23 Julai 2011-Sabtu
Selepas bersarapan sementara menunggu rakan-rakan di lobi hotel, saya sempat membeli senaskhah surat khabar ‘Serambi Indonesia’ berharga Rp 3 000. Dalam catatan yang lepas,saya ada menyatakan pelancong asing di dalam penerbangan AK 305 yang lalu, rupa-rupa hari ini di Banda Aceh akan berlangsungnya acara Festival Kesenian Rakyat Sedunia atau International Foklore Festival yang bermula pada 23 Julai 2011 hingga 26 Julai di Taman Ratu Safiatudin (Tarasa) Lampriek, Banda Aceh. Festival ini akan melibatkan delegasi dari 12 negara termasuk Malaysia akan tampil membawakan pelbagai tarian tradisional negara masing-masing. Acara perasmiannya bakal berlangsung pada pukul 8.00 malam ini oleh Gabenor Aceh Irwandi Yusuf. Acara ini dilangsungkan sempena Tahun Melawat Aceh 2011 yang bertemakan ‘Aceh Kota Wisata Islami’.
Pantai Lhoknga yang juga menjadi permulaan serangan tsunami
Destinasi lawatan di teruskan dengan menyusur sepanjang pantai di Aceh. Di sepanjang lawatan kami diberitahu oleh pemandu pelancong Bapak Ampon beberapa buah kuburan besar untuk mangsa-mangsa tsunami. Perjalanan ke pantai Lhoknga memakan masa hampir setengah jam dari Banda Aceh. Setibanya di suatu lokasi di pantai Lhoknga, di kaki bukit tersebut pernah tersergam indah sebuah hotel yang hancur musnah akibat tsunami. Hotel yang terletak hanya kira-kira 1 kilometer dari pantai itu hanya tinggal sisa tapaknya sahaja. Keindahan pantai Lhoknga ternyata begitu menggamit naluri saya untuk menyusuri pantainya. Pasirnya putih bersih dan sesekali ombak pantainya menyapa mesra kaki. Berhenti seketika di sebuah pondok kecil sambil menikmati keindahan yang cukup mendamaikan. Beberapa orang anak tempatan sedang begitu leka bermandi-mandian di pantainya sesekali menarik pandangan. Sukarnya saya untuk menggambarkan saat-saat pantai ini pernah dihambat tsunami 7 tahun yang lalu sehingga meranapkan sebuah hotel yang satu masa dahulu menjadi tumpuan pelancong asing.
Sebuah hotel megah pernah berdiri tersergam di sini,namun tinggal sisa binaan sahaja
Sisa sebuah rumah yang dibawa gelombang tsunami ke tepi pantai
Langkah terus diatur bagi meneruskan lawatan seterusnya. Kami singgah pula di pantai Lampuuk sambil menikmati air kelapa muda murni. Sekiranya ingin tambahan manisan, kita boleh memintanya kepada penjual. Kami juga dibekalkan hirisan limau nipis untuk penambah perasa. Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baru kerana keenakan dengan menambah sedikit perasa juga mampu menambahkan nafsu kita untuk terus menikmatinya hingga titisan yang terakhir. Menyaksikan deretan pondok kecil beratapkan rumbia sesuatu yang tidak dapat kita saksikan di Malaysia. Kedudukan yang rapat-rapat antara satu pondok ke pondok yang lain mampu memberikan teduhan tahap maksimum kepada semua pengunjung.
Pantai Lampuuk
Berehat di bawah deretan pondok di tepi Pantai Lampuuk
Hidangan istimewa air kelapa
Lawatan diteruskan ke Rumah Cut Nyak Dihen( rumah tradisonal Aceh) peninggalan seorang bangsawan Aceh yang terkenal kerana penentangannya terhadap Belanda. Aceh merupakan daerah yang tidak pernah dijajah oleh Belanda. Melihat ciri-ciri rumah ini ternyata ada persamaan dengan rumah peninggalan seniwan tersohor negara iaitu Tun P. Ramlee yang juga berdarah Aceh. Di dalam rumah yang bercirikan mewah ini, terdapat sebuah perigi yang tidak pernah kering airnya. Perigi yang gagal diracun Belanda itu masih boleh digunakan sehingga kehari ini.
Bergambar di sebuah bilik persandingan
Tidak lengkap lawatan sekiranya tidak membawa ole-ole dari Banda Aceh. Singgah sebentar di sebuah kedai menjual makanan di Jln Cut Nyak Dihen, Lampisang Aceh Besar. Ternyata ada persamaan dengan kuih-kuih tradisional di Malaysia seperti bahulu, kuih karas, dodol, kuih sepit dan sebagainya.
Wajah Aceh Pasca-Tsunami
Perjalanan kami diteruskan dengan membuat tinjauan wajib di sebuah kedai Lhong Raya Souvener yang menjual pelbagai cendermata seperti pakaian, aneka beg, rantai kunci dan sebagainya. Sebuah rantai kunci unik, beg duit dan sebuah beg sandang dari Aceh menjadi sasaran mata saya.
Sebuah kedai yang menjual pelbagai cenderamata Aceh
Oleh sebab perut masing-masing sudah mula berkeroncong, kami singgah di sebuah kedai seafood yang terletak berhampiran dengan pantai. Kedai makan yang baru sahaja dibangunkan lebih 2 tahun yang lalu ini begitu luas dan amat selesa. Semilir yang kencang begitu menyegarkan diri yang keletihan. Ikan kerapu masak 3 rasa, udang goreng tepung, cumi-cumi masak lada dan sup sayur. Tidak ketinggalan air buah-buahan seperti alpucat dan strawberry sudah pasti menjadi pilihan utama.
Destinasi yang seterusnya, seperti yang sudah dijanjikan tidak lengkap lawatan jika tidak berkunjung ke Muzium Tsunami yang baru beroperasi bagi mengingati musibah penuh hikmah yang melanda Aceh pada 26 Disember 2004. Lokasi yang terletak di tengah-tengah pusat bandar ini telah dibangunkan oleh pelbagai organisasi di dunia dengan kerjasama dengan Kerajaan Aceh menjadi salah satu mercu tanda serta menjadi pusat kajian dan pembelajaran tentang gempa bumi dan tsunami yang terpenting di Aceh. Kebetulan pada petang itu terdapat acara sambutan Hari Kanak-kanak disambut di muzium berkenaan menjadikan keadaan di sekitarnya dipenuhi dengan murid-murid sekolah yang menyertai pelbagai pertandingan (lumbo) seperti mewarna, bercerita dan sebagainya.
Muzium Tsunami Aceh yang terletak di tengah-tengah Banda Aceh
Muzium ditutup sementara kerana menghormati waktu solat zuhur. Sekitar pukul 2.30 petang, muzium dibuka. Masuk ke dalam muzium adalah gratis (percuma) walaupun ada kaunter tiket disediakan di luar muzium. Muzium unik yang berbentuk ciri rumah Aceh tradisional dan kadang kala kelihatan seperti sebuah kapal setinggi 4 aras ini masih belum siap sepenuhnya. Sebelum ke ruang pameran pertama, kami melalui kawasan berair di kanan dan kiri dindingnya dengan sesekali percikan air terbias pada diri saya. Keadaan gelap yang hanya diterangi lampu yang samar-samar sehingga tiba di ruang pameran. Kami sempat menyaksikan gambar-gambar tsunami di skrin komputer.Terdapat puluhan komputer disediakan di ruangan ini. Perjalanan diteruskan ke suatu bilik gelap yang hanya diterangi cahaya lampu yang agak samar-samar yang tertera nama-nama mangsa tsunami di dindingnya. Di bahagian atas tertera kalimah Allah yang bercahaya serta diiringi alunan ayat suci al-Quran yang begitu mencengkam jiwa. Di aras yang seterusnya pula disediakan sebuah perpustakaan dan bilik simulasi kejadian tsunami juga dipamerkan.
Hasrat untuk ke kawasan Kampung Lampulo bagi menyaksikan sebuah kapal seberat 2.5 yan tersadai di atas bumbung sebuah rumah terpaksa ditangguhkan kerana ada rakan-rakan kami yang tidak sabar-sabar ke Pasar Atjeh untuk membeli belah. Masa yang diperuntukkan amat terhad namun amat berbaloi juga kerana tiada apa-apa yang dibawa pulang ke hotel. Itu sebenarnya tujuan kunjungan di bumi Aceh yang sudah dipasak ke dalam jiwa bagi menyaksikan kesan-kesan tsunami dan bukannya untuk membeli belah. Membeli belah hanya sebagai acara sampingan semata-mata dan bukan menjadi objektif utama kami.
Pasar Atjeh yang baru sahaja dibangunkan pascatsunami
Seorang juruparkir yang sedang bertugas di bawah terik mentari
Sebuah pengangkutan awam (labi-labi)terpenting di Banda Aceh
Arlogji di tangan sudah menunjukkan pukul 5.00 petang yang memberi petanda masa untuk berehat di hotel sudah semakin hampir. Kalau berkesempatan selepas makan malam,kami bercadang untuk menyaksikan persembahan tarian pelbagai negara sempena Kesenian Rakyat Sedunia atau International Foklore Festival yang berlangsung di Lamprieek.
Pukul 8.30 malam, perjalanan ‘Jalan-jalan Cari Makan’ bermula. Cadangan untuk menikmati masakan Sunda terpaksa dilupakan kerana tiada restoran di Banda Aceh yang menyediakan hidangan tersebut. Kedai-kedai makan di tepi jalan di Banda Aceh begitu sesak dipenuhi warga kotanya yang ingin berlibur pada hari minggu. Banyak motosikal dan kereta memenuhi jalan raya yang menyebabkan perjalanan kami mencari kedai makan yang sesuai dengan selera kami menemui jalan buntu. Hampir 20 minit berpusing-pusing di sekitar kota, akhirnya kata putus diambil untuk menikmati makanan Padang di Restoran Bunda. Banyak juga makanan dan minuman di restoran yang sudah kehabisan justeru kami makan dan minum seadanya sahaja. Alhamdulillah, terisi juga perut kami yang kosong ini. Terima kasih kepada Bapak Ampon kerana begitu sabar melayani kerenah kami yang pelbagai ragam dan rasa ini.
Tiba di hotel penginapan agak lewat sekitar pukul 10.30 malam. Hajat untuk menyaksikan persembahan tarian sempena Festival Kesenian Rakyat Sedunia atau International Foklore Festival terpaksa juga dilupakan kerana rasa kantuk yang amat sangat, lagipun keletihan sudah melampaui batas dan sempadan.
No comments:
Post a Comment