Travelog Perjalanan Hari Kelima
21 Mac 2010(Ahad)
Hari-hari Terakhir
Lima hari meninggalkan tanah air, kerinduan terhadap bumimu semakin terasa. Pesawat AK 372 akan berlepas tepat pukul 3.10 petang. Hal ini bermakna kami perlu berada di terminal kira-kira 3 jam sebelum berlepas. Sebelum berangkat pulang, kami juga sempat menghabiskan sisa-sisa wang di pusat beli belah yang terkemuka iaitu Magga Dua. Kami tiba awal sebelum pusat beli belah dibuka sepenuhnya pada pukul 10.00 pagi. Kami bukanlah pengunjung awal yang tiba kerana telah ada bas persiaran yang pastinya pelancong dari luar telah menunggu di pintu masuk pasar raya. Pasar raya yang luas umpama Midvalley di Kuala Lumpur ini menjual pelbagai jenis barang keperluan seperti beg, pakaian dan sebagainya.
Kami diberi peluang sehingga pukul 12.00 pagi sahaja kerana selepas ini kami perlu segera ke lapangan terbang Soeharto-Hatta. Kerjasama dan toleransi antara kami memang harus dipuji kerana semua peserta menepati janji. Kami tiba di lapangan terbang kira-kira pukul 12.30 tengah hari. Setelah menurunkan bagasi yang telah beranak-pinak sepanjang lima hari di Indonesia, kami segera ke kaunter tiket. Keadaan di lapangan terbang semakin sesak. Urusan pemeriksaan bagasi juga memakan masa yang agak lama. Beberapa orang rakan kami sudah melabuhkan punggung di kerusi yang disediakan.
Sebaik sahaja semua urusan selesai, kami terus bersolat dan makan tengah hari. Ada juga yang mengambil keputusan untuk makan di dalam pesawat. Sementara menunggu isteri dan dua orang mak cik isteriku sembahyang, aku mengambil peluang ke Kedai Buku di situ. Sempat juga menyambar sebuah buku “Chicken Soup”(Kisah Cinta) yang telah dibuat terjemahan dalam bahasa Indonesia. Urusan imigresen yang lambat juga agak mencemaskan. 10 minit sebelum pesawat berlepas, ada dalam kalangan kami yang masih belum melepasi pemeriksaan imigresen. Cemas juga dibuatnya.
Setibanya di pesawat, ruang duduk semakin penuh. Hanya beberapa ruang duduk yang masih kosong yang perlu kami penuhi. Senyuman yang dihulurkan oleh pramugari AirAsia mampu meredakan kepenatan ketika kaki pantas menuju pesawat sebentar tadi.
Dua jam di udara, kapal terbang yang kami naiki mendarat kira-kira pukul 6.10 petang. Hujan semakin lebat di luar. Hampir setengah jam kami masih lagi dalam pesawat. Hujan yang mencurah agak menyukarkan kami untuk turun dari pesawat. Segala urusan selesai lebih kurang pukul 7.30 malam. Kepulanganku disambut oleh anak bujangku yang sudah sedia menunggu di luar terminal. Tiba di rumah kira-kira pukul 11.00 malam. Sebaik sahaja membasahkan badan, aku terus melelapkan mata kerana esok ada tugas professional yang sudah sedia menanti.
No comments:
Post a Comment