Hari Kedua(18 Mac 2010)
Puncak- Bandung
Sesak..Penat..Padat
Azan Subuh berkumandang pada pukul 4.30 pagi. Suara azan lantang kedengaran dan saling bersahutan antara satu mushola(surau) dengan mushola yang lain. Seperti kebiasaan sebelum azan berkumandang, diperdengarkan bacaan al-Quran yang dibacakan secara langsung. Uniknya di bumi Puncak ini , mushola didirikan berhampiran antara satu sama lain. Setiap blok rumah pasti akan didirikan mushola. Ada kedapatan mushola yang didirikan hasil daripada pungutan derma daripada penduduk di blok masing-masing. Besar atau kecilnya mushola bergantung kepada sesebuah komuniti itu sendiri.
Mentari pagi sudah mula mengintai langit pagi sekitar pukul 5.30 pagi. Minuman pagi akan terhidang kira-kira pukul 6.00 pagi di restoran. Sebelum minum pagi, peluang diambil untuk menghirup kesegaran udara Puncak yang menyamankan. Di sekeliling tempat penginapan dihiasi bunga-bunga yang menguntum indah. Sempat juga beberapa gambar dirakamkan di sekitar kawasan penginapan sebagai kenang-kenangan.
Seperti biasa, semasa kami keluar melangkah menuju ke bas, sekali lagi kami dihurungi dan sentiasa diekori penjaja jalanan yang tidak pernah mengenal putus asa merayu supaya dagangan mereka terjual kepada kami. Bagi penjual tersebut kami umpama gula yang berharga. Harga yang ditawarkan agak tinggi dan kalau sekiranya kami benar-benar untuk membelinya perlu bijak menawarkan harganya. Setelah menaiki bas, penjual jalanan masih tidak putus asa menawarkan harga yang dikiranya berpatutan. Usaha yang tidak mengenal putus asa itu rupa-rupa membuahkan hasil. Sebelum bas bergerak menuju destinasi, aku berjaya juga ditawan oleh penjual itu dengan membeli 20 helai beg telekung pelbagai warna dengan harga Rp 100 000. Pesan Pak Yanto semalam, sekiranya ingin menawar harganya perlu di bawah 70 %.
Selepas seharian di bumi Puncak, Bogor, bas bergerak menuju ke destinasi seterusnya. Arloji di tangan menunjukkan pukul 7.41 pagi. Menurut Pak Yanto, perjalanan ke Bandung memakan masa hampir 3 jam. Kami melalui kawasan perkampungan yang berbukit bukau. Di sepanjang jalan yang agak sempit,di kiri kanan jalan ada menjual hasil-hasil perkebunan. Menurut Pak Yanto, pekebun di sini hanya perlu menanam tanamannya dan kemudian dibiarkan membesar tanpa perlu menyiram tanamannya. Air di pergunungan mengalir dan membasahi tanaman mereka. Setelah hampir 1 jam meneruskan perjalanan ke Bandung, bas berhenti sebentar di Toko Manisan yang menjual pelbagai produk tempatan seperti pelbagai jenis kerepek, manisan dan sebagainya. Tapi harganya cukup mahal. Sekali lagi kami diserbu penjual jalanan yang menjual pelbagai produk seperti kain batik, cenderamata dan pelbagai barangan yang lain. Ramai peserta rombongan yang kurang selesa dengan tindakan sesetengah peniaga yang seolah-olah memaksa kami membeli hasil jualannya. Tetapi harus juga dipuji kerana mereka tidak pernah mengenal putus asa. Semangat itu sudah dipasak agam dalam jiwa peniaga-peniaga tersebut.
Setelah hampir 30 minit di Toko Manisan di Cianjur, kami meneruskan perjalanan ke kota Bandung. Menurut Pak Yanto, perkataan Bandung berasal daripada perkataan bendung. Kota Bandung kelihatan seperti bentuk mangkuk yang dikelilingi kawasan pergunungan. Menurut cerita lama, asal kota Bandung ialah daripada letupan gunung berapi yang membentuk sebuah danau dan apabila danau itu mengering lalu membentuk dataran lalu didirikan sebuah kota lalu dinamakan kota tersebut Bandung. Bandung juga dikenali dengan Kota Kembang atau Kota Bunga. Menurut Pak Yanto lagi, penduduk Bandung sekitar 6 juta orang dan terdiri daripada suku Sunda. Begitu cerita yang disampaikan oleh Pak Yanto yang sempat ditadah oleh telingaku.
Kami tiba di Bandung kira-kira 10.30 pagi dan terus singgah di Grande, pusat menjual pakaian berjenama. Keadaan persekitaran di dalamnya agak kondusif yang harga yang ditawarkan juga berpatutan. Kesempatan ini diambil dengan membeli baju anak bujangnya yang pasti akan tersenyum puas dan mulut comelnya akan meluncur ucapan terima kasih apatah lagi aku membeli baju yang terlukis gambar kartun kesukaannya Ben-10.
LawatLad Lawatan diteruskan apabila bas berhenti di sebuah butik batik yang agak eksklusif. Turun sahaja daripada bas, seorang paparazi segera merakamkan foto kami dan yang pasti gambar akan dijual di persinggahan yang seterusnya. Tempat yang seterusnya yang dilawati ialah di Toko Tiga. Di sini dijual jenama jeans terkenal dengan harga yang berpatutan.
Seperti biasa, peniaga jalanan masih lagi memburu kami. Masih tidak jemu-jemu menawarkan barang yang dijual kepada kami dan kadang-kala mengundang rasa rimas yang memuncak. Beberapa kali diulangi perkataan “Sudah dibeli pak” namun kedegilan mereka kadang kala mengundang rasa kurang selesa yang semakin membukit dan menggunung dalam diri. Beberapa orang rakan terpaksa juga membeli beberapa keping gambar yang dirakam sebentar tadi ketika kami di butik eksklusif tersebut.
Persinggahan terakhir kami ialah di Pasar Baru. Pasar Baru umpama kita berkunjung di Pasar Siti Khadijah di Kota Bahru. Nyata perjalanan untuk ke sana agak sesak dan padat dengan lalu lintas. Di sini penjual jalanan semakin banyak dan ada hampir di setiap penjuru bangunan terutama di tingkat bawah. Pelbagai cara digunakan untuk melariskan jualan. Begitu juga peminta sedekah yang sentiasa menagih simpati daripada kami. Kadang-kadang rasa belas singgah di sudut hati apabila melihat wanita yang mengendong anak dalam kehujanan menghulurkan tangan untuk meminta simpati. Peluang yang diberikan sehingga pukul 5.30 petang ini ternyata digunakan semaksimum yang mungkin oleh semua peserta lawatan yang kehabisan jutaan ringgit di gedung ini.
Selepas menikmati makan malam di sebuah restoran di bandar Bandung. Seperti biasa hidangan nasi padang menjadi menu utama kami. Kami meneruskan persinggahan terakhir di hotel. Perjalanan juga mengambil masa hampir 30 minit. Kami tiba di Hotel Pasundan untuk menginap sebelum keesokan pagi meneruskan lawatan seterusnya. Aduh…kepenatan tapi mampu tersenyum senang.
No comments:
Post a Comment