CERPEN
Impian Disleksia
Oleh:
Syafinaz Hanis binti Abdul Kadir
“SEMUA bangun,” arah ketua kelas dengan suara yang lantang lagi nyaring. Mendengar sahaja arahan yang diberikan,para pelajar bingkas bangun,meninggalkan segala kerja yang dilakukan.
“Hoi, bangunlah!” sekali lagi Faizal, si ketua kelas memberi arahan,kali ini dengan lebih kasar dan tegas apabila menyedari masih ada lagi pelajar yang tidak mematuhi arahannya.
“Telinga macam telinga kuali,” rungut Faizal perlahan,namun masih dapat didengariku dan pelajar lain. Yang mendengar hanya tersenyum,tidak berani membuat bising. Gelagat ketua kelas yang bersuara lantang itu telah menarik perhatianku. Gelagatnya telah membawa fikiranku kembali pada masa zaman kanak-kanakku. Zaman yang penuh suka dan duka.
Fikiranku kembali mengingati kepada guru yang amat aku kasihi hingga aku menanam azam ingin menjadi pendidik sepertinya yang ikhlas menabur bukti tanpa merungut atau mengharapkan imbuhan untuk mendidik anak-anak murid yang istimewa. Masihku ingat perbualan antara guru kelasku dengan ibuku sewaktu aku berumur lapan tahun.
“Begini puan, yang sebenarnya di dalam kelas,anak puan tidak dapat mengikuti apa yang diajar gurunya dan dia juga masih tidak pandai membaca dan mengira,” jelas guru kelasku tanpa sebarang mukadimah.Tanpa bahasa yang berbunga guru kelasku menjelaskan yang aku mungkin termasuk dalam golongan istimewa atau dengan bahasa kasar,aku mungkin termasuk dalam golongan orang kurang upaya(OKU).
Aku dapat merasakan hati ibuku hancur luluh kerana anak yang dikandungnya selama sembilan bulan sepuluh hari ini tidak senormal kanak-kanak yang lain. Namun, ibuku amat tabah,dia tidak mengabaikan pelajaranku. Malah di rumah, ibu menjadi guruku yang kedua. Dia telah mengajarku keindahan Islam,agamaku,mengajarku menghormati orang lain,mengajarku tentang kehidupan. Ibu sentiasa menitipkan kata-kata dorongan dan semangat setiap kali aku ke sekolah.Malah,setiap malam ibu akan memelukku dan mengucapkan ‘I Love You’ kepadaku, membuatkan aku berasa disayangi dan dilindungi. Bagiku ibu ialah guru yang sebenar di hatiku.
“Ibu akan pastikan abang menjadi orang yang berjaya pada satu hari nanti,” janji ibuku. Ibu benar-benar menunaikannya. Ibu telah menghantarku ke kelas untuk murid-murid istimewa di mana aku telah mengenali seorang guru yang amat aku sanjungi, Pn.Faridah Leong. Aku memanggilnya dengan panggilan ‘teacher’.
“Yang sebenarnya,anak puan,Amir telah menghidap penyakit disleksia. Amir lambat menerima apa-apa yang diajar oleh guru atau dalam erti kata lain Amir dikelaskan dalam golongan slow learner ,tetapi sekiranya dibimbing Amir mampu menjadi normal,seperti ahlis sains Albert Einstein dan pelakon terkenal Tom Cruise. Mereka juga penghidap disleksia,” ‘teacher’ menerangkan keadaan diriku yang sebenar dengan panjang lebar.
“A..B..C..D..E,cuba Amir sebut perlahan-lahan, kalau salah tak mengapa kita cuba lagi,” Dengan lembut dan sabar ‘teacher’ mengenalkan kepadaku abjad ABC,sebagai permulaan kelasku. Kredibiliti ‘teacher’ sebagai seorang guru yang cemerlang terbukti apabila kini aku mampu menulis dan membaca dengan lancar malah,aku juga sudah mampu untuk mengira dengan pantas.
“Belajar rajin-rajin Amir,nanti bila dah besar,dapatkan kerja yang bagus,dan satu sahaja saya nak pesan,apabila sudah besar,janganlah kamu lupakan saya,”pesan ‘teacher’ ketika aku memasuki alam sekolah menengah.
“Terima kasih cikgu!” Begitu lantang pelajar mengucapkan terima kasih kepadaku. Kenangan lalu terus terputus. Barulah aku tersedar, rupa-rupanya aku masih berdiri di hadapan kelas Tiga Gemilang.
“Sama-sama,baiklah,jangan lupa hantar tugasan yang saya berikan tadi,esok,” balasku.Ucapan terima kasih yang diucapkan oleh pelajarku tadi masih terngiang-ngiang di cuping telingaku.Ucapan yang sama juga ingin aku tujukan kepada kedua-dua guruku, iaitu ibuku dan yang kedua,guru yang mengajarku abjad ABC iaitu ‘teacher ‘ kerana berkat didikan kedua-dua guru ini, kini aku menjadi seorang pendidik!
(539 patah perkataan)
No comments:
Post a Comment