Kembara Dunia-Ho Chi Minh, Vietnam.
Perjalanan Penuh Gelora…
Bahagian Satu
Dengan menaiki pesawat AK 0884 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tan So Nhat, Ho Chi Minh memakan masa hampir 2 jam. Setibanya di sana, jam menunjukkan pukul 9.40 malam (10.40 malam waktu di Malaysia). Ruang terminal agak sunyi kerana tidak banyak kapal terbang yang mendarat ketika itu, urusan imigresen amat mudah. Tanpa mengisi sebarang borang kemasukan seperti lazim dilakukan semasa berkunjung ke Indonesia. Setelah mengambil bagasi, kami terus ke ruang menunggu.
Destinasi seterusnya ketika waktu sudah menunjukkan pukul 10.30 malam, kami terus disapa oleh seorang pemudah Vietnam yang kami kira seorang pemandu teksi. Setelah perbincangan dilakukan secara ringkas, kami bersetuju dengan tawaran tambang ialah US 25. Tanpa banyak berfikir panjang dan kemungkinan ditambah dengan rasa kepenatan yang kian mulai menguasai diri serta malam yang semakin merangkak, kami terus bersetuju. Kami seolah-olah tersihir!!!
Amat mengejutkan apabila kami juga diminta menambah US10 lagi untuk membayar kos memarkir kenderaan. Sah, kami telah tertipu!Kami berpandangan sesama sendiri dan tersenyum tawar bercampur pahit dengan rasa tidak berpuas hati.
Pengajarannya bagi mengelakkan tertipu adalah lebih baik kita menggunakan perkhidmatan teksi yang terdapat di ruang terminal kerana khabarnya tambangnya kira-kira US 9- US 10 saja( kira-kira RM 27-RM30 sahaja).Lain kali kalau hendak ke mana-mana tanpa mengikuti pakej lawatan, langkah tersebut adalah yang terbaik terutama bagi kami yang buat pertama kali menjejakkan kaki ke sini.
Kami membuat keputusan untuk menginap di Hotel Giang Linh selama 3 hari 2 malam dengan bayaran semalam kira-kira US25 sahaja (RM75). Kami diberi peluang untuk mengintai keadaan bilik yang ternyata sungguh selesa.Keputusan bulat dicapai apabila kami mengambil keputusan untuk meneruskan penginapan di sini sahaja. Untuk menunaikan solat mujur saya membawa alat penentu arah kilat yang sejak awal-awal lagi antara barang yang perlu dibawa ke bumi yang minoritinya Islam.
Selamat Malam Vietnam, Jumpa Esok!
Menarik sekali pengalaman tuan itu. Menunggu cerita seterusnya...
ReplyDelete