Hari ini masuk hari ke-2 2010. Tahun ini satu lagi cabaran sudah sedia menunggu di hadapan mata. Mengajar dua kelas tingkatan 5 memerlukan komitmen yang sudah tentu menuntut kesabaran yang perlu digaul sama rata dengan sikap prihatin yang yang kadang-kadang menimbulkan kebencian pelajar.
Pelajar sekarang bukan pelajar zaman persekolahan saya dahulu. Jauh...terlalu jauh berbeza.Teguran guru sering disalah erti. Selalulah berfikiran positif jangan sesekali menganggap teguran guru sebagai tanda guru membenci anda. Ingat...tidak ada seorang guru yang bercita-cita ingin menggagalkan anak muridnya.
Kadang-kadang ingin sahaja dikesampingkan sikap prihatin yang dianggap keterlaluan oleh sesetengah pelajar. Namun sebagai guru yang masih berpegang kuat kepada prinsip profesionalisme perasaan itu perlu dibakulsampahkan sahaja.
Tanggungjawab seorang guru perlu juga diteruskan sehinggalah di penghujung persaraan nanti. Nak tunggu tahun 2025 untuk bersara, rasanya terlalu panjang lagi. Yang pasti saat itu pasti akan tiba juga.
Beberapa perancangan untuk pelajar tingkatan 5 sudah sedia terlukis pada landskap perancangan tahun ini. Mengajar kelas yang sama pada tahun lepas mungkin tidak menimbulkan masalah yang banyak. Kerenah murid yang pelbagai rencam dianggap sebagai satu cabaran yang perlu diharungi tahun ini.
Tahun ini akan dicuba supaya benteng kesabaran saya terus kukuh walaupun tahun lepas, benteng itu sudah nampak retaknya.
Kepada pelajar tingkatan 4, jangan sesekali beranggapan tingkatan 4 ialah tahun untuk anda bersuka ria semahu-mahunya. Untuk mencapai kejayaan bukan mudah dan bukan juga terlalu sukar. Keazaman perlu dipasak agam di jiwa. Motivasikan diri sendiri untuk terus berjaya.
No comments:
Post a Comment