Ketibaaan bersama dengan isteri di Pangkalan Balak pada lewat petang 18 Disember disambut oleh hujan kadang kala lebat dan kemudian kembali merenyai. Sesekali diulit angin pantai seronok juga. Cuaca memang tidak menentu hari ini. Hanif sudah pergi bersama-sama ibu dan ayah (panggilan keluarga yang mengasuhnya sejak berumur 3 bulan) serta keluarga masing-masing pada pukul 11.00 pagi tadi.
Ketibaan kami lewat petang di Damar Suria, kami diterpa oleh Hanif yang basah lencun kerana mandi di kolam. Kata Zaini yang dipanggil ayah oleh anakku, Hanif mandi sejak pukul 12.00 tengah hari hingga jam sekarang. Amboi, seronok sungguh Hanif bersama dengan anak-anak ayah dan ibunya.
Sebelah malam, kami buat 'barbeque' daging, ayam dan udang. Sedap hingga menjilat jari.
Ketika itu hujan masih renyai-renyai sesekali angin pantai bertiup sepoi-sepoi bahasa menyapu wajah. Makan malam agak lewat kerana kesukaran untuk menghidupkan arang. Dari kejauhan kelihatan lampu dari bot kecil yang berbalam-balam. Sesekali berada di sini amat menyeronokkan. Ketegangan fikiran sepanjang minggu menanda kertas dapat juga dikendurkan. Kepulangan kami pada tengah hari ini juga disambut dengan hujan yang merenyai dan diselang seli dengan hujan yang lebat mencurah. Hasrat untuk meronda-ronda sekitar Air Keroh terpaksa dikesampingkan kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
No comments:
Post a Comment