GURINDAM JIWA

Saturday, November 14, 2009

Tatabahasa

LAMAN BAHASA- SIRI 3
Mengeja Kata Ganti Nama Diri Singkat
Terdapat empat kata ganti nama yang boleh disingkatkan , iaitu:
1. aku menjadi ku
2. engkau menjadi kau
3. kamu menjadi mu
4. dia dan ia menjadi nya
Bentuk-bentuk singkat ini bertaraf terikat, iaitu tidak boleh berdiri sendiri, sebaliknya perlu dieja bercantum dengan perkataan lain.
Salah,jika dieja bentuk-bentuk ini secara tersendiri. Perhatikan contoh-contoh berikut:
1. Cerpen yang kauhasilkan itu sungguh baik.
Cerpen yang kau hasilkan itu sungguh baik. (Salah)
2. Makanan ini dimasak khas untukmu.
Makanan ini dimasak kahas untuk mu. (Salah)
3. Lagu tersebut dicipta olehnya.
Lagu tersebut dicipta oleh nya. (Salah)
4. Itulah jawapanku kepada soalan kamu.
Itulah jawapan ku kepada soalan kamu. (Salah)

Salah satu kekecualian yang berkaitan dengan penggunaan tanda sempang ini ialah yang berkaitan dengan rujukan kepada Tuhan. Dalam hal ini, kata ganti nama dieja dengan huruf besar di pangkal kata dan diberi tanda sempang.

Perhatikan contoh berikut:
1. Ya Allah, berikan hidayat-Mu kepadaku.
2. Daripada-Nya kita datang, kepada-Nya kita kembali
3. Ampunkanlah hamba- Mu, ya Tuhanku..
4. Tolonglah hamba-Mu, ya Tuhanku.
5. Mereka memohon rahmat-Nya,hidayat-Nya dan petunjuk-Nya
Peringatan: Penggunaan ‘ianya’ sebenarnya tidak betul kerana terdiri daripada kata ganti nama diri orang ketiga secara penuh (ia) diikuti dengan bentuk singkatnya (nya). Kita tidak pernah ,misalnya, bertemu dengan akuku (bentuk kata ganti orang pertama
diikuti oleh bentuk singkatnya) atau dengan kamumu (bentuk kata ganti orang kedua diikuti oleh bentuk singkatnya). Oleh itu, janganlah bentuk ianya digunakan.

No comments:

Post a Comment

Istilah Bahasa Daerah di Negeri Sembilan

Glitter Graphics
Glitter Graphics

Glitter Animal Graphics


Siri 1 (14 Januari 2010)

1. locot( lo+ cot)
Maksud perkataan ini ialah' keadaan melecur yang disebabkan oleh benda-benda yang panas', besi panas atau sebagainya.

Contoh penggunaan:
a. Lidahnya locot kerana menghirup air kopi yang masih panas.
b.Jari tangannya locot kerana terpegang bara api.

2. menugheh(me + nu + gheh)
Maksud menugheh bermakna 'mengerti, faham atau tahu membuat sesuatu kerja'
Umpamanya seseorang yang ahli dalam bidang lukisan, tentu ia menugheh yakni mengerti atau faham tentang sesuatu yang hendak dilukisnya.

Lazimnya, penggunaan kata 'menugheh'didahului dengan kata 'tidak'.
Contohnya:

a. Anak muda kampung zaman sekarang ramai yang tidak menugheh membuat kerja-kerja kampung seperti bersawah padi dan sebagainya.

b. Pelajar itu masih tidak menugheh lagi membuat surat kiriman walaupun telah diajar beberapa kali.

3. perun/peghun (pe + ghun)
Perkataan perun hampir sama maknanya dengan penggur iaitu perbuatan 'membakar'
Kerja memerun lebih berat dan sukar. Umpamanya,memerun atau membakar kayu-kayu getah yang telah ditebang untuk projek menanam semula.

a. Setelah selesai melakukan kerja memerun, mereka pun menggali lubang untuk menanam benih getah.

b. Sisa-sisa kayu yang baru diperun itu masih terasa panasnya.

4. senereh/senegheh (se + ne + gheh)
Perkataan senereh membawa dua pengertian.
Makna pertama ialah 'senonoh'. Contoh:

a. Berpakaian dalam sesuatu majlis yang rasmi haruslah senereh supaya manis dipandang orang.

Kedua, perhataan senereh bermaksud 'sempurna'.
Contoh:
b. Semua kerja yang dipertanggunjawabkan kepadanya telah dibuatnya dengan senereh.

Selalunya penggunaan kata senereh ini didahului juga dengan kata 'tidak'. Contohnya:

c. Corak permainan yang ditunjukan oleh pemain-pemain pasukan bola sepak itu tidak senereh sehingga menyebabkan kekalahan yang teruk.

d. Semua kerja itu tidak senereh belaka dan terpaksa dibuat semula.

6. temua (te + mu + a)
Perkataan temua yang dituturkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan itu bermaksud 'sungai'.
Contoh:

a. Orang ramai dinasihati supaya jangan mandi-manda di temua itu kerana airnya sangat deras dan membahayakan.

7. kelenset (ke + len+ set)
Kata 'kelenset' ada kaitannya dengan kerja mengupas kulit atau menanggalkan sesuatu yang melekat. Contohnya seperti mengulit atau menyiat kulit lembu atau binatang yang lain yang telah disembelih.

Contoh:
a. Kulit kambing yang baru disembelih itu telah dikelenset hingga licin.

b. Tolong kelenset kulit kayu itu.

c. Poster yang ditampal di papan kenyataan itu telah terkelenset ditiup angin.


Pengajaran Bahasa Efektif


Kartun merupakan suatu bahan yang sangat popular dan digemari oleh segenap lapisan masyarakat. Kartun dianggap sebagai satu wahana yang menghiburkan dan boleh meredakan ketegangan emosi manusia.

Penggunaan Kartun dalam Pengajaran Karangan

Pengajaran karangan memerlukan pengeluaran idea dan daya kreatif dalam penulisan., Oleh itu, adalah wajar kartun dijadikan bahan yang dapat menrangsang minat pelajar untuk menulis karangan. Walau bagaimanapun, aktiviti pengajaran haruslah disusun dan dirancang oleh guru dengan rapi. Kaedah perbincangan dan kaedah multitask merupakan kaedah yang terbaik jika bahan kartun digunakan sebagai bahan rangsangan dalam pengajaran karangan.

Kriteria Pemilihan Bahan Kartun untuk Pengajaran Karangan

1. Bahan kartun yang mempunyai hubungan pengalaman dan lingkungan hidup dengan kumpula pelajar sasaran. Kartun yang berkaitan dengan pengalaman sedia ada mereka, membolehkan pelajar menulis karangan berdasarkan hubungan antara pengalaman sedia ada dengan bahan kartun yang digunakan.

2. Bahan kartun mesti sesuai dengan pelajar, boleh menarik minat mereka serta berdasarkan kebolehan bahasa dan kecerdasan otak pelajar. Mengetahui tahap pencapaian pelajar terlebih dahulu sebelum membuat pemilihan bahan kartun adalah lebih baik. Kartun-kartun yang sesuai dengan pelajar dapat menarik minat mereka seterusnya mencetuskan suasana pemelajaran yang menarik dan berkesan.

3, Pilihlah kartun yang menggunakan dialog yang sesuai Penggunaan perkataan, rangkai kata, dan ayat yang sesuai dengan umur mereka sangat diperlukan. Pemiihan dialog yang baik dan tidak bercelaru akan mempengaruhi karangan pelajar, kerana kecenderungan pelajar mengambil sebahagian dialog tersebut sebagai bahan penulisan karangan mereka.

4. Kartun yang akan dipilih seharusnya sesuai dengan sukatan pelajaran dan objektif mengarang pada peringkat tertentu. Kartun yang tidak sesuai dengan sukatan pelajaran akan menyebabkan pelajar agak sukar untuk mengaitkan karangan mereka dengan pelajaran lain.

5.Sebaik-baiknya pilih kartun yang menampakkan tajuk karangan yang jelas dan tersurat.




Siri 1:
Awalan memper-
Awalan memper- ialah awalan pembentukan kata kerja Maksudnya, mana-mana kata dasar bahasa Melayu daripada golongan kata utama , apabila bergabung dengan awalan ini akan menghasilkan kata kerja.

Tiga golongan perkataan yang boleh dicantumkan dengan imbuhan ini, contohnya seperti berikut:
a) Kata nama
alat - memperalat
(membawa maksud "menjadi seperti alat" yakni mempermain-mainkan seseorang)
budak - memperbudak
(membawa maksud"menjadikan seperti budak" dalam erti kata bertindak terhadap seseorang itu seolah-olah dia itu budak)
isteri - memperisteri
(membawa maksud "menjadikan(mengambil sebagai) isteri)
hamba - memperhamba
(membawa maksud menjadikan (seseorang) sebagai hamba)
Contoh ayat:
(1)Dia memperalat orang tua itu untuk mencapai
cita-citanya.
(2) Ibu tiri memperhamba anak tirinya.
(3) Datuk Ahmad memperisteri Mulsalmah.


b) kata adjektif
besar - memperbesar
cepat - mempercepat

c) kata sendi nama
oleh - memperoleh

Walau bagaimanapun, perkataan "hamba" boleh menerima apitan memper-...-kan. Memperhambakan pula membawa erti menjadikan diri sendiri sebagai hamba, seperti dalam ayat:

d) Dia memperhambakan dirinya kepada Tuhan.

Perkataan "isteri" juga boleh menerima apitan memper-...-kan, menjadi memperisterikan yang sama sekali berbeza maksudnya daripada bentuk memperisteri.

e) Hussin memperisterikan Hassan.
(Maksudnya Hussin mengahwinkan Hassan (dengan seseorang gadis); bukan bermakna Hussin mengahwini Hassan






Glitter Graphics

Nilai-nilai Murni Dalam Peribahasa Melayu
* baik membawa resmi padi daripada membawa resmi lalan
g
*buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali
*hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga
*kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau

Daya usaha/kerajinan/kesungguhan
*bagai lebah menghimpun madu
*cepat kaki, cepat tangan
*genggam bara api biar sampai menjadi arang
*kalau tidak dipecahkan ruyung, manakah dapat sagunya

Semangat bermasyarakat/kekeluargaan/perhubungan
*air dicencang tidak akan putus
*biduk berlalu kiambang bertaut
*ibarat telur sesangkak, pecah sebiji,pecah semua
*seperti isi dengan kuku

Berhati-hati/teliti/berjimat cermat
*berjalan pelihara kaki, bercakap pelihara lidah
*biar lambat asalkan selamat
*daripada segenggam jadi segantang
*sediakan payung sebelum hujan

Keberanian
* berani kerana benar, takut kerana salah
*membujur lalu melintang patah
*pantang berundur sebelum berjuang
*pantang mati sebelum ajal

Kepatuhan/kesetiaan
*air orang disauk, ranting orang dipatah, adat orang diturut
*biar mati anak, jangan mati adat
*di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
*hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri

Semangat patriotisme/cinta akan negara
*seperti belut pulang ke lumpur
*seperti gagak pulang ke benua
*seperti ikan pulang ke lubuk
*setinggi-tinggi bangau terbang,hinggap di belakang kerbau juga

Rasional
*ada akal
*akal budi
*jangan bercermin di air keruh
*ke tengah boleh, ke tepi pun boleh

Kepentingan ilmu
*diam ubi berisi
*ilmu itu pelita hidup
*jauhari juga yang mengenal manikam
*kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga

Kasih sayang
*bagai menjaga intan dicanai
*hilang di mata, di hati jangan
*menatang minyak yang penuh
*tatang di anak lidah

Keadilan
*duduk dengan cupak dan gantang
*seduit dibelah tujuh
*seperti menghela rambut dalam tepung
*umpama jari di tangan, ada bercincin ada tidak

Berdikari
*kalau pandai meniti buih, selamat badan sampai ke seberang
*ke tengah boleh, ke tepi pun boleh
*pandai menyelam air di dangkal
*timba air mandikan diri

Siri 2 (17.1.10)
Peribahasa Mengungkap Budaya Kerja Orang Melayu

a. Budaya kerja dan gigih dalam bekerja
*ringan tulang
*mandi keringat
*hempas tulang urat
*peluh darah
*gulung lengan baju

b. Ketekunan dan kerajinan orang Melayu dalam melakukan sesuatu pekerjaan

*sedikit lama-lama jadi bukit

c. Berjimat cermat untuk mencapai sesuatu kejayaan

*ikat perut
*cermat semasa banyak, jimat semasa sedikit

d. Sikap tidak suka membuang masa dan apabila berbuat kerja hendaklah jangan tertumpu kepada sesuatu perkara

*berkayuh sambil bertimba
*menyelam sambil minum air





Siri 1
Peribahasa Keadilan

Jika salah sebatang dicabut, salah serumpun dibongkar, salah separuh dirambah

Maksud:
Hukuman haruslah dijatuhkan menurut besar kecil kesalahan yang dilakukan.

Ayat:
Keadilan perundangan menuntut hukuman yang setimpal dengan kesalahan, umpama kata peribahasa jika salah sebatang dicabut, salah serumpun dibongkar, salah separuh dirambah.

Sumber: Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Peribahasa Ilmu
Biduk kalau tidak berkemudi, bagaimana ia akan laju

Maksud:
Sesuatu pekerjaan yang dikerjakan tanpa ilmu tentu tidak akan sampai kepada yang dimaksudkan.

Ayat:
Pembinaan sesebuah negara bangsa yang maju dan progresif menuntut warganya memiliki ilmu pengetahuan yang secukupnya, seperti kata pepatah, biduk kalau tidak berkemudi, bagaimana ia akan laju.

Peribahasa Permuafakatan
Duduk seorang bersempit-sempitan, duduk banyak berlapang-lapangan

Maksud:
Buah fikiran yang diperoleh dalam sesuatu perundingan itu lebih baik daripada buah fikiran kita sendirian sahaja.

Ayat:
Kejayaan sesebuah organisasi banyak bergantung pada kesepakatan dalam membuat keputusan. Sumbangan idea yang digabungjalinkan pasti membuah pembaharuan, umpama kata pepatah, duduk seorang bersempit-sempitan, duduk banyak berlapang-lapangan.

Peribahasa Perantauan

Ke gunung emas pasir baiduri, ke padang zamrud habis diedari; terbanga bangau sepanjang hari, ke tasik juga akhirnya dicari

Maksud:
Bagaimana sekalipun jauh dagang merantau, ke negeri yang besar-besar, melihat tempat yang indah-indah, kesudahannya pulang juga ia ke tanah airnya sendiri.

Ayat:
Golongan perantau yang mencari rezeki di negara lain, sekalipun berasa selesa di tempat orang, namun jauh di sudut hatinya, mereka pasti teringin pulang ke tanah airnya sendiri,ibarat peribahasa ke gunung emas pasir baiduri, ke padang zamrud habis diedari; terbang bangau sepanjang hari, ke tasik juga akhirnya dicari.

Siri 2 (17.1.10)
Bidalan dan Pepatah

Bidalan dan pepatah ialah peribahasa yang terdiri ungkapan-ungkapan yang ringkas lagi bijaksana yang mempunyai makna selapis. Walau bagaimanapun, kadang-kadang, kedua-dua jenis peribahasa itu dipakai juga untuk menyatakan makna dua lapis.

Pendeta Za'ba memberikakankita beberapa andaian yang kuat tentang cara bidalan dan pepatah itu kekal dan menjadi budaya bangsa kita. Menurut beliau:

a) Mula-mulanya sebutan itu keluar dari mulut seseorang yang bijak dan pantas fikirannya iaitu dengan perkataan yang ringkas dan membetuli sepenuh-penuh maksudnya serta mengandung di dalamnya sesuatu kebenaran yang telah dirasanya sendiri atau telah diperhatikannya berlakupada diri orang lain.

b) Kemudian apabila berkenaan orang ramai mendengarnya maka dipakailah pula oleh mereka itu hingga berulang-ulang dan berhubung-hubung dari seorang ke seorang.

c) Dengan demikian masyhurlah perkataan itu dan akhirnya lalu melekat dalam bahasa itu hingga bila-bila, menjadi suatu kekayaan dan perhiasan kepada bahasa itu.

d) Maka pada ketika itu dinamakanlah akan dia peribahasa iaitu bidalan, pepatah dan perumpamaan.

Bidalan dan pepatah yang mempunyai makna selapis adalah seperti yang berikut:

i. biar lambat asal selamat
ii. sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit
iii.sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna
iv. ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis
v.sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.
vi. malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan
vii.hati hendak semua jadi

Bidalan dan pepatah yang mempunyai makan dua lapis, ungkapannya atau patah-patah perkataan yang disusun bukan sekadar satu ayat atau ayat-ayat yang lengkap, tetapi, kadang-kadang, merupakan serangkap pantun dua kerat juga.
Contoh:

i. Bergalah hilir tertawa buaya;
Bersuluh di bulan terang tertawa harimau

ii.Lain biduk lain digalang;
Lan bengkak lain menanah

iii.Pandai mencuri merasa mendapat;Tak pandai mencuri merasa terikat.

iv. Ikut hukum menyiat daging;Sakit di awak sakitlah di orang.

v. Bawa resmi padi; Makin berisi makin tunduk.

vi. Jangan bawa resmi jagung; Makin berisi makin jegang.

vii. Ditangkap buaya nampak riaknya; Ditangkap malas tak bertanda.

Sastera


Siri 1: Gaya Bahasa Kiasan (30.1.10)

a) Metafora
Metafora ialah gaya bahasa kiasan langsung atau perbandingan yang menyebut dua hal tanpa menggunakan kata-kata perbandingan. Lazimnya metafora terdiri daripada dua perkataan yang ringkas, padat dan tersusun. Satu daripada dua perkataan metafora bersifat konkrit dan menjadi objek untuk difikirkan, dan satu lagi perkataan bersifat abstrak.

Contoh:
kaki hari
tiang kemerdekaan