun boleh
*pandai menyelam air di dangkal
*timba air mandikan diri
Siri 2 (17.1.10)
Peribahasa Mengungkap Budaya Kerja Orang Melayu
a. Budaya kerja dan gigih dalam bekerja
*ringan tulang
*mandi keringat
*hempas tulang urat
*peluh darah
*gulung lengan baju
b. Ketekunan dan kerajinan orang Melayu dalam melakukan sesuatu pekerjaan
*sedikit lama-lama jadi bukit
c. Berjimat cermat untuk mencapai sesuatu kejayaan
*ikat perut
*cermat semasa banyak, jimat semasa sedikit
d. Sikap tidak suka membuang masa dan apabila berbuat kerja hendaklah jangan tertumpu kepada sesuatu perkara
*berkayuh sambil bertimba
*menyelam sambil minum air
Siri 1
Peribahasa Keadilan
Jika salah sebatang dicabut, salah serumpun dibongkar, salah separuh dirambah
Maksud:
Hukuman haruslah dijatuhkan menurut besar kecil kesalahan yang dilakukan.
Ayat:
Keadilan perundangan menuntut hukuman yang setimpal dengan kesalahan, umpama kata peribahasa jika salah sebatang dicabut, salah serumpun dibongkar, salah separuh dirambah.
Sumber: Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
Peribahasa Ilmu
Biduk kalau tidak berkemudi, bagaimana ia akan laju
Maksud:
Sesuatu pekerjaan yang dikerjakan tanpa ilmu tentu tidak akan sampai kepada yang dimaksudkan.
Ayat:
Pembinaan sesebuah negara bangsa yang maju dan progresif menuntut warganya memiliki ilmu pengetahuan yang secukupnya, seperti kata pepatah, biduk kalau tidak berkemudi, bagaimana ia akan laju.
Peribahasa Permuafakatan
Duduk seorang bersempit-sempitan, duduk banyak berlapang-lapangan
Maksud:
Buah fikiran yang diperoleh dalam sesuatu perundingan itu lebih baik daripada buah fikiran kita sendirian sahaja.
Ayat:
Kejayaan sesebuah organisasi banyak bergantung pada kesepakatan dalam membuat keputusan. Sumbangan idea yang digabungjalinkan pasti membuah pembaharuan, umpama kata pepatah, duduk seorang bersempit-sempitan, duduk banyak berlapang-lapangan.
Peribahasa Perantauan
Ke gunung emas pasir baiduri, ke padang zamrud habis diedari; terbanga bangau sepanjang hari, ke tasik juga akhirnya dicari
Maksud:
Bagaimana sekalipun jauh dagang merantau, ke negeri yang besar-besar, melihat tempat yang indah-indah, kesudahannya pulang juga ia ke tanah airnya sendiri.
Ayat:
Golongan perantau yang mencari rezeki di negara lain, sekalipun berasa selesa di tempat orang, namun jauh di sudut hatinya, mereka pasti teringin pulang ke tanah airnya sendiri,ibarat peribahasa ke gunung emas pasir baiduri, ke padang zamrud habis diedari; terbang bangau sepanjang hari, ke tasik juga akhirnya dicari.
Siri 2 (17.1.10)
Bidalan dan Pepatah
Bidalan dan pepatah ialah peribahasa yang terdiri ungkapan-ungkapan yang ringkas lagi bijaksana yang mempunyai makna selapis. Walau bagaimanapun, kadang-kadang, kedua-dua jenis peribahasa itu dipakai juga untuk menyatakan makna dua lapis.
Pendeta Za'ba memberikakankita beberapa andaian yang kuat tentang cara bidalan dan pepatah itu kekal dan menjadi budaya bangsa kita. Menurut beliau:
a) Mula-mulanya sebutan itu keluar dari mulut seseorang yang bijak dan pantas fikirannya iaitu dengan perkataan yang ringkas dan membetuli sepenuh-penuh maksudnya serta mengandung di dalamnya sesuatu kebenaran yang telah dirasanya sendiri atau telah diperhatikannya berlakupada diri orang lain.
b) Kemudian apabila berkenaan orang ramai mendengarnya maka dipakailah pula oleh mereka itu hingga berulang-ulang dan berhubung-hubung dari seorang ke seorang.
c) Dengan demikian masyhurlah perkataan itu dan akhirnya lalu melekat dalam bahasa itu hingga bila-bila, menjadi suatu kekayaan dan perhiasan kepada bahasa itu.
d) Maka pada ketika itu dinamakanlah akan dia peribahasa iaitu bidalan, pepatah dan perumpamaan.
Bidalan dan pepatah yang mempunyai makna selapis adalah seperti yang berikut:
i. biar lambat asal selamat
ii. sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit
iii.sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna
iv. ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis
v.sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.
vi. malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan
vii.hati hendak semua jadi
Bidalan dan pepatah yang mempunyai makan dua lapis, ungkapannya atau patah-patah perkataan yang disusun bukan sekadar satu ayat atau ayat-ayat yang lengkap, tetapi, kadang-kadang, merupakan serangkap pantun dua kerat juga.
Contoh:
i. Bergalah hilir tertawa buaya;
Bersuluh di bulan terang tertawa harimau
ii.Lain biduk lain digalang;
Lan bengkak lain menanah
iii.Pandai mencuri merasa mendapat;Tak pandai mencuri merasa terikat.
iv. Ikut hukum menyiat daging;Sakit di awak sakitlah di orang.
v. Bawa resmi padi; Makin berisi makin tunduk.
vi. Jangan bawa resmi jagung; Makin berisi makin jegang.
vii. Ditangkap buaya nampak riaknya; Ditangkap malas tak bertanda.
Sastera
Siri 1: Gaya Bahasa Kiasan (30.1.10)
a) Metafora
Metafora ialah gaya bahasa kiasan langsung atau perbandingan yang menyebut dua hal tanpa menggunakan kata-kata perbandingan. Lazimnya metafora terdiri daripada dua perkataan yang ringkas, padat dan tersusun. Satu daripada dua perkataan metafora bersifat konkrit dan menjadi objek untuk difikirkan, dan satu lagi perkataan bersifat abstrak.
Contoh:
kaki hari
tiang kemerdekaan
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
