Tsunami di Dada Ini
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Hari ini sekali saya diuji. Diri umpama bola getah yang dilantun-lantun pada dinding atau umpama bola sepak yang akan disepak sesuka hati. Perkara yang amat kecil pada tanggapan sesetengah pihak tapi bagi saya perkara ini amat sukar untuk saya terima. Terkejut dan perasaan saya mula libang libu tidak tentu arah. Aduh…mengapa saya sering menjadi mangsa? Apakah rasional perkara ini? Oleh sebab kecuaian sesetengah pihak dan saya pula yang akan menanggung akibatnya. Mungkin secara sinis ada orang beranggapan dan barang kali mengatakan saya tidak perlu bertindak sebodoh ini. Hati ini bermonolog sendiri.
Besar atau kecilnya masalah itu bukan persoalan pokok yang perlu diperdebatkan. Adakah kerana saya lebih santai dengan senarai tugas yang terpikul di pundak, maka saya dianggap tidak ambil kisah dengan segala perubahan drastik yang dibuat atas diri saya. Saya sudah banyak bersabar.
Bukan sekali ini saya terkena tempias perubahan. Sudah acap kali semenjak saya berada di sini. Pada tahun 2008 saya pernah ditukarkan memegang kelas 5 Marikh setelah hampir beberapa bulan menjadi guru kelas di kelas 4 Musytari. Hari ini sekali ini perkara yang sama menimpa terhadap saya. Setelah hampir setahun 3 bulan saya menjadi guru kelas 5 Uranus, tiba-tiba saya diarahkan menjadi guru kelas 5 Marikh. Alasannya sangat mudah, tiada pilihan lain. Atau saya sememangnya terkenal dengan guru yang tidak cerewet. Akur dengan arahan dan tugasan yang diberikan. Barang kali tugas saya tidaklah menggunung kalau dibandingkan tugas-tugas guru lain yang dikatakan lebih berkepentingan dan berstatus tinggi tugasnya. Saya cuba memaksikan segala jawapan selamat yang diberikan. Adakah saya juga tergolong dalam khalayak yang kurang dibebani tugas?
Adakah guru yang terlebih tugasnya dan diri saya yang agak selesa dengan tugas sekarang tidak perlu dipertimbangkan? Saya tidak akan bersuara sekiranya perkara ini relevan dan saya akan menerimanya seadanya.
Kenapa perubahan itu tidak dibuat pada peringkat awal? Mengapa perlu menunggu hampir 3 bulan setelah sebahagian besar tugas telah selesai baru keprihatinan itu mula hendak dititikberatkan? Pelbagai persoalan menyerang bertubi-tubi di minda saya. Puas saya merelevankan apa-apa yang telah berlaku. Tapi keputusan itu bulat telah saya capai. Saya tidak boleh bersabar lagi. Tahap kesabaran saya semakin terhakis sedikit demi sedikit umpama tebing sungai yang akhirnya akan terhakis juga diterjah aliran air.
Kelemahan kalau tidak segera diatasi akan menjadi virus yang boleh merosakkan sebuah pentadbiran. Malas hendak memikirkan lagi. Minda saya benar-benar penat hari ini. Adakah saya terlalu emosional sehingga ada pihak yang akan menerima tempiasnya. Apa-apa bulan April, borang pertukaran itu akan saya isi untuk memerdekakan hati yang terus terpenjara. Saya bukanlah guru yang akan memberontak tanpa sebab. Saya punya alasan walaupun alasan saya bakal dibakulsampahkan saja tanpa pertimbangan sewajarnya.
Saya percaya, ada hikmah di sebalik segala peristiwa yang berlaku. Pertukaran ini perlu dipercepat agar hati ini tidak terus-menerus digempur tsunami.
"Luahan Terlampau" yang begitu berat untuk dipikul dan diadili.... Siapalah kita yang hanya seorang pekerja biasa... Mampu untuk berkata-kata tetapi tiada berkuasa untuk membuat keputusan dan perubahan. Istilah "Saya yang menurut perintah" perlu disemat didalam hati demi untuk menenangkan gelora dihati dan melahirkan keikhlasan dihati. Masalah tetap ada di mana-mana... cuma bgm kita berjaya menanganinya... Adakah masalah yang sama tidak berlaku di tempat lain.. jika kita cuba untuk melarikan diri daripada masalah?... Fikirkanlah dengan hati yang tenang...
ReplyDeleteTerima kasih kepada Kak Ita yang sudi respons terhadap "Luahan Terlampau" yang telah saya kirimkan melalui blog ini. Saya menulis ketika hati saya benar-benar terguris.Perasaan saya bercampur baur. Saya boleh menerima sekiranya jalan perbincangan dilakukan. Pada tahun 2008, Pengetua berjumpa dengan saya dan menyatakan relevan pertukaran saya. Saya boleh terima tugas baru itu walaupun ketika itu saya sudah berhabis ratusan ringgit untuk menceriakan kelas saya ketika itu. Tetapi kes beberapa hari ini ternyata jauh berbeza. Saya tidak boleh menerima alasan "bodoh" yang diberikan apabila pihak tersebut menyatakan ada guru-guru yang terbeban dengan tugas. Apa bezanya guru-guru tersebut dengan tugas yang terpikul di pundak saya ketika ini?Adakah kerana tugas guru tersebut mempunyai kepentingan kepada pihak tertentu mereka mendapat pengecualian menjadi guru kelas?Entahlah...keputusan tekad sudah saya buat. Saya tidak lagi mahu berpaling lagi. Itu keputusan yang telah terbit daripada hati saya. Saya masih lagi siuman dalam membuat keputusan. Ini bukan sekolah pertama saya namun jauh di sudut hati SMKUR memang sekolah yang "unik", Unik kerana guru-guru boleh ditukarkan kelas sesuka hatinya...Fikir-fikirkanlah...
ReplyDelete