GURINDAM JIWA
Wednesday, December 30, 2009
Kelewahan Bahasa 2
Satu lagi bentuk lewah dalam ayat ialah penggandaan kata nama sesudah kata nama atau kata kerja yang mendukung maksud jamak. Contohnya:
(1a) Senarai nama-nama peserta sudah diumumkan oleh penganjur kejohanan.
(2a) Jurulatih menghimpunkan pemain-pemain di tepi padang.
Bentuk yang betul bagi ayat (1a) dan (2a) adalah seperti yang berikut:
(1b) Senarai nama peserta sudah diumumkan oleh penganjur kejohanan.
(2b) Jurulatih menghimpunkan pemain di tepi padang.
Kata seperti antara dan daripada berkaitan dengan sebilangan orang atau perkara daripada keseluruhan. Oleh sebab itu, penggandaan pada kata nama yang menyusuli kedua-dua kata tersebut dianggap lewah. Begitu juga halnya bagi kata ada. Contohnya:
(3a) Antara pegawai-pegawai yang dinaikkan pangkat ialah pegawai eksekutif syarikat
itu.
(4a) Seorang daripada murid-murid itu telah dikenakan tindakan disiplin.
(5a) Ada murid-murid yang telah membayar yuran persekolahan.
Ayat 3a hingga ayat 5a dapat dibetulkan dengan meniadakan penggandaan pada kata nama, seperti yang berikut:
(3b) Antara pegawai yang dinaikkan pangkat ialah pegawai eksekutif syarikat itu.
(4b) Seorang daripada murid itu telah dikenakan tindakan disiplin.
(5b) Ada murid yang telah membayar yuran persekolahan.
Dari segi penggunaan kata penguat, sesetengah penguat tidak boleh digandingkan kerana dikatakan lewah. Selain itu,imbuhan ter- juga tidak boleh digandingkan dengan kata penguat bandingan penghabisan. Contohnya:
(6a) Ali paling tercerdik.
(7a) Ali terpandai sekali.
Kata penguat paling dan sekali serta imbuhan ter- bermaksud bandingan penghabisan. Oleh sebab itu, hanya satu unsur yang boleh kita gunakan. Contohnya:
(6b) Ali paling cerdik.
(6c) Ali cerdik sekali.
(7b) Ali terpandai.
(7c) Alilah yang terpandai.
(7d) Ali pandai sekali.
Sunday, December 20, 2009
Kelewahan Bahasa
Menurut Kamus Dewan, edisi keempat, perkataan lewah membawa maksud " berlebihan-lebihan sehingga tertambah perkara,hal dan sebagainya yang tidak perlu, misalnya perkataan yang digunakan dalam ayat".
1(a) * Adik menggaru-garu kepalanya berkali-kali.
(Ayat ini lewah kerana penggandaan pada menggaru sudah mendukung maksud perbuatan
yang berulang-ulang. Oleh sebab itu, bentuk yang betul ialah:
1(b)Adik menggaru-garu kepalanya.
1(c) Adik menggaru kepalanya berkali-kali.
2(a)*Daun-daun berguguran.
( Ada imbuhan bahasa Melayu yang mendukung maksud jamak. Contohnya ialah ber...-an. Oleh sebab itu, ayat di atas lewah.
Ayat yang betul ialah subjek daun digandakan atau imbuhan ber-...-an ditambah pada perkataan gugur.
2(b) Daun-daun gugur.
2(c) Daun berguguran.
Bentuk lewah wujud dalamhal pernyataan maksud jamak dalam ayat.
3(a) *Rumah-rumah di taman perumahan itu besar-besar.
Ayat 3(a) tidak gramatis kerana penggandaan pada subjek rumah atau predikat besar sahaja sudah mendukung maksud jamak. Lantara itu, ayat yang betul ialah:
3(b) Rumah-rumah di taman perumahan itu cantik.
3(c) Rumah di taman perumahan itu cantik-cantik.
Penggandaan kata adjektif untuk membentuk kata adjektif ganda atau frasa adjektif ada kalanya membawa makna "sangat". Dalam hal ini, penggunaan kata sangat dianggap lewah.
4(a) *Penduduk di kampung pedalaman itu sangat miskin kedana.
5(a)*Malam itu amat gelap-gelita.
Bentuk yang betul bagi ayat 4(a) dan 5(a) hanya mempunyai bentuk adjektif tunggal dengan penguat atau kata adjektif berganda atau frasa adjektif.
4(b) Penduduk di kampung pedalaman itu sangat miskin.
4(c) Penduduk di kampung itu miskin kedana.
5(b) Malam itu sangat gelap.
5(c) Malam itu gelap-gelita.
Penggandaan kata sendi nama atau kata hubung yang berderetan juga merupakan unsur lewah yang harus dielakkan. Contohnya.
6(a) *Selain daripada Hafiz, dia tidak ada kawan lain.
7(a)* Sejak dari hari itu, Shela sudah insaf.
8(a)*Dia berusaha demi untuk membahagiakan anaknya.
9(a) Jika sekiranya bernasib baik, kita akan berjaya.
10(a) Mereka berbual hingga ke pagi.
AyaT 6a hingga 10(a) dapat kita betulkan dengan membuang unsur lewah. Dengan hal itu, bentuk yang betul adalah seperti yang berikut:
6(b) Selain Hafiz, dia tidak ada kawan lain.
7(b) Sejak dari hari itu, dia sudah insaf.
8(b) Dia berusaha demi membahagiakan anaknya.
8(c) Dia berusaha untuk membahagiakan anaknya.
9(b) Jika bernasib baik,kita akan berjaya.
9(c) Sekiranya bernasib baik, kita akan berjaya.
10(b)Mereka berbual hingga pagi.
Wednesday, December 2, 2009
Tatabahasa
Soal Jawab 1
Antara “mengenepikan” dengan “mengetepikan”, “mengenengahkan”
atau “mengetengahkan”
Bagi kata “mengenepikan” atau “mengetepikan” dan “mengenengahkan” atau “mengetengahkan”, jika kita tahu akan peraturannya, maka dengan mudah kita dapat mengeja perkataan tersebut.
Langkah pertama, kita mestilah tahu akan kata akarnya, iaitu kata tanpa imbuhan. Dalam contoh ini, kata akarnya ialah ke tepi dan ke tengah. Kedua-dua kata akar itu ialah frasa. Jika kita memberikan apitan (awalan dan akhiran serentak), maka kata yang terdapat dalam kata akar tersebut dicantumkan, dan hanya huruf pertama bagi kata pertama sahaja yang mengalami perubahan(disebabkan kata tersebut bermula dengan huruk k).
Kata kedua, iaitu tepi atau tengah, tidak mengalami perubahan (walaupun bermula dengan huruf t). Jadi, ejaan yang betul ialah mengetepikan dan mengetengahkan.
Soal Jawab 2
Memperolehi atau Memperoleh
Bagi perkataan memperolehi atau memperoleh, kita hendaklah tahu akan kelas katanya dan makna yang terkandung dalam kata tersebut. Langkah pertama, seperti yang sebelumnya, kita mesti tahu akan kata akarnya. Dalam contoh yang diberikan , kata akarnya ialah oleh, dan selepas mendapat awalan ber-, kata tersebut menjadi beroleh( beroleh ialah kata kerja tak transitif)
Kata memperoleh ialah kata kerja transitif, dan kata memperolehi juga ialah kata kerja transitif. Maka, kata memperolehi dianggap lewah, iaitu berlebih-lebihan dan dianggap tidak mengikut tatabahasa dan bentuk tersebut ialah bentuk yang tidak baku. Tambahan pula, akhiran –i dalam kata tersebut tidak ada fungsinya, dan dengan hal itu, akhiran –i tidak diperlukan dalam kata tersebut.
Soal Jawab 3
‘ Mengotorkan’ dan ‘Mengotori’
Mengotorkan membawa maksud menyebabkan jadi kotor dan pelakunya ialah orang atau sesuatu yang menyebabkan tempat, kawasan dan lain-lain menjadi kotor.
Mengotori pula membawa maksud menjadikan kotor dan pelakunya mempunyai sifat kotor, iaitu yang menjadi punca kekotoran (misalnya, sampah sarap, debu dan sebagainya).
Perhatikan ayat yang gramatis yang berikut.
1(a) Sampah sarap mengotori taman itu.
Taman itu dikotori sampah.
Debu mengotori bilik itu.
Bilik itu dikotori debu.
1 (b) Budak nakal mengotorkan bilik darjah.
Bilik darjah dikotorkan oleh budak nakal.
Soal Jawab 4
‘Berbahaya’, ‘ Membahayakan’, ‘ Merbahaya’
‘Berbahaya’ ialah kata adjektif dan kata kerja tak transitif, yang membawa maksud ‘boleh mendatangkan kemalangan,bencana atau keadaan yang buruk’ atau yang bermaksud ada bahayanya.
Sementara ‘merbahaya’ ialah bentuk yang tidak baku yang maknanya sama dengan ‘berbahaya’.
Membahayakan pula kata kerja transitif yang membawa maksud ‘mendatangkan bahaya (kepada)’.
Contoh:
1. Penyakit itu sangat berbahaya.
2. Memandu terlalu laju adalah berbahaya.
3. Merokok membahayakan kesihatan.
4. Letupan itu membahayakan penduduk kampung.
Soal Jawab 5
‘Berasa’, ‘Merasa’, ‘Merasakan’
‘Berasa’ ialah kata kerja tak transitif dan membawa maksud ‘mempunyai rasa, beroleh rasa atau mengalami rasa dalam hati.
‘Merasa’ pula ialah kata kerja transitif dan membawa maksud ‘mengecap (rasa) dengan lidah’. atau ‘ mengetahui (sesuatu) secara menyentuh dengan tangan’.
‘Merasakan’ ialah kata kerja transitif dan membawa maksud ‘membiarkan seseorang merasa’ atau ‘memikirkan’ atau ‘menganggap’
Penggunaan kata-kata tersebut adalah seperti berikut:
1. Makanan itu berasa masin.
2. Dia berasa letih selepas bekerja sehari suntuk.
3. Ani berasa sedih mendengar berita itu.
4. Ibu merasa makanan yang terhidang itu.
5.Dia merasa kain yang ditunjukkan untuk mengetahui kasar halusnya.
6. Dia merasakan pengaruhnya kepada orang-orang bawahannya.
7. Pihak atasan merasakan beliau masih penting dalam jabatan itu.
Soal Jawab 6
‘Dari semasa ke semasa’ atau ‘ dari masa ke semasa’
Frasa ‘dari masa ke semasa’ tidak boleh digunakan kerana tidak mematuhi peraturan bahasa. Frasa yang betul ialah ‘dari semasa ke semasa’ atau ‘ dari masa ke masa’. Kedua-dua unsur penting iaitu, semasa dan masa dalam frasa itu hendaklah seimbang atau sama.
“ Menyusui” dan “Menyusukan”
Daripada contoh yang diberikan, kata akarnya ialah susu, dan susu ialah kata nama. Jika kata nama diberi apitan me-…..i, maka salah satu daripada maksud yang terkandung dalam kata tersebut ialah memberikan sesuatu (seseorang dalam kata akar) kepada seseorang atau sesuatu. Jadi, menyusui membawa maksud memberikan susu kepada, atau memberi seseorang atau sesuatu minum susu.
Jika dilihat dari segi pembentukannya dan maksud yang terkandung, kata menyusukan adalah tidak mengikut tatabahasa kerana jika apitan me-…..kan diberikan kepada kata nama, maka salah satu daripada maksud yang terkandung ialah menjadikan sesuatu sebagai yang tersebut pada kata akar. Jadi, dalam hal ini tidak wajarlah kata menyusukan digunakan dalam ayat seperti yang berikut:
1. Dia menyusukan bayinya.
Bukankah lebih tepat atau lebih gramatis jika ayat tersebut berbentuk begini.
2. Dia menyusui bayinya.
Soal Jawab 7
‘Selain daripada itu’ atau ‘Selain itu’
Lain ialah kata sifat atau kata adjektif dan selain ialah kata tugas. Lain membawa maksud “tidak sama atau berbeza”, manakala selain membawa maksud “(yang) lain daripada, kecuali, hanya atau di samping”.
Daripada maksud yang terkandung,kita boleh menentukan cara penggunaan kata-kata tersebut dalam ayat. Sebagai contoh, “ Dia lain daripada yang lain”, membawa maksud “dia tidak sama dengan yang lain atau dia berbeza daripada yang lain”.
Contoh penggunaan selain pula ialah “ Selain membaca, dia juga menulis” dan “Dia tidak dapat melakukan apa-apa, selain membatu”. Kita boleh juga memilih, sama ada hendak menggunakan frasa lain daripada atau selain dalam ayat yang sama.
Contohnya, “Selain itu, dia tidak pernah degil” atau “Lain daripada itu, dia tidak pernah degil”.
Mengikut tatabahasa , frasa selain daripada itu adalah salah atau tidak gramatis. Frasa yang betul ialah selain itu atau lain daripada itu.
Sunday, November 15, 2009
Kata Majmuk dan Cara Mengejanya
Terdapat empat bentuk kata dalam bahasa Melayu, iaitu kata tunggal, kata terbitan,kata majmuk, dan kata ganda.
Kata Majmuk
Kata majmuk ialah perkataan yang dibentuk dengan menggabungkan dua perkataan atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna tertentu. Sebagai contoh, nasi dan kandar masing-masing mempunyai makna tersendiri, tetapi apabila digabungkan, lahirlah nasi kandar yang bererti “nasi yang dicampurkan sekali dengan lauk-pauknya dalam satu pinggan”.
a)Ejaan Cara Tercantum
adakala antarabangsa apabila apahal
apakala bagaimana barangkali beritahu
bumiputera darihal daripada dinihari
dukacita hulubalang jawatankuasa kadangkala
kakitangan kepada kerjasama manakala
matahari olahraga padahal peribadi
peribahasa perikemanusiaan pesuruhjaya sediakala
senjakala sepertimana setiausaha sukacita
sukarela suruhanjaya tandatangan tanggungjawab
warganegara
b) Ejaan Tercantum Yang Sudah Mantap
Buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (2003:75) telah menyenaraikan 15 perkataan yang terdiri daripada kata majmuk yang penggunaannya sudah mantap sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut ternyata mempunyai dua kata dasar. Perkataan yang demikian tetap dieja sebagai satu perkataan dan mestilah dihafalkan. Bentuk-bentuk perkataan tersebut ialah:
antarabangsa beritahu bumiputera jawatankuasa
kakitangan kerjasama olahraga matahari
setiausaha sukarela suruhanjaya tandatangan
tanggungjawab warganegara pesuruhjaya
c) Ejaan Penggandaan Kata Majmuk
Penggandaan kata majmuk melibatkan penggandaan unsur pertama kata majmuk itu sahaja, dan ejaannya dilakukan dengan cara meletakkan tanda sempang pada kata dasar yang digandakan.
alat-alat tulis balai-balai raya kapal-kapal terbang
garis-garis pusat Ketua-Ketua Menteri Naib-Naib Canselor
Perdana-Perdana Menteri Menteri-Menteri Besar
Timbalan-Timbalan Menteri
Namun begitu, bagi 15 bentuk yang telah mantap pengejaannya sebagai satu unit,penggandaan kata majmuk sedemikian berlaku untuk seluruh kata. Misalnya:
setiausaha-setiausaha tandatangan-tandatangan
pesuruhjaya-pesuruhjaya jawatankuasa-jawantankuasa
warganegara-warganegara tanggungjawab-tanggungjawab
d) Ejaan Kata Majmuk yang Menerima Imbuhan
Pertama, apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan awalan atau akhiran sahaja, ejaan kata majmuk tetap terpisah. Misalnya:
campur aduk + ber bercampur aduk
ambil alih + meng- mengambil alih
daya serapan + -an daya serapan
Apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan apitan, ejaannya menjadi bercantum. Misalnya:
campur aduk + men…kan mencampuradukkan
daya serap + ke…an kedayaserapan
urus niaga + di….-kan diurusniagakan
Saturday, November 14, 2009
Tatabahasa
Mengeja Kata Ganti Nama Diri Singkat
Terdapat empat kata ganti nama yang boleh disingkatkan , iaitu:
1. aku menjadi ku
2. engkau menjadi kau
3. kamu menjadi mu
4. dia dan ia menjadi nya
Bentuk-bentuk singkat ini bertaraf terikat, iaitu tidak boleh berdiri sendiri, sebaliknya perlu dieja bercantum dengan perkataan lain.
Salah,jika dieja bentuk-bentuk ini secara tersendiri. Perhatikan contoh-contoh berikut:
1. Cerpen yang kauhasilkan itu sungguh baik.
Cerpen yang kau hasilkan itu sungguh baik. (Salah)
2. Makanan ini dimasak khas untukmu.
Makanan ini dimasak kahas untuk mu. (Salah)
3. Lagu tersebut dicipta olehnya.
Lagu tersebut dicipta oleh nya. (Salah)
4. Itulah jawapanku kepada soalan kamu.
Itulah jawapan ku kepada soalan kamu. (Salah)
Salah satu kekecualian yang berkaitan dengan penggunaan tanda sempang ini ialah yang berkaitan dengan rujukan kepada Tuhan. Dalam hal ini, kata ganti nama dieja dengan huruf besar di pangkal kata dan diberi tanda sempang.
Perhatikan contoh berikut:
1. Ya Allah, berikan hidayat-Mu kepadaku.
2. Daripada-Nya kita datang, kepada-Nya kita kembali
3. Ampunkanlah hamba- Mu, ya Tuhanku..
4. Tolonglah hamba-Mu, ya Tuhanku.
5. Mereka memohon rahmat-Nya,hidayat-Nya dan petunjuk-Nya
Peringatan: Penggunaan ‘ianya’ sebenarnya tidak betul kerana terdiri daripada kata ganti nama diri orang ketiga secara penuh (ia) diikuti dengan bentuk singkatnya (nya). Kita tidak pernah ,misalnya, bertemu dengan akuku (bentuk kata ganti orang pertama
diikuti oleh bentuk singkatnya) atau dengan kamumu (bentuk kata ganti orang kedua diikuti oleh bentuk singkatnya). Oleh itu, janganlah bentuk ianya digunakan.
Penggunaan Tanda Sempang
a) Tanda Sempang Dengan Kata Ganda
Semua perkataan, tidak kira bentuknya, sama ada tunggal, berimbuhan, atau berbentuk majmuk, apabila mengalami penggandaan harus ditandai dengan tanda sempang.
Contoh:
pelajar-pelajar rumah-rumah berlari-lari
saudara-mara cerai-berai guru-guru besar
jawatankuasa-jawatankuasa tolong-menolong
b) Tanda Sempang Dengan Angka
Berkaitan dengan angka pula, terdapat peraturan tertentu tentang penggunaan tanda sempang. Bagi penulisan nombor ordinal seperti kedua, ketiga puluh empat, kedua ratus lima, dan sebagainya, perlu ditulis tanda sempang antara ke dengan angka yang mengikutinya.
Contoh:
ke-2 ke- 34 ke- 205
Demikian juga dengan ungkapan yang berkaitan dengan tahun yang berakhir dengan akhiran –an. Misalnya, sembilan puluhan. Sekali lagi terdapat perbezaan dari segi mengeja seluruh perkataan dengan menggunakan huruf (Sembilan puluhan) dengan mengejanya dengan angka (90) . Yang mempunyai angka memerlukan tanda sempang, iaitu 90-an. Salah, misalnya ditulis * 90an, iaitu tanpa tanda sempang.
Contoh:
40-an 60-an 70-an
c) Tanda Sempang Dengan Huruf Besar
Satu lagi aspek penggunaan tanda sempang yang mengelirukan adalah yang melibatkan huruf besar. Sebagai contoh ialah huruf besar bagi menandakan rujukan kepada Tuhan.Misalnya, rahmat-Mu dan hamba-Nya. Di sini, tanda sempang digunakan untuk merangkaikan huruf kecil yang mendahuluinya dengan huruf besar yang mengikutinya.
Hal ini berlaku juga pada nama khas yang lain.
Contoh:
pan-Afrika pro- Malaysia anti-Rusia
d) Tanda Sempang Sebagai Pemisah Suku Kata Dalam Ayat
Tanda sempang digunakan untuk menunjukkan pemisahan antara suku kata dalam ayat bagi memperjelas perbezaan pada ungkapan itu. Contohnya, untuk membezakan ber-evolusi dengan ber-revolusi.
Wednesday, November 11, 2009
Tatabahasa
SIRI 1
Tajuk : Partikel Pun
Perkataan pun sering menimbulkan kekeliruan kepada banyak murid, sama ada perlu dieja rapat ataupun dieja terpisah daripada perkataan yang mendahuluinya. Kata partikel pun hendaklah dieja terpisah ataupun dijarakkan sekiranya pun mendukung maksud-maksud seperti yang dikemukakan di bawah:
1. juga – Datuk pun ingin ke majlis perkahwinan itu walaupun tidak sihat.
2. bahkan - Basikal pun tidak mampu dibelinya, apatah lagi motosikal.
3. biar - Betapa sukar pun latihan itu, adik tetap akan menyudahkannya.
4. menguatkan pokok ayat – Tiada seorang pun murid dari sekolah ini yang memenangi
kuiz matematik itu.
5. turutan - Selepas kejadian itu, operasi besar-besaran pun dilancarkan oleh
berkuasa.
6. penguat kata ganti tak tentu – Sesiapa pun tidak dibenarkan masuk ke kawasan
larangan itu.
Sebaliknya pun yang dieja rapat terdiri daripada 13 perkataan sahaja. Perkataan-perkataan ini adalah seperti yang berikut:
1. adapun 2. andaipun 3. ataupun 4. bagaimanapun
5.biarpun 6. kalaupun 9. mahupun 10.meskipun
11.sekalipun 12.sungguhpun 13.walaupun
Perkataan-perkataan tersebut berfungsi sebagai kata hubung dalam ayat. Ayat-ayat bagi perkataan tersebut adalah seperti yang berikut:
1. Ibu masih bekerja di sawah sekalipun hari sudah petang.
2. Dia belum pasti sama ada hendak bekerja ataupun melanjutkan pelajarannya.
3. Adapun cerpen yang dikarangnya mengisahkan pergolakan dalam masyarakat.
Perkataan biarpun,walaupun, meskipun, mahupun, sungguhpun, kendatipun, dan sekalipun membawa maksud yang sama atau hampirsama. Oleh sebab itu, perkataan-perkataan ini boleh digunakan secara bertukar ganti tanpa menjejaskan maksud ayat, misalnya:
1. Budak nakal itu masih melakukan perbuatan itu meskipun telah ditegur oleh ibu bapanya.
Istilah Bahasa Daerah di Negeri Sembilan
Glitter Animal Graphics
Siri 1 (14 Januari 2010)
1. locot( lo+ cot)
Maksud perkataan ini ialah' keadaan melecur yang disebabkan oleh benda-benda yang panas', besi panas atau sebagainya.
Contoh penggunaan:
a. Lidahnya locot kerana menghirup air kopi yang masih panas.
b.Jari tangannya locot kerana terpegang bara api.
2. menugheh(me + nu + gheh)
Maksud menugheh bermakna 'mengerti, faham atau tahu membuat sesuatu kerja'
Umpamanya seseorang yang ahli dalam bidang lukisan, tentu ia menugheh yakni mengerti atau faham tentang sesuatu yang hendak dilukisnya.
Lazimnya, penggunaan kata 'menugheh'didahului dengan kata 'tidak'.
Contohnya:
a. Anak muda kampung zaman sekarang ramai yang tidak menugheh membuat kerja-kerja kampung seperti bersawah padi dan sebagainya.
b. Pelajar itu masih tidak menugheh lagi membuat surat kiriman walaupun telah diajar beberapa kali.
3. perun/peghun (pe + ghun)
Perkataan perun hampir sama maknanya dengan penggur iaitu perbuatan 'membakar'
Kerja memerun lebih berat dan sukar. Umpamanya,memerun atau membakar kayu-kayu getah yang telah ditebang untuk projek menanam semula.
a. Setelah selesai melakukan kerja memerun, mereka pun menggali lubang untuk menanam benih getah.
b. Sisa-sisa kayu yang baru diperun itu masih terasa panasnya.
4. senereh/senegheh (se + ne + gheh)
Perkataan senereh membawa dua pengertian.
Makna pertama ialah 'senonoh'. Contoh:
a. Berpakaian dalam sesuatu majlis yang rasmi haruslah senereh supaya manis dipandang orang.
Kedua, perhataan senereh bermaksud 'sempurna'.
Contoh:
b. Semua kerja yang dipertanggunjawabkan kepadanya telah dibuatnya dengan senereh.
Selalunya penggunaan kata senereh ini didahului juga dengan kata 'tidak'. Contohnya:
c. Corak permainan yang ditunjukan oleh pemain-pemain pasukan bola sepak itu tidak senereh sehingga menyebabkan kekalahan yang teruk.
d. Semua kerja itu tidak senereh belaka dan terpaksa dibuat semula.
6. temua (te + mu + a)
Perkataan temua yang dituturkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan itu bermaksud 'sungai'.
Contoh:
a. Orang ramai dinasihati supaya jangan mandi-manda di temua itu kerana airnya sangat deras dan membahayakan.
7. kelenset (ke + len+ set)
Kata 'kelenset' ada kaitannya dengan kerja mengupas kulit atau menanggalkan sesuatu yang melekat. Contohnya seperti mengulit atau menyiat kulit lembu atau binatang yang lain yang telah disembelih.
Contoh:
a. Kulit kambing yang baru disembelih itu telah dikelenset hingga licin.
b. Tolong kelenset kulit kayu itu.
c. Poster yang ditampal di papan kenyataan itu telah terkelenset ditiup angin.
Pengajaran Bahasa Efektif
Kartun merupakan suatu bahan yang sangat popular dan digemari oleh segenap lapisan masyarakat. Kartun dianggap sebagai satu wahana yang menghiburkan dan boleh meredakan ketegangan emosi manusia.
Penggunaan Kartun dalam Pengajaran Karangan
Pengajaran karangan memerlukan pengeluaran idea dan daya kreatif dalam penulisan., Oleh itu, adalah wajar kartun dijadikan bahan yang dapat menrangsang minat pelajar untuk menulis karangan. Walau bagaimanapun, aktiviti pengajaran haruslah disusun dan dirancang oleh guru dengan rapi. Kaedah perbincangan dan kaedah multitask merupakan kaedah yang terbaik jika bahan kartun digunakan sebagai bahan rangsangan dalam pengajaran karangan.
Kriteria Pemilihan Bahan Kartun untuk Pengajaran Karangan
1. Bahan kartun yang mempunyai hubungan pengalaman dan lingkungan hidup dengan kumpula pelajar sasaran. Kartun yang berkaitan dengan pengalaman sedia ada mereka, membolehkan pelajar menulis karangan berdasarkan hubungan antara pengalaman sedia ada dengan bahan kartun yang digunakan.
2. Bahan kartun mesti sesuai dengan pelajar, boleh menarik minat mereka serta berdasarkan kebolehan bahasa dan kecerdasan otak pelajar. Mengetahui tahap pencapaian pelajar terlebih dahulu sebelum membuat pemilihan bahan kartun adalah lebih baik. Kartun-kartun yang sesuai dengan pelajar dapat menarik minat mereka seterusnya mencetuskan suasana pemelajaran yang menarik dan berkesan.
3, Pilihlah kartun yang menggunakan dialog yang sesuai Penggunaan perkataan, rangkai kata, dan ayat yang sesuai dengan umur mereka sangat diperlukan. Pemiihan dialog yang baik dan tidak bercelaru akan mempengaruhi karangan pelajar, kerana kecenderungan pelajar mengambil sebahagian dialog tersebut sebagai bahan penulisan karangan mereka.
4. Kartun yang akan dipilih seharusnya sesuai dengan sukatan pelajaran dan objektif mengarang pada peringkat tertentu. Kartun yang tidak sesuai dengan sukatan pelajaran akan menyebabkan pelajar agak sukar untuk mengaitkan karangan mereka dengan pelajaran lain.
5.Sebaik-baiknya pilih kartun yang menampakkan tajuk karangan yang jelas dan tersurat.
Siri 1:
Awalan memper-
Awalan memper- ialah awalan pembentukan kata kerja Maksudnya, mana-mana kata dasar bahasa Melayu daripada golongan kata utama , apabila bergabung dengan awalan ini akan menghasilkan kata kerja.
Tiga golongan perkataan yang boleh dicantumkan dengan imbuhan ini, contohnya seperti berikut:
a) Kata nama
alat - memperalat
(membawa maksud "menjadi seperti alat" yakni mempermain-mainkan seseorang)
budak - memperbudak
(membawa maksud"menjadikan seperti budak" dalam erti kata bertindak terhadap seseorang itu seolah-olah dia itu budak)
isteri - memperisteri
(membawa maksud "menjadikan(mengambil sebagai) isteri)
hamba - memperhamba
(membawa maksud menjadikan (seseorang) sebagai hamba)
Contoh ayat:
(1)Dia memperalat orang tua itu untuk mencapai
cita-citanya.
(2) Ibu tiri memperhamba anak tirinya.
(3) Datuk Ahmad memperisteri Mulsalmah.
b) kata adjektif
besar - memperbesar
cepat - mempercepat
c) kata sendi nama
oleh - memperoleh
Walau bagaimanapun, perkataan "hamba" boleh menerima apitan memper-...-kan. Memperhambakan pula membawa erti menjadikan diri sendiri sebagai hamba, seperti dalam ayat:
d) Dia memperhambakan dirinya kepada Tuhan.
Perkataan "isteri" juga boleh menerima apitan memper-...-kan, menjadi memperisterikan yang sama sekali berbeza maksudnya daripada bentuk memperisteri.
e) Hussin memperisterikan Hassan.
(Maksudnya Hussin mengahwinkan Hassan (dengan seseorang gadis); bukan bermakna Hussin mengahwini Hassan


Nilai-nilai Murni Dalam Peribahasa Melayu
* baik membawa resmi padi daripada membawa resmi lalang
*buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali
*hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga
*kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau
Daya usaha/kerajinan/kesungguhan
*bagai lebah menghimpun madu
*cepat kaki, cepat tangan
*genggam bara api biar sampai menjadi arang
*kalau tidak dipecahkan ruyung, manakah dapat sagunya
Semangat bermasyarakat/kekeluargaan/perhubungan
*air dicencang tidak akan putus
*biduk berlalu kiambang bertaut
*ibarat telur sesangkak, pecah sebiji,pecah semua
*seperti isi dengan kuku
Berhati-hati/teliti/berjimat cermat
*berjalan pelihara kaki, bercakap pelihara lidah
*biar lambat asalkan selamat
*daripada segenggam jadi segantang
*sediakan payung sebelum hujan
Keberanian
* berani kerana benar, takut kerana salah
*membujur lalu melintang patah
*pantang berundur sebelum berjuang
*pantang mati sebelum ajal
Kepatuhan/kesetiaan
*air orang disauk, ranting orang dipatah, adat orang diturut
*biar mati anak, jangan mati adat
*di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
*hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri
Semangat patriotisme/cinta akan negara
*seperti belut pulang ke lumpur
*seperti gagak pulang ke benua
*seperti ikan pulang ke lubuk
*setinggi-tinggi bangau terbang,hinggap di belakang kerbau juga
Rasional
*ada akal
*akal budi
*jangan bercermin di air keruh
*ke tengah boleh, ke tepi pun boleh
Kepentingan ilmu
*diam ubi berisi
*ilmu itu pelita hidup
*jauhari juga yang mengenal manikam
*kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga
Kasih sayang
*bagai menjaga intan dicanai
*hilang di mata, di hati jangan
*menatang minyak yang penuh
*tatang di anak lidah
Keadilan
*duduk dengan cupak dan gantang
*seduit dibelah tujuh
*seperti menghela rambut dalam tepung
*umpama jari di tangan, ada bercincin ada tidak
Berdikari
*kalau pandai meniti buih, selamat badan sampai ke seberang
*ke tengah boleh, ke tepi pun boleh
*pandai menyelam air di dangkal
*timba air mandikan diri
Siri 2 (17.1.10)
Peribahasa Mengungkap Budaya Kerja Orang Melayu
a. Budaya kerja dan gigih dalam bekerja
*ringan tulang
*mandi keringat
*hempas tulang urat
*peluh darah
*gulung lengan baju
b. Ketekunan dan kerajinan orang Melayu dalam melakukan sesuatu pekerjaan
*sedikit lama-lama jadi bukit
c. Berjimat cermat untuk mencapai sesuatu kejayaan
*ikat perut
*cermat semasa banyak, jimat semasa sedikit
d. Sikap tidak suka membuang masa dan apabila berbuat kerja hendaklah jangan tertumpu kepada sesuatu perkara
*berkayuh sambil bertimba
*menyelam sambil minum air
Siri 1
Peribahasa Keadilan
Jika salah sebatang dicabut, salah serumpun dibongkar, salah separuh dirambah
Maksud:
Hukuman haruslah dijatuhkan menurut besar kecil kesalahan yang dilakukan.
Ayat:
Keadilan perundangan menuntut hukuman yang setimpal dengan kesalahan, umpama kata peribahasa jika salah sebatang dicabut, salah serumpun dibongkar, salah separuh dirambah.
Sumber: Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
Peribahasa Ilmu
Biduk kalau tidak berkemudi, bagaimana ia akan laju
Maksud:
Sesuatu pekerjaan yang dikerjakan tanpa ilmu tentu tidak akan sampai kepada yang dimaksudkan.
Ayat:
Pembinaan sesebuah negara bangsa yang maju dan progresif menuntut warganya memiliki ilmu pengetahuan yang secukupnya, seperti kata pepatah, biduk kalau tidak berkemudi, bagaimana ia akan laju.
Peribahasa Permuafakatan
Duduk seorang bersempit-sempitan, duduk banyak berlapang-lapangan
Maksud:
Buah fikiran yang diperoleh dalam sesuatu perundingan itu lebih baik daripada buah fikiran kita sendirian sahaja.
Ayat:
Kejayaan sesebuah organisasi banyak bergantung pada kesepakatan dalam membuat keputusan. Sumbangan idea yang digabungjalinkan pasti membuah pembaharuan, umpama kata pepatah, duduk seorang bersempit-sempitan, duduk banyak berlapang-lapangan.
Peribahasa Perantauan
Ke gunung emas pasir baiduri, ke padang zamrud habis diedari; terbanga bangau sepanjang hari, ke tasik juga akhirnya dicari
Maksud:
Bagaimana sekalipun jauh dagang merantau, ke negeri yang besar-besar, melihat tempat yang indah-indah, kesudahannya pulang juga ia ke tanah airnya sendiri.
Ayat:
Golongan perantau yang mencari rezeki di negara lain, sekalipun berasa selesa di tempat orang, namun jauh di sudut hatinya, mereka pasti teringin pulang ke tanah airnya sendiri,ibarat peribahasa ke gunung emas pasir baiduri, ke padang zamrud habis diedari; terbang bangau sepanjang hari, ke tasik juga akhirnya dicari.
Siri 2 (17.1.10)
Bidalan dan Pepatah
Bidalan dan pepatah ialah peribahasa yang terdiri ungkapan-ungkapan yang ringkas lagi bijaksana yang mempunyai makna selapis. Walau bagaimanapun, kadang-kadang, kedua-dua jenis peribahasa itu dipakai juga untuk menyatakan makna dua lapis.
Pendeta Za'ba memberikakankita beberapa andaian yang kuat tentang cara bidalan dan pepatah itu kekal dan menjadi budaya bangsa kita. Menurut beliau:
a) Mula-mulanya sebutan itu keluar dari mulut seseorang yang bijak dan pantas fikirannya iaitu dengan perkataan yang ringkas dan membetuli sepenuh-penuh maksudnya serta mengandung di dalamnya sesuatu kebenaran yang telah dirasanya sendiri atau telah diperhatikannya berlakupada diri orang lain.
b) Kemudian apabila berkenaan orang ramai mendengarnya maka dipakailah pula oleh mereka itu hingga berulang-ulang dan berhubung-hubung dari seorang ke seorang.
c) Dengan demikian masyhurlah perkataan itu dan akhirnya lalu melekat dalam bahasa itu hingga bila-bila, menjadi suatu kekayaan dan perhiasan kepada bahasa itu.
d) Maka pada ketika itu dinamakanlah akan dia peribahasa iaitu bidalan, pepatah dan perumpamaan.
Bidalan dan pepatah yang mempunyai makna selapis adalah seperti yang berikut:
i. biar lambat asal selamat
ii. sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit
iii.sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna
iv. ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis
v.sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.
vi. malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan
vii.hati hendak semua jadi
Bidalan dan pepatah yang mempunyai makan dua lapis, ungkapannya atau patah-patah perkataan yang disusun bukan sekadar satu ayat atau ayat-ayat yang lengkap, tetapi, kadang-kadang, merupakan serangkap pantun dua kerat juga.
Contoh:
i. Bergalah hilir tertawa buaya;
Bersuluh di bulan terang tertawa harimau
ii.Lain biduk lain digalang;
Lan bengkak lain menanah
iii.Pandai mencuri merasa mendapat;Tak pandai mencuri merasa terikat.
iv. Ikut hukum menyiat daging;Sakit di awak sakitlah di orang.
v. Bawa resmi padi; Makin berisi makin tunduk.
vi. Jangan bawa resmi jagung; Makin berisi makin jegang.
vii. Ditangkap buaya nampak riaknya; Ditangkap malas tak bertanda.
Sastera
Siri 1: Gaya Bahasa Kiasan (30.1.10)
a) Metafora
Metafora ialah gaya bahasa kiasan langsung atau perbandingan yang menyebut dua hal tanpa menggunakan kata-kata perbandingan. Lazimnya metafora terdiri daripada dua perkataan yang ringkas, padat dan tersusun. Satu daripada dua perkataan metafora bersifat konkrit dan menjadi objek untuk difikirkan, dan satu lagi perkataan bersifat abstrak.
Contoh:
kaki hari
tiang kemerdekaan