Travelog Perjalanan Hari Keempat
20 Mac 2010(Sabtu)
Pusing-Pusing Bandar Jakarta
Pagi ini terasa amat perlahan berlalu. Kedudukan bilik penginapan yang setentang dengan terikan cahaya matahari menambahkan rasa kurang selesa.Keadaan di dalam bilik hotel agak kurang selesa kerana ada terdapat masalah kepada penghawa dingin. Seawal pukul 8.00 pagi kami sudah turun ke dewan makan di hotel ini. Pada pukul 9.00 pagi, kami diminta untuk ke lobby untuk meneruskan lawatan ke kota Jakarta. Keadaan di lobby juga agak kurang selesa, rasa panas begitu terasa. Cepat-cepat aku melangkah menuju ke dalam bas untuk merasakan kesejukan penghawa dinginnya.
Lawatan hari keempat pastinya tertumpu di kota Jakarta yang sesak. Taman Mini Indonesia Indah yang telah diusahakan oleh mantan Presiden , Pak Soeharto agak luas. Untuk pergi ke sesuatu destinasi di dalam taman ini perlu menaiki kenderaan ataupun menyewa basikal yang telah disediakan di taman berkenaan. Kira-kira pukul 9.30 pagi, kami tiba di taman mini tersebut. Taman Mini Indah ini umpama Taman Mini Malaysia di Melaka yang banyak mempamerkan ciri-ciri rumah bagi setiap daerah di Indonesia seperti rumah Bali, rumah MInang, rumah Irian Jaya, rumah Acheh dan banyak lagi.Yang pasti di setiap rumah ini memiliki keunikan masing-masing. Kami sempat juga merakamkan gambar bersama penduduk Irian Jaya yang mirip penduduk di Papua New Genue serta menyaksikan persembahan tarian penduduk Bali. Mungkin mereka membuat latihan untuk persembahan malam nanti. Kesempatan ini juga digunakan beberapa orang daripada kalangan kami untuk mempelajari tarian bali yang cukup unik dengan pergerakan matanya.
Apa yang unik di taman ini bukan sahaja mempamerkan rumah-rumah di daerah Indonesia malah juga terdapat juga pelbagai jenis muzium seperti Muzium Minyak, Muzium Listrik(elektrik) dan sebagainya. Perkhidmatan kereta gantung (kereta kabel) juga disediakan kepada pengunjung yang ingin menyaksikan permandangan daripada sudut yang berbeza. Tidak ketinggalan juga perkhidmatan kereta api juga disedikan untuk para pengunjung. Setelah hampir 2 jam di taman ini kami pun menghilangkan dahaga di sebuah gerai jualan air kelapa muda yang berharga Rp10 000 untuk sebiji buah kelapa.
Kami keluar dari Taman Mini Indah Indonesia sekitar pukul 11.50 pagi lantas terus menjamu selera di sebuah restoran makanan sunda, Restoran Sangkuriang. Keadaan di dalam restoran memang tidak selesa kerana kebetulan bekalan elektrik telah terputus di kawasan tersebut justeru kami terpaksa menikmati makan tengah hari dalam keadaan tidak selesa. Namun daripada membiarkan perut terus “terancam”, makanan yang terhidang terpaksa juga dihabiskan. Oleh sebab keadaan yang kurang selesa, tiada ada seorangpun daripada kalangan kami yang memesan jus buah-buahan seperti kebiasaan.
Seterusnya kami dibawa membeli belah bagi menghabiskan wang yang masih bersisa di Cempaka Mas. Pusat beli belah setinggi lima tingkat dan luas ini dibahagikan kepada beberapa bahagian utama. Kami diberi masa selama 3 jam untuk membeli belah di pusat berkenaan.
Setelah 3 jam berbelanja dan kehabisan hampir Rp 1000000 kami meneruskan lawatan seterusnya iaitu melawat Masjid Istiqlal yang setinggi 5 tingkat. Menurut Pak Yanto,masjid berkenaan merupakan masjid yang terbesar di Asia. Namun hasrat untuk bersembahyang di situ terpaksa dibatalkan kerana ketika itu ada demonstasi secara amam yang diadakan oleh sebuah parti politik di Indonesia yang membantah pencerobohan Israel ke atas Palestine.
Keadaan di pekarangan masjid agak sesak justeru Pak Yanto memutuskan lawatan ke Tugu Monas iaitu Monomen Nasional Indonesia. Monumen setinggi 136 meter ini seperti Dataran Merdeka di Malaysia. Ramai juga pengunjung dari luar dan dalam mengunjungi tempat ini memandangkan hari ini ialah hari libur bagi Indonesia. Ada perkhidmatan lif disediakan kepada pengunjung yang ingin menaiki monomen berkenaan. Oleh sebab sudah lewat petang, perkhidmatan itu akan bersambung keesokan harinya pula.
Makanan malam telah tersedia di Restoran Sari Minang. Seperti kebiasaan makanan ala Padang menjadi menu utama. Sambil menikmati makan malam kami dihiburkan dengan lagu-lagu secara langsung oleh penyanyi di restoran.Sebelum pulang ke hotel, saya sempat membeli duku langsat yang berharga Rp 13 000 dan membeli sebuah majalah politik Gatra berharga Rp 24 500. Kami tiba di hotel sekitar pukul 8.30 malam. Tidak sabar rasanya untuk mengulit bantal kerana keletihan sepanjang perjalanan.
No comments:
Post a Comment