Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Ucapan keramat itu kian memudar.
Cuma meriuhkan
Tapi hambar masih bersisa
Cita menyapa benak
Rasa membancuh cinta
Peribadi diri utuh
pada sungai lesu mengalir
keladak hidup
Yang semakin terpinggir
di penjuru cita
Tsunami di Dada Ini
Hari ini sekali saya diuji. Diri umpama bola getah yang dilantun-lantun pada dinding atau umpama bola sepak yang akan disepak sesuka hati. Perkara yang amat kecil pada tanggapan sesetengah pihak tapi bagi saya perkara ini amat sukar untuk saya terima. Terkejut dan perasaan saya mula libang libu tidak tentu arah. Aduh…mengapa saya sering menjadi mangsa? Apakah rasional perkara ini? Oleh sebab kecuaian sesetengah pihak dan saya pula yang akan menanggung akibatnya. Mungkin secara sinis ada orang beranggapan dan barang kali mengatakan saya tidak perlu bertindak sebodoh ini. Hati ini bermonolog sendiri.
Besar atau kecilnya masalah itu bukan persoalan pokok yang perlu diperdebatkan. Adakah kerana saya lebih santai dengan senarai tugas yang terpikul di pundak, maka saya dianggap tidak ambil kisah dengan segala perubahan drastik yang dibuat atas diri saya. Saya sudah banyak bersabar.
Bukan sekali ini saya terkena tempias perubahan. Sudah acap kali semenjak saya berada di sini. Pada tahun 2008 saya pernah ditukarkan memegang kelas 5 Marikh setelah hampir beberapa bulan menjadi guru kelas di kelas 4 Musytari. Hari ini sekali ini perkara yang sama menimpa terhadap saya. Setelah hampir setahun 3 bulan saya menjadi guru kelas 5 Uranus, tiba-tiba saya diarahkan menjadi guru kelas 5 Marikh. Alasannya sangat mudah, tiada pilihan lain. Atau saya sememangnya terkenal dengan guru yang tidak cerewet. Akur dengan arahan dan tugasan yang diberikan. Barang kali tugas saya tidaklah menggunung kalau dibandingkan tugas-tugas guru lain yang dikatakan lebih berkepentingan dan berstatus tinggi tugasnya. Saya cuba memaksikan segala jawapan selamat yang diberikan. Adakah saya juga tergolong dalam khalayak yang kurang dibebani tugas?
Adakah guru yang terlebih tugasnya dan diri saya yang agak selesa dengan tugas sekarang tidak perlu dipertimbangkan? Saya tidak akan bersuara sekiranya perkara ini relevan dan saya akan menerimanya seadanya.
Kenapa perubahan itu tidak dibuat pada peringkat awal? Mengapa perlu menunggu hampir 3 bulan setelah sebahagian besar tugas telah selesai baru keprihatinan itu mula hendak dititikberatkan? Pelbagai persoalan menyerang bertubi-tubi di minda saya. Puas saya merelevankan apa-apa yang telah berlaku. Tapi keputusan itu bulat telah saya capai. Saya tidak boleh bersabar lagi. Tahap kesabaran saya semakin terhakis sedikit demi sedikit umpama tebing sungai yang akhirnya akan terhakis juga diterjah aliran air.
Kelemahan kalau tidak segera diatasi akan menjadi virus yang boleh merosakkan sebuah pentadbiran. Malas hendak memikirkan lagi. Minda saya benar-benar penat hari ini. Adakah saya terlalu emosional sehingga ada pihak yang akan menerima tempiasnya. Apa-apa bulan April, borang pertukaran itu akan saya isi untuk memerdekakan hati yang terus terpenjara. Saya bukanlah guru yang akan memberontak tanpa sebab. Saya punya alasan walaupun alasan saya bakal dibakulsampahkan saja tanpa pertimbangan sewajarnya.
Saya percaya, ada hikmah di sebalik segala peristiwa yang berlaku. Pertukaran ini perlu dipercepat agar hati ini tidak terus-menerus digempur tsunami.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
Matahari melabuhkan tirainya...umpamaHari ini masuk hari ke-2 2010. Tahun ini satu lagi cabaran sudah sedia menunggu di hadapan mata. Mengajar dua kelas tingkatan 5 memerlukan komitmen yang sudah tentu menuntut kesabaran yang perlu digaul sama rata dengan sikap prihatin yang yang kadang-kadang menimbulkan kebencian pelajar.
Pelajar sekarang bukan pelajar zaman persekolahan saya dahulu. Jauh...terlalu jauh berbeza.Teguran guru sering disalah erti. Selalulah berfikiran positif jangan sesekali menganggap teguran guru sebagai tanda guru membenci anda. Ingat...tidak ada seorang guru yang bercita-cita ingin menggagalkan anak muridnya.
Kadang-kadang ingin sahaja dikesampingkan sikap prihatin yang dianggap keterlaluan oleh sesetengah pelajar. Namun sebagai guru yang masih berpegang kuat kepada prinsip profesionalisme perasaan itu perlu dibakulsampahkan sahaja.
Tanggungjawab seorang guru perlu juga diteruskan sehinggalah di penghujung persaraan nanti. Nak tunggu tahun 2025 untuk bersara, rasanya terlalu panjang lagi. Yang pasti saat itu pasti akan tiba juga.
Beberapa perancangan untuk pelajar tingkatan 5 sudah sedia terlukis pada landskap perancangan tahun ini. Mengajar kelas yang sama pada tahun lepas mungkin tidak menimbulkan masalah yang banyak. Kerenah murid yang pelbagai rencam dianggap sebagai satu cabaran yang perlu diharungi tahun ini.
Tahun ini akan dicuba supaya benteng kesabaran saya terus kukuh walaupun tahun lepas, benteng itu sudah nampak retaknya.
Kepada pelajar tingkatan 4, jangan sesekali beranggapan tingkatan 4 ialah tahun untuk anda bersuka ria semahu-mahunya. Untuk mencapai kejayaan bukan mudah dan bukan juga terlalu sukar. Keazaman perlu dipasak agam di jiwa. Motivasikan diri sendiri untuk terus berjaya.
Kartun merupakan suatu bahan yang sangat popular dan digemari oleh segenap lapisan masyarakat. Kartun dianggap sebagai satu wahana yang menghiburkan dan boleh meredakan ketegangan emosi manusia.
Penggunaan Kartun dalam Pengajaran Karangan
Pengajaran karangan memerlukan pengeluaran idea dan daya kreatif dalam penulisan., Oleh itu, adalah wajar kartun dijadikan bahan yang dapat menrangsang minat pelajar untuk menulis karangan. Walau bagaimanapun, aktiviti pengajaran haruslah disusun dan dirancang oleh guru dengan rapi. Kaedah perbincangan dan kaedah multitask merupakan kaedah yang terbaik jika bahan kartun digunakan sebagai bahan rangsangan dalam pengajaran karangan.
Kriteria Pemilihan Bahan Kartun untuk Pengajaran Karangan
1. Bahan kartun yang mempunyai hubungan pengalaman dan lingkungan hidup dengan kumpula pelajar sasaran. Kartun yang berkaitan dengan pengalaman sedia ada mereka, membolehkan pelajar menulis karangan berdasarkan hubungan antara pengalaman sedia ada dengan bahan kartun yang digunakan.
2. Bahan kartun mesti sesuai dengan pelajar, boleh menarik minat mereka serta berdasarkan kebolehan bahasa dan kecerdasan otak pelajar. Mengetahui tahap pencapaian pelajar terlebih dahulu sebelum membuat pemilihan bahan kartun adalah lebih baik. Kartun-kartun yang sesuai dengan pelajar dapat menarik minat mereka seterusnya mencetuskan suasana pemelajaran yang menarik dan berkesan.
3, Pilihlah kartun yang menggunakan dialog yang sesuai Penggunaan perkataan, rangkai kata, dan ayat yang sesuai dengan umur mereka sangat diperlukan. Pemiihan dialog yang baik dan tidak bercelaru akan mempengaruhi karangan pelajar, kerana kecenderungan pelajar mengambil sebahagian dialog tersebut sebagai bahan penulisan karangan mereka.
4. Kartun yang akan dipilih seharusnya sesuai dengan sukatan pelajaran dan objektif mengarang pada peringkat tertentu. Kartun yang tidak sesuai dengan sukatan pelajaran akan menyebabkan pelajar agak sukar untuk mengaitkan karangan mereka dengan pelajaran lain.
5.Sebaik-baiknya pilih kartun yang menampakkan tajuk karangan yang jelas dan tersurat.

