GURINDAM JIWA

Tuesday, July 26, 2011

Banda Aceh-Bukan Sekadar Catatan 3...

HARI TERAKHIR- 24 Julai 2011

PERJALANAN JIWA PENUH RASA

Hari-hari terakhir di Banda Aceh, hujan pagi dengan bilah-bilah halus menimpa buminya. Bumi Aceh amat jarang ditimpa hujan. Pagi ini, selepas bersarapan ala kadar di hotel dengan sajian nasi goreng yang dimakan bersama dengan kangkong goreng dan beberapa keping roti, perjalanan diteruskan seawal pukul 8.00 pagi menuju destinasi yang terakhir yang pasti ditunggu-tunggu dengan penuh debar. Sebelum tiba ke destinasi tersebut, kami dibawa oleh Bapak Ambon menyusuri pelabuhan di Banda Aceh. Beberapa buah bot nelayan kelihatan di pesisir pantai. Sukar untuk dibayangkan kawasan ini pernah diguling gelombang besar lagi ganas berserta puing-puing pecahan bangunan 7 tahun yang lalu. Sempat juga mata mengitari kawasan pasar basah yang begitu sibuk pada awal pagi itu.


Pelabuhan di Banda Aceh yang pernah suatu masa dahulu diterjah tsunami

Destinasi yang tertangguh semalam ternyata membawa hikmah kerana saya berjaya menemui Mak cik Bahariah yang merupakan salah seorang daripada 54 orang mangsa yang terselamat ketika terjahan tsunami di kampungnya. Mak cik Bahariah yang tinggal bersebelahan dengan kapal yang tersadai di atas sebuah rumah di Kampung Lampulo Banda Aceh sempat menaiki kapal seberat 2.6 tan tersebut. Penghuni rumah berkenaan telah berpindah ke tempat lain. Wajah yang begitu tenang dan senyuman yang sentiasa terhias dibibirnya menggamit saya untuk terus mencungkil ceritanya. Saya dijemput bertandang ke rumahnya namun saya menolaknya dengan lembut kerana khuatir kesuntukan masa. Memandangkan masa penerbangan balik pada pukul 1.10 tengah hari dan jam ketika itu menunjukkan pukul 9.00 pagi, maka undangan Mak cik Bahariah ke rumahnya kami penuhi juga setelah mendapat persetujuan bersama. Sebenarnya saya begitu trauma kerana hampir-hampir ketinggalan pesawat ketika mengikuti lawatan ke Jakarta,Puncak , Bandung pada tahun lalu sedikit sebanyak mengganggu fikiran saya ketika itu.

Kapal nelayan yang dijadikan monumen peringatan tsunami di Kampung Lampulo

Puan Bahariah salah seorang mangsa tsunami yang sempat saya temui

Sisa tapak rumah

Kehadiran kami di rumah dua batu tingkat itu disambut oleh menantu perempuannya yang berasal dari Kuala Lumpur. Kami disambut amat ramah oleh menantunya. Mak cik Bahariah menjelaskan bahawa rumahnya kurang terjejas walaupun seluruh rumahnya tenggelam ditimpa gelombang. Hanya pintu cermin di ruang tamunya yang pecah. Jam dinding di rumahnya sengaja digantung di ruang tamu menunjukkan pukul 8.45 pagi menandakan jam itu terhenti ketika kejadian tsunami. Beliau juga bercerita saat-saat dirinya ketika diterjah tsunami. Selepas dilanda gempa bumi, keadaan yang kembali tenang rupa-rupa membawa musibah yang tidak dapat dilupakan sepanjang usianya.

Rumah bantuan yang dibina hasil derma yang mencurah-curah dari serata dunia

Bergambar di hadapan papan tanda monumen.

Setengah jam setelah dilanda gempa, ketika beliau sedang duduk di luar rumah dan tiba-tiba mendengar jeritan orang yang menyatakan air pantai sudah naik. Belumpun sempat melarikan diri, gelombong ombak berserta lumpur pekat sudah mulai memecah masuk ke rumahnya separas pinggang. Beliau dengan pantas segera ke lantai dua rumahnya untuk menyelamatkan diri. Apa yang sempat disambar hanyalah kain telekungnya sahaja dan pantas menyelamatkan diri di lantai dua rumahnya. Ketika itu air sudah setinggi leher, semua berasa takut dan cemas sambil berteriak menangis memanggil ibu, ayah , anak dan berdoa kepada Tuhan. Tiba-tiba datang sebuah kapal teroleng-oleng dibawa gelombang lantas tersangkut di atas rumah, semua naik ke atas kapal yang ternyata kapal kosong. Ada juga yang naik dari rumah belakang hingga semuanya berjumlah 54 orang di dalam kapal tersebut yang terdiri daripada bayi, orang tua dan orang kurang upaya. Dari atas kapal, kelihatan kota Banda Aceh sudah menjadi lautan tsunami. Manusia, rumah, pohon, kereta hanyut dibawa gelombang. Apabila gelombang kedua tiba berikutnya dari arah laut, tinggi dan ganas, merekapun menghadap ke laut dan melaungkan Azan….dengan kuasa Allah, gelombang itu pecah. Kejadian itu berulang-ulang sebanyak 7 kali.

Bergambar di hadapan rumah Pn Bahariah yang tenggelam namun hanya bahagian kaca hadapan pintunya sahaja yang pecah

Apa yang dapat digambarkannya, suasana ketika itu amat menggerunkan dan beliau cuba menggambarkan barangkali kiamat sudah tiba. Suasana tengah hari begitu terik dan panas, tiada air dan makanan serta dalam keadaan kehausan dan kelaparan. Dengan kuasa Allah S.W.T, setandan kelapa muda yang dihanyutkan menjadi santapan bersama setelah hampir 7 jam dari pukul 8.30 pagi hingga jam 3.30 petang di atas kapal. Apabila keadaan kembali reda, baru mereka mempunyai keberanian untuk turun dan diselamatkan oleh penyelamat. Mak cik Bahariah amat bersyukur kerana seluruh ahli keluarga terselamat dalam bencana ini. Hampir 1500 penduduk di kampungnya terkorban dalam tragedi tersebut. Beliau sekeluarga ditempatkan di rumah perkongsian selama 2 tahun dan berpeluang balik ke rumah sekali sekala kerana khuatir akan keselamatan.

Bergambar kenangan-kenangan di hadapan kapal nelayan yang tersadai di atas sebuah bumbung

Peti sumbangan yang diletakkan di luar tanpa sebarang langkah-langkah keselamatan

Setelah membeli beberapa barangan cenderamata seperti baju, rantai kunci dan bingkai gambar, kami memohon kebenaran untuk bergerak ke lapangan terbang. Penemuan singkat tapi cukup terkesan di jiwa kerana dapat berkongsi pengalaman dengan beliau yang pasti akan disampaikan sebagai peringatan kepada generasi yang akan datang agar tidak alpa kepada lingkungan sejarah.

Sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda, kami sempat ke sebuah kedai kopi untuk menikmati keenakan kopi Aceh serta menjamah kuih tradisional Aceh. Tidak boleh berlama-lama di situ kerana perlu segera ke lapangan terbang. Hanya 10 minit kemudian, kami tiba di lapangan terbang. Urusan di kaunter dipercepat dengan bantuan pegawai yang bertugas. Terima kasih kepada pegawai berkenaan yang memudahkan segala urusan.Tidak seperti kunjungan di Jakarta dahulu yang segala urusan begitu lambat dan rencam sehingga hampir-hampir ketinggalan pesawat.

Suasana di dalam terminal yang amat selesa dan memudahkan segala urusan

Ruang kedai di lapangan terbang

Sebelum berlepas menaiki pesawat AK 306, saya sempat lagi membeli belah di beberapa buah kedai cenderamata yang terletak berhampiran dengan terminal berlepas. Keramahan dan kelembutan pembantu kedai yang sedia berdiri di pintu kedai menggamit jiwa untuk melangkah ke ruang kedai dan menjamu mata. Oleh sebab, masa masih bersisa, saya membeli beberapa cenderamata untuk dibawa pulang. Sebelum masuk ke terminal berlepas, sempat lagi menikmati mi Indomie sebagai penggalas perut. Pesawat berlepas pada pukul 1.10 tengah hari dan selamat mendarat di LCCT pada pukul 3.40 petang. Alhamdulillah, lawatan kali ini sememangnya amat berbeza dengan lawatan di Padang, Bukit Tinggi serta Jakarta, Puncak dan Bandung. Perjalanan penuh jiwa dan rasa pasti terpahat agam dalam jiwa.

ACEH, TUNGGU KEDATANGAN KAMI LAGI!

2 comments:

  1. Assalamualaikum Cikgu Razak,
    Tahniah kerana menulis catatan pengalaman yang amat berharga ini. Peribadi, saya sendiri belum pernah ke Acheh. Catatan ini memudahkan perjalanan saya untuk ke Acheh apabila ada kesempatan kelak.

    Kita harus memperbanyak tulisan kembara / travelog seperti ini untuk membantu orang lain yang mahu kembara ke tempat-tempat yang sama. Catatan yang informatif ini selain membantu orang lain, turut menjadi suatu dokumentasi untuk diri sendiri.

    Semoga ada karya kreatif yang akan lahir hasil daripada kembara-kembara yang menyentuh jiwa dan menggugah minda ini!

    Selamat menulis!

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Puan kerana sudi mengintai blog saya dan membaca travelog perjalanan yang cukup terkesan dalam jiwa saya. Jika berpeluang saya akan ke sana lagi bagi melawat tempat-tempat yang lain yang tidak sempat dilawati kerana kesuntukan masa.

    ReplyDelete

Istilah Bahasa Daerah di Negeri Sembilan

Glitter Graphics
Glitter Graphics

Glitter Animal Graphics


Siri 1 (14 Januari 2010)

1. locot( lo+ cot)
Maksud perkataan ini ialah' keadaan melecur yang disebabkan oleh benda-benda yang panas', besi panas atau sebagainya.

Contoh penggunaan:
a. Lidahnya locot kerana menghirup air kopi yang masih panas.
b.Jari tangannya locot kerana terpegang bara api.

2. menugheh(me + nu + gheh)
Maksud menugheh bermakna 'mengerti, faham atau tahu membuat sesuatu kerja'
Umpamanya seseorang yang ahli dalam bidang lukisan, tentu ia menugheh yakni mengerti atau faham tentang sesuatu yang hendak dilukisnya.

Lazimnya, penggunaan kata 'menugheh'didahului dengan kata 'tidak'.
Contohnya:

a. Anak muda kampung zaman sekarang ramai yang tidak menugheh membuat kerja-kerja kampung seperti bersawah padi dan sebagainya.

b. Pelajar itu masih tidak menugheh lagi membuat surat kiriman walaupun telah diajar beberapa kali.

3. perun/peghun (pe + ghun)
Perkataan perun hampir sama maknanya dengan penggur iaitu perbuatan 'membakar'
Kerja memerun lebih berat dan sukar. Umpamanya,memerun atau membakar kayu-kayu getah yang telah ditebang untuk projek menanam semula.

a. Setelah selesai melakukan kerja memerun, mereka pun menggali lubang untuk menanam benih getah.

b. Sisa-sisa kayu yang baru diperun itu masih terasa panasnya.

4. senereh/senegheh (se + ne + gheh)
Perkataan senereh membawa dua pengertian.
Makna pertama ialah 'senonoh'. Contoh:

a. Berpakaian dalam sesuatu majlis yang rasmi haruslah senereh supaya manis dipandang orang.

Kedua, perhataan senereh bermaksud 'sempurna'.
Contoh:
b. Semua kerja yang dipertanggunjawabkan kepadanya telah dibuatnya dengan senereh.

Selalunya penggunaan kata senereh ini didahului juga dengan kata 'tidak'. Contohnya:

c. Corak permainan yang ditunjukan oleh pemain-pemain pasukan bola sepak itu tidak senereh sehingga menyebabkan kekalahan yang teruk.

d. Semua kerja itu tidak senereh belaka dan terpaksa dibuat semula.

6. temua (te + mu + a)
Perkataan temua yang dituturkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan itu bermaksud 'sungai'.
Contoh:

a. Orang ramai dinasihati supaya jangan mandi-manda di temua itu kerana airnya sangat deras dan membahayakan.

7. kelenset (ke + len+ set)
Kata 'kelenset' ada kaitannya dengan kerja mengupas kulit atau menanggalkan sesuatu yang melekat. Contohnya seperti mengulit atau menyiat kulit lembu atau binatang yang lain yang telah disembelih.

Contoh:
a. Kulit kambing yang baru disembelih itu telah dikelenset hingga licin.

b. Tolong kelenset kulit kayu itu.

c. Poster yang ditampal di papan kenyataan itu telah terkelenset ditiup angin.


Pengajaran Bahasa Efektif


Kartun merupakan suatu bahan yang sangat popular dan digemari oleh segenap lapisan masyarakat. Kartun dianggap sebagai satu wahana yang menghiburkan dan boleh meredakan ketegangan emosi manusia.

Penggunaan Kartun dalam Pengajaran Karangan

Pengajaran karangan memerlukan pengeluaran idea dan daya kreatif dalam penulisan., Oleh itu, adalah wajar kartun dijadikan bahan yang dapat menrangsang minat pelajar untuk menulis karangan. Walau bagaimanapun, aktiviti pengajaran haruslah disusun dan dirancang oleh guru dengan rapi. Kaedah perbincangan dan kaedah multitask merupakan kaedah yang terbaik jika bahan kartun digunakan sebagai bahan rangsangan dalam pengajaran karangan.

Kriteria Pemilihan Bahan Kartun untuk Pengajaran Karangan

1. Bahan kartun yang mempunyai hubungan pengalaman dan lingkungan hidup dengan kumpula pelajar sasaran. Kartun yang berkaitan dengan pengalaman sedia ada mereka, membolehkan pelajar menulis karangan berdasarkan hubungan antara pengalaman sedia ada dengan bahan kartun yang digunakan.

2. Bahan kartun mesti sesuai dengan pelajar, boleh menarik minat mereka serta berdasarkan kebolehan bahasa dan kecerdasan otak pelajar. Mengetahui tahap pencapaian pelajar terlebih dahulu sebelum membuat pemilihan bahan kartun adalah lebih baik. Kartun-kartun yang sesuai dengan pelajar dapat menarik minat mereka seterusnya mencetuskan suasana pemelajaran yang menarik dan berkesan.

3, Pilihlah kartun yang menggunakan dialog yang sesuai Penggunaan perkataan, rangkai kata, dan ayat yang sesuai dengan umur mereka sangat diperlukan. Pemiihan dialog yang baik dan tidak bercelaru akan mempengaruhi karangan pelajar, kerana kecenderungan pelajar mengambil sebahagian dialog tersebut sebagai bahan penulisan karangan mereka.

4. Kartun yang akan dipilih seharusnya sesuai dengan sukatan pelajaran dan objektif mengarang pada peringkat tertentu. Kartun yang tidak sesuai dengan sukatan pelajaran akan menyebabkan pelajar agak sukar untuk mengaitkan karangan mereka dengan pelajaran lain.

5.Sebaik-baiknya pilih kartun yang menampakkan tajuk karangan yang jelas dan tersurat.




Siri 1:
Awalan memper-
Awalan memper- ialah awalan pembentukan kata kerja Maksudnya, mana-mana kata dasar bahasa Melayu daripada golongan kata utama , apabila bergabung dengan awalan ini akan menghasilkan kata kerja.

Tiga golongan perkataan yang boleh dicantumkan dengan imbuhan ini, contohnya seperti berikut:
a) Kata nama
alat - memperalat
(membawa maksud "menjadi seperti alat" yakni mempermain-mainkan seseorang)
budak - memperbudak
(membawa maksud"menjadikan seperti budak" dalam erti kata bertindak terhadap seseorang itu seolah-olah dia itu budak)
isteri - memperisteri
(membawa maksud "menjadikan(mengambil sebagai) isteri)
hamba - memperhamba
(membawa maksud menjadikan (seseorang) sebagai hamba)
Contoh ayat:
(1)Dia memperalat orang tua itu untuk mencapai
cita-citanya.
(2) Ibu tiri memperhamba anak tirinya.
(3) Datuk Ahmad memperisteri Mulsalmah.


b) kata adjektif
besar - memperbesar
cepat - mempercepat

c) kata sendi nama
oleh - memperoleh

Walau bagaimanapun, perkataan "hamba" boleh menerima apitan memper-...-kan. Memperhambakan pula membawa erti menjadikan diri sendiri sebagai hamba, seperti dalam ayat:

d) Dia memperhambakan dirinya kepada Tuhan.

Perkataan "isteri" juga boleh menerima apitan memper-...-kan, menjadi memperisterikan yang sama sekali berbeza maksudnya daripada bentuk memperisteri.

e) Hussin memperisterikan Hassan.
(Maksudnya Hussin mengahwinkan Hassan (dengan seseorang gadis); bukan bermakna Hussin mengahwini Hassan






Glitter Graphics

Nilai-nilai Murni Dalam Peribahasa Melayu
* baik membawa resmi padi daripada membawa resmi lalan
g
*buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali
*hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga
*kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau

Daya usaha/kerajinan/kesungguhan
*bagai lebah menghimpun madu
*cepat kaki, cepat tangan
*genggam bara api biar sampai menjadi arang
*kalau tidak dipecahkan ruyung, manakah dapat sagunya

Semangat bermasyarakat/kekeluargaan/perhubungan
*air dicencang tidak akan putus
*biduk berlalu kiambang bertaut
*ibarat telur sesangkak, pecah sebiji,pecah semua
*seperti isi dengan kuku

Berhati-hati/teliti/berjimat cermat
*berjalan pelihara kaki, bercakap pelihara lidah
*biar lambat asalkan selamat
*daripada segenggam jadi segantang
*sediakan payung sebelum hujan

Keberanian
* berani kerana benar, takut kerana salah
*membujur lalu melintang patah
*pantang berundur sebelum berjuang
*pantang mati sebelum ajal

Kepatuhan/kesetiaan
*air orang disauk, ranting orang dipatah, adat orang diturut
*biar mati anak, jangan mati adat
*di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
*hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri

Semangat patriotisme/cinta akan negara
*seperti belut pulang ke lumpur
*seperti gagak pulang ke benua
*seperti ikan pulang ke lubuk
*setinggi-tinggi bangau terbang,hinggap di belakang kerbau juga

Rasional
*ada akal
*akal budi
*jangan bercermin di air keruh
*ke tengah boleh, ke tepi pun boleh

Kepentingan ilmu
*diam ubi berisi
*ilmu itu pelita hidup
*jauhari juga yang mengenal manikam
*kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga

Kasih sayang
*bagai menjaga intan dicanai
*hilang di mata, di hati jangan
*menatang minyak yang penuh
*tatang di anak lidah

Keadilan
*duduk dengan cupak dan gantang
*seduit dibelah tujuh
*seperti menghela rambut dalam tepung
*umpama jari di tangan, ada bercincin ada tidak

Berdikari
*kalau pandai meniti buih, selamat badan sampai ke seberang
*ke tengah boleh, ke tepi pun boleh
*pandai menyelam air di dangkal
*timba air mandikan diri

Siri 2 (17.1.10)
Peribahasa Mengungkap Budaya Kerja Orang Melayu

a. Budaya kerja dan gigih dalam bekerja
*ringan tulang
*mandi keringat
*hempas tulang urat
*peluh darah
*gulung lengan baju

b. Ketekunan dan kerajinan orang Melayu dalam melakukan sesuatu pekerjaan

*sedikit lama-lama jadi bukit

c. Berjimat cermat untuk mencapai sesuatu kejayaan

*ikat perut
*cermat semasa banyak, jimat semasa sedikit

d. Sikap tidak suka membuang masa dan apabila berbuat kerja hendaklah jangan tertumpu kepada sesuatu perkara

*berkayuh sambil bertimba
*menyelam sambil minum air





Siri 1
Peribahasa Keadilan

Jika salah sebatang dicabut, salah serumpun dibongkar, salah separuh dirambah

Maksud:
Hukuman haruslah dijatuhkan menurut besar kecil kesalahan yang dilakukan.

Ayat:
Keadilan perundangan menuntut hukuman yang setimpal dengan kesalahan, umpama kata peribahasa jika salah sebatang dicabut, salah serumpun dibongkar, salah separuh dirambah.

Sumber: Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Peribahasa Ilmu
Biduk kalau tidak berkemudi, bagaimana ia akan laju

Maksud:
Sesuatu pekerjaan yang dikerjakan tanpa ilmu tentu tidak akan sampai kepada yang dimaksudkan.

Ayat:
Pembinaan sesebuah negara bangsa yang maju dan progresif menuntut warganya memiliki ilmu pengetahuan yang secukupnya, seperti kata pepatah, biduk kalau tidak berkemudi, bagaimana ia akan laju.

Peribahasa Permuafakatan
Duduk seorang bersempit-sempitan, duduk banyak berlapang-lapangan

Maksud:
Buah fikiran yang diperoleh dalam sesuatu perundingan itu lebih baik daripada buah fikiran kita sendirian sahaja.

Ayat:
Kejayaan sesebuah organisasi banyak bergantung pada kesepakatan dalam membuat keputusan. Sumbangan idea yang digabungjalinkan pasti membuah pembaharuan, umpama kata pepatah, duduk seorang bersempit-sempitan, duduk banyak berlapang-lapangan.

Peribahasa Perantauan

Ke gunung emas pasir baiduri, ke padang zamrud habis diedari; terbanga bangau sepanjang hari, ke tasik juga akhirnya dicari

Maksud:
Bagaimana sekalipun jauh dagang merantau, ke negeri yang besar-besar, melihat tempat yang indah-indah, kesudahannya pulang juga ia ke tanah airnya sendiri.

Ayat:
Golongan perantau yang mencari rezeki di negara lain, sekalipun berasa selesa di tempat orang, namun jauh di sudut hatinya, mereka pasti teringin pulang ke tanah airnya sendiri,ibarat peribahasa ke gunung emas pasir baiduri, ke padang zamrud habis diedari; terbang bangau sepanjang hari, ke tasik juga akhirnya dicari.

Siri 2 (17.1.10)
Bidalan dan Pepatah

Bidalan dan pepatah ialah peribahasa yang terdiri ungkapan-ungkapan yang ringkas lagi bijaksana yang mempunyai makna selapis. Walau bagaimanapun, kadang-kadang, kedua-dua jenis peribahasa itu dipakai juga untuk menyatakan makna dua lapis.

Pendeta Za'ba memberikakankita beberapa andaian yang kuat tentang cara bidalan dan pepatah itu kekal dan menjadi budaya bangsa kita. Menurut beliau:

a) Mula-mulanya sebutan itu keluar dari mulut seseorang yang bijak dan pantas fikirannya iaitu dengan perkataan yang ringkas dan membetuli sepenuh-penuh maksudnya serta mengandung di dalamnya sesuatu kebenaran yang telah dirasanya sendiri atau telah diperhatikannya berlakupada diri orang lain.

b) Kemudian apabila berkenaan orang ramai mendengarnya maka dipakailah pula oleh mereka itu hingga berulang-ulang dan berhubung-hubung dari seorang ke seorang.

c) Dengan demikian masyhurlah perkataan itu dan akhirnya lalu melekat dalam bahasa itu hingga bila-bila, menjadi suatu kekayaan dan perhiasan kepada bahasa itu.

d) Maka pada ketika itu dinamakanlah akan dia peribahasa iaitu bidalan, pepatah dan perumpamaan.

Bidalan dan pepatah yang mempunyai makna selapis adalah seperti yang berikut:

i. biar lambat asal selamat
ii. sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit
iii.sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna
iv. ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis
v.sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.
vi. malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan
vii.hati hendak semua jadi

Bidalan dan pepatah yang mempunyai makan dua lapis, ungkapannya atau patah-patah perkataan yang disusun bukan sekadar satu ayat atau ayat-ayat yang lengkap, tetapi, kadang-kadang, merupakan serangkap pantun dua kerat juga.
Contoh:

i. Bergalah hilir tertawa buaya;
Bersuluh di bulan terang tertawa harimau

ii.Lain biduk lain digalang;
Lan bengkak lain menanah

iii.Pandai mencuri merasa mendapat;Tak pandai mencuri merasa terikat.

iv. Ikut hukum menyiat daging;Sakit di awak sakitlah di orang.

v. Bawa resmi padi; Makin berisi makin tunduk.

vi. Jangan bawa resmi jagung; Makin berisi makin jegang.

vii. Ditangkap buaya nampak riaknya; Ditangkap malas tak bertanda.

Sastera


Siri 1: Gaya Bahasa Kiasan (30.1.10)

a) Metafora
Metafora ialah gaya bahasa kiasan langsung atau perbandingan yang menyebut dua hal tanpa menggunakan kata-kata perbandingan. Lazimnya metafora terdiri daripada dua perkataan yang ringkas, padat dan tersusun. Satu daripada dua perkataan metafora bersifat konkrit dan menjadi objek untuk difikirkan, dan satu lagi perkataan bersifat abstrak.

Contoh:
kaki hari
tiang kemerdekaan