.jpg)
Untuk mengajar murid-murid menghasilkan karya kreatif sememangnya memerlukan kesabaran dan komitmen yang bukan sedikit terutama kepada guru Bahasa Melayu. Itulah masalah yang timbul hari ini apabila saya cuba mengaplikasikan ilmu yang ada untuk dicurahkan kepada anak murid. Saya mengangkat tema kasih sayang yang saya rasa amat menarik untuk dijadikan karya kreatif.
Berdasarkan tema kasih sayang saya telah membahagikan murid kepada beberapa kumpulan dan meminta setiap kumpulan memilih fokus yang menarik perhatian mereka. Antaranya, kisah kasih sayang terhadap ibu bapa, kasih sayang terhadap sahabat, kasih sayang terhadap haiwan dan kasih sayang terhadap alam sekitar.
Sesi perbincangan telah dijalankan selama 3o minit telah membangkitkan suasana yang cukup "meriah" serta menghangatkan telinga.
Walaupun sepanjang proses membina peta cerita itu cukup melelahkan saya kerana terpaksa memberi bimbingan secara langsung kepada kumpulan-kumpulan lain namun saya cukup berpuas hati kerana ada beberapa kumpulan yang telah berjaya mengangkat isu yang saya kira cukup menarik untuk dijadikan cerita pendek.
Di sini saya sempat memetik beberapa isu yang cukup menarik yang telah dilontarkan oleh beberapa kumpulan dan saya telah memberikan cadangan supaya penceritaannya dapat dikemaskan serta dikembangkan lagi.
Antara isu yang disentuh adalah seperti berikut.
1) Isu tentang keprihatinan seorang anak penjual ikan yang segar yang tidak sanggup melihat kucing-kucing liar yang beranak- pinak di pasar. Dia telah mengambil inisiatif dengan menangkap kucing berkenaan untuk dikasikan. Tanpa diketahui ibu bapanya, pelajar berkenaan telah mengeluarkan duit tabungnya sendiri untuk membiayai kos untuk mengasi kucing-kucing betina itu. Kucing-kucing itu kemudian diserahkan kepada seorang doktor haiwan di bandar. Selepas menerima rawatan, kucing itu kemudian dilepaskan semula.
2) Seorang pelajar yang berasa malu untuk mendedahkan identiti keluarganya kerana kedua-dua ibu bapanya ialah orang kurang upaya (OKU).
3) Sikap keprihatinan anak orang asli yang berusaha untuk mengelakkan kepupusan harimau sumatera di tempat tinggalnya. Beberapa usaha telah dilakukan oleh anak orang asli itu dalam menangani masalah kepupusan haiwan berkenaan.
No comments:
Post a Comment