Kelab Setia Lagi…Terus Tenggelam Lautan Buku
Siri 2
Hari ini sekali lagi Kelab Setia mengatur langkah penuh bergaya menuju ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010. Hebat betul Kelab Setia tahun ini. Rugi kalau tidak menyertai kelab ini kerana banyak perancangan akan menyusul lagi. Yang pasti keahliannya akan melimpah -ruah sehingga di luar kelas pada tahun depan.
Bas bertolak meninggalkan sekolah pada pukul 8.00 pagi. 36 orang murid serta 4 orang guru turut serta dalam lawatan ini. Terima kasih kepada Cikgu Rozaimi, Cikgu Ali, Cikgu Rosmah, Cikgu Norawati kerana telah membantu saya memantau pelajar sepanjang lawatan ini. Tahniah kepada semua peserta lawatan yang pandai membawa diri dan tidak banyak menimbulkan kerenah.
Kelab Setia dan Kelab Pusat Sumber SMKUR telah bekerjasama untuk menganjurkan lawatan kali ini. Setibanya di PWTC kira-kira pukul 10.30 pagi. Banyak bas telah diparkir hampir setiap ruang di kawasan PWTC. Semua peserta lawatan yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar 5 Marikh, 4 Musytari dan hanya sebahagian kecil pelajar tingkatan 5 Uranus, 4 Zuhrah, 4 Utarid menyertai lawatan ilmu ini.
Aduh… memasuki ruang legar di aras 3 dan di aras 2 di seberang sungai sungguh menyeksakan kerana sudah dipenuhi pengunjung di setiap ceruk aras. Kunjunganku kali ke-2 di sini hanya menjaring beberapa buah buku yang sudah disenarai pendek sehari sebelum berkunjung ke situ. Hajat untuk mencari beberapa nakshah majalah Karangkraf terpaksa dilupakan kerana lautan manusia memenuhi ruang ini. Hanya sempat menyambar buku terbaru karya Shahnon Ahmad yang berjudul “Kembara Seorang Hamba”.
Kira-kira pukul 12.15 tengah hari aku bersama-sama Cikgu Ali serta 4 orang murid 5 Uranus cuba keluar dari arah pintu masuk di Dewan Merdeka namun usaha kami gagal kerana tidak dibenarkan keluar melalui pintu masuk tadi. Lalu agak berpusing-pusing mencari jalan keluar. Ketibaan aku disambut dengan suara sindiran daripada beberapa orang pelajar kerana kelewatan.
Selain daripada buku sasterawan negara Shahnon Ahmad yang dijual di Karangkraf, buku-buku berikut berjaya kujaring sepanjang berada di lautan buku itu. Berikut buku yang sempat dijaring selama hampir 2 jam seperti berikut:
- Pelamin Embun(Kumpulan Cerpen)-Aminah Mokhtar-DBP
- 100 Pantun Dondang Sayang-JKKN(Kekkwa)
- Kerjaya Sebagai Psikiaris-Mohd Jamil Yaacob- PTS
- Jom Komsas Komponen Sastera Tingkatan 4-Kamaruzaman Ismail-Info Didik
- Adat Resam Masyarakat Malaysia- Wan Ramli Wan Muhammad-Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Malaysia.
- Solat Kebaikan dari Perspektif Sains- Fatimah Ibrahim, Wan Abu Bakar Wan Abas, Ng Siew Check- Universiti Malaya
- Kaum-Kaum Yang Pupus- Harun Yahya- Saba Islamic- Media
Lawatan singkat ini diteruskan ke KLCC. Selepas sahaja makan tengah hari di sebuah restoran nasi kandar, peserta rombongan yang seramai 84 orang terus menapak ke masjid KLCC. Sebaik sahaja selesai bersolat, kami terus menuju ke kaunter jejantas udara.
Dengan ketinggian mencecah 452 meter dari aras paras bumi, Menara Kembar Petronas ialah menara berkembar tertinggi di dunia. Menara yang siap dibina pada tahun 1996 ini dilengkapi dengan kemudahan komunikasi yang terkini dan canggih serta menjadi mercu tanda negara dan simbol kemajuan serta pencapaian sosio-ekonomi Malaysia.
Perjalanan kami ke jejantas udara telah dibahagikan kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama akan memulakan lawatan pada pukul 3.30 petang sementara kumpulan kedua pada pukul 4.00 petang. Maklumat yang diberikan oleh petugas, untuk menuju ke jejantas udara dengan menaiki lif memakan masa hanya 41 saat sahaja. Ketinggian jejantas Udara ialah 170 meter iaitu berada pada aras 41 daripada 88 jumlah tingkat keseluruhannya. Hari ini merupakan hari bersejarah kepada diriku sendiri kerana buat pertama kalinya melintas di jejantas udara tersebut. Satu pengalaman yang cukup indah dan penuh makna.
Bas bergerak meninggalkan ibu kota pada pukul 6.00 petang dan tiba di Rembau sekitar satu jam setengah. Walaupun keletihan namun aku nampak lihat keriangan di wajah anak-anak muridku. Insyallah kalau diizinkan , aku akan mengatur satu lagi lawatan ke Aswara, Balai Senilukis Negara, Istana Budaya, dan beberapa buah tempat lagi.
No comments:
Post a Comment