GURINDAM JIWA

Sunday, July 24, 2011

Banda Aceh-Bukan Sekadar Catatan...

BANDA ACEH- Melihat Kebesaran Allah

(Bukar Sekadar Catatan…)

22 Julai 2011-24 Julai 2011




Perjalanan ke Banda Aceh dengan menaiki pesawat AK 305 dari LCCT ke Lapangan Terbang Iskandar Muda memakan masa hampir 1 jam 20 minit. Kami tiba kira-kira pukull 12.40 tengah hari (Waktu Indonesia) setelah bertolak tepat pukul 12.15 tengah hari (Waktu Malaysia)melalui pintu nombor 12. Sangkaan tiba dalam masa setengah jam rupa-rupa saya tersilap membuat percaturan. Masa Malaysia dan Indonesia lebih awal satu jam justeru waktu yang tercatat di ‘boarding pass’ ternyata waktu di Indonesia. Setelah hampir setengah jam di ruang udara, kami turut diberitahu oleh kapten kapal bahawa kami telah melalui ruang udara Medan yang bakal menjadi destinasi kami seterusnya pada tahun hadapan. Insya-Allah semoga Allah memudahkan perjalanan lawatan kami nanti.

Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda

Boleh dikatakan penerbangan yang membawa kami ke Banda Aceh dipenuhi oleh penumpang dari luar negara. Kejadian tsunami yang menimpa Aceh pada 26 Disemberi 2004 yang meragut jiwa seramai 300,000 di bumi Serambi Mekah ini ternyata juga membawa hikmah yang besar di buminya. Kunjungan pelancong dari luar ternyata melimpah ruah. Beberapa orang pelancong dari Itali bertepuk tangan apabila pesawat membuat pendaratan dengan cukup cemerlang. Pertama kali tepukan gemuruh saya dengari di dalam pesawat ini. Pendaratan yang dilakuka kapten kapal antara pendaratan yang terbaik yang pernah aku lalui. Tahniah kepada kapten kapal yang tidak dikenali itu.



Membuat kunjungan tanpa melalui pakej lawatan yang biasa menjadi pengalaman yang cukup luar biasa bagi kami. Hal ini bermakna, kami bebas mengatur lawatan yang biasanya sudah diatur oleh agensi pelancongan. Setelah selesai membuat pemeriksaan imigresen yang lancar tanpa sebarang masalah,kami terus ke luar terminal. Keadaan di luar terminal agak lengang. Kami kemudian ditegur dengan ramah dan penuh sopan oleh seorang pemuda Aceh, Teh Rusli Sukma atau lebih mesra dikenali dengan Bapak Ampon. Kami diberitahu oleh Bapak Ampon, perjalanan dari lapangan terbang ke Banda Aceh kira-kira 15 kilometer sahaja. Dengan menaiki sebuah ‘kijang’ atau di Malaysia lebih dikenali dengan nama Unser yang boleh memuatkan 7 penumpang itu, kami terus dibawa ke sebuah Rumah Makan Specific Aceh di Bundaran Lambaro Aceh Besar. Sudah menjadi rutin biasa di sini, kebanyakan kedai ditutup sebagai menghormati solat Jumaat. Setibanya kami di sana, kedai makan tersebut baru sahaja dibuka untuk menerima tetamu.

Dengan pantas satu -persatu hidangan masakan Aceh sudah memenuhi setiap ruang di meja makan. Seperti juga masakan Padang, kami juga dihidangkan lebih daripada enam hidangan bagi setiap ruang meja tersebut. Antaran masakan Aceh yang menjadi pilihan seperti gule eungket paya, udang tumis, udang goreng special, cumi-cumi (sotong) goreng dan sayur-sayuran. Setelah membayar sejumlah Rp245 000, perjalanan kami diteruskan ke Banda Aceh yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumah makan tersebut.

Hidangan Aceh memenuhi meja makan

Destinasi seterusnya pastinya ke Hotel Suthan yang terletak di tengah-tengah Banda Aceh.Hotel yang terjejas sedikit di bahagian lobinya akibat limpahan tsunami akan menjadi ‘rumah penginapan’ sementara selama berkelana di bumi Aceh. Setelah melepaskan lelah dan bersolat hampir 45 minit, kira kira pukul 3.20 petang, lawatan kami diteruskan ke Masjid Baiturrahman yang terkenal kerana antara masjid yang selamat daripada bencana tsunami. Menyaksikan sendiri keadaan masjid yang tidak terjejas teruk ketika kejadian tsunami ternyata menyaksikan kekuasaan Allah dan begitu menginsafkan jiwa. Melihat pembangunan yang pesat di sekitar kawasan tsunami khususnya di Banda Aceh dengan bantuan yang diterima dari seluruh dunia mengubah landskap bandarnya maju lebih puluhan tahun ke hadapan. Seperti tidak percaya bahawa kejadian tsunami pernah berlaku hampir 7 tahun yang lalu di situ. Pembangunannya amat luar biasa pada pandangan retina saya.

Align Left

Tidak ramai peniaga yang berjualan di sini. Ada juga jurugambar bebas yang akan merakamkan foto sekiranya diperlukan perkhidmatan mereka. Tiada paksaan untuk menggunakan perkhidmatan mereka kerana di sini kita tidak dikejar oleh mereka apatah lagi apabila melihat kami merakamkan gambar menggunakan kamera digital sendiri.

Pemandangan di luar Masjid Baiturrahman

Setelah hampir setengah jam berada di ruang legar masjid, perjalanan diteruskan bagi menyaksikan kesan tsunami seterusnya iaitu ke Kapal PLTD Apung milik PLN (Perusahaan Listrik Negara) yang tersadai hampir 2 kilometer dari laut. Kapal yang berpengkalan di Pelabuhan Ulhe Lheue telah dicampakkan ke Kampung Punge Jurong dalam kota Banda Aceh. Khabarnya hanya seorang pekerja kapal yang terselamat dan selebihnya telah ditelan tsunami. Kapal besar yang keberatannya 2600 tan ini menyaksikan betapa dashyatnya amaran Allah terhadap makhluknya. Setiba kami di situ, segala aktiviti lawatan di atas kapal itu perlu dihentikan bagi menghormati waktu Asar. Kami meneruskan langkah menuju ke arah sebuah memorial peringatan mangsa tsunami. Beberapa keping gambar yang tidak pernah disiarkan di mana-mana media terpampang di situ. Seorang pemuda yang dikenali dengan nama Teuku, secara tidak langsung menjadi jurucakap kepada kami. Kepetahannya mengaturkan bicara menunjukkan pemuda peramah itu seorang yang berpendidikan.

Sebuah memorial peringatan di bina di kawasan berhampira Kapal Apung

Melepaskan lelah dengan air kelapa murni

Bercerita tentang pengalamannya yang pernah menjadi salah seorang mangsa tsunami yang terselamat dalam tragedi itu dan kehilangan seluruh ahli keluarga menyebabkan rasa sebak melimpah dalam jiwa saya. Menceritakan saat-saat digulung air dan tertelan lumpur ketika tragedi itu cukup memeritkan kehidupannya. Air matanya kelihatan ingin sahaja bergenang namun cuba ditahannya daripada tumpah. Ketika kejadian,Teuku baru sahaja berusia 14 tahun. Tambahannya lagi, kehidupannya yang lalu selama 14 tahun sudah musnah dalam sekelip mata namun dia tetap reda menerima ujian daripada-Nya. Katanya lagi, dia baru sahaja dilahirkan semula dan memulakan kehidupan baru selama 7 tahun. Pemuda yang cukup tabah itu menyatakan bahawa pergertian Tsunami bagi warga yang pernah mengalaminya membawa pergertian berikut yang kita sendiri tidak pernah terfikir sekiranya tidak dihantar ke mari, T- ialah Tuhan S- Suka , U- Umat, N- Nabi . M- Muhammad dan I –Insaf(Tuhan Suka Umat Nabi Muhammad Insaf) Musibah ini ternya telah membuka satu lembaran baru dalam kehidupan warga Aceh. Sebagai tanda sumbangan, saya membeli sebuah buku yang bertajuk ‘Kisah Anak-anak yang Selamat dari Ie Beuna (Tsunami) yang melanda Aceh’ yang berharga Rp 75 000 senaskhah dan sekeping VCD berharga Rp 25 000 sebagai tanda kenang-kenangan.

Bersama salah seorang mangsa tsunami yang ketika kejadian itu berusia 14 tahun

Saya sekeluarga meninggalkan ruang kapal yang tersadai itu ke destinasi seterusnya iaitu di tepi pantai Banda Aceh. Ramai peniaga jagung yang berjaja di sepanjang pantai itu. Di sepanjang jalan itu, terdapat deretan kerusi dan meja bagi pelanggan yang ingin menikmati jagung bakar sambil menikmati suasana petang yang mendamaikan. Sesekali semilir petang bertiup kencang seperti membisikkan dan mengkhabarkan sesuatu bahawa di sini pernah penduduknya melalui saat getir yang amat dalam sekali. Hasrat untuk meninjau ke daerah Meulaboh, satu daerah yang paling dashyat diterjang tsunami terpaksa dilupakan kerana jaraknya dari Banda Aceh memakan masa selama 6 jam perjalanan.

Seterusnya saya dan keluarga dibawa bersiar-siar di Banda Aceh dan kemudian terus dibawa ke sebuah restoran berhampiran untuk menikmati makan malam. Makan malam saya pada hari ini ialah mi cumi-cumi (sotong) yang amat enak sekali. Restoran Mie Razali yang mulai beroperasi pada tahun 1967 pasti tidak dapat kami lupakan kerana keenakan masakan pelbagai minya.

Semangkuk mi Razali berharga sekitar Rp20000- Rp27000

Kepenatan seperti sudah menjalar di setiap sendi dan urat saraf saya. Keletihan mulai terasa dan rasa kantuk sudah mulai memesrai retina mata. Perjalanan lawatan penuh jiwa yang melampaui batas sempadan akan dimulakan pada keesokan harinya seawal pukul 8.00 pagi.

Sedang menikmati mi Razali

1 comment:

  1. Tuhan Suka Umat Nabi Muhammad Insaf, makna yg sgt mndalam! Tahniah cikgu Razak, dpt jln2 makn angin sambil menimba ilmu meluaskan pemahaman..:)

    ReplyDelete

Istilah Bahasa Daerah di Negeri Sembilan

Glitter Graphics
Glitter Graphics

Glitter Animal Graphics


Siri 1 (14 Januari 2010)

1. locot( lo+ cot)
Maksud perkataan ini ialah' keadaan melecur yang disebabkan oleh benda-benda yang panas', besi panas atau sebagainya.

Contoh penggunaan:
a. Lidahnya locot kerana menghirup air kopi yang masih panas.
b.Jari tangannya locot kerana terpegang bara api.

2. menugheh(me + nu + gheh)
Maksud menugheh bermakna 'mengerti, faham atau tahu membuat sesuatu kerja'
Umpamanya seseorang yang ahli dalam bidang lukisan, tentu ia menugheh yakni mengerti atau faham tentang sesuatu yang hendak dilukisnya.

Lazimnya, penggunaan kata 'menugheh'didahului dengan kata 'tidak'.
Contohnya:

a. Anak muda kampung zaman sekarang ramai yang tidak menugheh membuat kerja-kerja kampung seperti bersawah padi dan sebagainya.

b. Pelajar itu masih tidak menugheh lagi membuat surat kiriman walaupun telah diajar beberapa kali.

3. perun/peghun (pe + ghun)
Perkataan perun hampir sama maknanya dengan penggur iaitu perbuatan 'membakar'
Kerja memerun lebih berat dan sukar. Umpamanya,memerun atau membakar kayu-kayu getah yang telah ditebang untuk projek menanam semula.

a. Setelah selesai melakukan kerja memerun, mereka pun menggali lubang untuk menanam benih getah.

b. Sisa-sisa kayu yang baru diperun itu masih terasa panasnya.

4. senereh/senegheh (se + ne + gheh)
Perkataan senereh membawa dua pengertian.
Makna pertama ialah 'senonoh'. Contoh:

a. Berpakaian dalam sesuatu majlis yang rasmi haruslah senereh supaya manis dipandang orang.

Kedua, perhataan senereh bermaksud 'sempurna'.
Contoh:
b. Semua kerja yang dipertanggunjawabkan kepadanya telah dibuatnya dengan senereh.

Selalunya penggunaan kata senereh ini didahului juga dengan kata 'tidak'. Contohnya:

c. Corak permainan yang ditunjukan oleh pemain-pemain pasukan bola sepak itu tidak senereh sehingga menyebabkan kekalahan yang teruk.

d. Semua kerja itu tidak senereh belaka dan terpaksa dibuat semula.

6. temua (te + mu + a)
Perkataan temua yang dituturkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan itu bermaksud 'sungai'.
Contoh:

a. Orang ramai dinasihati supaya jangan mandi-manda di temua itu kerana airnya sangat deras dan membahayakan.

7. kelenset (ke + len+ set)
Kata 'kelenset' ada kaitannya dengan kerja mengupas kulit atau menanggalkan sesuatu yang melekat. Contohnya seperti mengulit atau menyiat kulit lembu atau binatang yang lain yang telah disembelih.

Contoh:
a. Kulit kambing yang baru disembelih itu telah dikelenset hingga licin.

b. Tolong kelenset kulit kayu itu.

c. Poster yang ditampal di papan kenyataan itu telah terkelenset ditiup angin.


Pengajaran Bahasa Efektif


Kartun merupakan suatu bahan yang sangat popular dan digemari oleh segenap lapisan masyarakat. Kartun dianggap sebagai satu wahana yang menghiburkan dan boleh meredakan ketegangan emosi manusia.

Penggunaan Kartun dalam Pengajaran Karangan

Pengajaran karangan memerlukan pengeluaran idea dan daya kreatif dalam penulisan., Oleh itu, adalah wajar kartun dijadikan bahan yang dapat menrangsang minat pelajar untuk menulis karangan. Walau bagaimanapun, aktiviti pengajaran haruslah disusun dan dirancang oleh guru dengan rapi. Kaedah perbincangan dan kaedah multitask merupakan kaedah yang terbaik jika bahan kartun digunakan sebagai bahan rangsangan dalam pengajaran karangan.

Kriteria Pemilihan Bahan Kartun untuk Pengajaran Karangan

1. Bahan kartun yang mempunyai hubungan pengalaman dan lingkungan hidup dengan kumpula pelajar sasaran. Kartun yang berkaitan dengan pengalaman sedia ada mereka, membolehkan pelajar menulis karangan berdasarkan hubungan antara pengalaman sedia ada dengan bahan kartun yang digunakan.

2. Bahan kartun mesti sesuai dengan pelajar, boleh menarik minat mereka serta berdasarkan kebolehan bahasa dan kecerdasan otak pelajar. Mengetahui tahap pencapaian pelajar terlebih dahulu sebelum membuat pemilihan bahan kartun adalah lebih baik. Kartun-kartun yang sesuai dengan pelajar dapat menarik minat mereka seterusnya mencetuskan suasana pemelajaran yang menarik dan berkesan.

3, Pilihlah kartun yang menggunakan dialog yang sesuai Penggunaan perkataan, rangkai kata, dan ayat yang sesuai dengan umur mereka sangat diperlukan. Pemiihan dialog yang baik dan tidak bercelaru akan mempengaruhi karangan pelajar, kerana kecenderungan pelajar mengambil sebahagian dialog tersebut sebagai bahan penulisan karangan mereka.

4. Kartun yang akan dipilih seharusnya sesuai dengan sukatan pelajaran dan objektif mengarang pada peringkat tertentu. Kartun yang tidak sesuai dengan sukatan pelajaran akan menyebabkan pelajar agak sukar untuk mengaitkan karangan mereka dengan pelajaran lain.

5.Sebaik-baiknya pilih kartun yang menampakkan tajuk karangan yang jelas dan tersurat.




Siri 1:
Awalan memper-
Awalan memper- ialah awalan pembentukan kata kerja Maksudnya, mana-mana kata dasar bahasa Melayu daripada golongan kata utama , apabila bergabung dengan awalan ini akan menghasilkan kata kerja.

Tiga golongan perkataan yang boleh dicantumkan dengan imbuhan ini, contohnya seperti berikut:
a) Kata nama
alat - memperalat
(membawa maksud "menjadi seperti alat" yakni mempermain-mainkan seseorang)
budak - memperbudak
(membawa maksud"menjadikan seperti budak" dalam erti kata bertindak terhadap seseorang itu seolah-olah dia itu budak)
isteri - memperisteri
(membawa maksud "menjadikan(mengambil sebagai) isteri)
hamba - memperhamba
(membawa maksud menjadikan (seseorang) sebagai hamba)
Contoh ayat:
(1)Dia memperalat orang tua itu untuk mencapai
cita-citanya.
(2) Ibu tiri memperhamba anak tirinya.
(3) Datuk Ahmad memperisteri Mulsalmah.


b) kata adjektif
besar - memperbesar
cepat - mempercepat

c) kata sendi nama
oleh - memperoleh

Walau bagaimanapun, perkataan "hamba" boleh menerima apitan memper-...-kan. Memperhambakan pula membawa erti menjadikan diri sendiri sebagai hamba, seperti dalam ayat:

d) Dia memperhambakan dirinya kepada Tuhan.

Perkataan "isteri" juga boleh menerima apitan memper-...-kan, menjadi memperisterikan yang sama sekali berbeza maksudnya daripada bentuk memperisteri.

e) Hussin memperisterikan Hassan.
(Maksudnya Hussin mengahwinkan Hassan (dengan seseorang gadis); bukan bermakna Hussin mengahwini Hassan






Glitter Graphics

Nilai-nilai Murni Dalam Peribahasa Melayu
* baik membawa resmi padi daripada membawa resmi lalan
g
*buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali
*hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga
*kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau

Daya usaha/kerajinan/kesungguhan
*bagai lebah menghimpun madu
*cepat kaki, cepat tangan
*genggam bara api biar sampai menjadi arang
*kalau tidak dipecahkan ruyung, manakah dapat sagunya

Semangat bermasyarakat/kekeluargaan/perhubungan
*air dicencang tidak akan putus
*biduk berlalu kiambang bertaut
*ibarat telur sesangkak, pecah sebiji,pecah semua
*seperti isi dengan kuku

Berhati-hati/teliti/berjimat cermat
*berjalan pelihara kaki, bercakap pelihara lidah
*biar lambat asalkan selamat
*daripada segenggam jadi segantang
*sediakan payung sebelum hujan

Keberanian
* berani kerana benar, takut kerana salah
*membujur lalu melintang patah
*pantang berundur sebelum berjuang
*pantang mati sebelum ajal

Kepatuhan/kesetiaan
*air orang disauk, ranting orang dipatah, adat orang diturut
*biar mati anak, jangan mati adat
*di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
*hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri

Semangat patriotisme/cinta akan negara
*seperti belut pulang ke lumpur
*seperti gagak pulang ke benua
*seperti ikan pulang ke lubuk
*setinggi-tinggi bangau terbang,hinggap di belakang kerbau juga

Rasional
*ada akal
*akal budi
*jangan bercermin di air keruh
*ke tengah boleh, ke tepi pun boleh

Kepentingan ilmu
*diam ubi berisi
*ilmu itu pelita hidup
*jauhari juga yang mengenal manikam
*kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga

Kasih sayang
*bagai menjaga intan dicanai
*hilang di mata, di hati jangan
*menatang minyak yang penuh
*tatang di anak lidah

Keadilan
*duduk dengan cupak dan gantang
*seduit dibelah tujuh
*seperti menghela rambut dalam tepung
*umpama jari di tangan, ada bercincin ada tidak

Berdikari
*kalau pandai meniti buih, selamat badan sampai ke seberang
*ke tengah boleh, ke tepi pun boleh
*pandai menyelam air di dangkal
*timba air mandikan diri

Siri 2 (17.1.10)
Peribahasa Mengungkap Budaya Kerja Orang Melayu

a. Budaya kerja dan gigih dalam bekerja
*ringan tulang
*mandi keringat
*hempas tulang urat
*peluh darah
*gulung lengan baju

b. Ketekunan dan kerajinan orang Melayu dalam melakukan sesuatu pekerjaan

*sedikit lama-lama jadi bukit

c. Berjimat cermat untuk mencapai sesuatu kejayaan

*ikat perut
*cermat semasa banyak, jimat semasa sedikit

d. Sikap tidak suka membuang masa dan apabila berbuat kerja hendaklah jangan tertumpu kepada sesuatu perkara

*berkayuh sambil bertimba
*menyelam sambil minum air





Siri 1
Peribahasa Keadilan

Jika salah sebatang dicabut, salah serumpun dibongkar, salah separuh dirambah

Maksud:
Hukuman haruslah dijatuhkan menurut besar kecil kesalahan yang dilakukan.

Ayat:
Keadilan perundangan menuntut hukuman yang setimpal dengan kesalahan, umpama kata peribahasa jika salah sebatang dicabut, salah serumpun dibongkar, salah separuh dirambah.

Sumber: Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Peribahasa Ilmu
Biduk kalau tidak berkemudi, bagaimana ia akan laju

Maksud:
Sesuatu pekerjaan yang dikerjakan tanpa ilmu tentu tidak akan sampai kepada yang dimaksudkan.

Ayat:
Pembinaan sesebuah negara bangsa yang maju dan progresif menuntut warganya memiliki ilmu pengetahuan yang secukupnya, seperti kata pepatah, biduk kalau tidak berkemudi, bagaimana ia akan laju.

Peribahasa Permuafakatan
Duduk seorang bersempit-sempitan, duduk banyak berlapang-lapangan

Maksud:
Buah fikiran yang diperoleh dalam sesuatu perundingan itu lebih baik daripada buah fikiran kita sendirian sahaja.

Ayat:
Kejayaan sesebuah organisasi banyak bergantung pada kesepakatan dalam membuat keputusan. Sumbangan idea yang digabungjalinkan pasti membuah pembaharuan, umpama kata pepatah, duduk seorang bersempit-sempitan, duduk banyak berlapang-lapangan.

Peribahasa Perantauan

Ke gunung emas pasir baiduri, ke padang zamrud habis diedari; terbanga bangau sepanjang hari, ke tasik juga akhirnya dicari

Maksud:
Bagaimana sekalipun jauh dagang merantau, ke negeri yang besar-besar, melihat tempat yang indah-indah, kesudahannya pulang juga ia ke tanah airnya sendiri.

Ayat:
Golongan perantau yang mencari rezeki di negara lain, sekalipun berasa selesa di tempat orang, namun jauh di sudut hatinya, mereka pasti teringin pulang ke tanah airnya sendiri,ibarat peribahasa ke gunung emas pasir baiduri, ke padang zamrud habis diedari; terbang bangau sepanjang hari, ke tasik juga akhirnya dicari.

Siri 2 (17.1.10)
Bidalan dan Pepatah

Bidalan dan pepatah ialah peribahasa yang terdiri ungkapan-ungkapan yang ringkas lagi bijaksana yang mempunyai makna selapis. Walau bagaimanapun, kadang-kadang, kedua-dua jenis peribahasa itu dipakai juga untuk menyatakan makna dua lapis.

Pendeta Za'ba memberikakankita beberapa andaian yang kuat tentang cara bidalan dan pepatah itu kekal dan menjadi budaya bangsa kita. Menurut beliau:

a) Mula-mulanya sebutan itu keluar dari mulut seseorang yang bijak dan pantas fikirannya iaitu dengan perkataan yang ringkas dan membetuli sepenuh-penuh maksudnya serta mengandung di dalamnya sesuatu kebenaran yang telah dirasanya sendiri atau telah diperhatikannya berlakupada diri orang lain.

b) Kemudian apabila berkenaan orang ramai mendengarnya maka dipakailah pula oleh mereka itu hingga berulang-ulang dan berhubung-hubung dari seorang ke seorang.

c) Dengan demikian masyhurlah perkataan itu dan akhirnya lalu melekat dalam bahasa itu hingga bila-bila, menjadi suatu kekayaan dan perhiasan kepada bahasa itu.

d) Maka pada ketika itu dinamakanlah akan dia peribahasa iaitu bidalan, pepatah dan perumpamaan.

Bidalan dan pepatah yang mempunyai makna selapis adalah seperti yang berikut:

i. biar lambat asal selamat
ii. sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit
iii.sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna
iv. ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis
v.sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.
vi. malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan
vii.hati hendak semua jadi

Bidalan dan pepatah yang mempunyai makan dua lapis, ungkapannya atau patah-patah perkataan yang disusun bukan sekadar satu ayat atau ayat-ayat yang lengkap, tetapi, kadang-kadang, merupakan serangkap pantun dua kerat juga.
Contoh:

i. Bergalah hilir tertawa buaya;
Bersuluh di bulan terang tertawa harimau

ii.Lain biduk lain digalang;
Lan bengkak lain menanah

iii.Pandai mencuri merasa mendapat;Tak pandai mencuri merasa terikat.

iv. Ikut hukum menyiat daging;Sakit di awak sakitlah di orang.

v. Bawa resmi padi; Makin berisi makin tunduk.

vi. Jangan bawa resmi jagung; Makin berisi makin jegang.

vii. Ditangkap buaya nampak riaknya; Ditangkap malas tak bertanda.

Sastera


Siri 1: Gaya Bahasa Kiasan (30.1.10)

a) Metafora
Metafora ialah gaya bahasa kiasan langsung atau perbandingan yang menyebut dua hal tanpa menggunakan kata-kata perbandingan. Lazimnya metafora terdiri daripada dua perkataan yang ringkas, padat dan tersusun. Satu daripada dua perkataan metafora bersifat konkrit dan menjadi objek untuk difikirkan, dan satu lagi perkataan bersifat abstrak.

Contoh:
kaki hari
tiang kemerdekaan