CERPEN
Derita Kashaf
Oleh:
Mohamad Irfan bin Arifin
DIA tidak pernah merasai kasih sayang kedua-dua ibu bapanya sejak berumur 5 tahun lagi. Namun begitu, dia bersyukur kehadrat Ilahi kerana mempunyai datuk dan nenek sebagai tempat bergantung dan bermanja. Kashaf seorang pelajar yang cemerlang tetapi tanpa diduga datuknya diserang strok serta lumpuh menyebabkan dia selalu ponteng sekolah. Dia ringan tangan membantu neneknya menoreh getah pada sebelah pagi dan menjual kuih pada sebelah petang Kehidupan Kashaf kini umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
“Kashaf bangun Kashaf ! Dah masuk subuh dah ni. Pergi solat, lepas tu baru makan. Cepat sikit, nenek dah nak pergi kerja dah ni ! Kamu tak pergi ke sekolah?”
“Ya, nek ! Kashaf dah bersiap ni”
“Krak!Krak!Krak!” Kedengaran bunyi tapak kaki Kashaf menuruni tangga kayu yang sudah berusia lebih 50 tahun menuju ke dapur. Lalu Kashaf menarik kerusi dan terus duduk. Kemudian dia mengambil sebiji cekodok pisang kegemarannya yang tersedia di tengah meja untuk dijamah. Tiba-tiba tangannya dicubit oleh nenek dan cekodok tadi jatuh semula ke dalam pinggan.
“Apa nenek ni! Cubit tangan Kashaf. Sakit tau.”
“Nenek selalu berpesan, baca doa sebelum makan,” ujar nenek dengan nada menyindir.
“Nenek, Kashaf nak berhenti sekolah. Kashaf kasihan tengok nenek penat buat kerja seorang diri sejak atuk sakit.” Kashaf merenung amat dalam mata neneknya. Rasa simpati terbancuh dalam atmanya.
“Hish ! Apa kamu merepek ni. Kamu tu masih muda, kamu mesti utamakan pelajaran sebab pelajaran yang menentukan masa depan kamu. Walau apapun yang terjadi, kamu tidak boleh berputus asa dan belajar bersungguh-sungguh !” ujar nenek lembut.
“Tapi nek !
“Sudah, cepat sikit makan tu nanti lambat sampai ke sekolah.”
***
Sekembalinya dari sekolah selepas menghadiri aktiviti kokurikulum, dia mendapati rumahnya dipenuhi orang. Debaran dadanya begitu memuncak sekali. Kashaf terlihat sekujur tubuh yang kaku ditutupi dengan kain batik. Dia dapat rasakan kakinya ringan dan menggigil-gigil. Fikirannya melayang-layang dan dia mula menjadi tidak keruan. Lalu Kashaf menyelak kain batik lepas yang menutupi jenazah tersebut.
“Neneeek ! Neneeek ! Nenek tolong bangun nenek, Kashaf dah balik ni! Lepas ni siapa nak masak untuk Kashaf lagi? Siapa nak dengar masalah Kashaf?”
“Kashaf, cukup Kashaf tak baik meratapi kematian nenek kamu,”ujar Mak Minah dengan nada sebak yang juga merupakan jiran dan kawan nenek Kashaf.
Dalam tahun yang sama Kashaf selalu tidak hadir ke sekolah kerana bekerja di Kedai Runcit Pak Abu untuk menampung kehidupan bersama dengan atuknya. Ini menyebabkan pelajarannya merosot dan dia jauh ketinggalan. Keprihatinan guru kelasnya terhadap nasib Kashaf menyebabkan Cikgu Amir datang menjenguk Kashaf di rumahnya. Cikgu Amir begitu terkejut melihat keadaan rumah Kashaf yang begitu usang. Dia berasa sungguh simpati terhadap kehidupan Kashaf dan datuknya.
“Apa tujuan cikgu datang ke rumah saya?” tanya Kashaf sambil matanya dilemparkan ke arah datuknya yang masih terbaring di katil.
“Saya datang hendak melihat keadaan awak. Saya ingin menyerahkan borang permohonan biasiswa untuk awak. Saya rasa awak layak dapat biasiswa ini. Saya simpati melihat keadaan awak. Awak merupakan pelajar harapan sekolah. Jadi, saya nak awak belajar semula dan berusaha gigih untuk mengubah kehidupan awak ni!”
“Terima kasih, cikgu!” ujar Kashaf dengan nada gembira. Dia cuba menahan empangan air matanya daripada pecah.
“Tuan Khashaf, ada tetamu dari Jepun datang untuk berjumpa tuan,” ujar Natrah, setiausaha syarikatnya. Lamunan panjang Khashaf bercempera. Kini, dia merupakan Pengarah Urusan Syarikat Khashaf Holding.
(543 patah perkataan)
No comments:
Post a Comment