Alangkah terkejut apabila menyaksikan dua bangkai anak burung tempua yang berbulu cokelat tetapi sudah kering terdapat di dalamnya. Hatinya saya dirempuh rasa sayu.
Anak lelaki saya yang ada di samping lantas berkata, "Kasihannya!" Peristiwa yang berlaku amat terkesan dalam jiwa saya lantas pada malam itu sebuah cerita pendek sudah tertulis pada skrin komputer. Setelah hampir beberapa bulan cerita itu terus menyepi, saya terus mengambil keputusan untuk menulis sebuah cerpen dengan menggunakan sudut pandangan seorang kanak-kanak yang saya namakan 'Adik'. Saya menulis sinopsis cerita dan kemudian membengkelkan cerpen ini di laman sifu saya iaitu Puan Azmah Nordin.Ternyata sentuhan sifu telah berjaya 'melengkapkan' cerpen ini sebegitu rupa. Pada bulan Disember, saya telah menghantar karya ini kepada editor majalah Dewan Siswa. Namun cerpen ini telah disiarkan di dalam majalah Tunas Cipta bulan Mac 2011.Ternyata cerpen 'Kasih Buat Sang Tempua'(tajuk yang dicadangkan oleh sifu saya) merupakan cerpen 'terkuat' yang pernah saya hasilkan.
Memetik ulasan cerpen 'Kasih Buat Sang Tempua' oleh Puan Siti Hajar Che Man (Tunas Cipta (April, m.s. 9-10)
Cerpen ini memaparkan jiwa dan emosi seorang kanak-kanak yang hanya diberi nama Adik dengan alam persekitaran di sekelilingnya. Dapat dikesan bahawa walaupun Adik masih kanak-kanak tetapi begitu peka,sensitif dan prihatin terhadap alam flora dan fauna. Adik begitu kasih akan Si Cumi -hamster comel yang telah mati digigit semut merah, Si Ciko -kucing parsi teman sepermainan Adik, juga terhadap kematian anak burung tempua. Emosi Adik cukup kasih kan haiwan sangat berbeza dengan Kak Long dan Abang Ngah, malah juga ayah dan ibunya.
Namun apa yang cuba dipersembahkan oleh pengarang ialah satu keadaan yang cukup ironi.
Terdapat teknik juskstaposisi, iaitu meletakkan atau menempatkan dua perkara sebelah menyebelah sama ada secara ketara atau tidak dengan tujuan perbandingan. Dalam hal ini, pengarang secara tersurat cuba memperlihatkan sikap terhadap pemuliharaan alam flora dan fauna antara Ayah dengan Adik. Ayah sememangnya sangat suka menghias landskap halaman rumah. Hasil usaha,kerajinan ,minat dan kreativiti Ayah membawa kemenangan pertandingan landskap perumahan Sri Cemerlang.
Malangnya kemenangan itu tidak pula diiringi dengan semangat memelihara kelestarian alam yang perlu mendapat perhatian manusia. Hal ini dipertentangkan dengan rasa dan emosi Adik yang begitu halus jiwanya cuba menyelamatkan kehidupan hanya dengan mempertaruhkan sarang burung tempua untuk memperlihatkan keprihatinannya yang begitu mendalam.
Begitu ulasan yang telah diberikan oleh Puan Siti Hajar Che Man dalam ruangan beliau.
No comments:
Post a Comment