Hari Ketiga (19 Mac 2010)
Bandung –Jakarta
Jom Beli Belah
Cipaduyut ialah destinasi yang dinantikan oleh penggemar barangan kulit seperti beg tangan, kasut, tali pinggang dan sebagainya. Sebaik sahaja selepas sarapan, para peserta lawatan seawal pukul 8.00 pagi sudah berkumpul di lobby hotel. Kelihatan beberapa orang peserta lawatan yang merakamkan kenangan di bahagian lobby tersebut dan ada yang singgah sambil menjamu mata di dalam sebuah kedai jualan batik. Harga yang ditawarkan agak berpatutan juga di samping mendapat layanan daripada pekedai ramah yang khabarnya pernah bekerja di Bahau, Negeri Sembilan.
Sebetulnya, kami akan bertolak serta telah bersiap-siap dengan bagasi yang pasti akan beranak-pinak sebentar lagi kerana di Cipaduyut ialah jualan barangan kulit yang agak luas serta menawarkan harga yang menarik. Kami bertolak meninggalkan Hotel Pasundan dan destinasi terakhir hari ini ialah bermalam di kota metropolitan, Kota Jakarta. Selain membeli belah di Cipaduyut, peserta rombongan juga akan di bawa di Tangkuban Parahu yang jaraknya kira-kira satu jam perjalanan sekiranya tidak terperangkap dalam macet (sesak). Bas bertolak menuju ke Cipaduyut pada pukul 8.45 pagi dan kami tiba seawal pukul 9.00 pagi. Ternyata kedai-kedai masih belum dibuka sepenuhnya. Tetapi keadaan di jalan raya sudah mula sesak dengan penunggang motosikal yang sentiasa bertali arus. Sikap toleransi yang tinggi dalam kalangan penduduknya,begitu memudahkan kami untuk melintas jalan. Oleh sebab hari ini Jumaat,kedapatan kedai yang tidak dibuka dan hanya akan dibuka selepas solat Jumaat.
Kami diberi masa selama 3 jam pada hari ini untuk berbelanja. Peluang yang tidak dipersia-siakan, aku sempat membeli sepasang kasut, dua utas tali pinggang , tiga buah beg duit dan sebuah beg sandang. Harganya kira-kira Rp 882 000. Sesekali aku diterjah oleh peniaga-peniaga jalanan yang menjual pelbagai barang cenderamata. Di sini barang-barang cenderamata seperti rantai kunci tidak dijual di kedai-kedai di tepi jalan. Cenderamata dijual oleh peniaga-peniaga jalanan yang tidak pernah mengenal putus asa untuk mencari rezeki. Kadang kala aku berasa kagum dengan usaha keras mereka mencari rezeki yang halal. Apa-apa sahaja akan dilakukan demi mencari rezeki.
Terdapat juga beberapa peserta lawatan yang telah mengheret beg-beg besar untuk mengisi barang yang dibeli. Aku sempat juga menyambar sebuah beg komputer jenama Polo yang berharga Rp 295 000 sedangkan harga asal yang ditawarkan setinggi Rp400 000.
Seterusnya kami dibawa ke Stock Centre yang menjual pelbagai jenis pakaian lelaki, wanita dan juga kanak-kanak. Aku menghadapi masalah untuk mencari saiz kerana di sini XL seperti saiz L sahaja. Jadi aku memutuskan untuk melihat-lihat sahaja.
Arlogji (jam) di tangan menunjukkan pukul 12.40 tengah hari. Sudah tiba masanya untuk mengisi perut yang mula terasa lapar. Restoran yang disinggahi ialah Restoran Mitra Sederhana Pasteur. Ini merupakan kali kedua kami makan di restoran ini. Seperti kebiasaan, menu nasi padang menjadi keutamaannya di sini. Yang pasti kami memesan jus buah-buahan yang pasti sukar untuk dilupakan. Jus buah-buahan di sini sangat pekat dan enak sekali. Apa lagi tanpa berlengah lagi, kami meminta jus alpucat, jus durian belanda, jus terung belanda,jus semangka(tembikai merah) dan sebagainya. Harganya Rp 10 000.
Sebaik sahaja selesai bersolat, destinasi seterusnya yang dinanti-nantikan ialah melawat ke Tangkuban Parahu. Jam di tangan jelas menunjukkan pukul 2.25 petang. Keadaan jalan raya di kota Bandung sememangnya agak sesak. Di bahu-bahu jalan kelihatan juga penjual Koran(surat khabar),air minuman sering mendekati pemandu-pemandu bas, kereta motosikal. Khabarnya siri Upin dan Ipin juga begitu popular di sini justeru buku siri mewarna juga dijual oleh penjual-penjual jalanan. Pujian harus diberikan akan sikap toleransi yang amat tinggi diamalkan oleh pemandu di sini. Bunyi hon bagai kata-kata sapaan dan teguran daripada pemandunya untuk memohon kebenaran untuk memotong atau untuk memberi laluan kepada kenderaan kecil.
Sebelum menjejakkan kaki di puncak Tangkuban Parahu, Pak Yanto menceritakan kisah legenda berkaitan dengan Tangkuban Parahu. Tangkuban Parahu yang merupakan kawasan gunung berapi yang masih aktif di Bandung. Ketinggiannya ialah 1850 daripada aras laut. Menurut cerita yang disampaikan dari satu generasi kepada satu generasi, Tangkubaan Parahu sinonim dengan kisah legenda Dayang Sumbi dan Sangkuriang. Lantas mindaku melayang ingatan terhadap karya indah Puan Nisah Haron yang menjadi tajuk koleksi cerpennya “Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus”. Secara ringkasnya, Dayang Sumbi yang tidak dimakan usia itu telah bercinta dengan anaknya sendiri iaitu Sangkuriang dan mereka hampir-hampir sahaja untuk bernikah tapi apabila Dayang Sumbi dapat mengetahu bahawa Sangkuriang itu ialah anaknya sendiri maka pernikahan mereka terpaksa dibatalkan.
Untuk sampai di kawah gunung berapi kami melalui laluan yang agak berliku. Suasana kabus menyelimuti kawasan pergunungan. Kedinginan sudah mula dapat dirasakan. Kami berhenti di sebuah perhentian untuk meneruskan pendakian ke puncak. Van kecil yang boleh memuatkan seramai 10 orang itu meneruskan pendakian ke kawah gunung berapi. Bau belerang mula menyucuk-nyucuk lubang hidung. Apabila tiba di puncak, seperti biasa kami sekali lagi diserbu penjual-penjual jalanan yang pastinya akan mengejar kami di mana-mana kami berada. Kehadiran mereka yang terlalu ramai itu kadang kala mengundang rasa kurang selesa untuk menikmati suasana indah di puncaknya. Namun kami akur juga kerana itulah punca rezeki mereka selama ini. Kedatangan kami sebagai wisata (pelancong) dari Malaysia sememangnya sentiasa dinanti-nantikan. Kalau teringin membeli cenderamata untuk kaum keluarga di Malaysia, tidak salah kita menyambar beberapa cenderamata yang dijual kerana di tempat lain lagi mungkin sukar untuk diperoleh. Keadaan ini memang sangat berbeza di Malaysia yang mana cenderamata banyak dijual di kedai-kedai cenderamata. Mungkin ini salah satu cara untuk memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Menurut seorang peniaga yang ditemui di sana, kali terakhir gunung berapi ini meletup ialah pada tahun 1969. Peniaga yang aku temui sebentar tadi ialah peniaga yang telah bermurah hati mengambil gambar kami di puncak gunung sebentar tadi. Rupa-rupa aku dan isteri diekori sampai kami ke tandas. Harapannya yang begitu tinggi supaya membeli cenderamata yang berupa papan magnet juga dipenuhi.Harganya untuk 10 keping ialah Rp 100 000, itupun setelah ditawar berulang-ulang kali. Aku tewas juga akhirnya. Di sini kalau kita tidak mahu membeli sesuatu barang jangan sesekali ditanya harganya atau diminta dikurangkan harganya. Kalau sudah membuat urusan niaga, barang yang ditawar akan diturunkan harganya hingga kita sendiri tidak mampu untuk menolaknya.
Setelah hampir satu jam di sini, kami pun turun daripada kawah gunung berapi menuju di tempat perhentian yang telah sedia menunggu beberapa orang peniaga jalanan yang berbeza. Kami juga dihiburkan lagu “Suriram” hasil mainan anglung seorang peniaga. Agak enak di gegendang telinga sambil menghirup udara segar di sini.
Kami turun dari puncak ketika cahaya matahari semakin samar memancarkan cahaya. Kedinginan masih lagi terasa menyucuk-nyucuk hingga ke tulang. Perjalanan diteruskan lagi. Kami kemudian singgah di sebuah restoran masakan Sunda, Restoran Balibu (Bawah Lima Tahun) Hidangan malam agak istimewa pada malam ini. Tidak seperti biasa, hidangan ikan goreng agak istimewa, menu sayur-sayuran memenuhi hidangan kami hari ini. Sayur kangkong goreng serta sup sayur campuran yang segar, sambal belacan yang menyengat serta sambal kicap istimewanya sukar untuk dilupakan. Apa yang pasti air jusnya tidak ketinggalan seperti jus strawberry, jus alpucat dan sebagainya.
Perjalanan menuju ke Jakarta melalui lebuh raya bertol selama 3 jam tempoh perjalanannya. Kalau melalui laluan biasa, memakan masa hampir 8 jam lamanya. Hujan diluar agak lebat dan sesekali mengundang rasa kantuk yang mula bergayut di mata. Rasa keletihan sudah mula meresap di seluruh urat saraf.
Bas kemudian berhenti di sebuah perhentian Cikampek untuk memberi peluang melepaskan lelah. Tiba di kota Jakarta agak lewat kira-kira pukul 11.00 malam di N (1) Hotel. Keadaan di kota metropolis itu masih sesak walaupun waktu sudah hampir lewat malam.
No comments:
Post a Comment