Travelog Perjalanan Jakarta-Puncak-Bandung 17 Mac 2010- 21 Mac 29 Mac 2010
Hari Pertama
17 Mac 2010(Rabu)
Percutian Santai
Kedinginan pagi Rabu menyambut ketibaan kami di Sekolah Menengah Kebangsaan Undang Rembau. Sunyi menyelimuti suasana awal pagi. Beberapa orang rakan, abang Raduan, Abang Mat yang telah aku kenali kerana sama-sama mengikuti lawatan ke Padang-Bukit Tinggi tahun lepas sudah sedia menunggu di tempat yang telah ditetapkan oleh ketua rombongan kami, Bapak Azhar. Sejurus selepas bersembahyang Subuh di masjid An Nur berhampiran, peserta seramai 22 orang bergerak menuju ke LCCT sekitar pukul 6.40 pagi dengan menaiki bas yang disewa khas. Cuba memejamkan mata yang keletihan kerana lewat tidur semalam tetapi masih gagal. Rasa kantuk seakan terus membias untuk melenakan mata. Aku tidak pasti bilakah mataku benar-benar lena malam tadi. Itulah padah kerana kelewatan tidur. Mungkin sekitar pukul 3.00 pagi, dan lenaku terus direntap bunyi jam telefon genggam lantang yang menjerit tepat pukul 4.30 pagi.
Tiba terminal LCCT sekitar pukul 8.00 pagi dan kami terus menuju ke kaunter tiket S15 Air Asia serta membuat imbasan bagasi yang akan dimasukkan di perut kapal terbang. Urusan di kaunter agak lambat dan memakan masa yang agak lama juga sedangkan perut sudah sedia menyanyi untuk diisi segera. Pesawat QZ 7691 akan berlepas dari landasan pada pukul 9.50 pagi. Selesai sahaja urusan, aku, isteri dan dua orang mak cik yang turut serta segera menjamah roti di Marry Brown. Sekadar mengalas perut kerana khuatir perut diterjah angin berbisa dan pasti akan mengundang trauma sepanjang percutian ini nanti.
Di dalam perut kapal terbang aku cuba melayan minda dengan membaca buku terbaru karya Ibnu Ahmad Al- Kurauwi “Punya Cinta Ramadan”. Seharian aku memikirkan buku yang akan dibaca sepanjang percutian ini dan akhirnya minda memutuskan untuk kubawa buku yang baru kubeli di Ujana Ilmu. Ternyata membeli beli di Ujana Ilmu memang berbaloi. Memandang aku telah membaca buku koleksi cerpen “Di dadanya Kalam Tuhan” serta novel “Tinta Elepsis” karya penulis ini terdahulu maka mindaku kejab memutuskan buku tersebut untuk kubawa sepanjang perjalanan. Namun bacaan agak terganggu kerana telingaku berdegung kuat. Air liur kutelan bagi mengurangkan degungan tersebut. Hanya sekitar 30 helai sahaja muka surat yang sempat kutelah dan buku itu kukatup semula. Cuba melepaskan rasa kantuk yang masih bersisa tetapi gagal. Akhirnya aku memesan sebotol air minumun perasa oren daripada seorang pramugara yang berharga Rp15,000. Duit rupiah yang aku simpan tahun lepas semasa mengikuti lawatan ke Padang- Bukit Tinggi kulangsaikan hari ini.
Dua jam kemudian pesawat selamat mendarat di lapangan terbang Antarabangsa Soekorno -Hatta pada pukul 10.50 pagi waktu Indonesia. Bermakna waktu Malaysia menunjukkan pukul 11.50 tengah hari. Lantas isteriku menukar pusingan jarum jamnya sementara aku masih mengekalkan pusingan waktu di Malaysia. Urusan di lapangan terbang berjalan lancar dan tidak menimbulkan masalah. Kunjungan kami di Indonesia kali ini akan diuruskan oleh Pak Yanto yang bertindak sebagai pemandu pelancong. Selepas semua urusan selesai, kami terus dibawa menaiki bas dan terus menuju ke bandar Jakarta untuk makan tengah hari. Sekiranya kelewatan pasti makan tengah harinya, kemungkinan perut akan terancam. Dari lapangan terbang ke bandar Jakarta memakan masa kira-kira 30 minit menerusi lebuh raya bertol.
Perut mula menyanyikan lagu irama keroncong. Kami berhenti menikmati makan tengah hari di sebuah Restoran Simpang Raya. Suasana di dalam restoran kondusif itu sudah mula dikunjungi tetamu dari dalam dan dari luar. Hampir 10 jenis lauk telah dihidangkan tetapi tidak secara serentak di atas meja makan. Mana mungkin aku boleh menahan kesabaran menikmati makanan Minang yang akan diminati sekiranya ke Indonesia. Ada tempe goreng berlada, tauhu jepun, kepala ikan masak kari dan entah apa lagi nama masakannya telah terhidang di atas meja. Air jus juga tidak dilupakan untuk menyerikan makan tengah hari kami. Lantas tanpa berlengah lagi akupun terus memesan air “coconut aplucat” atau avogado yang enak berharga Rp10 000 segelas.
Selepas menunaikan sembahyang, perjalanan kami diteruskan lagi menuju destinasi ke Puncak, Bogor. Jarak dari Jakarta ke Puncak hampir 66 kilometer. Sepanjang perjalanan kami melalui kawasan berbukit bukau yang agak berhawa dingin. Di kiri kanan jalan yang sempit terdapat gerai-gerai menjual hasil tanaman seperti karot, sengkuang, jagung dan pelbagai tanaman sayuran lain. Sebelum menginap di hotel, kami sempat singgah ke Taman Safari Indonesia. Kehadiran kami disambut dengan hujan yang semakin lebat justeru haiwan-haiwan di Taman Safari itu berteduh di tempat yang telah disediakan. Menurut Pak Yanto, kawasan kaki bukit di Puncak ini sering ditimpa hujan hampir setiap hari dan air hujan itu akan dikirimkan ke Jakarta lalu akan menyebabkan kawasan yang agak rendah daripada aras laut itu mengalami banjir kilat.
Ketika dalam perjalanan menuju ke Hotel Surya Indah, kepalaku diterjah rasa kurang selesa dan tekak mula merasa loya. Cuba melelapkan mata kerana keadaan jalan yang agak berliku dan kemudian diasak dengan lagu-lagu dangdut yang menyesakan pernafasan mungkin telah menyebabkan keadaan aku kurang selesa. Alhamdulillah, nasib baik segala isi perut yang hampir nak terkeluar itu berjaya juga kutahan. Mujur juga asam kecut yang sempat disampar ketika menuju pesawat agak mampu meredakan rasa loya. Sebaik sahaja tiba di lobby terbuka hotel berkenaan aku terus tersandar di kerusi empuknya untuk melepaskan keluhan panjang.
Hujan masih lagi merenyai ketika kami keluar makan di sebuah restoran di hotel berkenaan. Selesai makan malam,aku cuba melayani internet di lobby hotel. Malangnya, Sikecil tidak berada dalam talian jaringan sosialnya. Rp 10 000 dibayar bagi setiap sejam talian itu. Apa yang pasti percutian akan diteruskan untuk hari berikutnya. Sebelum masuk ke bilik, aku sempat bersembang dengan Pak Yanto. Untuk menjadi pemandu pelancong bukanlah mudah yang disangka, ilmu perlu tebal di dada. Banyak maklumat yang dapat dikongsi bersama-sama Pak Yanto ketika embun sudah mula membasahi hujung rumput di bumi Puncak yang semakin mendingin.
No comments:
Post a Comment